Kerusi parlimen pilihan Anwar
Tersiar dalam SH Jumaat 18 April, 2008 muka N18
Oleh Dr Aisar Yee Abdullah
Orang akan tersenyum sinis jika ada orang kira-kira setahun lalu mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pemimpin ulung negara. Itu berkhayal di siang hari namanya. Partinya, Parti Keadilan Rakyat dikatakan akan menerima nasib seperti parti ‘nyamuk’ yang lain. Semasa pilihan raya 2004, Parti Keadilan pimpinan isterinya, Datin Seri Wan Azizah hanya menang satu kerusi parlimen di Permatang Pauh, iaitu tempat kelahiran Anwar. Banyak orang percaya kemenangan itu pun diberikan di atas rasa simpati kepada nasib isteri seorang banduan semata-mata.
Bermula Isnin kelmarin, Anwar meraikan ‘pembebasannya’ yang membolehkan beliau menghambat jawatan idamannya, perdana menteri.
Sejauh manakah Anwar tergesa untuk menjadi Perdana Menteri setelah mendapati partinya menang lebih dari 30 kerusi parlimen dan hanya memerlukan 30 kerusi sahaja lagi untuk melayakkan partinya mengambil alih kuasa memerintah?
Umum tahu bahawa MP-MP di Sabah mempunyai tradisi untuk melompat parti. Kesetiaan mereka kepada parti disifatkan rapuh. Mereka mudah ‘menukar baju’ iaitu istilah sama dengan melompat parti. Lagipun, Anwar pula mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin UMNO di
Anwar juga dikatakan masih mempunyai ramai bekas pengikut dalam UMNO di Semenanjung. Dikatakan Anwar membiarkan tokoh-tokoh itu untuk berjuang dari dalam dan pada masa yang sama menjadi mata dan telinganya. Kesetiaan mereka ini kepada Anwar didakwa masih kuat hanya tidak mempamerkanya secara terangan kerana tuntutan strategi politik. Orang ini dikatakan akan melompat ke dalam parti Anwar sebaik sahaja mendapat 'isyarat' untuk berbuat demikian.
Namun, Anwar mempunyai pertimbangan sendiri. Beliau dikatakan tidak mahu menggunakan opsyen itu pada masa ini kerana keutamaan beliau ialah mempastikan mentadbir lima negeri yang dimenangi cara lurus dan telus. Dia menjangka bahawa kerajaan pusat akan memberikannya masalah seperti tidak meluluskan dana-dana untuk pembangunan. Dia ingin mempastikan bahawa segala janjinya dalam pilihan raya itu ditunaikan. Dia juga hendak mempastikan bahawa kerjasama di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat mantap dan diyakini.
Tugas Anwar sekarang agak berat. Dia menjadi ketua kepada satu pakatan yang anggotanya dulu dilihat sebagai mustahil bersatu. Misi perjuangan Pas dan DAP dikatakan seperti langit dan bumi bezanya. Anwar dikehendaki menggariskan perjuangan mereka di tengah-tengah agar ada titik pertemuan. Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan Dasar Ekonomi Baru dan kenyataan Dr Harun Din, pemimpin kanan Pas tentang hasrat Pas menubuhkan negara Islam tentunya merumitkan kedudukan beliau dan menyebabkan perpaduan PR diperlekeh. Imej ini mesti dielak.
Akhbar-akhbar arus perdana kebanyakannya adalah milik parti BN dan sentiasa menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk menggoncang keutuhan dan perpaduan kerajaan PR. Isu ladang babi di Selangor contohnya dieksploit luas oleh mereka. Tujuannya ialah untuk menggugat sokongan orang Melayu terhadap kerajaan PR. Dengan sinis, kelulusan projek ladang babi itu dianggap sebagai hadiah pertama kerjaan PR kepada orang Melayu di atas sokongan mereka baru-baru ini. Akhbar Cina sebaliknya bermain dengan isu yang dibangkitkan oleh tokoh Pas tentang penubuhan negara Islam sebagai satu pengkhianatan parti DAP terhadap orang Cina.
Anwar pastinya ingin menjelaskan kepada DAP dan Pas bahawa isu pentadbiran, stabiliti dan masa depan negara ini adalah paling utama dan inilah yang menjadi tuntutan para pengundi pada pilihan raya lepas. Mereka mengundi pakatan yang dipelupuri Anwar di atas dasar itu dan para pengundi tidak langsung memikirkan soal agama dan keturunan. Ketika itu orang Islam sanggup mengundi calon DAP dan pengundi bukan Islam memberikan undi kepada calon Pas tanpa syak. Kelima-lima negeri yang ditawan mereka mesti ‘deliver’ apa yang dituntut rakyat dulu.
Di samping itu, adalah menjadi tumpuan Anwar juga untuk mempastikan bahawa kesemua MP di bawah PR bercakap dalam nada yang sama. Mereka tidak boleh dilihat bercakap mengikut alunan asal parti masing-masing yang menyerlahkan perpaduan rapuh sesama mereka. Mereka tidak boleh bergaduh di parlimen bertelagah bercanggahan polisi. Pakatan ini hendaklah menunjukkan sikap bahawa mereka adalah sebuah ‘government in waiting’. Itu misi Anwar.
Maka bukanlah tumpuannya untuk menjadi MP sekarang. Semasa berucap di perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman Isnin kelmarin beliau menegaskan bahawa beliau sanggup menunggu hingga pilihan raya akan datang untuk bertanding dan menjadi MP bagi melayakkannya menjadi Perdana Menteri Malaysia . Beliau tidak mahu gopoh.
