Wednesday, April 30, 2008

Balkis, – rebutan untuk membuat kebajikan

Tersiar dalam Sinar Harian muka N14, 30 April, 2008

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Semuanya Ia bermula dengan pendedahan oleh akhbar The Sun. Kisahnya terjadi tiga hari selepas sang suami kalah pilihan raya umum ke-12, lalu para isteri merencana pakatan membubarkan satu badan kebajikan dan memindah hampir RM10 juta dari akaun banknya. Rancangan itu cuba ditangkis oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menulis kepada Pendaftar Pertubuhan mempersoalkan kesahihan keputusan membubarkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Selangor, Balkis. Pertubuhan ini dianggotai oleh isteri ADUN dan ADR Selangor.

Akhbar itu mendakwa ia telah melihat dokumen yang menunjukkan Datin Seri Zahrah Kechik, isteri mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah pada 11 Mac memanggil satu mesyuarat tergempar jawatankuasa untuk membubar Balkis dan menutup akaunnya. Keesokannya, akaun ditutup dan wang itu dipindahkan ke akaun lain dan kemudiannya ke Bakti – satu organisasi yang mempunyai motif sama tetapi dianggotai oleh isteri menteri dan timbalan menteri pada peringkat pusat.

Pada Mac 13, anggota Balkis memberi notis tentang pembubarannya kepada Pendaftar Pertubuhan yang juga termasuk meminda perlembagaannya membentuk pertubuhan baru, di mana salah satu nama yang dicadangkan ialah Balkis-BN. Mengikut maklumat yang diperolehi oleh akhbar itu, tindakan tersebut bertujuan menghalang bangunan Balkis (Kompleks Wawasan Balkis dan pertubuhan itu sendiri diambil alih oleh kerajaan negeri yang baru. Apabila rancangan itu selesai, wang akan dikembalikan kepada organisasi baru tadi.

Tindakan Balkis tentunya mengejutkan pentadbiran kerajaan Selangor. Ia diberitakan akan mendapat nasihat guaman berkaitan kontroversi melibatkan Balkis dan dananya. Kalau perlu, para pemegang jawatan Balkis akan dikenakan tindakan undang-undang. Sementara itu ia telah menulis surat kepada Pendaftar Pertubuhan agar mengenepikan permohonan membubarkan Balkis yang dibuat oleh presiden sebelum itu. Alasan yang diberikan ialah Zahrah tidak lagi berkuasa dalam pertubuhan itu berikutan kekalahan suaminya dalam pilihan raya.

Keputusan pembubaran yang dibuat pada 11 Mac dianggap oleh bagi kerajaan baru tidak sah kerana ketika itu Khir bukan lagi MB. Perlembagaan badan itu secara jelas menyebut bahawa presiden badan hendaklah isteri kepada MB dan selepas BN kalah pada pilihan raya, Zahrah tidak lagi berhak mewakili Bakti dan malah haknya mempengerusi mesyuarat agung tergempar dipersoalkan.

Pejabat MB mendapat maklumat bahawa sebahagian dari dana di bawah Balkis itu berupa sumbangan dari syarikat berkait kerajaan seperti Kumpulan Darulehsan Bhd, dan Perbandanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Wajarnya, mengikut kerajaan negeri, permohonan membubarkan badan itu diketepikan sehingga wang sumbangan dari badan-badan milik kerajaan itu diagih dengan memuaskan hati. Kerajaan negeri juga memberitahu bahawa badan-badan milik kerajaan akan segera menuntut wang itu dikembalikan kerana Balkis hanya berupa badan yang diamanahkan sahaja.

Keanggotaan Balkis mengikut Khir pula adalah bebas, ia tidak terhad kepada isteri-isteri wakil rakyat BN sahaja tetapi ia bukannya automatik. Keanggotaan hendaklah dipohon dan diluluskan oleh jawatankuasa asas pada mesyuarat agung tahunan. Perlembagaan Balkis tidak menyentuh kecondongan politik pemohon dan menyatakan Balkis bebas dari sebarang pengaruh politik.

Khir juga dilaporkan oleh akhbar sebagai berkata bahawa pemindahan dana kepada Bakti dilakukan selaras dengan kehendak perlembagaan pertubuhan itu dan pihak auditor telah pun mengesahkan akaun 2007nya. Bakti juga telah membuat akuan bahawa dana itu diterimanya. Khir beranggapan segalanya telah dilakukan secara telus dan berharap kerajaan negeri menghalusi perlembagaan Balkis sebelum membuat pelbagai tuduhan dan tohmaan. Zahrah pula mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang jika terdapat tuduhan-tuduhan baru.

Naib Pengerusi majlis Peguam, Ragunath Kesavan bagaimanapun berpendapat bahawa Badan Pencegah Rasuah hendaklah menyiasat Balkis kerana memindahkan wang tersebut dari akaunnya. Memandangkan kemungkinan berlaku unsur-unsur pecah amanah atau rasuah maka BPR hendaklah bertindak pantas. Wang itu milik anggota pertubuhan dan bukannya pemegang jawatan, katanya.

Para pengamal undang-undang pula berpendapat bahawa sepatutnya selepas terjadinya perubahan kuasa pada 8 Mac, barisan pimpinan diketuai oleh Zahrah memanggil satu mesyuarat tergempar membincangkan kaedah menyerahkan Balkis kepada pimpinan baru, iaitu Puan Sri Salbiah Tunut, isteri Khalid.

Zahrah tidak mahu menerima unjuran damai yang dibuat oleh Khalid, iaitu dia menarik balik permohonan membubarkan pertubuhan itu dan mengembalikan wang sejumlah RM9.9 juta kepada Balkis untuk menyelesaikan isu itu. Exco Pelaburan, Industri dan Perdagangan, Theresa Kok berharap Zahrah tidak mengelak dari isu berkaitan perpindahan dana dari akaun Balkis itu. Tindakan paling waras mengikut Theresa ialah Zahrah mengembalikan wang itu dan menarik balik permintaan membubarkan pertubuhan dan perkara itu dilupakan.

Semalam, (Selasa), akhbar Star melaporkan bahawa auditor luar Balkis memberitahu bahawa mereka tidak dirujuk sebelum dana hampir RM10 juta itu dipindahkan. Peneraju utama Yee Choon Kong & Co, Yee Choon Kong memberitahu bahawa Zahrah atau mana-mana anggota jawatankuasa beliau atau Khir sendiri tidak pernah merujuk kepadanya sebelum memindah wang itu. Dia juga mendakwa bahawa kedudukan kewangan badan itu bagi tahun 2007 belum dimuktamadkan dan masih belum diaudit.

Melalui kenyataan firmanya semalam, Yee mendakwa bahawa firmanya telah beberapa kali membuat panggilan kepada bendahari pertubuhan itu untuk menghantar rekod kewangan termasuklah penyata bank, buku resit, baucer bayaran, dokumen sokongan, resit simpanan tetap, minit-minit mesyuarat dan perincian keanggotaan serta yuran bagi 2007.

Yee juga memaklumkan bahawa dia tidak tahu jika satu auditor baru dilantik oleh badan itu tetapi membayangkan bahawa peraturan menghendaki mana-mana firma baru yang dilantik untuk mendapatkan sebab-sebab pertukaran dibuat dari firma sebelumnya. Beliau tidak menerima apa-apa pertanyaan berkaitan itu. Firma beliau dilantik sebagai auditor luar pada mesyuarat agung tahunan yang diadakan pada 30 Jun 2007.

Khir mengambil sikap terbuka dalam krisis ini. Dia menjelaskan bahawa Zahrah dan Balkis bersedia untuk disiasat oleh BPR, Pendaftar pertubuhan atau mana-mana pihak kerana mereka tidak menyembunyikan sesuatu. Zahrah tidak merencananya. Anggota pertubuhan itu yang mahukan ia dibubar dan sebulat suara mahu menyerahkan wang itu kepada Bakti, beliau menghuraikan.

Isteri Kahlid pula, Salbiah memberitahu bahawa beliaulah yang berhak menjadi peneraju Balkis. Kerajaan baru mengikut beliau bersedia untuk menyambung tugas mulia Balkis membantu ibu tunggal, kanak-kanak miskin dan mereka yang memerlukan. Theresa Kok pula mendakwa dia syak bahawa mesyuarat pada 11 Mac itu tidak berlangsung secara sah kerana baginya, berdasarkan Perkara 12 (c) perlembagaan Balkis, setiausaha mesti memberi anggota-anggotanya notis sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mengadakan mesyuarat. Tempoh itu pada beliau agak mustahil kerana semua orang sebuk berkempen ketika itu.

Perkembangan Balkis ini adalah rentetan dari kekalahan BN di beberapa buah negeri. Para penganalisis politik menganggap tindakan penerajui Balkis berupa satu sindrom biasa yang dihadapi oleh BN, sebuah pertubuhan raksasa yang tidak pernah walau sedetik pun membayangkan bahawa pada suatu hari ia akan jatuh terguling dari singgahsana kekuasaan. Ia tidak pernah bersedia untuk duduk di barisan bukan kerajaan.

Tindakan ini boleh dianggap sebagai satu usaha untuk mendaftar sebuah pertubuhan baru laksana UMNO-Baru selepas UMNO asal dibubarkan oleh mahkmahah. Ia juga sebagai seiras tindakan kerajaan pusat dalam mengendalikan hal-hal berkaitan urusan dengan kerajaan negeri yang diperintah oleh PR. Ia hampir juga sama dengan Dana Wang Ihsan yang sekarang menjadi rebutan di antara kerajaan negeri Terengganu dengan kerajaan pusat. Apa pun, selesailah segera demi kebajikan rakyat Selangor yang memerlukannya.

