Sunday, June 29, 2008

PKR, sama macam UMNO

Tersiar dalam Sinar harian, Ahad 29 Jun, 2008 muka N14


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Tindakan lebih dari 20 Ketua Bahagian PKR Selangor atau wakil mereka berkumpul dari tengah hari hingga 7 malam beberapa hari yang lalu untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di depan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat parti itu mengingatkan kita balik akan adegan yang biasa kita tonton diperlihatkan oleh UMNO.

Laporan akhbar menunjukkan lebih dari 100 orang dari kalangan itu dan penyokong mereka berhimpun kerana ingin membantah kegagalan mereka dilantik sebagai anggota majlis kerajaan tempatan. Laporan menunjukkan bahawa Ketua Bahagian Sabak Bernam, Dr Badrul Amin Bahron berkata sebahagian anggota tidak berpuashati dengan pemilihan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Khalid dikatakan lebih mengutamakan golongan professional berbanding mereka.

“Mereka ini berani berdepan dengan semburan air dan tindakan polis dan telah begitu setia dengan PKR tetapi mereka sekarang diketepikan.” Dia mendakwa tidak memperjuangkan itu untuk dirinya tetapi bagi pihak orang lain yang mengikutnya perlu dilayan dengan lebih baik lagi.

Berdasarkan kenyataan di atas yang dibuat oleh Badrul Amin nyata sebahagian pemimpin PKR mengharapkan dan mahu diberi imbuhan hasil dari ‘pengorbanan’ mereka selama ini. Mereka ini dikatakan telah sanggup berhujan dengan air gas yang dilepaskan oleh pasukan polis simpanan persekutuan dan ada di antaranya dibelasah sampai luka-luka dan berdarah sewaktu berdemonstrasi di zaman awal reformasi.

Badrul juga menyebut tentang penggantungan jawatan seorang pegawai kanan Khalid sebagai satu lagi contoh di mana seorang penyokong setia diketepikan. Mengikut beliau, orang yang bekerja keras untuk parti tidak diberi layanan setimpal. “Orang yang digantung jawatan itu tidak pun dipanggil untuk membela diri.” Dia mendakwa.

Orang yang dimaksudkan oleh Badrul ialah Yahya Sahri, mantan pegawai petugas khas MB Selangor. Penggantungan Yahya telah menambah kemelut yang dihadapi oleh PKR Selangor. Yahya telah bertindak meletak jawatan sebagai pegawai khas MB dan sebagai Setiausaha Agung PKR Selangor. Yahya telah menyatakan bahawa dia tidak akan menarik balik perletakan jawatan itu dan pada masa yang sama menyuarakan rasa tidak percaya kepada kepimpinan Khalid sebagai ketua PKR negeri itu.

Rakan kongsi PKR di dalam pentadbiran kerajaan Selangor, Pas melalui cabang pemudanya, telah melahirkan rasa kecewa dengan tindakan penganjur sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan campuran PR di negeri itu yang memasukkan wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk program itu ke dalam akaun PKR. Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Sallehan Mukhyi melahirkan rasa khuatir perkara seperti itu berulangan dan boleh melibatkan jumlah yang lebih besar lagi kelak.

‘Penyalahgunaan’ wang kutipan itu telah dibongkar oleh Mohamad Ezam Mohd Nor mantan pemimpin pergerakan pemuda Parti Keadilan yang mendedahkan wang sumbangan tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun parti sedangkan surat yang dikeluarkan kepada syarikat swasta untuk memohon sumbangan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor. Yahya melalui kenyataannya yang disiarkan oleh Sinar Harian pada Jumaat 27 Jun kelmarin menyifatkan tuduhan Ezam itu sebagai bohong dan mengatakan ‘biarlah Allah yang menentukannya’ sama ada ia benar atau bohong. Mengikut Yahya, surat yang dikeluarkan itu bukannya menggunakan kepala surat dari jabatan MB tetapi sebaliknya dari pejabat PKR.

Amalan menderma kepada parti yang memerintah kerap dilakukan oleh banyak kalangan yang ingin mengumpan pihak berkuasa itu untuk diberi layanan selesa apabila masa tiba nanti. Derma-derma ini yang boleh dianggap untuk mewujudkan dan meningkatkan 'political fund' dan digunakan untuk kepentingan parti seperti meluaskan pengaruh dan mengekalkan kuasa. Pihak yang menderma hanya berminat untuk menderma kepada parti yang berkuasa sahaja dan tidak kepada parti pembangkang.

Sementara itu, Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta polis menyiasat Abdul Khalid di bawah kes pecah amanah jenayah. Khir berkata, siasatan itu perlu dilakukan kerana tindakan Khalid itu tidak sepatutnya berlaku kerana sambutan berkenaan merupakan acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang memberikan peruntukan penganjuran sebanyak RM200,000. Mengikut Khir, tindakan mengutip sumbangan untuk akaun PKR seolah-olah menunjukkan parti itu cuba mengambil kesempatan daripada sambutan tersebut bagi mendapatkan sumber kewangan.

Ramai pasti, apa yang dilakukan oleh PKR itu bukanlah sesuatu yang baru diamalkan oleh sebuah parti kerajaan. Amalan ini adalah lumrah dan dilakukan oleh banyak pemimpin negeri sebelum ini. Bezanya, mereka lebih 'discreet' dan bertindak lebih rapi. Lagipun, tiada sungutan ramai dibuat kerana perbuatan itu memenag dijangka dilakukan dan semacam ‘dihalalkan’ pada masa dulu. Hanya, dengan PKR, perbuatan itu dianggap salah kerana imej bersih dan telus sentiasa menjadi laungan mereka dan perbuatan seperti itu di masa lalu dikutuk.

Khalid terpaksa berhempas pulas untuk memberi imej bersih kepada kerajaan pimpinannya. Sebelum ini kerajaan beliau digugat dengan isu seorang pegawainya bertindak menulis surat kepada majlis tempatan menyokong pemberian tender perkhidmatan kepada beberapa syarikat tertentu. Laporan sebelum ini menyebut beliau sebagai berkata tidak tahu menahu dengan tindakan pegawainya dan beliau telah meminta BPR menyiasat. Beliau kemudiannya telah meminta BPR menempatkan pegawainya di pejabat beliau.

Tuduhan Ezam terbaharu ini menyebabkan beliau sekali lagi terpaksa membuat penjelasan. Beliau mengaku bahawa sumbangan-sumbangan dari syarikat swasta itu telah tidak dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri. Beliau mengumumkan bahawa sumbangan itu tidaklah seberapa. Persoalan berapa yang dipungut itu tentunya bagi ramai tidak penting. Persoalannya, mengapa wang itu disalir ke tempat lain.

Pergeseran merebut jawatan, pertelingkahan kerana merebut ‘harta tawanan perang’ seperti jawatan-jawatan dalam majlis daerah tempatan atau dilantik sebagai pengarah-pengarah badan berkanun atau syarikat korporat milik kerajaan jarang kedengaran terjadi di Kelantan sungguhpun Pas memerintah di sana selama hampir dua puluh tahun. Para pejuang Pas tidak banyak mengharapkan imbuhan kewangan atau jawatan dari titik peluh perjuangan mereka. Perebutan menjadi anggota majlis kerajaan bukanlah keutamaan mereka.

Perkara sama juga tidak kedengaran berlaku di Pulau Pinang di mana DAP menjadi tunggak kerajaan PR. Malah, pimpinan DAP telah melantik individu-individu dari parti BN untuk mengisi jawatan-jawatan penting dalam negeri. Tidak kedengaran timbul tuduhan bahawa Lim Guan Eng lebih mengutamakan 'orang musuh' dari penyokong DAP sendiri. Tindakan bijak Lim Guan Eng itu telah sebenarnya mengkucar-kacir kestabilan parti Gerakan dan MCA. MCA dan Gerakan telah kehilangan beberapa pemimpin negeri dan kebangsaan yang akhirnya menyertai DAP. Mereka yang dilantik oleh Guan Eng ini pada mulanya mendapat bantahan parti kalangan BN tetapi orang yang dilantik memilih untuk menolak parti asal mereka lalu menyertai DAP.

Kita dapati, semangat yang ditunjukkan oleh DAP dan Pas tidak kedapatan pada PKR. Baru tiga bulan memerintah sebuah negeri, sudah mula bergeseran. Niat murni untuk berkhidmat kepada rakyat sebagai satu amal jariah dilupakan. Jawatan jugalah yang menjadi perhitungan dan buruan. Desakan agar mereka yang setia berjuang, yang pernah masuk penjara, yang pernah tercedera dipukul oleh belantan polis harus diutamakan berbanding para profesional bukanlah satu tuntutan yang bijak.

Pergeseran itu telah memaksa penasihat partinya, Datuk Seri Anwar yang baru saja menjejakkan kaki ke tanahair sekembali dari Madinah al-Munawwarah meluru ke pejabat di Petaling Jaya dikatakan menggambarkan betapa seriusnya keadaan yang melanda parti itu. Satu mesyuarat khusus diadakan untuk mebincang kemelut dihadapi oleh PKR Selangor yang diantaranya mebincang tuntutan agar Khalid meletak jawatan.