Bagi Anwar, PR mempunyai peluang amat cerah untuk memenangi pilihan raya umum akan datang. Kelima-lima negeri yang dimenangi sekarang adalah asas yang menjadi jendela untuk umum menjeguk dan menilai. Kalau mereka berupaya melaksanakan segala amanah dengan baik, kemenangan akan berpihak kepada mereka. BN pastinya, pada hemat beliau akan bersikap ‘mendera’ dari sudut pemberian dana dan perniagaan tetapi ini semua akan mengundang kebencian rakyat. Reaksi rakyat akan lebih hebat sebagaimana terbukti terjadi di Kelantan.
Mengikut beliau UMNO sekarang dari sehari ke sahari menjadi kian reput dan PR sebaliknya kian kukuh. Berdasarkan situasi begitu beliau berpendapat beliau boleh masuk ke parlimen bila-bila masa yang disukai dan beliau ada pilihan yang banyak. Dikatakan hampir kesemua MP PKR yang dia menjadi penasihatnya bersedia mengosongkan kerusi mereka untuk membolehkan ‘bos’ bertanding.
Tekaan tertumpu kepada kawasan parlimen yang akan menjadi pilihan Anwar untuk bertanding apabila sampai masa dia memimilih berbuat demikian. Sekurang-kurangnya 4 kawasan diberi perhatian khas. Kawasan itu ialah Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Kelana Jaya dan Permatang Pauh. Setiap kawasan ada alasan tersendiri untuk dijadikan pilihan Anwar.
Lembah Pantai yang dimenangi oleh anak sulung Anwar disebut-sebut. Sebagai anak yang taat kepada bapanya, Nurul Izzah MP kawasan itu dikatakan tentu tidak akan keberatan untuk mengundurkan diri jika diminta oleh bapanya. Ada berpendapat Nurul Izzah sebagai seorang yang masih muda tentulah mempunyai banyak kesempatan lain untuk menjadi MP kawasan itu. Alasan sebagai seorang muda juga dijadikan sebab untuk mengatakan Anwar hendaklah memberi peluang kepada anaknya mengekalkan kedudukan sebagai MP Lembah Pantai sebagai latihan amali untuk meneruskan perjuangannya bermula dari sekarang. Anwar diminta mencari kawasan lain.
Kawasan yang menjadi sebutan besar ialah Bandar Tun Razak. MP yang ada sekarang yang juga berupa MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dianggap tidak akan ‘cukup tangan’ kalau dia masih mengekalkan jawatan MP kawasan itu. Namun, Khalid berhujjah bahawa dia pernah menjawat sebagai tokoh korporat yang menghendaki dia berkejaran di seluruh pelusuk dunia dan dia masih mampu mengendalikan segala amanah yang diberikan kepadanya dengan baik. Dia masih sanggup berkhidmat sebagai MP kawasan itu.
Lagipun, majoriti yang dimenangi Khalid hanyalah sekitar 2,000 undi sahaja dan dengan isu yang dimainkan oleh akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan Cina berkaitan DEB dan babi dikatakan boleh menyebabkan banyak undi Melayu dan Cina kembali berpihak kepada BN dan menyulitkan Anwar jika dia bertanding di sana . Anwar mungkin diminta oleh penasihatnya mencari kawasan yang lebih selamat.
Orang yang merakam ‘video Lingam’, Loh Gwo Burne yang tidak disangka-sangka menjadi MP Kelana Jaya dikatakan layak untuk memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil tempatnya sebagai MP Kelana Jaya. Loh dikatakan mempunyai masalah berbahasa Melayu dan kelulusan bahasa Melayu terakhir beliau adalah Sijil Rendah Pelajaran. Dia berpendidikan SRJK (C) Poi Lam Ipoh , ACS Singapura, LLB. Hons. University of Hull , UK , dan LLM, Beijing , China . Dia dilahirkan di Britain dan hanya berada di Malaysia pada zaman sekolah rendah sahaja. Namun, dia sedang belajar bahasa Melayu dengan tekun. Dia menjadi anggota PKR pada hari dia dinamakan sebagai calon. Apa pun komitmen beliau terhadap perjuangan PKR adalah tinggi. Tetapi kalau dia gagal mengusai bahasa Melayu, dia tidak akan boleh menjadi MP berkesan.
Selain kawasan itu, Permatang Pauh adalah dijangka menjadi tumpuan utama Anwar. Kalau Anwar memilih untuk bertanding di sini banyak ‘masalah’ dapat diselesaikan serentak. Kalau dia menang, hanya dia dan Nurul Izzah sahaja yang akan menduki Dewan kerana ketiadaan Wan Azizah di sana boleh mengelakkan dari tuduhan PKR sebagai parti anak bernak, bapa, isteri dan anak semuanya jadi MP. Sementara itu Wan Azizah sendiri mengisytiharkan bahawa dia sanggup mengosongkan kerusinya bagi membolehkan suaminya bertanding. Para pengundi awal-awal sedar akan hasrat beliau dan mereka masih memilih beliau.
Majoriti kemenangan Wan Azizzah melebihi 13,000 tentunya akan memudahkan tugas Anwar untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh berbanding kerusi-kerusi lain yang dihubungkan dengan Anwar mengambil alih. Menang mana-mana kerusi sekalipun, dijangka tidak akan mengubah sikap Anwar untuk tidak berusaha mendapatkan MP-MP BN melompat ke partinya kerana tugas itu adalah amat berat. Anwar tidak akan berminat kalau dia hanya dapat 30 kerusi kerana jumlah itu sungguhpun membolehkannya membentuk kerajaan, tetapi ia pasti akan berupa sebuah kerajaan yang rapuh dan boleh digoncang mudah bila-bila masa oleh BN.

0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home