Monday, April 28, 2008

Layakkah Mahathir mengkritik Abdullah

Tersiar dalam akhbat Sinar Harian 8 April, 2008 muka N8

Oleh: Dr Aisar Yee Abdullah

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan jantung kali kedua tahun lepas. Kebelakangan ini beliau kelihatan amat sihat dan ini memberikan beliau satu tenaga baru. Dengan jantung yang baru diubahsuai ini, beliau lebih lincah. Tenaga ini dihala untuk membambu Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Badawi. Beliau menegur apa yang beliau sebut sebagai beberapa kepincangan dilakukan oleh Abdullah. Tegurannya keras dan tanpa belas ihsan.

Teguran tanpa hentinya menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang menyokong beliau dan ramai juga yang bersimpati dengan Abdullah. Simpati diberikan kepada Abdullah kerana Abdullah mewarisi dari mantan PM hampir semua ‘kepincangan’ yang dinamakan oleh Mahathir. “Itu tidak adil namanya”, kata teman penulis, seorang kawan lama. Beliau mengirim e-mel panjang yang menolak tohmahan Mahathir tetapi pada masa yang sama tidak menyatakan sedih terhadap apa yang terjadi kepada Abdullah. Pelik juga. Ikuti petikan sebahagian dari e-mel beliau.

“Saya rasa Tun Mahathir tidak layak menyebut kepincangan sekarang kerana hampir semuanya adalah angkara beliau sendiri. Beliaulah yang mewujudkan itu semua. Beliau bertanggungjawab. Pemerintahannya dulu lebih bersifat kuku besi. Dulu ketua UMNO takut kepada beliau, 3 juta anggota UMNO takutkan beliau. Beliau menguasai segali jentera dan sayap pentadbiran parti dan negara. Semasa pemerintahan Tun tidak ada beza di antara institusi raja, kehakiman dan eksekutif. Semuanya terletak di bawah pengaruh beliau. Rakyat, akhbar, pegawai kerajaan, polis dan sesiapa saja, semua takutkan beliau.

“Tun langsung tidak memiliki kelayakan moral untuk mengkritik Pak Lah. Kritikan-kritikan Tun tidak berasas. Kritikan TUN adalah kritikan terhadap dirinya sendiri. Tun mengkritik tentang kuota, sedangkan kuota itu diperkenalkan oleh beliau. Sekarang beliau mahu sistem itu dimansukhkan. Berpuluh-puluh tahun beliau menerajui takhta UMNO ihsan polisi kuota yang merumitkan sesiapa sahaja yang ingin menentangnya. Kekuatan UMNO banyak kali mengalami turun naik dan tetapi itu tidak memberikan ruang untuk menentang Tun. Adanya polisi kuota dewasa itu menyebabkan beliau gagal ditentang. Itu perisai baginya.

“Sikap beliau terhadap Pak Lah adalah zalim kerana kalaupun pada masa pimpinan Pak lah prestasi UMNO merosot tetapi kita jangan lupa bahawa semasa UMNO dipimpin Tun, UMNO hancur sama sekali. UMNO diisytiharkan sebagai sebuah organisasi haram oleh Mahkamah Tinggi dan Tun membiarkan itu berlaku. Beliau langsung tidak sensitif kepada kewujudan sebuah pertubuhan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1946 oleh orang Melayu dan raja-raja Melayu. Tun tubuhkan sebuah parti baru, UMNO Baru. Sekarang, prestasi siapa yang paling teruk, Tun atau Pak Lah. Tetapi Tun adalah seorang pelupa.

“Sekarang Tun sedang membawa UMNO kepada suatu kehancuran lagi. Tun mahu UMNO berkubur. Tun akan hanya meredakan serangan terhadap Pak Lah apabila beliau melihat Pak Lah berundur. Tun enggan membantu parti yang beliau sendiri tubuhkan. Beliau terus serang dan serang. Apa motif Tun saya tidak tahu. Terdapat tuduhan bahawa Tun menyerang Abdullah untuk menyindir dan melemahkan Khairi bagi memberi ruang mudah kepada anaknya, Mukhriz bertanding jawatan Ketua Pemuda. Itu teori.

E-mel dari kawan tadi yang memandang Mahathir dari sudut amat negatif mengingatkan penulis kepada suatu peristiwa yang terjadi kepada seorang lagi teman penulis bekerja dengan sebuah akhbar. Mahathir telah bertindak mengharamkan akhbar di tempat beliau bekerja. Akbahr yang diharamkan ialah Watan, Star, dan Sin Chew. Di zaman Mahathir kebebasan akhbar dan media massa lain dikekang habisan.

Pengharaman akhbar itu teman penulis diberitahu sudah memang dirancang bagi menyemarakkan suasana perkauman di Malaysia bagi memudahkan ramai tokoh politik ditangkap. Semasa operasi lalang, lebih dari seratus orang pemimpin tinggi politik terutamanya dari pihak pembangkang ditangkap dan ditahan di bawah ISA. Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah Tun yang juga adalah PM.

Mahathir banyak kali mengungkit tentang apa yang beliau namakan penyelewengan yang berlaku di Terengganu. Beliau secara sinis menyebut nama seorang tokoh peniaga sebagai Patrick Badawi sungguhpun nama sebenar orang itu ialah Patrick Lim. Tujuan beliau berbuat demikian ialah untuk mengaitkan kekayaan dan projek yang diperolehi oleh tokoh itu adalah kerana namanya ada hubungan dengan ‘Badawi. Mahathir menuduh bahawa kontrak bernilai billion ringgit telah dimanfaatkan kepada Patrick Badawi. Tokoh ini didakwanya banyak menerima faedah dari projek wang ihsan.

Sebenarnya, pintu penyelewengan wang ihsan ini dibuka luas oleh Mahathir sendiri apabila Pas merampas tampuk pemerintahan Terengganu pada tahun 1999, Mahathir terus menggantung pembayaran wang royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu. Mahathir memberitahu kerajaan Pas Terengganu akan menyelahgunakan wang itu. Wang royalti yang bernilai beberapa billion itu kemudiannya disalurkan sebagai wang ihsan kepada jabatan persekutuan yang bertindak membelanjakan wang itu ikut telunjuk pimpinan BN tempatan justeru ia terlepas dari audit kerajaan negeri. Tradisinya dimulai Mahathir dan sepatutnya Mahathir tidak menyalahkan Abdullah kerana meneruskannya.

Sikap Mahathir yang menganggap apa yang baik diamalkannya dan adalah buruk diamalkan oleh Abdullah amat dikesali. Abdullah mewarisi banyak keburukan dari pentadbiran Mahathir. Mahathir tidak berhak bercakap tentang rasuah dan ketelusan. Semasa zaman pemerintahannya tuduhan bahawa pentadbirannya mengamalkan rasuah, kronism dan nepotism lebih kuat. Pentadbirannya disamakan dengan pemerintahan Soharto, Presiden Indonesia (Allahyarham). Ketua Pemuda UMNO 1996-1998, Zahid Hamidi semasa membaca ucapannya dalam Perhimpunan Pemuda 1998 telah menyenaraikan salah laku Mahathir. Dalam forum UMNO pun Mahathir tidak boleh ditegur. Apa yang terjadi kepada Zahid Hamidi semua diketahui ramai. Beliau ditangkap dan ditahan ISA.

Semasa zaman pemerintahan Mahathir beliau tidak boleh ditegur. Mahathir secara terang-terang memberi arahan kepada anggota parti dan para pemimpin pada semua peringkat untuk hanya menyuarakan sebarang ketidakpuasan mereka terhadap parti dan kerajaan melalui saluran parti, iaitu cawangan, bahagian, perhubungan negeri dan majlis tertinggi sahaja. Ia tidak boleh sekali-kali dibuat secara terbuka. Arahan itu dikeluarkannya semasa perhimpunan agung UMNO tahun 1997. Apakah sekarang Mahathir dikehendaki kembali ke cawangannya untuk menyatakan kritiknya terhadap parti dan kerajaan sesuai seperti arahannya dulu?. Di zaman Abdullah, Mahathir bebas menyatakan apa sahaja kemusykilannya.

Salah satu keadaan yang memilukan rakyat yang terjadi semasa pemerintahan Mahathir ialah terhakisnya kebebasan sistem kehakiman di Malaysia . Para hakim dilihat tidak lagi memiliki kebebasan dan seperti terikat dengan cengkaman eksekutif. Perlantikan para hakim diragui oleh pengamal undang-undang. Pergeseran di antara Majlis Peguam dan kerajaan menjadi-jadi. Beberapa penghakiman dilihat berpihak kepada kerajaan dan tidak diyakini orang. Peguam tertentu dituduh menulis penghakiman bagi pihak hakim. Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes video Lingam mendedahkan kepincangan tersebut. Kejadian ini berlaku semasa pentadbiran Mahathir. 15

Terdapat usaha oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim untuk menyebabkan kerajaan meminta maaf kepada Tun Salleh Abbas, mantan Ketua Hakim Negara kerana pemecatan beliau dipercayai tidak dilakukan di atas asas betul. Ia dikatakan dilakukan kerana bermotif jahat. Ada orang menyeru supaya Mahathir sendiri yang memohon maaf kepada Salleh Abbas. Mahathir enggan dan sebaliknya mengatakan jika ada permohonan maaf yang perlu dibuat, ia hendaklah dibuat oleh panel yang mengambil keputusan memecat Salleh. Persepsi orang ramai ialah panel itu berada di bawah pengaruh Mahathir.