Sungguhpun, mesyuarat telah berakhir dengan suasana aman damai di mana tuntutan terhadap Khalid telah ditarik balik, timbulnya pertelingkahan merebut jawatan, mengesyorkan orang-orang tertentu diberi kemudahan mendapatkan tender dan perbuatan memungut nama atas nama kerajaan negeri (dakwaan Ezam) tetapi tidak memasukkan derma itu ke kantung perbendaharaan negeri adalah suatu perbuatan yang tidak diharapkan datangnya dari sebuah parti bernama PKR.

Sesuatu yang positif setakat ini ialah Khalid kelihatan sebagai seorang yang ikhlas dalam melaksanakan tugasnya. Tindak tanduk pegawainya adalah di luar pengetahuannya. Sebaik saja mengetahui wujudnya kesalahan-kesalahan tersebut, Khalid bertindak pantas. Beliau berjanji akan memperbetulkan keadaan. Belaiu telah pun bertindak menggantung jawatan orang yang beliau yakin telah menyebabkan salah laku di dalam pentadbiran. Selagi Khalid bertindak pantas mempastikan pentadbirannya terus dijalankan secara telus dia tidak perlu berasa gusar. Apa pun demi keadilan, Yahya perlulah diberi peluang membela diri. Betapa ghairah Khalid mahu dilihat ingin mengekalkan wibawa kerajaannya, dia perlu adil kepada setiap orang, yang dituduh dan yang menuduh.

Para kepimpinan PKR hendaklah mempastikan bahawa parti itu berbeza dengan imej yang ada pada UMNO. Orang sentiasa akan membandingkan PKR dengan UMNO kerana parti itu sendiri terlahir dari serpihan UMNO. Kalau tidak, pasti orang akan menganggap bahawa tiada bezanya parti itu dengan UMNO dari segi warna, bulunya, fe'elnya dan makanannya. PKR hendaklah pandai belajar mengikut teladan yang ditunjukkan oleh PAS dalam menangangi jawatan dan harta yang diamanahkan oleh rakyat. Pastikan tiada di kalangan PKR yang begitu cepat belajar ‘trick’ bagi membolehkan mereka membuat kekayaan melalui pentadbiran negeri. Singkirkan mereka sebelum mereka membuat kerosakan imej yang lebih teruk kepada PKR dan memberi ilusi negatif kepada rakyat yang memilih PR dalam pilihan raya lalu. PR perlu membuktikan bahawa pentadbirannya adalah bersih, telus dan berwibawa.

Setakat ini, tidak banyak kedengaran cakap-cakap buruk tentang pentadbiran Pas di Kedah, Kelantan dan Perak, serta pentadbiran DAP di Pulau Pinang. Kita sedar PKR berkeadaan malang kerana syak wasangka ramai terhadapnya tinggi sedangkan perasaan itu tidak diberikan kepada Pas dan DAP. Namun, inilah cabaran yang ada pada PKR dan dia tidak boleh pada mana-mana masa membiarkan seekor kerbau membawa lumpur yang menyebabkan semua yang lain turut terpalit. Cabaran bagi PKR adalah tinggi tetapi kalau ia lulus, bererti masa depan BN terus gelap dan gelap.

Wednesday, June 25, 2008

Apabila mantan murid jadi YB

Tersiar dalam Sinar Harian 25 Jun, 2008 muka N14


Apabila mantan murid jadi YB

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Hannah adalah seorang ketua murid/ketua pengawas di sebuah sekolah di Selangor pada tahun 1995/1996. Dia adalah perintis kepada pertemuan tahunan mantan pengawas bagi sekolahnya. Semasa bersekolah dulu, pekertinya mulia dan menjadi murid contoh kepada yang lain. Saban tahun dia menghadiri pertemuan mantan pengawas-pengawas.

Beberapa bulan yang lalu, seperti tahun lain, dia menerima jemputan menghadiri pertemuan tahun ini. Dia dijemput menghadiri ‘reunion’ yang dijangka diadakan pada minggu depan. Beberapa hari lalu, dia menerima berita dia tidak lagi dialu-alukan menghadiri majlis yang diadakan di sekolah lamanya. Dua orang pengawas memberitahunya, guru-guru mengugut agar pelawaan hadir kepadanya ditarik balik atau majlis itu dibatalkan.

Hannah pasti sedih dengan perkembangan terbaharu itu. Dia tidak faham bagaimana seorang mantan pengawas, apalagi dia seorang dulunya ketua, dilarang hadir. Dia tertanya mungkinkah sekolahnya dulu baru tersedar bahawa lantikan yang dibuat sepuluh itu suatu kesilapan besar. Mungkinkah pihak sekolah baru menemui fakta bahawa Hanna sebenarnya seorang bepekerti buruk dan tidak patut dilantik sebagai pengawas ketika itu.

Kalau itu bukan alasannya, kenapa sampai perlu majlis itu dibatalkan kalau dia turut hadir? Pasti dia telah melakukan suatu ‘dosa’ yang besar terhadap ‘alma mater’nya. Majlis itu bukan pun diadakan di waktu sekolah dan bukan juga majlis rasmi sekolah itu. Ia hanya pertemuan mantan pengawas-pengawas sekolah itu. Sebagai mantan ketua pengawas, Hanna berasa dia layak hadir dan mahu hadir kerana itu memberi ruang kepadanya bertemu kawan-kawan lama.

Dia berhujah bahawa ketika di sekolah dulu dia dididik untuk menjadi teladan kepada murid selepasnya dan menjadi seorang yang berjaya yang kemudiannya boleh menyumbang kembali kepada masyarakat. Dia yakin itulah yang dia telah jaya lakukan. Dia berasa hairan kerana orang mendidiknya dengan nilai-nilai murni itu adalah orang yang sama yang memberitahunya bahawa dia sekarang tidak boleh diterima lagi oleh masyarakat sekolahnya.

Air mata Hanna mengalir kesedihan kerana keadaan ini berlaku sekarang. Baginya keadaan ini buruk bagi sekolahnya kerana mengajar murid-murid supaya tunduk kepada ugutan-ugutan tidak rasional. Hanna menuduh bahawa selama lima puluh tahun rakyat Malaysia diberitahu agar tidak bertanya, tidak mencabar dan tidak bersuara sungguhpun semuanya mengganggu hak asasi mereka. Dia mahu hentikan itu.

Apakah kesalahan Hanna? Hanna telah bertindak bertanding dalam PRU lalu sebagai calon DAP bagi kawasan Subang Jaya. Justeru, kemenangannya telah menjadi satu kesalahan. Setiap tahun, semua mantan pengawas di samping pengawas sekarang bertemu dalam majlis persendirian di luar waktu sekolah sebagai pertemuan sosial.

Hanna yakin, kalau dia bertanding di atas tiket BN dan menang tentu tidak ada masalah baginya menghadiri majlis tahunan itu. Sambutan kepada beliau mungkin hebat. Masalah baginya bermula apabila dia menang. Jadilah dia personna non grata. Dia berkeadaan begitu hanyalah kerana dia menggunakan haknya untuk mengundi, menjadi calon pilihan raya dan berjuang menegakkan apa yang dia yakin sebagai benar. Dia keras menentang korupsi. Dia lakukan apa yang gurunya ajar; jangan takut menentang salah laku sunggupun diugut oleh golongan yang kuat.

Mengikut Hanna dia tidak menuntut agar dijemput menghadiri majlis itu atau dijadikan tetamu istemewa, sungguhpun sudah bergelar wakil rakyat. Sepatutnya, ada di kalangan mereka dari sekolahnya dulu sekarang berbangga kerana seorang mantan murid sekolah itu sudah menjadi YB apalagi partinya sekarang menjadi rakan pemerintah di Selangor. Dia hanya kesal kerana perbuatan tidak baik ini begini jika dibiarkan. Golongan muda sedang memerhatikan, katanya.

Dia menuduh bahawa dasar pelajaran sekarang hanyalah ingin melahirkan produk yang tidak boleh berfikir, dan dibenarkan mengenakan ugutan apabila semua yang lain gagal. Sebagai mantan ketua murid sekolahnya, dia rasa dia berhak menghadiri majlis itu. Sekarang, Hanna Yeoh, ADUN Subang Jaya sudah dinafikan haknya menghadiri majlis yang dia sendiri mulakan tradisinya.

Kisah di atas berlaku di Selangor, sebuah negeri di bawah kawalan PR. Di Pulau Pinang, kejadian hampir sama juga terjadi. Timbalan Ketua Menteri II, Dr P. Ramasamy menyatakan kecewanya kerana setakat ini dia dijemput ke hanya dua dari 28 buah sekolah Tamil. Beliau adalah Exco Perancangan Ekonomi, Pelajaran, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Innovasi. Dia juga adalah MP Batu Kawan dan ADUN Prai. Kedua-dua sekolah itu terletak dalam kawasan diwakilinya.

