Layakkah Mahathir mengkritik Abdullah
Tersiar dalam akhbat Sinar Harian 8 April, 2008 muka N8
Oleh: Dr Aisar Yee Abdullah
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan jantung kali kedua tahun lepas. Kebelakangan ini beliau kelihatan amat sihat dan ini memberikan beliau satu tenaga baru. Dengan jantung yang baru diubahsuai ini, beliau lebih lincah. Tenaga ini dihala untuk membambu Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Badawi. Beliau menegur apa yang beliau sebut sebagai beberapa kepincangan dilakukan oleh Abdullah. Tegurannya keras dan tanpa belas ihsan.
Teguran tanpa hentinya menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang menyokong beliau dan ramai juga yang bersimpati dengan Abdullah. Simpati diberikan kepada Abdullah kerana Abdullah mewarisi dari mantan PM hampir semua ‘kepincangan’ yang dinamakan oleh Mahathir. “Itu tidak adil namanya”, kata teman penulis, seorang kawan lama. Beliau mengirim e-mel panjang yang menolak tohmahan Mahathir tetapi pada masa yang sama tidak menyatakan sedih terhadap apa yang terjadi kepada Abdullah. Pelik juga. Ikuti petikan sebahagian dari e-mel beliau.
“Saya rasa Tun Mahathir tidak layak menyebut kepincangan sekarang kerana hampir semuanya adalah angkara beliau sendiri. Beliaulah yang mewujudkan itu semua. Beliau bertanggungjawab. Pemerintahannya dulu lebih bersifat kuku besi. Dulu ketua UMNO takut kepada beliau, 3 juta anggota UMNO takutkan beliau. Beliau menguasai segali jentera dan sayap pentadbiran parti dan negara. Semasa pemerintahan Tun tidak ada beza di antara institusi raja, kehakiman dan eksekutif. Semuanya terletak di bawah pengaruh beliau. Rakyat, akhbar, pegawai kerajaan, polis dan sesiapa saja, semua takutkan beliau.
“Tun langsung tidak memiliki kelayakan moral untuk mengkritik Pak Lah. Kritikan-kritikan Tun tidak berasas. Kritikan TUN adalah kritikan terhadap dirinya sendiri. Tun mengkritik tentang kuota, sedangkan kuota itu diperkenalkan oleh beliau. Sekarang beliau mahu sistem itu dimansukhkan. Berpuluh-puluh tahun beliau menerajui takhta UMNO ihsan polisi kuota yang merumitkan sesiapa sahaja yang ingin menentangnya. Kekuatan UMNO banyak kali mengalami turun naik dan tetapi itu tidak memberikan ruang untuk menentang Tun. Adanya polisi kuota dewasa itu menyebabkan beliau gagal ditentang. Itu perisai baginya.
“Sikap beliau terhadap Pak Lah adalah zalim kerana kalaupun pada masa pimpinan Pak lah prestasi UMNO merosot tetapi kita jangan lupa bahawa semasa UMNO dipimpin Tun, UMNO hancur sama sekali. UMNO diisytiharkan sebagai sebuah organisasi haram oleh Mahkamah Tinggi dan Tun membiarkan itu berlaku. Beliau langsung tidak sensitif kepada kewujudan sebuah pertubuhan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1946 oleh orang Melayu dan raja-raja Melayu. Tun tubuhkan sebuah parti baru, UMNO Baru. Sekarang, prestasi siapa yang paling teruk, Tun atau Pak Lah. Tetapi Tun adalah seorang pelupa.
“Sekarang Tun sedang membawa UMNO kepada suatu kehancuran lagi. Tun mahu UMNO berkubur. Tun akan hanya meredakan serangan terhadap Pak Lah apabila beliau melihat Pak Lah berundur. Tun enggan membantu parti yang beliau sendiri tubuhkan. Beliau terus serang dan serang. Apa motif Tun saya tidak tahu. Terdapat tuduhan bahawa Tun menyerang Abdullah untuk menyindir dan melemahkan Khairi bagi memberi ruang mudah kepada anaknya, Mukhriz bertanding jawatan Ketua Pemuda. Itu teori.