Baru-baru ini terdapat satu seruan dibuat oleh Datuk Param Cumaraswamy sebagaimana tersiar dalam akhbar The Star 3 April yang menyebut balik testimoni Datuk Shafee Yahya, mantan pengarah BPR di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Ariffin Jaka dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000. Terdapat bukti yang kukuh untuk menyiasat Mahathir kerana menyalahguna kuasa dan campur tangan dalam kes kehakiman yang dilakukan pada tahun 1998. Cumaraswamy memetik dari rekod mahkamah yang diperturunkan kembali di bawah.

”Witness: Yes. I was told off, "How dare you raid my senior officer’s office?" I was taken aback and I replied. "This was based on official complain (sic) by an aggrieved party." I did what was officially required under the law. He accused me of trying to fix the former D-G of EPU. I replied that is totally wrong because it is wrong in law to fix anybody. As a Muslim it is a big sin to fix anybody. He asked me, "Did Datuk Seri Anwar Ibrahim ask you to raid the office?” I said, “no”. It was based on an official complain and to be fair to Datuk Seri Anwar when I mentioned the complain against the EPU Chief. I inform Datuk Seri Anwar of my intention to raid but he said, "Have you cleared this with the PM?" I said, "I mentioned this to PM, the PM kept quite (sic).” 18.

Kekecewaan orang ramai terhadap kerajaan BN bermula pada zaman pemerintahan Mahathir. Pada tahun 1999 UMNO diberi pengajaran oleh para pengundi, ia kalah di Kelantan, kalah di Terengganu dan kehilangan banyak kerusi di Selangor, Perak dan Kedah. PAS menang hampir 30 kerusi parlimen. UMNO sudah menunjukkan pereputannya pada masa itu. Abdullah berjaya mengembalikan zaman kegemilangan BN menerusi pilihan raya tahun 2004 tetapi mengalami kekalahan besar pada pilihan raya kali ini. Abdullah kalah kerana dia mengekalkan dasar Mahathir dan tidak mengambil tindakan membersihan kabinetnya dari orang Mahathir. Orang melihat tidak ada beza di antara Abdullah dan Mahathir.

Kekalahan Abdullah juga boleh dikaitkan kerana dia dan rakan-rakan di dalam kabinetnya dilihat bersyubahat dengan segala tindak tanduk Mahathir semasa pemerintahan Mahathir selama 22 tahun. Rakyat tidak melihat rekod bahawa mereka berani menegur Mahathir. Sekali lagi persepsi orang ramai, kabinet Mahathir diisi oleh para ‘yes men’ sebagaimana Mahathir mahu orang ramai percaya bahawa kabinet Abdullah sekarang penuh dengan ‘yes men’ juga. Abdullah sekarang menunjukkan sikap dia mahukan maklumat timbal balik dari semua pihak. Dia tidak mahu orang bersikap ‘yes men’ dan berkali-kali menyatakan beliau mahu ditegur.

Sunday, April 27, 2008

Kenapa hanya salahkan Pak Lah?

Tersiar dalam Sinar Harian pada 27 April, 2008 muka N14

Dr Aisar Yee Abdullah

Desakan demi desakan dibuat oleh para pemimpin UMNO pelbagai peringkat untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad meletak jawatan. Hanya kita tidak bertemu dengan perkataan mahukan beliau letak jawatan segera. Perkataan sedemikian jarang ditemui dalam akhbar Melayu, dalam laman pemblog Melayu atau dalam perbualan orang Melayu. Orang Melayu memang bepekerti tinggi. Cakap mereka berlapik. Mereka tidak kata letak jawatan, mereka kata undur diri dan ada yang lagi yang lebih bersopan santun, mengundur diri pun tidak terkeluar dari mulut mereka. Mereka menyebut, serah kuasa berjadual.

Apa pun, di kalangan Melayu yang muda, mereka lebih tegas. Mereka berupa kelompok yang menyebut tepat sebagaimana maksud hati mereka. Golongan Melayu baru ini bersikap praktikal. Kalau penyodok mereka sebut penyodok. Mereka tidak terselindung lagi. MP Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir adalah contohnya. Bagi mereka, bagaimana ia dituturkan, fahaman orang ramai ialah ia membawa maksud sama, dalam konteks di atas, membawa maksud berundur atau letak jawatan jua.

Kita lihat kata-kata Khir Toyol sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Star 20 April yang memetik beliau mebuat seruan kepada Abdullah untuk menyegerakan plan penyerahan kuasa. Ia tidak menggambar tuntutan letak jawatan segera. Namun, cuba amati kepada judul berita: ‘Dr Khir urges Abdullah to step down now’. Apa yang tersirat dari perkataan plan berundur segera? Dalam bahasa Inggeris, tidakkah ia membawa maksud letak jawatan serta merta?

Akhbar itu sebenarnya memetik blog bekas MB Selangor sebagai berkata demikian. Beliau menulis mahukan peristiwa itu berlaku sekarang atau menghadapi risiko masyarakat hilang keyakinan kepada Datuk Seri Najib sendiri jika Abdullah kekal sebagai PM sehingga pemilihan parti berlangsung pada Disember ini. Beliau memberi alasan bahawa semangat BN dan UMNO adalah rendah dan tidak akan berkeupayaan melawan arus dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan-laporan di sana sini menunjukkan terdapat gesaan dibuat untuk Abdullah merangka rancangan pengundurannya selaku PM dan Presiden UMNO. Ada yang mahukan ia dilakukan sekarang dan ada yang mahukan ia dibuat secara berjadual. Persatuan Veteran UMNO sebaliknya berikrar memberikan sokongan kepada Abdullah. Mubarak pula, iaitu Persatuan Bekas Wakil Rakyat BN yang anggotanya juga banyak dalam persatuan veteran tadi, menyokong tindakan untuk Abdullah menyerahkan tugasnya kepada Najib.

Di negeri benteng UMNO, pendirian UMNO Johor berbelah bahagi. Anggota MT , Datuk Shahrir Samad berpendapat bahawa pengunduran boleh berlaku bila-bila masa selagi Najib mempunyai cukup masa menyediakan diri menghadapi pilihan raya akan datang. Baginya, dia yakin Abdullah selesa bekerjasama dengan Najib sekarang. Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Halimah Sadique pula berpendapat proses penyerahan kuasa sepatutnya bermula sekarang bagi membolehkan pengurusan baru bersedia selepas pemilihan parti Disember ini.

Seorang lagi pemimpin UMNO dari Johor, Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendirian amat tegas. Beliau mendakwa terpaksa bercakap keras kerana “dalam senario politik yang meruncing, saya terpaksa menyatakan kebenaran untuk membangkitkan kesedaran…”. Beliau pernah dilaporkan telah membuat kenyataan bahawa perubahan segera perlu dilakukan terhadap pucuk pimpinan parti jika tidak mahu UMNO kehilangan pengaruh atau kuasa. "Saya melihat apabila diperlukan, dalam keadaan yang kritikal supaya Melayu tidak terjerumus masuk gaung sampai tak bangun lagi, saya perlu bercakap," sambung beliau dengan keras.

UMNO tidak boleh dibiarkan jatuh ke dalam gaung apalagi tidak boleh bangun-bangun. UMNO mesti berkeadaan kuat dan dilihat kuat terutamanya ketika ini ia diancam oleh jembalang ciptaan Anwar Ibrahim, de fakto ketua Pakatan Rakyat. UMNO yang bercakaran dan lemah akan mendorong MP-MPnya terutama dari Sabah dan Sarawak untuk melompat parti. Jika kerajaan pusat dilihat berkemungkinan bertukar parti, ia akan menggalakkan MP-MP yang sememangnya sudahpun lemah semangat ekoran kekalahan BN dalam PRU baru-baru ini menyertai PR.

Tidak dapat dinafikan bahawa Abdullah sekarang sedang berusaha keras untuk memperkuatkan kerajaannya melalui beberapa tindakan popular. Dia mengakui bahawa dia ada menyumbangkan sebab yang membawa kekalahan BN. Beliau sedar akan kelemahannya yang lambat bertindak ke atas janji yang dibuatnya pada 2004 lalu. Dia sedang berusaha dan meminta agar diberi peluang dan waktu untuk berbuat demikian.

Katanya rundingan-rundingan tentang penyerahan kuasa akan dibuat selepas selesainya perhimpunan agung UMNO Disember ini. Dia akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sekarang, iaitu Presiden. Dia akan berbincang dengan timbalannya, Najib. Bagaimanapun dia masih belum menyebut kerangka masa untuknya berbuat demikian.

Abdullah juga menegaskan bahawa dia inginkan penyerahan kuasa dalam UMNO berjalan lancar. “Saya tidak mahu meninggalkan parti dalam keadaan kucar-kacir atau memberitahu Najib bahawa itu adalah masalahnya, bukan saya. Itu bukan cara saya. Itulah juga caranya semasa Tun Mahathir menyerahkan kuasa kepada saya.” Kata beliau.

Najib bersetuju dengan plan tindakan Abdullah. Dia sedia menunggu dan memberi peluang kepada Abdullah untuk melakukan tindakan-tindakan positif ke arah memantapkan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN. Anggota MT lain seperti Datuk Mustapa Mohamad juga menganggap rancangan penyerahan kuasa UMNO sudah jelas dan telus.