Dia mendakwa dia layak dan mampu membantu sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang sesuai dengan kedudukannya sebagai Exco Pelajaran tetapi setakat ini, selepas hampir 4 bulan mengambil alih jawatan, pihak sekolah tidak menjemputnya. Dia bertanya bagaimana dia boleh membantu kalau dia tidak tahu apa masalah mereka.

Dia mendakwa semacam ada peraturan tidak tertulis bahawa Exco PR yang menjaga hal-ehwal sekolah Tamil tidak boleh dijemput kerana pelajaran terletak di bawah bidang kerajaan pusat. Lawatan yang dilakukan oleh Ramasamy pada sebuah sekolah dari dua itu pun khabarnya dilakukan pada hari Sabtu, di luar waktu persekolahan.

Akhbar The Star 11 Mei melaporkan Dr Ramasamy telah dilarang pada waktu persekolahan dari mengagihkan cermin mata kepada 223 pelajar sekolah Tamil yang memerlukannya. Dia hanya dibenarkan melakukan agihan itu pada hari Sabtu, selepas waktu pejabat. Para guru di Pulau Pinang juga dilarang menjemput para MP atau ADUN ke majlis anjuran sekolah. Para guru juga tidak digalakkan menghadiri sebarang majlis rasmi anjuran kerajaan negeri.

Kejadian-kejadian seperti di atas, dan banyak lagi yang lain sepertinya adalah sesuatu yang tidak sihat diamalkan. Ia tidak mencerminkan sikap dan mentaliti sebuah negara yang maju. Sikap guru yang mengugut untuk membatalkan majlis akan dilihat oleh murid bahawa menggunakan ugutan atau meletakkan seseorang dalam keadaan takut itu tidaklah merupakan perbuatan salah bagi mencapai matlamat.

Amalan seperti ini bukanlah perkara baru terjadi di Malaysia. Penulis masih ingat sekitar tahun-tahun 80-an sewaktu UMNO berpecah dengan terbentuknya Parti Semangat 46 ramai guru dilaporkan ditukar ke kawasan pedalaman semata-mata kerana mereka menyokong Tengku Razaleigh.

Penulis pernah terdengar kata-kata seorang perwakilan Parti Semangat 46 dari Kelantan yang juga seorang guru yang sering dikenakan tindakan tukar ke pedalaman kerana degil tidak mahu mengubah pendirian. Kata-katanya yang masih jelas bermain dalam ingatan penulis ialah: ”Tukarlah aku ke mana-mana pun dan kalau di kawasan itu tidak ada lagi penghuni manusia, binatang pun akan ku ajar untuk berani menegak keadilan.”

Sebelum ini telah terdengar sungutan MB Kedah bahawa pihak sekolah-sekolah tidak menggantung gambarnya bersebelahan gambar PM sebagaimana amalan sebelum ini. Banyak sekolah masih lagi mengekalkan gambar MB lama dari BN di sana. Murid-murid di Kedah dikatakan tidak tahu siapa sebenarnya MB mereka sekarang. Mereka tidak kenal rupa dia. MB Kedah memberitahu dia tidaklah mahu bertindak sehingga terpaksa memasang ‘billboard’ yang memaparkan gambarnya di depan sekolah.

Kementerian Pelajaran hendaklah bersikap adil dalam aspek ini dan hendaklah bekerjasama dengan MB, KM dan para Exco pelajaran negeri-negeri di bawah PR demi kemajuan pelajaran anak bangsa. Penulis tidak melihat apa-apa salah untuk pihak sekolah menjemput wakil rakyat setempat tanpa mengira sama ada ia dari BN atau PR menghadiri dan merasmikan hari ucapan atau mesyuarat PIBG. Mengapa perlu berpolitik di sekolah?

Sunday, June 22, 2008

Pemimpin kecil goyahkan Pakatan Rakyat

Tersiar dalam Sinar Harian, Ahad 22 Jun, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Sepanjang minggu ini sekurang-kurangnya tiga peristiwa yang dicetuskan oleh pemimpin pelapis yang boleh menggugat keutuhan perpaduan Pakatan Rakyat. Perpaduan pakatan ini sentiasa menjadi bahan kajian mikroskop kerana ia diasaskan oleh sesuatu yang rapuh. Dua komponen dilihat ramai sebagai tidak boleh disusun bersebelahan tanpa kehadiran unsur ketiga iaitu PKR yang bertindak bebagai simennya. Sehingga 8 Mac lalu, Pas dan DAP banyak dilihat bercakaran berbanding berbaik-baik.

Ini memang dijangkakan kerana perpaduan barisan alternatif ini pada awalnya ini semata-mata dibentuk untuk kepentingan sementara, iaitu tidak ingin memberikan kemenangan besar kepada BN dalam PRU. Kemenangan besar yang tidak disangka-sangka membuka mata mereka bahawa sebenarnya satu pakatan yang kekal boleh dibentuk ditawarkan kepada pengundi. Tidak semena-mena mereka diberikan peluang mentadbir lima buah negeri.

Peluang ini hendaklah direbut baik oleh PR. Rakyat sedar bahawa gabungan parti pembangkang ini mempunyai ideologi parti yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Namun, memandangkan mereka begitu 'meluat' dengan BN, mereka terpaksa ‘mencuba’ gabungan ini untuk kali ini. Tidak seperti BN yang merupakan sebuah organisasi politik yang berdaftar sah, Pakatan Rakyat hanya terbentuk selepas PRU dan ia suatu gabungan longgar yang diasaskan kepada ‘memudahkan’ sahaja.

Apa pun bentuknya, menilai prestasi 100 hari pertama kerajaan-kerajaan negeri, laporan-laporan akhbar menunjukkan ia berkeadaan positif. Beberapa perubahan yang popular telah dialkukan okeh kelima-kelima kerajaan negeri tersebut dan mendapat sanjungan rakyat. Para pemimpin PR hendaklah mempastikan bahawa peluang yang diberikan oleh rakyat tadi tidak dipersia-siakan semoga peluang tadi disambung balik oleh rakyat pada PRU-PRU mendatang.

Para pemimpin BN yang telah begitu selesa menjadi kerajaan untuk sekian lama terus memendam rasa untuk menjatuhkan kerajaan PR ini. Kesalahan-kesalahan sentiasa ditunggu untuk dieksploit. Sikap kerajaan Selangor yang terburu-buru mengesahkan projek ternakan khinzir di Sepang sebagai contohnya digunakan luas oleh bekas pimpinan negeri BN Selangor untuk mencetuskan perasaan benci orang Islam kepada kerajaan baru. Tan Sri Khalid, MB Selangor sendiri mengaku melakukan silap kerana tergesa-gesa meluluskan projek itu.

Senjata paling berkesan untuk merobohkan keserasian PR ialah mewujudkan perasaan permusuhan di kalangan para pendokonganya. Para pemimpin Melayu BN akan akan sentiasa mengingatkan kaum itu akan kerenah DAP yang dikatakan mereka tidak-putus untuk memperjuangkan kepentingan orang bukan Melayu dan tidak mengakui kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal negeri ini. Kepada orang Cina pula, BN akan menyebut bahawa Pas tidak akan sekali-kali menarik balik hasrat mereka untuk menjadikan negara ini sebagai negara Islam dan syariat Islam akan dilaksanakan.

Dengan berbuat demikian, BN berharap sokongan Melayu terhadap kerajaan PR akan terhakis di atas alasan Pas hanya mampu menjadi kuda tunggangan DAP dan telah menjual kepentingan orang Melayu hanya kerana inginkan kerusi Exco. MB Pas di Perak dituduh sebagai tidak berkuasa dan kuasa sebenarnya terletak di tangan para Exco DAP. Kalangan penyokong Cina diseru supaya tidak lagi memberikan sokongan kepada Pas kerana Pas hendak melaksanakan undang-undang Islam di negeri-negeri yang dikuasai PR. DAP pula dituduh sanggup menjadi alat kepada Pas juga kerana sudah lama inginkan kuasa dan sekarang sanggup melakukan apa sahaja kerana kuasa itu berada di dalam tangan.

Di dalam situasi begini, para pemimpin PR yang kanan telah dilihat telah berjaya mengawal emosi untuk memperlihatkan bahawa pakatan yang terbentuk itu boleh dijadikan sesuatu yang kekal seperti mana BN juga. Mereka faham bahawa peluang yang diberikan rakyat hendaklah direbut dengan baik.Ucapan-ucapan yang berbentuk untuk memainkan perasaan galeri dengan menguap-uap perasaan perkauman dan keagamaan banyak dikurangkan. Namun, sekali sekala terdapat juga dilihat ucapan itu terkeluar dari mulut mereka yang hyper-sensitif seperti Karpal Singah dan Chen Man Hin yang bertindak balas dari ucapan kalangan muda Pas.