E-mel dari kawan tadi yang memandang Mahathir dari sudut amat negatif mengingatkan penulis kepada suatu peristiwa yang terjadi kepada seorang lagi teman penulis bekerja dengan sebuah akhbar. Mahathir telah bertindak mengharamkan akhbar di tempat beliau bekerja. Akbahr yang diharamkan ialah Watan, Star, dan Sin Chew. Di zaman Mahathir kebebasan akhbar dan media massa lain dikekang habisan.
Pengharaman akhbar itu teman penulis diberitahu sudah memang dirancang bagi menyemarakkan suasana perkauman di Malaysia bagi memudahkan ramai tokoh politik ditangkap. Semasa operasi lalang, lebih dari seratus orang pemimpin tinggi politik terutamanya dari pihak pembangkang ditangkap dan ditahan di bawah ISA. Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah Tun yang juga adalah PM.
Mahathir banyak kali mengungkit tentang apa yang beliau namakan penyelewengan yang berlaku di Terengganu. Beliau secara sinis menyebut nama seorang tokoh peniaga sebagai Patrick Badawi sungguhpun nama sebenar orang itu ialah Patrick Lim. Tujuan beliau berbuat demikian ialah untuk mengaitkan kekayaan dan projek yang diperolehi oleh tokoh itu adalah kerana namanya ada hubungan dengan ‘Badawi. Mahathir menuduh bahawa kontrak bernilai billion ringgit telah dimanfaatkan kepada Patrick Badawi. Tokoh ini didakwanya banyak menerima faedah dari projek wang ihsan.
Sebenarnya, pintu penyelewengan wang ihsan ini dibuka luas oleh Mahathir sendiri apabila Pas merampas tampuk pemerintahan Terengganu pada tahun 1999, Mahathir terus menggantung pembayaran wang royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu. Mahathir memberitahu kerajaan Pas Terengganu akan menyelahgunakan wang itu. Wang royalti yang bernilai beberapa billion itu kemudiannya disalurkan sebagai wang ihsan kepada jabatan persekutuan yang bertindak membelanjakan wang itu ikut telunjuk pimpinan BN tempatan justeru ia terlepas dari audit kerajaan negeri. Tradisinya dimulai Mahathir dan sepatutnya Mahathir tidak menyalahkan Abdullah kerana meneruskannya.
Sikap Mahathir yang menganggap apa yang baik diamalkannya dan adalah buruk diamalkan oleh Abdullah amat dikesali. Abdullah mewarisi banyak keburukan dari pentadbiran Mahathir. Mahathir tidak berhak bercakap tentang rasuah dan ketelusan. Semasa zaman pemerintahannya tuduhan bahawa pentadbirannya mengamalkan rasuah, kronism dan nepotism lebih kuat. Pentadbirannya disamakan dengan pemerintahan Soharto, Presiden Indonesia (Allahyarham). Ketua Pemuda UMNO 1996-1998, Zahid Hamidi semasa membaca ucapannya dalam Perhimpunan Pemuda 1998 telah menyenaraikan salah laku Mahathir. Dalam forum UMNO pun Mahathir tidak boleh ditegur. Apa yang terjadi kepada Zahid Hamidi semua diketahui ramai. Beliau ditangkap dan ditahan ISA.
Semasa zaman pemerintahan Mahathir beliau tidak boleh ditegur. Mahathir secara terang-terang memberi arahan kepada anggota parti dan para pemimpin pada semua peringkat untuk hanya menyuarakan sebarang ketidakpuasan mereka terhadap parti dan kerajaan melalui saluran parti, iaitu cawangan, bahagian, perhubungan negeri dan majlis tertinggi sahaja. Ia tidak boleh sekali-kali dibuat secara terbuka. Arahan itu dikeluarkannya semasa perhimpunan agung UMNO tahun 1997. Apakah sekarang Mahathir dikehendaki kembali ke cawangannya untuk menyatakan kritiknya terhadap parti dan kerajaan sesuai seperti arahannya dulu?. Di zaman Abdullah, Mahathir bebas menyatakan apa sahaja kemusykilannya.