Persoalannya, perlukah adanya desakan dari para pemimpin UMNO untuk memaksa Abdullah meletakkan jawatan Presiden UMNO? Apakah baru-baru ini UMNO kalah teruk dalam pilihan raya? Ramai orang terpengaruh untuk mempercayai bahawa UMNO telah kalah besar dalam pilihan raya baru-baru ini. Lima negeri telah jatuh ke tangan pembangkang dan kegagalan BN mengekalkan kuasa dua pertiga dijadikan alasan untuk berkata Abdullah telah gagal.

Perbahasan hendaklah beralaskan fakta. Ia tidak boleh didorong oleh sentimen dan prasangka. Kita kaji prestasi UMNO di beberapa buah negeri. Kita ketepikan Kelantan kerana sentimen orang Kelantan adalah terkeluar dari kebiasaan yang ada pada orang lain di Malaysia. Dulu pernah tertulis iklan di badan-badan bas semasa kempen tahun melawat Kelantan, ‘Kelantan the most extraordinary place on earth” untuk mendorong orang melawat Kelantan. Fe’el orang Kelantan pun begitulah.

Pulau Pinang BN tewas. Dari 40 kerusi yang dipertandingkan, BN menang hanya 11 kerusi dan kesemua kerusi itu datangnya dari komponen UMNO. UMNO hanya kalah 4 kerusi DUN sahaja. Gerakan, MCA dam MIC yang bertanding sebanyak 25 kerusi gagal memenangi sebarang. Negeri terbang kerana kelemahan parti komponen lain bukannya UMNO. Kedah pun begitu. Calon UMNO kalah kerana bukan Melayu tidak lagi menyokong UMNO. Kenapa salahkan UMNO?

Di Perak pun keadaannya sama. Untuk memerintah negeri, sesebuah parti perlu memenangi tidak kurang dari 30 kerusi. UMNO menang 27 kerusi dan MCA hanya menyumbang satu kerusi menjadikan kesemuanya dimenangi BN sebanyak 28, iaitu kurang dua untuk membolehkannya memerintah. UMNO hanya kalah lima kerusi dari kesemua yang ditandinginya. Sebaliknya, MCA, PPP, MIC dan Gerakan kalah kesemua kerusi kecuali satu yang dimenangi MCA di Chenderiang. Siapa yang kalah dan siapa yang lemah. Jelas bukan UMNO!

UMNO menghadapi sedikit kelemahan di Selangor. Ia menang 18 kerusi dari 35 yang ditandingi. Ini adalah berpunca dari kelemahan pimpinan UMNO negeri. Para komponen BN yang lain yang diberi kepercayaan untuk bertanding di 21 kerusi lagi hanya mampu menyumbang dua kemenangan, baki 19, kalah. Sekali lagi rakan-rakan lain gagal memainkan peranan mereka untuk membawa kemenangan kepada BN.

Hanya UMNO yang berjaya menggalas kemenangan kepada BN. Tanpa sumbangan dari parti komponen lain, negeri-negeri berkenaan jatuh ke tangan PR. Anehnya, para pemimpin UMNO menuding jari ke arah Abdullah dan memintanya meletak jawatan. Kenapa tidak sahaja beritahu Koh Tsu Koon, Ong Ka Tin, Samy Vellu, dan M. Kayveas untuk meletak jawatan kerana merekalah yang gagal menyumbang kerusi kepada BN. Jangan salahkan Abdullah selaku Pengerusi BN sebab kekalahan parti mereka.

Terbukti mereka gagal memainkan peranan sebagai ketua parti komponen dalam menyampaikan hasrat dan aspirasi kaum mereka. Mereka berpuashati dengan apa yang Abdullah berikan. Mereka gagal ‘membaca’ keinginan komuniti mereka. Merekalah yang patut meletak jawatan, bukannya Abdullah.

Friday, April 25, 2008

Reaksi positif selepas pilihan raya umum ke-12

Tersiar dalam Sinar Harian 25 April, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

BN berupa singkatan kepada Barisan Nasional. Namun, semasa kempen pilihan raya ke-12 baru-baru ini, akronim itu diberi imej baru. Ia membawa maksud Barang Naik. Malah ia dijadikan bahan sindirin apabila skopnya diperluaskan kepada frasa Barang Naik, Bila Naik, Baru Naik, Berapa Naik, Banyak Naik. Frasa ini menawan hati pengundi kerana ramai yakin bahawa sejak kenaikan harga petroleum 30 sen seliter dibuat sebelumnya, kesan kepada rakyat begitu besar. Sebelum ini kenaikan harga petroleum tidak pernah mencecah sehingga 30 sen seliter.

Tidak syak lagi ramai terpengaruh dengan bahan kempen menentang kenaikan harga petroleum dan pada masa sama dihidangkan pula dengan janji harga bahan bakar itu akan dikurangkan oleh pihak lawan. Faktor ini berupa satu alasan besar kenapa BN kalah pada pilihan raya itu. Rakyat bimbang kalau mandat BN disambung, harga petroleum itu akan mengalami kenaikan. Rakyat sedar bahawa harga petroleum kian meningkat di pasaran antarabangsa tetapi mahukan kerajaan terus memberikan subsidi.

Rakyat yakin bahawa kerajaan BN akan bertindak untuk terus mengurangkan subsidi petroleum bagi membolehkannya menggunakan penijimatan wang subsidi itu untuk tujuan pembangunan. Pihak pembangkang pula menghujah bahawa penjimatan sepatutnya bukan ditarik dari wang susbsidi tetapi melalui menghapuskan pembaziran dan korupsi dalam bentuk komisyen yang dituduh mereka melibatkan berbilion ringgit. Banyak contoh penyelewengan diberikan oleh pembangkang semasa kempen.

Terdapat pelbagai isu lain dibangkitkan oleh pembangkang selain barang naik. Kerap dibangkitkan ialah isu rasuah dan penyelewengan di peringkat negeri dan persekutuan. Kecuali Kelantan yang diperintah PAS, kesemua negeri lain diperintah BN. Rakyat yakin BN berusaha keras membukti kerajaan Kelantan rasuah tetapi gagal.

Perdana Menteri, Abdullah Badawi mengaku bahawa keputusan pilihan raya lepas adalah mesej yang kuat daripada rakyat bahawa beliau tidak bergerak cukup pantas dalam melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan. Beliau menerima mesej tersebut dan mengaku bahawa rakyat bimbang tentang kenaikan harga yang seolah tidak terkawal.

Pengakuan Abdullah bahawa beliau faham akan mesej yang disampaikan adalah berupa satu kemenangan kepada rakyat. Semasa berucap pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 sebulan lepas, beliau berjanji bahawa harga petroleum, gas cecair dan kadar elektrik semasa akan dikekalkan dan berharap kebimbangan rakyat turut hilang. Pada aspek ini, nampaknya, mesej rakyat yang dibuat semasa pilihan raya membawa positif.

Semasa Persidangan itu juga Abdullah berjanji akan mengkaji semula pelaksanaan rancangan-rancangan ekonomi bagi mempastikan manfaatnya dirasai golongan yang benar-benar memerlukannya. Ketidakpuasan hati yang dibangkitkan oleh pelbagai etnik di negera ini semasa pilihan raya juga mendapat perhatian Abdullah. Beliau berjanji akan mempastikan keadilan untuk semua. Janji beliau ini dilihat berupa respons terutamanya berhubung apa yang dibangkitkan oleh kaum India yang undi dari kaum ini dipercayai banyak menjejaskan prestasi BN dalam pilihan raya itu.

Beberapa pengumuman lain oleh menteri-menteri kabinet juga mencerminkan respons mereka kepada tuntutan rakyat. Mereka seolah-olah tidak lagi mahu dilihat sebagai lambat bertindak seperti berlaku sebelumnya. Banyak perkara yang tidak dijangka oleh pengundi, dicadang dilakukan oleh anggota kabinet baru ini. Pengundi tidak menjangka satu gratuiti akan dibayar kepada para hakim yang dipecat dicadangkan dibuat oleh kerajaan. Pengundi tidak menjangka kerajaan akan mengkaji balik aspek-aspek dari Akta Kolej dan Kolej Universiti.

Para pengundi juga menyambut baik pembentukan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang berupa satu usaha maju dan memperlihatkan bahawa kerajaan sedar keperluan meletakkan reputasi kehakiman di tempat yang tinggi. PM akan mendapat manfaat melalui pandangan-pandangan dari pakar dalam menentukan tokoh-tokoh untuk dilantik sebagai hakim. Dengan itu PM bolehlah mengemukakan cadangannya untuk pertimbangan dan pengesahan Agong. Kehakiman akan kembali mendapat keyakinan dan penghormatan rakyat. Keyakinan awam bahawa kehakiman kita tidak bebas juga berupa faktor BN kalah dalam PRU lalu.

Rakyat kagum dengan sikap kerajaan yang sanggup membayar gratuti kepada enam orang bekas hakim yang tercela semasa krisis kehakiman 1998. Sungguhpun kerajaan tidak menganggapnya sebagai bayaran menggantikan permintaan maaf, tetapi persepsi orang ramai bahawa ia sebagai tanda bersalah masakan pembayaran dibuat kalau ia tidak begitu. Apa pun, ia berupa satu pengiktirafan bahawa para hakim itu pada suatu ketika dianiayai dan tibalah masa untuk dibela. Lagipun, ‘sorry is the hardest word to say’ kata orang.