Masalah besar dalam organisasi politik ialah para pemimpin muda yang menjadi pelapis yang ingin menonjolkan kepimpinan mereka. Salah satu cara mudah untuk menjadi juara kelompok masing-masing ialah memperlihatkan diri sebagai jaguh dengan ucapan-ucapan atau perlakuan yang menzahirkan perkauman atau keagamaan. Dr. Mahathir Mohamed menjadi popular pada akhir dekad 60an dengan fikirannya yang tebal dengan perkauman Melayu. Lim Kit Siang popular di kalangan orang Cina dengan ‘Malaysian Malaysia’nya.

Melakukan sesuatu dan membuat ucapan berapi membakar semangat perkauman atau keagamaan sentiasa dijadikan alat untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi dalam politik atau untuk meraih sokongan galeri kepada pemimpin tersebut. Ketua Pemuda UMNO menghunus keris bagi menunjukkan kepada orang Melayu bahawa secara simboliknya dia sanggup bermatian demi mereka. Keris itu akhirnya memakan diri dan dikatakan di antara faktor yang membawa kekalahan BN.

Akhir-akhir ini terdapat di kalangan pemuda Pas membangkitkan dua isu panas yang sudah tentu menimbulkan reaksi keras dari sekutunya DAP. Bertempat di Kota Bharu, Naib Ketua Pemuda Pas, Azman Syapawi mengumumkan Pemuda Pas Pusat kini dalam proses sedang merangka agenda untuk melaksanakan sistem pentadbiran Islam yang merangkumi undang-undang syariah di lima buah negeri yang ditadbir oleh PR.

Pengumuman itu telah menimbulkan reaksi negatif dari kalangan bukan Islam. Pelbagai reaksi dikesan telah diberikan termasuklah ingatan kepada orang bukan Islam bahawa Pas adalah sebuah parti dominan dalam PR pengundi bukan Islam telah tertipu. Komen-komen yang dibaca mengingatkan Pas bahawa manifestonya pada PRU 12 baru-baru ini tidak pernah menyebut bahawa Pas akan melaksanakan undang-undang Islam sebaliknya, membentuk sebuah negara berkebajikan.

Sehari selepas itu timbul pula satu kontroversi baru di mana Dewan PAS Selangor dilaporkan berkata mereka akan mengadakan perhimpunan membantah konsert Ratu Rodk Ella dan Ratu Dangdut Mas Idayu. Bantahan PAS itu telah menyebabkan Sultan Selangor murka. Baginda menganggap isu yang dibangkaitkan itu remeh dan dibesar-besarkan. Pandangan Dewan Pemuda Pas Selangor ini juga mendapat bantahahn keras terutamanya di kalangan bloggers berbahasa Ingeris dan akhbar-akhbar Cina. Pas diingatkan bahawa semasa PRU lepas, moto Pas adalah ‘Pas untuk semua’.

Pendirian Pas ini dikatakan tidak selaras dengan moto tersebut. Ramai bersetuju gelagat banyak penyanyi tempatan tidak sesuai untuk masyarakat Islam. Dr Mohd Asri Mufti Perlis pernah menasihatkan agar tidak membenarkan seorang penyanyi tertentu terlibat dalam konsert di Perlis. Saranan Mufti Perlis itu barangkali sesuai untuk masyarakat Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu yang agak 'homogeousg' dan bukannya Selangor yang pelbagai kaum. Ella dan Mas Idayu bukan milik orang Melayu sahaja. Mereka juga minat kepada nyanyian ini.

MB Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz pernah memberitahu bahawa dia mengharamkan judi di Kelantan kerana semua agama mengharamkan judi tetapi apa yang agama lain benarkan, kalau Islam tidak benarkan, dia masih memberi ruang kepada orang bukan Islam mendapatkannya. Barangkali, Dewan Pemuda Pas boleh mendesak kedua-dua arrtis tersebut mengawal lagi aksi mereka agar boleh diterima luas, orang Melayu dan bukan Melayu. Lagipun sebagai orang Islam, artis tersebut diharapkan sentiasa bersopan.

Tindakan ketiga yang boleh menyebabkan persepsi orang ramai bahawa PR boleh hancur dalam masa yang dekat ialah yang dilakukan oleh seorang ADUN dari Johor. ADUN Bentayan, Gwee Tong Hiang telah diperintah keluar dari DUN Johor kerana gagal berpakaian rasmi. Dia tidak bersongkok pula. Sultan Johor dijadualkan hadir untuk upacara pembukaan rasmi. Perbuatan itu dianggap tidak menghormati ketua negeri.

Isu songkok ini menjadi hangat suatu ketika dulu dan merupakan satu aspek yang menyebabkan ketegangan kaum sebelum Operasi Lalang 1987. Orang Melayu terasa tersinggung terhadap sesiapa yang enggan memakai songkok untuk majlis rasmi sedangkan meraka sanggup memakai pakaian barat yang juga asing bagi kebudayaan nenen moyang mereka. Perbuatan orang muda dari DAP ini telah mencedera hati Melayu dan menjadi helah bagi BN untuk menunjukkan bahawa DAP tidak mengiktiraf taboo yang tidak logik dan gagal memperlihatkan persefahaman di antara pelbagai ciri budaya Malaysia .

Berdasarkan tindak-tanduk tokoh ‘Young Turks’ dalam Pas tadi kelihatan seolah-olah Pas yakin bahawa ia memenangi PRU lalu berdasarkan sokongan orang Islam semata-mata. Ia dikatakan telah lupa bagaimana ia kalah teruk di Terengganu dan kawasan-kawasan bermajoriti Melayu. Pas banyak menang di kawasan pinggir bandar. PAS tidak boleh lupa bahawa ia menang kerana banyak bukan Melayu menyokongnya berdasarkan manifesto ‘Pas untuk Semua’ dan kredential pimpinan Nik Aziz di Kelantan yang adil kepada bukan Melayu. DAP pun mesti ingat bahawa ia tidak boleh bermimpi membentuk kerajaan di Perak, dan Selangor tanpa sokongan orang Melayu. Silap langkah, padah.

Thursday, June 19, 2008

Formula Mahathir, Anwar berputih mata

Tersiar dalam Sinar Harian Khamis, 19 Jun, 2008 muka N14


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Sah, Parti Maju Sabah, SAPP mengambil keputusan untuk tidak percaya Datuk Seri Abdullah Badawi mampu menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia . Melalui satu sidang akhbar tergempar Rabu semalam, parti itu mengumumkan ia akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah dalam persidangan Dewan Rakyat yang akan memulakan sidangnya pada Isnin ini.

Tindakan terbaharu dari parti SAPP ini menguatkan desas desus bahawa ada parti akan bertindak mengumumkan penarikannya dari BN. Tindakan ini menjurus kepada ia dipecat dari BN. Tindakan BN selanjutnya ditunggu kerana dikhuatiri kalau lambat bertindak, penyakit dibawa SAPP ini boleh berjangkit.

Keghairahan orang ramai kepada apa yang dikatakan asalnya ‘gempaq’ dari Datuk Seri Anwar kembali hangat. Sedikit demi sedikit keyakinan mula dibentuk bahawa dakwaan Anwar itu boleh menjadi kenyataan. Minggu lepas, sewaktu berucap di Pulau Pinang sempena seratus hari terbentuknya kerajaan PR, Anwar meledakkan satu bom baharu. Dia mendakwa bukan sahaja ADR dari Malaysia Timur yang akan melompat tetapi beberapa ADR dari MCA.

Dakwaannya mula diberi perhatian ekoran dari pengumuman terbaharunya dan tindakan parti dari Sabah semalam mengukuhkannya. Anwar sebelum ini mendakwa kerajaan BN akan tumbang menjelang 16 September depan. Beberapa orang yang penulis temui yang sebelum ini berasa pesimis terhadap dakwaan Anwar hari ini bersikap bahawa Anwar mungkin mampu melakukannya lebih awal dari itu.

Keadaan ribut sebenarnya mula dikesan melanda parti BN dan para pemimpinnya. Ada kalangan menteri yang dikatakan tidak lagi menyimpan fail peribadi yang banyak di pejabat. Apa yang tersimpan di pejabat ialah untuk urusan harian sahaja. Perbuatan itu dilakukan bagi mengelak daripada terpaksa bertindak pergi ke pejabat pada larut malam kalau-kalau kerajaan tumbang tanpa diduga pada bila-bila masa.

Parti komponen BN, UMNO terutamanya berada dalam keadaan umbang-ambing. Pergeseran dalam parti merebut jawatan dan dan mendesak pimpinan meletak jawatan tidak berkesudahan. Tawaran Abdullah untuk mengundur diri pada suatu masa lain yang dia dan Datuk Seri Najib akan selesaikan tidak diterima sebahagian anggota.