Salah satu keadaan yang memilukan rakyat yang terjadi semasa pemerintahan Mahathir ialah terhakisnya kebebasan sistem kehakiman di Malaysia . Para hakim dilihat tidak lagi memiliki kebebasan dan seperti terikat dengan cengkaman eksekutif. Perlantikan para hakim diragui oleh pengamal undang-undang. Pergeseran di antara Majlis Peguam dan kerajaan menjadi-jadi. Beberapa penghakiman dilihat berpihak kepada kerajaan dan tidak diyakini orang. Peguam tertentu dituduh menulis penghakiman bagi pihak hakim. Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes video Lingam mendedahkan kepincangan tersebut. Kejadian ini berlaku semasa pentadbiran Mahathir. 15
Terdapat usaha oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim untuk menyebabkan kerajaan meminta maaf kepada Tun Salleh Abbas, mantan Ketua Hakim Negara kerana pemecatan beliau dipercayai tidak dilakukan di atas asas betul. Ia dikatakan dilakukan kerana bermotif jahat. Ada orang menyeru supaya Mahathir sendiri yang memohon maaf kepada Salleh Abbas. Mahathir enggan dan sebaliknya mengatakan jika ada permohonan maaf yang perlu dibuat, ia hendaklah dibuat oleh panel yang mengambil keputusan memecat Salleh. Persepsi orang ramai ialah panel itu berada di bawah pengaruh Mahathir.
Baru-baru ini terdapat satu seruan dibuat oleh Datuk Param Cumaraswamy sebagaimana tersiar dalam akhbar The Star 3 April yang menyebut balik testimoni Datuk Shafee Yahya, mantan pengarah BPR di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Ariffin Jaka dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000. Terdapat bukti yang kukuh untuk menyiasat Mahathir kerana menyalahguna kuasa dan campur tangan dalam kes kehakiman yang dilakukan pada tahun 1998. Cumaraswamy memetik dari rekod mahkamah yang diperturunkan kembali di bawah.
”Witness: Yes. I was told off, "How dare you raid my senior officer’s office?" I was taken aback and I replied. "This was based on official complain (sic) by an aggrieved party." I did what was officially required under the law. He accused me of trying to fix the former D-G of EPU. I replied that is totally wrong because it is wrong in law to fix anybody. As a Muslim it is a big sin to fix anybody. He asked me, "Did Datuk Seri Anwar Ibrahim ask you to raid the office?” I said, “no”. It was based on an official complain and to be fair to Datuk Seri Anwar when I mentioned the complain against the EPU Chief. I inform Datuk Seri Anwar of my intention to raid but he said, "Have you cleared this with the PM?" I said, "I mentioned this to PM, the PM kept quite (sic).” 18.
Kekecewaan orang ramai terhadap kerajaan BN bermula pada zaman pemerintahan Mahathir. Pada tahun 1999 UMNO diberi pengajaran oleh para pengundi, ia kalah di Kelantan, kalah di Terengganu dan kehilangan banyak kerusi di Selangor, Perak dan Kedah. PAS menang hampir 30 kerusi parlimen. UMNO sudah menunjukkan pereputannya pada masa itu. Abdullah berjaya mengembalikan zaman kegemilangan BN menerusi pilihan raya tahun 2004 tetapi mengalami kekalahan besar pada pilihan raya kali ini. Abdullah kalah kerana dia mengekalkan dasar Mahathir dan tidak mengambil tindakan membersihan kabinetnya dari orang Mahathir. Orang melihat tidak ada beza di antara Abdullah dan Mahathir.
Kekalahan Abdullah juga boleh dikaitkan kerana dia dan rakan-rakan di dalam kabinetnya dilihat bersyubahat dengan segala tindak tanduk Mahathir semasa pemerintahan Mahathir selama 22 tahun. Rakyat tidak melihat rekod bahawa mereka berani menegur Mahathir. Sekali lagi persepsi orang ramai, kabinet Mahathir diisi oleh para ‘yes men’ sebagaimana Mahathir mahu orang ramai percaya bahawa kabinet Abdullah sekarang penuh dengan ‘yes men’ juga. Abdullah sekarang menunjukkan sikap dia mahukan maklumat timbal balik dari semua pihak. Dia tidak mahu orang bersikap ‘yes men’ dan berkali-kali menyatakan beliau mahu ditegur.

0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home