Suatu tindakan terpuji lain ialah pengumuman terbaharu bahawa Badan Pencegah Rasuah akan distruktur kembali bagi membolehkannya mendapat kebebasan dan lebih kuasa gigitan. Reformasi pencegahan rasuah ini termasuklah menjadikan BPR satu Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia dan membentuk Jawatankuasa Parlimen berkaitan rasuah serta perlindungan lebih terjamin kepada ‘peniup wisel’. Melalui tindakan ini diharapkan ketelusan, kekesanan dan akauntabiliti suruhanjaya itu ditingkatkan. Perhatian harus dikaitkan bahawa Suruhanya Pilihan Raya sungguhpun bertaraf Suruhanjaya, ia masih tidak dianggap memiliki kebebasan. Terpulang kepada kerajaan mengikis persepsi serong ini tidak berulang kepada BPR ‘baru’ ini.

Para pengundi yakin rasuah adalah sesuatu yang gagal ditangani oleh kerajaan BN terdahulu. Sementara kita menunggu pembentukan BPR menjadi sebuah Suruhanjaya ‘full-fledged’ badan yang ada sekarang hendaklah terus menjalankan tugasnya tanpa rasa takut dan bimbang kerana adanya ‘mood dan fikiran baru’ pada kerajaan sekarang. Ia hendaklah mempunyai kekuatan tekad untuk menyiasat sesiapa sahaja termasuklah para menteri sekarang atau yang lepas yang terlibat dengan rasuah dan pembayaran komisyen haram. Jumlah wang nilai ringgit terlibat dikatakan berbilion. Terdapat tuduhan bahawa komisyen pembelian pesawat Sokhoi dan kapal selam sahaja membabitkan jumlah setinggi lebih RM500 juta.

Sebelum pilihan raya 2004 lagi terdapat berbelas-belas kes rasuah berprofail tinggi yang semuanya tidak bergerak atau sudah dibersihkan oleh Badan Pencegah Rasuah. Pengisytiharan ia sudah dikira ‘bersih’ meragukan orang ramai. Kerajaan baru BN sepatutnya menggesa BPR bertindak lebih agresif sekarang tanpa menunggu diberi wajah baru. Masih ramai orang yang berkedudukan sekarang tetapi dilihat sebagai korup oleh rakyat berleluasa dan berkuasa.

Adalah diharapkan bahawa kerajaan segera menggubal Akta dan dibentang di parlimen bagi menghalang wakil rakyat melompat parti. Perbuatan ini adalah tercela dan berupa tidak adil kepada pengundi yang memilih mereka. Adalah hakikat bahawa rakyat Malaysia masih lagi cenderung untuk memilih parti dan bukannya calon. Terbukti ramai pemblog tidak dikenali terpilih dalam pilihan raya baru-baru ini semata-mata kerana dia mewakili parti tertentu. Ramai menteri kalah di tangan orang tidak dikenali kerana parti yang menteri itu wakili tidak diterima rakyat kali ini.

Sementara itu Khalid Norden, Menteri Pengajian Tinggi pula membawa satu lagi berita gembira. Akta Universiti dan Kolej Universiti akan dipinda untuk memberi kekebasan yang lebih kepada mahasiswa dan tokoh akademik. Penurunan penarafan univerisiti-universiti di Malaysia berbanding universiti-universiti lain di dunia sebahagiannya berpunca dari pelaksanaan akta ini. Harap-harap kali ini ia benar dipinda tidak seperti sebelumnya yang hanya tinggal janji sahaja.

Paling terpuji sungguhpun tidak penulis senaraikan di bahagian teratas rencana ini ialah pendirian yang diambil oleh Menteri Dalam Negeri berkaitan kebebasan akhbar. Kebebasan akhbar adalah prasyarat kepada sebuah kerajaan yang telus. Pengumuman menteri sebagaimana diberitahu melalui satu wawancara dengan akhbar Star minggu lepas bahawa dia mahukan pegawai-pegawai di kementeriannya mengkaji balik Akta Mesin Cetak dan Penerbitan agar kerajaan boleh maju bersama masa. Malah dia sedang meneliti kemungkinan menghapuskan keperluan penerbitan mendapatkan lesen tahunan. 16

Langkah itu amat terpuji kerana akhbar menainkan peranan yang penting di dalam menyalurkan pandangan-pandangan untuk kesejahteraan negara. Di negara-negara di mana kebebasan akhbar dikongkong, rasuah menjadi-jadi dan tidak dapat dibendung. Apa pun, surat khabar perlu dilihat mendapat kebebasannya bagi membolehkan pembaca yakin akan kandungannya. Sebelum 8 Mac akhbar banyak melindungi kecacatan kerajaan menyebabkan wibawa akhbar itu diragui dan dicemuh. Pembaca mencari media alternatif akhirnya.

Di peringkat negeri pula, berita-berita yang tersiar ketika ini banyak tertumpu kepada negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Banyak langkah-kangkah popular yang bersifat mengelak dari pembaziran telah diambil. Kereta-kereta lama masih dipakai oleh barisan exco negeri-negeri. Rumah mewah untuk barisan exco tidak akan diduduki mereka, akan dijual. Kontrek-kontrek yang ditandandatangani pentadbiran lama yang dianggap tidak adil dikaji balik. Pemberian tender dibuat secara terbuka dan telus.

Namun, pembaharuan-pembaharuan lain masih banyak belum tertunai dan masih menjadi tuntutan rakyat. Melihat tempo perubahan yang dilakukan dalam seminggu dua ini, adalah boleh diyakinkan lebih banyak pembaharuan dan faedah akan diumumkan segera dan ini pasti akan menggembirakan rakyat. Mungkin tindakan rakyat memberi ingatan keras kepada kerajaan melalui pilihan raya lalu mebuahkan hasil. Dalam pilihan raya yang akan datang, mungkin sudah tidak banyak lagi yang ingin dituntut oleh rakyat.

Wednesday, April 23, 2008

Royalti petroleum, jumlahnya besar kawalannya longgar

Tersiar dalam Sinar Harian pada 23 April, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Sebaik sahaja kerajaan Terengganu jatuh ke tangan Pas pada tahun 1999, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir mengubah peraturan. Dia tidak sanggup melihat wang yang agak banyak dikawal dan ditadbir oleh sebuah kerajaan yang di bawah penguasaan pembangkang. Royalti petroleum dari Petronas berjumlah 5 peratus dari jualan minyak yang disedut dari perairan Terengganu tidak lagi diberi kepada kerajaan negeri yang baru. Wang itu disalur ke satu dana dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan.

Pada hari pertama Pas memerintah Terengganu, Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang mengumumkan penghapusan bayaran tol Jambatan Sultan Mahmud dan pengecualian pembayaran cukai pintu rumah kediaman. Apa yang ada dalam benak MB ketika itu ialah beliau mengharapkan duit yang diterima dari Petronas sebagai bayaran royalti petroleum cukup untuk menampung perbelanjaan kerajaannya sungguhpun tol dan cukai taksiran dihapuskan. Pada bulan Februari 2000, beberapa bulan selepas memenangi pilihan raya ke-10, wang itu masih diterimanya. Jumlahnya agak lumayan, aitu RM400 juta untuk bayaran setengah tahun pertama.

Bagaimanapun, melalui satu pekeliling, Kerajaan Persekutuan pada bulan Oktober 2000 mengumumkan bahawa ia mengambil keputusan untuk membayar ‘wang ihsan’ kepada Terengganu melalui kaedah baru dikenali Program Pembiayaan Wang Ihsan yang tidak lagi disalurkan kepada kerajaan negeri. Ia akan diuruskan oleh sebuah Jawatankuasa Peringkat Pusat yang ditubuhkan khusus bagi merangka pelaksanaan program pembangunan di Terengganu.

Cara kerajaan Terengganu diberitahu tentang pemansukhan bayaran itu juga dianggap tidak wajar. Kerajaan Terengganu tidak diberitahu secara rasmi. Ia hanya tahu melalui salinan fotostet satu siaran akhbar Kementerian Kewangan bertarikh 5 September 2000. Ini mengejutkan MB Terengganu kerana tidak ada persetujuan dibuat di antara beliau dan Petronas berkaitan kaedah baru ini. Selepas itu peruntukan untuk Terengganu dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan itu mentadbirnya bagi pihak kerajaan negeri.

‘Kehilangan’ peluang mentadbir wang royalti ini mengikut budibicara yang diingini oleh kerajaan Pas Terengganu menyebabkan kerajaan itu menggelabah. Perancangan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan menjadi kucar-kacir kerana ia tidak dapat dilaksanakan akibat ketiadaan wang. Usaha-usaha Terengganu mendapatkan kerajaan pusat membayar wang ini seperti mana ia dibayar kepada kerajaan terdahului gagal. Kerajaan pusat tidak melayan permintaan Terengganu.

Kerajaan Terengganu bertindak menyaman Petronas ekoran tindakan Petronas menyalurkan wang itu kepada Kerajaan Pusat. Saman itu difailkan di Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2001. Anehnya, secara kebetulan, pada tarikh dan bulan sama tetapi tahun 2008, tarikh keramat itu menyebabkan bermulanya krisis kepimpian Terengganu yang menyaksikan pertukaran ketua eksekutif negeri. Idris mula dihantui masalah.