Kekuatan BN bergantung kuat kepada keutuhan UMNO. UMNO pula gagal memulihkan diri selepas kalah dalam PRU-12 baru-baru ini. Komponen BN yang lain, terutamanya MCA, MIC dan Gerakan yang terpukul kuat dalam pilihan raya itu cuba memperlihatkan usaha-usaha untuk memulihkan imej tetapi perletakan jawatan beberapa orang pemimpin kanannya menyertai DAP dan PKR di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor menjadikan parti itu kelihatan tidak berupaya.

Dalam kemelut ini timbul dua tokoh politik menegeruhkan keadaan. Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed dan Mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar mengemukakan formula masing-masing untuk menyelamat negara. Semenjak pilihan raya hingga hari ini nyata, Abdullah menjadi lesu akibat menyelesaikan krisis parti sehinggakan beliau masih belum mampu memberi tumpuan mentadbir negara.

Formula Mahathir ialah menjatuhkan Abdullah dan menggantikan dengan seorang lain yang pada fikiranya layak mengambil alih pucuk pimpinan negara. Mahathir juga mendesak Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Sudah berkali-kali dia menggesa Najib untuk menentang Abdullah.

Secara detailnya, Mahathir mahukan sekurangnya-kurang 30 ADR bertindak keluar BN dan menarik balik sokongan kepada Abdullah sebagai PM. Beliau tidak mahu mereka ini menyertai mana-mana parti komponen PR.

Anwar pula sedang berusaha memujuk ADR supaya beramai-ramai meninggalkan BN dan menyertai mana-mana parti dalam PR. Selepas berbuat demikian, mereka akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Abdullah. Jika Anwar berjaya mendapatkan sokongan mereka ini, Abdullah pasti kecundang kerana Anwar mempunyai seramai 82 ADR yang sedia menyokong usul itu.

Andaian dibuat bahawa sekurang-kurangnya 30 ADR dari BN bertindak menyokong usul yang akan dikemukakan oleh SAPP pada Isnin ini. Dengan kerjasama ADR PR, diandaikan kerajaan Abdullah Badawi tumbang. Maka apakah kesudahannya?

Sampai saat ini pasti ramai akan yakin bahawa PR akan mengambil alih tampuk kekuasaan negara sebagaimana diimpikan oleh Anwar. Hakikatnya, keadaan itu belum pasti akan terjadi.

Mengikut kehendak Perlembagaan, apabila jatuhnya sebuah kerajaan melalui usul undi tidak percaya, Yang DiPertuan Agong ada dua pilihan: Membubarkan parlimen dan memangil satu pilihan raya baru atau menunjuk mana-mana individu yang diyakini baginda memiliki sokongan majoriti parlimen.

Dianadaikan pilihan raya barau tidak diadakan. Maka, kerana itu diandaikan, Datin Seri Wan Azizah selaku Ketua Pembangkang ditawarkan untuk menjadi PM oleh Agong, pertamanya baginda hendaklah diyakini bahawa dia mendapat sokongan majoriti. Di sini, peranan ADR BN itu penting. Kalau mereka tidak mahu memberikan sokongan kepada Wan Azizah sebagaimana formula diberikan Mahathir, pasti Wan Azizah tidak boleh menjadi PM.

Apa yang berlaku kepada Ahmad Nizar di Perak boleh berulang kepada Wan Azizah. Yang Dipertuan Agong mungkin mahu melihat surat sokongan dari semua ADR bagi menyakinkan baginda untuk melantik Wan Azizah.

Di sinilah formula Mahathir boleh menyebabkan Anwar berputih mata. Tindakan menarik balik sokongan kepada Abdullah itu hanya bercorak sementara. Sokongan itu boleh diberikan kepada orang lain dari kalangan BN itu sendiri, Najib mungkin. Kalau itu berlaku, sokongan bulat anggota BN seramai 140 orang itu berlaih kepada Najib dan ini akan menggagalkan usaha Anwar.

Namun, beberapa faktor lain juga harus diambil kira untuk melihat di mana sokongan SAPP dan mereka yang sewaktu dengannya itu akan pergi. Najib tidak dilihat sebagai orang yang boleh menyelesaikan masalah yang menyebabkan pertma-tamanya mereka tidak berpuashati dengan BN. Menyokong Najib kepada mereka tidak menyelesaikan masalah.

Lain pula Anwar, Anwar secara terbuka menyatakan akan memberikan Sabah dan Sarawak royalti petroleum sebesar dua puluh peratus berbanding hanya lima sahaja yang dinikmati sekarang. Anwar juga berjanji akan melantik TPM dari Sabah . Anwar mampu melakukannya kerana perlantikan TPM mudah dibuat. Sekarang pun Sabah ada tiga orang Timbalan Ketua Mentri dan Kelantan pernah mempunyai dua TMB serentak. Perlantikan seorang TPM untuk memuaskan hati Sabah adalah enteng disempurnakan.

Jika usul undi tidak percaya itu lulus pada Isnin ini, siapakah sebenarnya yang akan berputih mata, Abdullah kerana kehilangan jawatan, Anwar kerana terlepas peluang menjadi PM atau Mahathir yang akan menerima padah dari tindakan Anwar?

a

Wednesday, June 18, 2008

Peluang Abdullah perlihatkan kekuatannya

Tersiar dalam Sinar Harian Rabu 18 Jun, 2008 muka N14

Peluang Abdullah perlihatkan kekuatannya

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Berdasarkan perkiraan dan jangkaan Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak siapa pun termasuk Tengku Razaleigh Hamzah memiliki peluang untuk menandingi jawatan Presiden UMNO pada Disember ini. Tun yakin pada pemilihan UMNO akan datang Presiden penjawat (Datuk Seri Abdullah) akan menang tanpa bertanding. Bagi Tun, tidak ada siapa yang boleh tanding Presiden kerana tiada siapa yang mampu mendapat 60 pencalonan.

Situasi sama akan berulang Tun menjangka. Seperti dahulu, niat Razaleigh yang hendak melawan tetapi gagal kerana beliau cuma mendapat satu undi sahaja, iaitu pencalonan tunggal yang datang dari bahagiannya sendiri, Gua Musang. Tun Mahathir mendakwa pencalonan dikawal oleh Presiden.

Tun menjelaskan, sama ada Razaleigh ataupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memang tidak berpeluang untuk menyaingi Abdullah yang menggantikan beliau lima tahun lalu. Pemilihan pucuk kepimpinan UMNO dijadualkan berlangsung pada Disember ini.

Setakat ini, hanya Razaleigh sahaja yang menyatakan persetujuannya untuk bertanding jawatan yang disandang Abdullah. Beliau kini mengadakan pertemuan di seluruh negara untuk mencari sokongan melepasi kelayakan pencalonan yang diwajibkan untuk menentang Abdullah.

Keyakinan yang dicurahkan oleh Tun itu ada asasnya kalau diteliti dengan laporan pencapaian Razaleigh setakat ini dan sejarah pertandingan dalam UMNO. Pusingan pertama kempen yang dibuat oleh Razaleigh bagi mendapatkan cawangan-cawangan UMNO seluruh negara mengadakan mesyuarat agung tergempar untuk mendesak bahagian-bahagian masing-masing mengadakan mesyuarat agung tergempar bertujuan mengubah perlembagaan UMNO yang menyebut tentang kelayakan calon bertanding jawatan-jawatan penting parti dipinda mendapat sambutan hambar.

Seruan yang dibuat oleh Razaleigh itu nampaknya tidak diberi sambutan oleh para anggota UMNO. Setakat hari ini, hanya bahagian Gua Musang sahajalah yang telah pun meluluskan usul meminta peruntukan dalam Perlembagaan UMNO berkaitan bilangan pencalonan yang minimum untuk jawatan tinggi dihapuskan kepada seperti yang diamalkan oleh mana-mana pertubuhan lain, iaitu perlu hanya kepada dua, pencadang dan penyokong.

Kehendak perlembagaan kepada seseorang perlu mendapatkan 60 pencalonan dianggap oleh Mahathir sebagai tidak akan memberi kesempatan kepada sesiapa sahaja untuk berjaya melepasi angka itu kerana ia terlampau tinggi. Ironinya, angka itu adalah angka yang ditetapkan oleh Mahathir sendiri semasa dia menjadi Presiden UMNO dengan alasan seseorang yang ingin bertanding jawatan presiden mestilah benar-benar serius dan disahkan banyak.

Berasaskan laporan-laporan akhbar, tidak ramai anggota Majlis Tertinggi setakat ini yang lantang memperkatakan persetujuan mereka kepada saranan dibuat Mahathir agar kuota itu dihapuskan. Paling ketara dan terkedepan dalam menggesa sistem kuota dihapuskan untuk melayakkan seseorang bertanding dalam pemilihan parti tidak diteruskan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO. Beliau menganggap penerusan sistem kuota boleh menggalakkan amalan rasuah. Beliau meminta satu jalan dicari bagi menggantikan sistem ini yang baginya banyak mendorong kepada amalan rasuah yang berpanjangan dan tidak selesai-selesai dalam UMNO.

Hujah beliau ialah apabila seseorang calon yang bertanding yang diperlukan mendapat 30 peratus pencalonan tetapi baru sahaja dapat 10 peratus dan kurang 20 peratus lagi akan mendorong dia menggunakan wang supaya dapat pencalonan dan ternyata amalan ini tidak sihat.

Selain beliau, seorang lagi anggota MT, Datuk Seri Dr Rais Yatim juga melahirkan rasa kecewa kerana cadangannya supaya UMNO menghapuskan sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding tidak mendapat sokongan.

Sistem kuota itu yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 1988 antara lain menetapkan calon jawatan Presiden perlu mendapat sekurangnya 30 peratus pencalonan atau 57 daripada 191 bahagian, manakala Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan anggota MT (lima peratus).

Selain dua tokoh yang disebutkan tadi dan seorang dua yang lain, para pemimpin dari kalangan anggota MT bertindak bersikap membisu. Sikap membisu di kalangan pimpinan UMNO ini ialah sesuatu yang telah lama dikesan berlaku. Tun Musa Hitam pernah suatu masa dulu menggelarkannya sebagai sindrom bisu. Mereka tidak memberikan pandangan. Apa yang kedengaran dari mereka ialah mereka ingin mempertahankan jawatan yang disandang sekarang atau maju satu anak tapak lagi ke jawatan yang lebih tinggi, iaitu Naib Presiden.

Kita melihat bahagian-bahagian UMNO tidak mengadakan mesyuarat agung tergempar ke arah menghapuskan sistem kuota itu dan forum yang boleh meminda sistem kuota itu selain EGM bahagian ialah MT sendiri. Dan setakat ini kita dapati MT sendiri tidak melihat keperluan untuk menjalankan tugas itu.

Mesyuarat MT yang terakhir yang berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam seminggu lepas tidak mengambil sebarang keputusan berkaitan amalan sistem kuota UMNO ini. UMNO yang diberikan persepsi buruk dalam banyak hal tidak melihat amalan sistem kuota ini sebagai sesuatu yang tidak digemari golongan muda yang mahukan ruang demokrasi diamalkan di segala ruang dalam negara termasuk UMNO sendiri. Golongan muda tidak yakin UMNO boleh memberikan ruang demokrasi kepada mereka kalau UMNO sendiri enggan mengamalkan demokrasi dalam partinya.

Dalam persepktif ini, pemimpin UMNO, Abdullah diharap mengambil initiatif untuk memberi ruang kepada mana-mana orang untuk menentangnya. Beliau tidak perlu berasa bimbang dan takut kerana dia mempunyai kekuatan dan kelayakan untuk dipilih oleh anggota lain. Keikhlasan beliau terhadap UMNO telah terbukti. Jika Abdullah dilihat sebagai orang yang berkeras mahu mempertahankan sistem itu sedangkan dia telah pun menyatakan bahawa dia akan bertanding untuk mempertahankan jawatannya, maka tuduhan pasti tertimpa kepadanya bahawa dia tidak berani menghadapi cabaran.

Muhyiddin merumuskan bahawa pemimpin tidak perlu bimbang dan takut jika kita betul-betul seorang pemimpin yang banyak jasa, kalaupun orang yang hendak bertanding itu orang yang tidak terkenal atau tidak layak itu hak mereka dan tentu anggota parti yang sudah lama berjuang dalam Umno tahu menilai yang mana kaca yang mana berlian,” katanya.

UMNO hendaklah mengambil sebarang ruang yang ada padanya untuk membetulkan persepsi yang ditanggapi ramai terutamanya yang ada pada golongan muda yang lebih liberal dan demokratiks. UMNO tidak boleh berada dalam kempompongnya sendiri seperti ia berada sejak sekian lama. Golongan muda kian hari kian jauh darinya. UMNO tidak boleh terkeliru jika ada segelintir anak muda yang masih mendekatinya kerana kumpulan itu terdiri sama ada amereka yang ibu bapanya berupa anggota UMNO, atau kalangan yang melihat UMNO sebagai satu ruang mudah untuk mencari kekayaaan.

Maka apa salahnya UMNO memberi ruang yang lebih demokratik dalam partinya dan tidak menghalang sesiapa sahaja yang berminat untuk berkhidmat kepada orang Melayu untuk bertanding. Memandang Presiden sekarang berupa orang yang berkepentingan, maka tindakan beliau membisu terhadap suara-sura yang meminta kepada sistem kuota itu dihapuskan menyebabkan jari tertuding kepadanya bahawa dia bertindak sedemian kerana kepentingan diri dan bersifat kurang yakin.

Sedangkan hakikatnya bukanlah begitu. Abdullah hendaklah bertindak bijak bagi menggambarkan bahawa dirinya mampu mengawal keadaan dengan kekuatannya sendiri dan gambaran ini lebih perlu lagi di saat-saat UMNO dan BN diasak kuat oleh parti lawan melalui dakwaan demi dakwaan bahawa ramai anggota Dewan Rakyat dari kelompok BN yang akan berhijrah meninggalkannya.

Sunday, June 15, 2008

Perangi rasuah dan pembaziran habis-habisan

Tersiar dalam Sinar Harian Ahad 15 Jun, 2008 muka N14


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Kadangkala terasa pelik juga dengan pertimbangan yang dibuat oleh pertubuhan politik, PBK (NGO), dan orang perseorangan dalam percubaan menangani kemelut kenaikan harga petroleum. Tidak dinafikan bahawa kemelut itu memberikan kesan mendalam sehinggakan akhbar-akhbar tanpa henti setiap hari menyiarkan berita-berita berkaitan kesulitan-kesulitan yang dihadapi rakyat. Banyaklah saranan dibuat agar penjimatan-penjimatan dilakukan terutamanya oleh kerajaan.

Penulis ingin mulakan dengan satu e-mel yang dihantar kepadanya oleh seorang pembaca. Penulis yakin cadangannya berupa gurauan semata-mata atau sekurangnya sinikal. Dia mencadangkan: “Para menteri disaran bertindak lebih setapak maju berbanding tindakan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Kalau Guan Eng naik kapal terbang MAS kelas ekonomi, para menteri BN akan lebih popular kalau mereka menaiki kapal terbang Air Asia dan tidak menggunakan pas ‘express boarding’ di mana sejumlah RM20 lagi dapat dijimatkan”

Dalam nada yang lebih serius beliau mencadangkan Perdana Menteri menjual atau memajak (sehingga harga petroleum turun ke paras lebih rendah) semua eksekutif jet milik kerajaan dan mula menggunakan perkhidmatan pesawat komersial kalau ingin ke mana-mana. Naik kelas pertama pun tidak mengapa. Banyak belanja bulanan dapat dijimatkan dan ratusan juta dapat dimasukkan ke dalam khazanah negara hasil jualan jet-jet itu.

Itu ada di antara saranan-saranan yang dibuat. Penulis bersetuju saranan terakhir itu dipertimbangkan apalagi PM sendiri sudah mengumumkan bilangan orang boleh menyertai rombongan menteri sudah dihadkan. Kalau setakat 5 atau 6 orang sahaja yang boleh ikut, buat apa bawa jet khusus. Apa pun saranan yang dibuat, saranan itu hendaklah berbentuk sesuatu yang benar-benar boleh menyelesaikan sebahagaian daripada masalah negara sekarang.

Di dalam perlumbaan para pemimpin mengumumkan langkah-langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan, terasa lucu pula apabila membaca hampir semua pemimpin kerajaan negeri bertindak mengikuti langkah diambil oleh PM mengurangkan peruntukan elaun keraian sebanyak 10 peratus. Ada yang bertindak popular sedikit dengan mengumumkan pemotongan sebanyak 30 peratus.

Ketua Menteri Melaka mengumumkan elaun keraian ditolak sebanyak RM550 bagi dirinya sebulan, Speaker dan Exco RM100 dan ADUN RM25. Ramai para MB dan KM mengumumkan pemotongan elaun itu. Pokoknya, adakah itu sahaja yang mampu terfikir oleh para ketua eksekutif negeri-negeri sebagai langkah mengurangkan penderitaan rakyat? Potong elaun ADUN RM25 sebulan? Seriuskah kalian wahai para YAB?

Seperti yang penulis lakar pada tulisan sebelum ini, elaun keraian tu bukanlah sesuatu yang membebankan negara atau negeri. Bukan elaun itu yang harus diberi tumpuan sewaktu mencari-cari item perbelanjaan yang boleh menyelamatkan negara dari krisis harga petroleum ini. Elaun itu perlu bagi para wakil rakyat dalam menguruskan perkhidmatan dengan pengundi mereka. Kenyataan wakil-wakil rakyat pembangkang di Pahang sebagaimana tersiar dalam Sinar Harian Pahang, Khamis kelmarin adalah buktinya.