Hari ini, kerajaan Terengganu masih lagi di bawah kekuasaan BN tetapi ketua eksekutifnya bertukar. Idris tidak lagi dilantik menjadi MB Terangganu dan digantikan dengan Datuk Ahmad Said. Sungguhpun Idris dinamakan kembali untuk menjawat jawatan MB, pihak Istana berkeras tidak menerima beliau. Istana mahukan Ahmad Said dilantik sebagai MB. Kemahuan Istana akhirnya dipersetujui oleh Abdullah Badawi. Di antara alasan yang sering disebut ialah Istana tidak berpuashati dengan cara kerajaan pusat mengendalikan dana wang ihsan.

MB Terengganu yang baru, Ahmad said meminta Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan royalti minyak kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan rakyat. Dengan berbuat demikian ia akan membolehkan kerajaan negeri merancang sendiri projek yang sesuai dengan keperluan tempatan. Berikutan dengan kenaikan harga minyak di pasaran dunia sekarang, nilai wang royalti minyak itu dianggarkan memelebihi RM1.2 bilion setahun.

Ahmad Said mendakwa sejak Dana Khas itu bermulan semua projek yang diperkenalkan disalurkan terus melalui kementerian-kementerian terbabit untuk ditentukan dan dilaksanakan tanpa merujuk kepada kerajaan negeri. “Ini menyebabkan ada projek yang dilaksanakan gagal memberi impak yang diharapkan kerana tidak mengambil kira keperluan penduduk, ” kata Ahmad.

Menurut Ahmad, apabila kementerian yang memilih projek untuk dilaksanakan menggunakan wang ihsan itu, ia dibuat berasaskan kepentingan kementerian terbabit semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu. “Ini yang menjadi masalah. Ada projek yang kita rancang, kita akui, tetapi ada projek yang kita tidak rancang. Tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat seperti buat jalan dalam hutan RM50 juta hingga RM60 juta”. Kesalnya.

“Kadang kala ada projek yang dilakukan oleh kementerian yang kerajaan negeri tidak tahu. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah, tanah ditarik balik dan sebagainya. Ini berlaku sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ihsan,” ujarnya.

Ahmad meluahkan kekesalan kerana kebanyakan projek pihak lain yang menentukan. Kosnya tinggi dan tidak memberi keutamaan kepada rakyat. Dia mendakwa dia sendiri tidak tahu akan jumlah Dana yang patut diterima oleh kerajaan negeri. Semasa dia jadi Exco pun dia tidak tahu berapa sebenarnya royalti yang patut kerajaan negeri terima. Dakwaan beliau ini adalah satu kenyataan yang berat. Sewaktu Pas memerintah dulu ia pernah menerima RM400 untuk enam bulan pertama dan ketika itu harga minyak ialah US35 dollar setong sedangkan sekarang harganya lebih dari US110 dollar setong.

Keluhan Ahmad Said itu dan dakwaannya bahawa perbelanjaan wang Dana itu tidak meberi keutamaan kepada kebajikan rakyat Terengganu dipandang berat. Dengan Dana yang sebesar itu Terengganu sepatutnya sudah melepasi dari cengkaman kepapaan. Sebaliknya, Terengganu sekarang berada di kedudukan nombor dua sebagai negeri termiskin selepas Sabah. Semasa Pas memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004 kedudukan kadar kemiskinan di Terengganu berada di tahap nombor empat tetapi menurun kepada dua sekarang.

Berdasarkan angka dari Jabatan Pernagkaan Malaysia, kadar kemiskinan di Terengganu ialah 17.3 peratus pada 1999 dan berjaya diturunkan kepada 14 peratus pada 2001 dan turun lagi kepada 10.2 peratus pada 2003. Selepas pemerintahan Terengganu diambil alih oleh BN, perangkaan menunjukkan kadar kemiskinan di Terengganu berada pada 15.4 peratus pada tahun 2006. Nampkanya, Dana dari hasil petroleum ini gagal memainkan peranan berkesan untuk mengurangkan kemiskinan di Terengganu.

Persoalan yang timbul ialah berapakah jumlah bayaran royalti yang diterima Terengganu, adakah peratusannya berkurangan dan bukannya lagi lagi lima? Kalau ia masih kekal lima peratus, bagaimanakah wang itu dibelanjakan sehinggakan ia tidak berjaya mengeluarkan rakyat Terengganu dari belenggu kemiskinan. Kalaulah, dakwaan Ahmad benar bahawa ada jalan di hutan pun menelan belanja berpuluh-puluh juta, adakah ini menunjukkan berlakunya penyelewengan?

Sebuah kerajaan persekutuan yang telus yang dihasilkan melalui pilihan rya umum ke 12, hendaklah berusaha memberi penjelasan kepada rakyat apakah yang mereka lakukan dengan wang Petronas milik rakyat Terengganu itu. Suatu penjelasan dari mereka yang mengendalikan Dana ini diperlukan. Jumlah yang terlibat bukanlah kecil. Semenjak ia ditarik dari kendalian kerajaan Pas pada 2000 hingga sekarang, kalau diandaikan hanya RM1 bilion sahaja setahun, jumlahnya sudah menjangkau lebih dari RM8 bilion untuk tempoh 8 tahun. Ke mana perginya dan bagaimana ia dibelanja?

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2005, sejajar dengan arahan, Perbendaharaan sepatutnya menubuhkan Jawatankuasa Khas diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbaendaharaan untuk mentadbir Dana. Jawatankuasa itu sepatutnya dianggotai oleh wakil Jabatan Perdana Menteri, (termasuk Unit Perancang Ekonomi), Perbendaharaan dan Kementarian Kewangan. Tetapi Ketua Audit Negara melaporkan (2005) bahawa Jawatankuasa ini tidak pernah dibentuk.

Sebaliknya, satu Jawatankuasa Peringkat Pusat yang nampaknya kurang taring dibentuk. Jawatankuasa yang termasuk wakil-wakil dari kementerian-kementarian dan agensi pelaksanaan bermesyuarat dua kali setahun dan meluluskan peruntukan-peruntukan. Tidak diketahui siapa menduduki Jawatankuasa ini. PM sepatutnya mendedahkan komposisi jawatankuasa ini. Laporan audit juga menyebut bahawa Jawatankuasa ini pun tidak menentukan projek-projek, ia ditentukan oleh seorang yang berkedudukan tinggi di Kementerian Kewangan. Hanya dia yang berkuasa. Siapa?

Permintaan Ahmad ini pastinya tidak akan dipenuhi kerana ia akan menimbulkan masalah kemudian hari. Apa akan jadi kalaulah diandaikan pada pilihan raya akan datang Pas kembali berjaya menawan Terengganu, konsep Wang Ihsan mahu diperkenalkan kembali?

Sunday, April 20, 2008

Wibawa media jadi tanda tanya

Rencana ini tersiar dlm SH pada Ahad 20 April, 2008 muka N10

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

AKHIRNYA orang penting di Kementerian Penerangan, menterinya sendiri, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengeluarkan pendapat yang ternyata berbeza dengan apa yang sering disuarakan oleh menteri di kementerian yang sama sebelum ini. Shabery menganggap media tradisional seperti televisyen dan akhbar-akhbar tidak lagi memiliki kredibiliti yang suatu ketika dulu mendapat kepercayaan kalangan pembaca dan penonton.

“Orang ramai tidak lagi mempercayai apa sahaja yang mereka baca di akhbar atau tonton di televisyen yang diketahui dikawal atau dimiliki oleh kerajaan atau parti politik yang mirip kepada pemerintah. Sebelum ini apa yang ditulis di akhbar dipercayai bulat-bulat oleh pembaca. Sekarang mereka ragu. Mereka ingin tahu siapa pemilik akhbar itu, siapa editornya dan pelbagai persoalan lain lagi sebelum mereka mempercayai sebarang berita.” Kata Shabery sebagaimana tersiar dalam NST 16 April.

Shabery berharap semua organisasi milik pemerintah berusaha meningkatkan kredibiliti pada rencana-rencana dalam akhbar atau laporan televisyen sebagai usaha untuk menawan kembali keyakinan orang ramai yang kian terhakis dalam beberapa tahun terakhir ini.

Menteri Penerangan sebelum Shabery ialah Zainuddin Maidin yang lebih dikenali sebagai Zam. Beliau adalah bekas wartawan kanan. Beliaulah sepatutnya orang yang memperjuangkan sikap seperti yang ada pada Shabery sekarang. Sebaliknya, dia mengambil tindakan sebaliknya. Sungguhpun pengawalan akhbar terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri, Zam dilihat yang berperanan mengekang akhbar. Dia tidak bertolak ansur dan tidak memberi ruang kebebasan kepada akhbar.

Berdasarkan kemahuan Zam menuntut akhbar-akhbar dan stesen-stesen TV menyiarkan cerita-cerita yang menyenangkan kerajaan dan memburuk-burukkan parti pembangkang menyebabkan imej media massa itu tercemar dan rendah. Berita-berita yang tersiar tidak dibaca orang atau pun hanya dijadikan bahan untuk menimbulkan lagi rasa marah. Akibatnya, setiap kali akhbar dibelek atau televisyen ditonton, perasaan benci kepada kerajaan menimbun. Orang meluat dan hasilnya, kebencian dihalakan kepada parti kerajaan sendiri, BN. Propaganda Zam berbentuk ‘overkill’.