ADUN Tras merumuskan: Kerjaaan negeri sepatutnya mencari dulu punca yang menimbulkan pembaziran di negeri ini. Pemotongan elaun wakil rakyat cuma menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri namun tetap tidak mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat. Benar kata ADUN itu. Perbelanjaan RM25 bukanlah daging dan nanah kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang akhirnya bersetuju untuk tidak memotong elaun keraian ADUN biasa. Pemotongan yang dilakukannya hanya melibatkan MB dan para exco sahaja. Peratusan amaun yang dipotong adalah 30 peratus.

Sepintas lalu boleh penulis bayangkan betapa banyak kerajaan negeri kehilangan punca pendapatan melalui pencerobohan tanah-tanah terutamanya tanah balak yang dibiarkan berlaku di depan mata pihak berkuasa. Berapa banyak pula kerugian dialami berikutan konsesi balak diberikan pada harga yang amat rendah tanpa mendapatkan sebutan tender terbuka. Puluhan malah mungkin ratusan juta RM terbabit setiap tahun barangkali bagi satu negeri.

Tindakan seperti itulah yang patut diambil dan bukannya membiarkan itu berterusan tetapi memotong RM25 dari ADUN! Stesen TV sentiasa dari semasa ke semasa mendedahkan kes kecurian balak, pasir dan pencerobohan tanah kerajaan untuk tujuan komersial yang melibatkan kerugian besar kepada kerajaan-kerajaan negeri. Pembangunan tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan ongkos, tetapi punca hasil terbiar akibat rasuah yang berleluasa.

Selidik gerak-geri mereka yang berkuasa di PBT (bandaraya, perbandaran atau majlis daerah). Adakah mereka menjalankan tugas dengan baik. Perlu diperhatikan gelagat mereka. Mungkin banyak hasil yang patut pergi kepada kerajaan tetapi masuk ke poket mereka. Lihat betapa banyaknya syarikat-syarikat yang menjual kereta terpakai menjalankan perniagaan di bahu-bahu jalan atau di bawah jejambat. Apakah mereka dikenakan sewa? Dipercayai ramai di antara mereka menceroboh tanah kerajaan. Mereka orang kaya. Kita dapati kalau si miskin membuka warong di situ, mereka segera diusir.

Rasuah dan pembaziran berlaku di mana-mana. Ia semacam sudah diiktiraf sebagai satu gaya hidup. Penguatkuasaan kepada amalan rasuah dilihat tidak tegas, berpilih-pilih dan bermusim. Kita mudah mengambil sikap berpuas hati dengan tahap pencapaian. Kita tidak bersikap malu apabila negara kita diletakkan pada kedudukan rendah dalam Indeks Persepsi Rasuah. Kita membandingkan kedudukan kita dengan ngara-negara mundur dan di bawah pimpinan penyangak. Herolah kita.

Kita tidak ada kekuatan politik untuk mencapai tahap seperti mana diperolehi oleh Hong Kong atau Singapura. Dengan bersikap demikian, kita terus menerus melakukan pembaziran dan membenarkan rasuah berluluasa. Kita memilih untuk tidak mahu berubah. Pastinya ramai di antara kita masih ingat tentang Laporan Tan Sri Ahmad Noordin yang mendedahkan bahawa Kementerian Pertahanan pada suatu masa dulu membeli mi segera dengan harga RM4.90 sepeket sedangkan harga sebenarnya ketika itu hanyalah 14 sen sahaja.

Suku abad selepas itu, pembelian dan penyalahgunaan wang rakyat masih lagi berlaku, malah bertambah buruk. Laporan Ketua Juruodit Negara 2006 mendedahkan Kementerian Belia dan Sukan membayar RM5,700 untuk satu jek kereta yang sebenarnya bernilai RM50. Kementerian itu kesemuanya membelanja RM8.39juta berlebihan dari sepatutntya ke atas pembelian di mana contoh yang diberikan di atas.

Laporan itu juga menyebut bagaimana Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat memberi bantuan kepada PBK (NGO) yang tidak layak menerimanya dan bagaimana Jabatan Kebajikan Masyarakat di Raub dan Bentong didapati memberi bantuan sebanyak RM113,035 kepada 36 orang yang telah lama meninggal dunia.

Kementerian Pengajian Tinggi pula memberi pinjaman sebanyak RM5.59juta kepada 4,183 pelajar yang tidak memohon pinjaman. Laporan itu juga menyebut tentang ketidakcekapan pengurusan dan penangguhan pembinaan 6 bot patrol pesisir pantai (OPV) menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM1.4bilion.

Terlampau banyak contoh yang melibatkan pembaziran dapat diberikan kalau ruangan ini membenarkan. Kekalutan pengurusan Kompleks Sukan di London, pembaziran perbelanjaan pelancongan di Korea, ratusan juta dibelanjakan untuk Piala Monsun di Terengganu dan ‘bailout’ bernilai RM4.6 bilion lebih untuk Port Klang Free Trade Zone. Kerajaan pada mula dijanjikan bahawa projek di Pelabuhan Kelang itu tidak akan membabitkan satu ringgit pun wang rakyat kerana ia adalah ‘self-financing’ dan berada dalam tangan para pakar. Bailout itu sekarang ditakrif sebagai pinjaman oleh kerajaan.

Seorang pembaca memberi ‘petunjuk’ kenapa para pemimpin memilih untuk melaksanakan projek mega. Mengikut beliau rasionalnya adalah begini: Kalau dibina sebuah rumah berharga RM250 ribu tetapi kontrek diberi dengan harga R800 penyelewengannya ketara dan mudah dikesan. Ia dianggap melampau dan tetapi kalau bangunan berharga RM60 juta dikenakan harga RM70 juta, tidak ramai yang boleh menduga bahawa bayaran lebih sebanyak RM10 juta telah dibuat untuk tujuan rasuah. Itulah rasionalnya, lebih mudah memakan rasuah untuk projek yang mega-mega. Benarkah?

Untuk kali ini, ketika rakyat diminta mengubah gaya hidup, perlulah kerajaan mengubah cara wang rakyat dibelanjakan. Langkah-langkah hendaklah diambil segera bagi memerangi pembaziran dan penyalahgunaannya. Kendalilah khazanah negara dengan penuh berhemat dan iman kerana bebanan yang ditanggung rakyat hari ini amat berat.

Setiap hari, bermacam-macam berita yang menunjukkan harga barangan dan makanan bertambah mahal. Jalan raya menjadi sepi. Kompleks membeli belah kekurangan pengunjung. Kedai makan yang mengenakan caj RM2 sahaja sepinggan di sebuah pecan kecil menjadi bahan berita utama akhbar dan stesen-stesen TV hari ini. Dulu cerita seperti itu adalah cerita biasa tetapi hari ini ia sebuah cerita ganjil dan layak mendapat tempat di media massa .

Wednesday, June 11, 2008

Jangan takut berbelanja kalau perlu

Tersiar dalam Sinar Harian Rabu 11 Jun, 2008 muka N14


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Beberapa hari lepas, Dewan Pemuda Pas mencadangkan agar potongan dibuat terhadap elaun yang dinikmati oleh para anggota kabinet sebagai langkah mula ke arah berjimat dan menghentikan segala bentuk majlis yang dianggap mewah dan membazir. Beberapa pihak yang lain juga telah mencadangkan tindakan-tindakan lain diambil bagi membendung kesan dari kenaikan harga petroleum.

Pada awal kenaikan petroleum diumumkan, banyak pihak dari kalangan kerajaan menggesa rakyat agar ‘mengubah cara hidup’ bagi menyesuaikan dengan kesan yang akan dihadapi mereka. Tanpa perubahan gaya hidup, pasti mereka sukar melayari badai yang akan mendatang. Ada yang menyarankan agar pergi ke pejabat berkongsi kereta, atau menaiki kenderaan awam, berbasikal atau berjalan kaki. Ada yang menyarankan agar menanam sayuran dalam pasu di rumah.

Sebelum itu penulis ingin mendedah betapa ia disergah melalui e-mel dari seorang peniaga nasi lemak yang membantah tulisan terakhir tiga hari lepas di mana disebut bahawa ‘beras naik lima puluh sen sekilo, nasi tambah naik lima puluh sen sepinggan’ sebagai tidak adil baginya yang mencari rezeki melalui penjualan nasi lemak. Beliau mengaku menaikkan harga nasi lemaknya beberapa hari lalu ekoran kenaikan harga beras dan petroleum. Dia naikkan harga nasi lemak sebanyak 20 sen sebungkus.

Dia menghuraikan bahawa bukan beras sahaja yang naik. Santan naik seringgit sekilo, dari RM3.50 kepada RM4.50. Kertas licin pembungkus pun naik, plastik pun naik. Sekarang petrol untuk kereta buruknya pun naik. Dia bertanya bagaimana dia mahu tampung itu semua. Penulis tidak menjawab e-melnya. Kelmarin penulis terbaca kisah bagaimana harga teh ais bungkus di Kelantan pun boleh naik ekoran kenaikan harga minyak. Pada mulanya penulis terdorong menuduh para peniaga sebagai mengambil kesempatan dari kemelut harga petrol untuk menaikkan harga bermacam barang dagangan.

Selepas dibaca lanjut, penulis pun mula faham sebagaimana penulis tidak dapat menjawab keluhan peniaga nasi lemak itu. Peniaga kiub ais menaikkan harga ais kerana kadar tenaga elektrik di kilangnya naik 30 peratus dan kos penghantaran ais ke kedai-kedai juga naik akibat kenaikan petrol. Ia tidak berakhir di situ. Untuk membungkus teh ais itu, dia perlukan dua jenis plastik, satu yang putih agak tebal untuk diletakkan teh dan ais dan kemudiannya diletakkan dalam plastik bimbit nipis berwarna. Kedua-dua bahan itu diperbuat dari petroleum. Harga petroleum naik., harga plastik naik. Itu kaedahnya.

Maka, kenaikan harga petroleum bukan semudah mengurangkan kadar tol, memberi rebat kepada pemilik kereta. Ia melibatkan keseluruhan pengguna. Mereka yang duduk di hujung kampung yang tidak menggunakan kereta atau motorsikal sebagai kenderaannya juga turut terkesan. Harga ikan sardin yang dihantar ke kampungnya pun akan naik. Harga selipar jepun pun naik. Semuanya ada sedikit sebanyak tersengkut dengan petroleum. Dia boleh tanam sayur di tepi tangganya tetapi bagaimana keperluan lainnya.

Seruan demi seruan agar orang ramai mengubah cara hidup bukanlah sesuatu yang mudah untuk diikuti bagi sebahagian orang kerana kepada mereka tidak ada lagi yang dapat diubah. Segalanya di paras maximum. Membayar ansuran rumah atau sewa rumah, ansuran kereta atau motosikal, insuran nyawa, bil perubatan, petrol, perbelanjaan makanan, perbelanjaan pelajaran anak-anak seperti bas sekolah dan sebagainya pun sudah tidak tertanggung.

Ada pula yang kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat apa-apa. Namun, adalah hakikat bahawa ramai lagi di antara kita yang masih mewah, yang masih mampu berubah dan hendaklah mengambil kesempatan dari keadaan ini untuk berubah kerana kita belum tahu masa depan bagaimana keadaannya.

Dulu sewaktu harga petrol berada di paras USD20 satu tong untuk sekian lama dan terdapat ramalan ia akan mencecah kepada USD100 ramai orang tidak percaya dan mengatakan ramalan itu adalah sesuatu yang gila dan tidak masuk akal. Hari ini harganya bukan lagi telah pun mencecah USD100 tetapi lebih dari USD130 dan para pendita harga petrol berkata ia akan mencecah USD200 setong. Bagaimana kita menghadapinya? Kebuluran yang ceritanya kita dengar dan tonton belaku meluas di Afrika mungkin terjadi di depan mata kita kalau kita tidak berwaspada.

Pada Sabtu lepas penulis melalui ruangan ini menyeru kerajaan melakukan sesuatu untuk berjimat cermat. Kata penulis tidak guna seruan dibuat kepada rakyat kalau kerajaan sendiri tidak menunjukkan teladan. Mengelakkan pembaziran hendaklah bermula dari atas. Ada penulis sebut bagaimana MB Kelantan duduk di rumah papan yang tidak memerlukan perbelanjaan tinggi. Ning Baizura, seorang penyanyi mendedahkan bagaimana dia terserampak dengan KM Pulau Pinang menaiki kapal terbang kelas ekonomi sedangkan Ning dan suaminya sendiri menaiki kelas pertama. Seruan itu pun juga mungkin sia-sia kerana kediaman peribadi para MB dan KM BN lebih besar berbanding dengan kediaman rasmi yang disediakan kerajaan.

Keesokannya, Ahad, penulis terbaca dua tulisan menarik, satu ditulis oleh Wong Chun Wai dalam The Star yang menyeru kepada ‘be prudent with taxpayers’ money’. Kerajaan hendaklah teliti dalam membelanjakan wang hasil dari kutipan cukai dari rakyat. Satu tulisan lain ialah yang dibuat oleh Dr Mohd Asri, Mufti Perlis. Tulisan yang tersiar dalam Mingguan Malaysia 9 Jun amat keras dan sebahagiannya diperturunkan kembali di bawah:

“Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.”

Isnin kelmarin, PM Abdullah Badawi mengumumkan tindakan-tindakan yang diharap mengurangkan pembaziran. Elaun keraian para menteri dipotong 10%, menteri tidak dibenarkan melancong ke luar negara kecuali negara Asean, pengurangan hotel untuk sebarang majlis kerajaan, pembekuan pewujudan jawatan baru kecuali kritikal dikurangkan, pembelian aset termasuk kereta, perabot komputer ditangguhkan dan sebagainya.

Langkah-langkah yang diambil kerajaan itu dihitung akan menjimatkan perbelanjaan sekitar RM2bilion. Penjimatan itu adalah tinggi. Namun apakah ialah sesuatu tindakan yang bijak memandangkan tindakan-tindakan itu sendiri akan membawa implikasi yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Kita tentunya masih ingat sewaktu kita dilanda inflasi pada pertengahan kedua 1990an tindakan sama mula-mula diperkenalkan. Apa sudah jadi. Ekonomi kita hampir lumpuh. Pengusaha hotel banyak membuang pekerja kerana bilangan penginap hotel berkurangan, majlis-majlis keramaian tidak kerap diadakan pada hujung minggu dan seminar kerajaan tidak diadakan di hotel.

Pembekuan pengambilan pekerja baru juga pastinya mendorong kepada bertambahnya pengangguran yang sememangnya sudah tinggi hari ini sedangkan bilangan institut pengajian tinggi bertambah.Apakah universiti-universiti diwujudkan untuk melengah bilangan pekerja dari berada di pasaran? Sesebuah universiti sekarang mempunyai bilangan siswa-siswi puluhan ribu dan terdapat universiti di hampir setiap negeri di negara ini dan ada negeri yang mempunyai berpuluh-puluh universiti. Di dalam sebuah ekonomi yang lembab, kehadiran mereka akan membuahkan krisis sosial.

Semasa pentadbiran Dr Maharthir, beliau menggunakan pendekatan bertentangan arus. Beliau tidak mengekang perbelanjaan. Beliau mewujudkan perbelanjaan bagi mendorong ekonomi berkembang. Tindakannya itu berbeza dari aspek ‘convention’ dan dianggap oleh Soros sebagai gila tetapi tindakan itulah yang membawa kepada terkeluarnya Malaysia dari belenggu kemelaratan inflasi dunia lebih awal dari negara-negara lain termasuk negara maju.

Penulis yakin, pembaziran sebenar bukan terletak kepada elaun keraian yang dinikmati oleh menteri. Dengan menikmati elaun keraiaan sebanyak RM18,865 sebulan yang dinikmati oleh PM sekarang, penjimatan sebanyak 10% itu hanyalah berjumlah RM1,886 sahaja. PM tidak membazir selama ini dari aspek itu. Ramai orang yang terpaksa dirainya sebulan. Jumlah itu tidak memadai. Menteri biasa hanya mendapat RM12,320 dan penjimatan sebanyak RM1,200 sahaja seorang. Bukannya ada ramai menteri. Malah amaun yang tidak mencukupi itulah yang mungkin mendorong beberapa menteri terpaksa mencari ‘duit luar’.

Pembaziran yang sebenarnya berlaku dan yang seperti bersaudara kepada syaitan seperti mana kata Dr Asri ialah pembaziran yang dibuat dalam bentuk rasuah dan kosnya ditanggung rakyat. Ada projek yang berharga RM3 juta tetapi ditawarkan dengan harga RM5 juta dengan RM2 juta itu pergi kepada orang politik. Dan ribuan projek seperti ini terdapat. Jambatan berharga RM100juta boleh dinaikkan kepada RM135juta dan bezanya pergi kepada orang-orang tertentu. Bukan sedikit jumlah yang disonglap!

Ribuan projek diberikan tanpa melalui tender terbuka dan seperti yang didedahkan oleh MB Terengganu baru-baru ini, terdapat satu jalan di dalam hutan berharga RM50 juta dan dia sendiri sebagai exco negeri tidak tahu menahu tentangnya. Banyak perolehan dibuat kerajaan dibeli dengan harga yang mahal. Satu pemutar skrew pun berharga ratusan ringgit. Membaiki kebocoran bangunan parlimen pun berharga hampir seratus juta. Tiris berbelanja berlaku di mana-mana.

Tindakan mengelakkan pembaziran hendaklah melibatkan semua peringkat projek termasuk kecilan, mega dan super mega dan bukannya pemotongan elaun menteri dan kakitangan kanan kerajaan serta menghentikan bentuk majlis mewah sebagaimana disarankan oleh Dewan Pemuda Pas itu. Penjimatannya tidak seberapa berbanding dengan pembaziran yang bersaudarakan syaitan seperti kata Dr Mohd Asri, Mufti Perlis. Bukan RM2 bilion boleh diselamatkan tetapi RM puluhan bilion.