Dasar yang diamalkan Zam menyebabkan pembaca tidak lagi melihat akhbar dan televisyen sebagai sumber berita utama kerana tidak ada berita yang menarik hati mereka tersiar. Mereka beralih kepada laman blog, laman web dan dari SMS. Maka, sebagaimana diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah, “Kita kalah dalam perang Internet, perang siber. Ia adalah satu perhitungan yang salah. Kita melakukan kesilapan besar. Kita ingat akhbar, media cetak, televisyen sepatutnya penting...”

Pengakuan ikhlas Abdullah itulah yang mendorong Shabery untuk mengubah persepsi besar pembaca dan penonton televisyen masa kini. Sungguhpun pilihan raya umum telah pun tamat dan keputusannya telah diketahui, masih banyak akhbar dan stesen televisyen yang menyiarkan berita-berita dan laporan yang berat sebelah yang bertujuan untuk mengubah pendirian rakyat kembali menentang golongan yang dulunya disebut sebagi pembangkang tetapi sekarang bertindak sebagai kerajaan untuk lima buah negeri dan pembangkang untuk negeri selebihnya dan Dewan Rakyat. 8

Peranan yang dimainkan oleh akhbar dan stesen televisyen hari ini hendaklah disesuaikan dengan iklim baru politik Malaysia yang mahukan ketelusan dan keadilan sejagat. Tuntutan seperti ini berlaku di seluruh dunia. Apa yang dilakukan oleh Suharto tidak boleh diteruskan oleh pemerintah Indonesia selepas beliau, Abdul Rahman Wahid mesti akur, Megawati mesti akur. Tuntutan ke arah pembaharuan sangat tinggi. Mereka menuntut keterbukaan, keadilan dan ketelusan. Tuntutan jenis sama berlaku di negara-negara Eropah Timur, Russia, Jepun, Taiwan dan negara-negara Afrika. Dunia sudah tidak ada sempadan.

Berlatar belakang keadaan itu, kita menghadapi pilihan raya baru-baru ini. Rakyat yang sudah banyak mendapat maklumat tentunya mahukan proses mendapat maklumat selanjutnya dibuka, dibuka, dan dibuka dengan tanpa kongkongan lagi. Sikap untuk mengongkong adalah sia-sia sekarang kerana sumber maklumat terapung di depan mata. Tekan kunci tetikus, terbentanglah apa yang mahu dicari. Maka, itulah sebabnya, media tradisional kadangkala dianggap sudah tidak relevant, dan BN, di bawah kelolaan Zam yang mengamalkan dasar tidak ‘friendly’ terhadap media massa terkena ledakan tsunami dalam pilihan raya lalu.

Hasrat dan pandangan Shabery amat penulis kagumi. Kalau benar ini dapat dilaksana, media massa tradisional seperti akhbar dan televisyen akan kembali segera mendapat kepercayaan orang ramai. Ramai orang lebih selesa membaca ‘print media’ atau menonton televisyen berbanding melayari Internet. Membaca akhbar mudah dan selesa. Melayari Internet kadangkala mengakibatkan ‘stress’ dan ‘tension’ kerana acap kali kita dihantui oleh keadaan ‘hang’. Tetapi, bagi ramai orang, keadaan itu rela ditempuhi kerana membaca akhbar atau menonton televisyen ‘menyakitkan mata dan dada’.

Sebaik sahaja selesai pilihan raya, proses pembentukan kerajaan bermula. Banyak negeri menghadapi masalah membentuk kerajaan di atas pelbagai alasan. Ada yang berselisih berebut jawatan exco sesama anggota komponen, ada yang berebut jawatan Menteri Besar seperti terjadi di Perak. Ada pula yang orang dipilih oleh parti untuk menjadi MB tetapi ditolak oleh istana. Macam-macam ada.

Namun jika kita mengkaji liputan-liputan yang dibuat oleh akhbar-akhbar dan televisyen kita lihat masih lagi terbawa-bawa dengan sikap seperti pra-pilihan raya. Berita-berita yang diutamakan ialah berita-berita berkaitan masalah dihadapi oleh Pakatan Rakyat membentuk kerajaan. Soal DAP bertelagah untuk mendapat jawatan MB itu dibesar-besarkan dan tuduhan-tuduhan dibuat bahawa tindakan DAP membantah pilihan istana digambar sebagai biadap. Apabila kejadian yang sama terjadi di mana semua ADUN BN membantah lantikan istana di negeri lain, tidak pula terdengar gambaran dan sifat sama dikenakan kepada pemimpin BN yang juga bertindak sama iaitu, ‘menderhaka’. Akhbar dan TV membisu. Pembaca menilai dan mencemoh.

Apabila krisis di Perak berpanjangan, ia juga diserang hebat oleh akhbar arus perdana dan stesen televisyen yang langsung menghukum bahawa ‘pakatan’ itu tidak bermaya, akan retak dan menganggap pengundi telah membuat pilihan yang salah. Tindak tanduk akhbar-akhbar ketika itu ialah untuk membuat para pengundi berkeadaan menyesal kerana salah pertimbangan semasa mengundi. Misi memenangkan BN masih dikekalkan seolah-olah pilihan raya belum tamat.

Komposisi anggota exco di negeri-negeri seperti Perak, Pulau Pinang dan Selangor juga diberi liputan meluas oleh media tradisional seperti akhbar dan televisyen. Ia disentuh dari aspek kurangnya wakil dari kaum Melayu yang diberi peranan memegang jawatan itu. Sekali lagi teguran itu untuk meletakkan Melayu yang mengundi PR sebagai orang yang bersalah menyebabkan keadaan itu berlaku. Rasional keadaan dan penjelasan dari para pemimpin PR tidak diberi ruang. Sikap pengamal media dilihat masih tidak berubah dan masih mempertaruhkan kredibiliti mereka.

Satu contoh yang amat ketara ialah apabila berlaku isu babi di Selangor ditimbulkan. Cara akhbar arus perdana dan stesyen televisyen menangani isu itu amat menari perhatian. Ia akhirnya menjadi bahan cemuhan orang ramai yang menyebabkan keredibiliti akhbar dan televisyen dipersoalkan amat. Penyiaran berita dilihat sebagai satu cara untuk menyebabkan kebencian orang Melayu terhadap sikap Pas dan PKR yang tergesa-gesa mengesahkan kelulusan ladang babi itu. Berita berkaitan najis babi yang mencemari kampung orang Islam disiarkan seperti sebelum ini tidak seekor babi pun ada di Selangor. PAS dan PKR digambarkan sebagai cepat menjual maruah Melayu dan Islam hanya kerana kepentingan kuasa.

Isu ladang babi ini merupakan satu yang amat memalukan akhbar arus perdana dan stesen televisyen apabila fakta menunjukkan bahawa kerajaan yang terdahululah yang meluluskannya dan ada beberapa orang tokoh BN terutamanya UMNO dan tokoh tempatan yang menjelajah dunia meninjau ladang-ladang babi dan kemudiannya bersetuju untuk mengamalkan sistem sama di Selangor. Terdapat gambarar-gambar di Internet yang menunjukkan tokoh-tokoh tertentu yang memperlihatkan tanda isyarat bahawa sistem yang diamalkan itu bagus. Orang tertawa dengan eksploitasi berita ini oleh media-media tadi. Makan diri.

Tindak tanduk akhbar-akhbar tradisional dan televisyen memperlihatkan semacam pilihan raya masih berlangsung, belum tamat dan orang ramai sedang dipengaruhi untuk membuat pertimbangan mengundi. Kalaulah krebiliti akhbar dan media massa dapat dipulihkan seperti hasrat Shabery di atas tadi dapat dilaksanakan pemerintahan akan lebih telus dan adil dan ini pastinya akan berupa satu keadaan menang-menang kepada para pembaca, penonton, akhbar-akhbar tradisi dan televisyen, dan akhir sekali kepada kerajaan juga, baik BN mahupun PR.

Friday, April 18, 2008

Kerusi parlimen pilihan Anwar

Tersiar dalam SH Jumaat 18 April, 2008 muka N18


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Orang akan tersenyum sinis jika ada orang kira-kira setahun lalu mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pemimpin ulung negara. Itu berkhayal di siang hari namanya. Partinya, Parti Keadilan Rakyat dikatakan akan menerima nasib seperti parti ‘nyamuk’ yang lain. Semasa pilihan raya 2004, Parti Keadilan pimpinan isterinya, Datin Seri Wan Azizah hanya menang satu kerusi parlimen di Permatang Pauh, iaitu tempat kelahiran Anwar. Banyak orang percaya kemenangan itu pun diberikan di atas rasa simpati kepada nasib isteri seorang banduan semata-mata.

Bermula Isnin kelmarin, Anwar meraikan ‘pembebasannya’ yang membolehkan beliau menghambat jawatan idamannya, perdana menteri.

Sejauh manakah Anwar tergesa untuk menjadi Perdana Menteri setelah mendapati partinya menang lebih dari 30 kerusi parlimen dan hanya memerlukan 30 kerusi sahaja lagi untuk melayakkan partinya mengambil alih kuasa memerintah?

Umum tahu bahawa MP-MP di Sabah mempunyai tradisi untuk melompat parti. Kesetiaan mereka kepada parti disifatkan rapuh. Mereka mudah ‘menukar baju’ iaitu istilah sama dengan melompat parti. Lagipun, Anwar pula mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin UMNO di sana kerana beliau berupa arkitek menjayakan UMNO Sabah.

Anwar juga dikatakan masih mempunyai ramai bekas pengikut dalam UMNO di Semenanjung. Dikatakan Anwar membiarkan tokoh-tokoh itu untuk berjuang dari dalam dan pada masa yang sama menjadi mata dan telinganya. Kesetiaan mereka ini kepada Anwar didakwa masih kuat hanya tidak mempamerkanya secara terangan kerana tuntutan strategi politik. Orang ini dikatakan akan melompat ke dalam parti Anwar sebaik sahaja mendapat 'isyarat' untuk berbuat demikian.

Namun, Anwar mempunyai pertimbangan sendiri. Beliau dikatakan tidak mahu menggunakan opsyen itu pada masa ini kerana keutamaan beliau ialah mempastikan mentadbir lima negeri yang dimenangi cara lurus dan telus. Dia menjangka bahawa kerajaan pusat akan memberikannya masalah seperti tidak meluluskan dana-dana untuk pembangunan. Dia ingin mempastikan bahawa segala janjinya dalam pilihan raya itu ditunaikan. Dia juga hendak mempastikan bahawa kerjasama di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat mantap dan diyakini.

Tugas Anwar sekarang agak berat. Dia menjadi ketua kepada satu pakatan yang anggotanya dulu dilihat sebagai mustahil bersatu. Misi perjuangan Pas dan DAP dikatakan seperti langit dan bumi bezanya. Anwar dikehendaki menggariskan perjuangan mereka di tengah-tengah agar ada titik pertemuan. Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan Dasar Ekonomi Baru dan kenyataan Dr Harun Din, pemimpin kanan Pas tentang hasrat Pas menubuhkan negara Islam tentunya merumitkan kedudukan beliau dan menyebabkan perpaduan PR diperlekeh. Imej ini mesti dielak.

Akhbar-akhbar arus perdana kebanyakannya adalah milik parti BN dan sentiasa menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk menggoncang keutuhan dan perpaduan kerajaan PR. Isu ladang babi di Selangor contohnya dieksploit luas oleh mereka. Tujuannya ialah untuk menggugat sokongan orang Melayu terhadap kerajaan PR. Dengan sinis, kelulusan projek ladang babi itu dianggap sebagai hadiah pertama kerjaan PR kepada orang Melayu di atas sokongan mereka baru-baru ini. Akhbar Cina sebaliknya bermain dengan isu yang dibangkitkan oleh tokoh Pas tentang penubuhan negara Islam sebagai satu pengkhianatan parti DAP terhadap orang Cina.

Anwar pastinya ingin menjelaskan kepada DAP dan Pas bahawa isu pentadbiran, stabiliti dan masa depan negara ini adalah paling utama dan inilah yang menjadi tuntutan para pengundi pada pilihan raya lepas. Mereka mengundi pakatan yang dipelupuri Anwar di atas dasar itu dan para pengundi tidak langsung memikirkan soal agama dan keturunan. Ketika itu orang Islam sanggup mengundi calon DAP dan pengundi bukan Islam memberikan undi kepada calon Pas tanpa syak. Kelima-lima negeri yang ditawan mereka mesti ‘deliver’ apa yang dituntut rakyat dulu.

Di samping itu, adalah menjadi tumpuan Anwar juga untuk mempastikan bahawa kesemua MP di bawah PR bercakap dalam nada yang sama. Mereka tidak boleh dilihat bercakap mengikut alunan asal parti masing-masing yang menyerlahkan perpaduan rapuh sesama mereka. Mereka tidak boleh bergaduh di parlimen bertelagah bercanggahan polisi. Pakatan ini hendaklah menunjukkan sikap bahawa mereka adalah sebuah ‘government in waiting’. Itu misi Anwar.

Maka bukanlah tumpuannya untuk menjadi MP sekarang. Semasa berucap di perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman Isnin kelmarin beliau menegaskan bahawa beliau sanggup menunggu hingga pilihan raya akan datang untuk bertanding dan menjadi MP bagi melayakkannya menjadi Perdana Menteri Malaysia . Beliau tidak mahu gopoh.

Bagi Anwar, PR mempunyai peluang amat cerah untuk memenangi pilihan raya umum akan datang. Kelima-lima negeri yang dimenangi sekarang adalah asas yang menjadi jendela untuk umum menjeguk dan menilai. Kalau mereka berupaya melaksanakan segala amanah dengan baik, kemenangan akan berpihak kepada mereka. BN pastinya, pada hemat beliau akan bersikap ‘mendera’ dari sudut pemberian dana dan perniagaan tetapi ini semua akan mengundang kebencian rakyat. Reaksi rakyat akan lebih hebat sebagaimana terbukti terjadi di Kelantan.

Mengikut beliau UMNO sekarang dari sehari ke sahari menjadi kian reput dan PR sebaliknya kian kukuh. Berdasarkan situasi begitu beliau berpendapat beliau boleh masuk ke parlimen bila-bila masa yang disukai dan beliau ada pilihan yang banyak. Dikatakan hampir kesemua MP PKR yang dia menjadi penasihatnya bersedia mengosongkan kerusi mereka untuk membolehkan ‘bos’ bertanding.

Tekaan tertumpu kepada kawasan parlimen yang akan menjadi pilihan Anwar untuk bertanding apabila sampai masa dia memimilih berbuat demikian. Sekurang-kurangnya 4 kawasan diberi perhatian khas. Kawasan itu ialah Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Kelana Jaya dan Permatang Pauh. Setiap kawasan ada alasan tersendiri untuk dijadikan pilihan Anwar.

Lembah Pantai yang dimenangi oleh anak sulung Anwar disebut-sebut. Sebagai anak yang taat kepada bapanya, Nurul Izzah MP kawasan itu dikatakan tentu tidak akan keberatan untuk mengundurkan diri jika diminta oleh bapanya. Ada berpendapat Nurul Izzah sebagai seorang yang masih muda tentulah mempunyai banyak kesempatan lain untuk menjadi MP kawasan itu. Alasan sebagai seorang muda juga dijadikan sebab untuk mengatakan Anwar hendaklah memberi peluang kepada anaknya mengekalkan kedudukan sebagai MP Lembah Pantai sebagai latihan amali untuk meneruskan perjuangannya bermula dari sekarang. Anwar diminta mencari kawasan lain.

Kawasan yang menjadi sebutan besar ialah Bandar Tun Razak. MP yang ada sekarang yang juga berupa MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dianggap tidak akan ‘cukup tangan’ kalau dia masih mengekalkan jawatan MP kawasan itu. Namun, Khalid berhujjah bahawa dia pernah menjawat sebagai tokoh korporat yang menghendaki dia berkejaran di seluruh pelusuk dunia dan dia masih mampu mengendalikan segala amanah yang diberikan kepadanya dengan baik. Dia masih sanggup berkhidmat sebagai MP kawasan itu.

Lagipun, majoriti yang dimenangi Khalid hanyalah sekitar 2,000 undi sahaja dan dengan isu yang dimainkan oleh akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan Cina berkaitan DEB dan babi dikatakan boleh menyebabkan banyak undi Melayu dan Cina kembali berpihak kepada BN dan menyulitkan Anwar jika dia bertanding di sana . Anwar mungkin diminta oleh penasihatnya mencari kawasan yang lebih selamat.

Orang yang merakam ‘video Lingam’, Loh Gwo Burne yang tidak disangka-sangka menjadi MP Kelana Jaya dikatakan layak untuk memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil tempatnya sebagai MP Kelana Jaya. Loh dikatakan mempunyai masalah berbahasa Melayu dan kelulusan bahasa Melayu terakhir beliau adalah Sijil Rendah Pelajaran. Dia berpendidikan SRJK (C) Poi Lam Ipoh , ACS Singapura, LLB. Hons. University of Hull , UK , dan LLM, Beijing , China . Dia dilahirkan di Britain dan hanya berada di Malaysia pada zaman sekolah rendah sahaja. Namun, dia sedang belajar bahasa Melayu dengan tekun. Dia menjadi anggota PKR pada hari dia dinamakan sebagai calon. Apa pun komitmen beliau terhadap perjuangan PKR adalah tinggi. Tetapi kalau dia gagal mengusai bahasa Melayu, dia tidak akan boleh menjadi MP berkesan.

Selain kawasan itu, Permatang Pauh adalah dijangka menjadi tumpuan utama Anwar. Kalau Anwar memilih untuk bertanding di sini banyak ‘masalah’ dapat diselesaikan serentak. Kalau dia menang, hanya dia dan Nurul Izzah sahaja yang akan menduki Dewan kerana ketiadaan Wan Azizah di sana boleh mengelakkan dari tuduhan PKR sebagai parti anak bernak, bapa, isteri dan anak semuanya jadi MP. Sementara itu Wan Azizah sendiri mengisytiharkan bahawa dia sanggup mengosongkan kerusinya bagi membolehkan suaminya bertanding. Para pengundi awal-awal sedar akan hasrat beliau dan mereka masih memilih beliau.

Majoriti kemenangan Wan Azizzah melebihi 13,000 tentunya akan memudahkan tugas Anwar untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh berbanding kerusi-kerusi lain yang dihubungkan dengan Anwar mengambil alih. Menang mana-mana kerusi sekalipun, dijangka tidak akan mengubah sikap Anwar untuk tidak berusaha mendapatkan MP-MP BN melompat ke partinya kerana tugas itu adalah amat berat. Anwar tidak akan berminat kalau dia hanya dapat 30 kerusi kerana jumlah itu sungguhpun membolehkannya membentuk kerajaan, tetapi ia pasti akan berupa sebuah kerajaan yang rapuh dan boleh digoncang mudah bila-bila masa oleh BN.