Wednesday, May 28, 2008

Begitulah UMNO, dulu, kini dan selamanya

Tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 28 Mei, 2008 muka N14


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Tulisan yang dibuat penulis pada Ahad 11 Mei berkaitan keruntuhan permuafakatan Melayu menimbulkan beberapa reaksi dari pembaca. Pengendali akhbar ini memberitahu penulis bahawa pembaca telah mengirim beberapa e-mel mahu penulis menghurai lanjut tentang pilihan yang ada pada orang Melayu.

Mengimbas balik, penulis ada menyebut bahawa undi orang bukan Melayu pada 8 Mac lepas mutlak berpihak kepada parti pembangkang. Mereka secara muafakat menolak parti MIC, MCA, Gerakan dan PPP untuk mewakili kepentingan kaum mereka. Mereka tidak lagi menyokong BN. Mereka memilih DAP dan PKR. Dengan berbuat demikian, parti pilihan mereka menang besar dan meletakkan parti tersebut sebagai rakan utama dalam pemerintahan kerajaan negeri di Pulau Pinang , Perak dan Selangor.

Orang Melayu sebaliknya masih bersikap waspada. Mereka tidak berapa suka kepada BN tetapi tidak berani memilih PAS untuk mewakili mereka. Akibatnya, PAS menang kecil di Perak dan Selangor serta menang hanya satu kerusi di Pulau Pinang. Dengan kemenangan begitu kecil, pastinya PAS tidak mendapat layanan dalam pentadbiran kerajaan di negeri-negeri tersebut. Di Pulau Pinang, sungguhpun Pas berupa sebuah parti komponen PR, Pas langsung tidak diberi sebarang tanggungjawab.

Melayu tidak bulat sokong Pas dan tidak sepakat pula sokong UMNO. Sikap Melayu ini akhirnya merugikan mereka. BN, di mana UMNO menjadi terasnya gagal membentuk kerajaan di negeri-negeri tersebut. UMNO, sungguhpun menang besar tetapi akhirnya hanya berperanan sebagai parti pembangkang.

Memandangkan ramai ADUN Melayu berada di pihak pembangkang dan sedikit sahaja ADUN Pas yang menang, iaitu satu di Pulau Pinang, enam di Perak dan lapan di Selangor, maka lebih ramai ADUN bukan Melayu dilantik sebagai anggota Exco. Keadaaan ini dikatakan telah merugikan Melayu. Melayu bukan lagi dianggap sebagai peneraju kuasa tetapi hanya pelengkap kuasa.

Maka, ada disarankan agar Melayu mengambil sikap meniru orang bukan Melayu. Pada 1999, sewaktu Melayu banyak menyokong Pas (Pas menang 28 kerusi Parlimen), dan kerajaan BN diselamatkan oleh bukan Melayu, tindakan awal dilakukan oleh kerajaan BN ketika itu ialah mengubah kawasan persempadanan pilihan raya di mana lebih banyak kawasan ‘berpenduduk campuran’ diwujudkan. Kawasan-kawasan pilihan raya yang padat dengan penduduk-penduduk Melayu dikurangkan kerana ‘trend’ dewasa itu orang Melayu memilih Pas. Banyak kawasan diselamatkan dari jatuh ke tangan Pas kerana undi bukan Melayu bulat menyokong BN.

Stail politik orang bukan Melayu ini menguntungkan mereka. Kawasan-kawasan di mana pengundi Melayu berada sekitar lima puluh lima peratus hingga tujuh puluh peratus banyak diwujudkan kerana terbukti di kawasan-kawasan begini BN akan menang mudah. Banyak pula kawasan-kawasan yang peratusan pengundi Melayu berada seperti di atas diserahkan pula kepada calon BN dari kalangan parti bukan Melayu untuk bertanding. Di antara kawasan itu ialah Alor Star (Melayu 58.4%), Padang Serai (Melayu 58.6%), Bukit Gantang (Melayu 62.6%), Kuantan (Melayu 58.0%) dan banyak lagi kawasan lain.

Percaturan politik komuniti bukan Melayu dibuat secara berencana. Mereka bijak mengatur strategi. Kita perhalusi satu kerusi parlimen untuk kajian kes. Kita ambil kerusi P45 Bukit Mertajam. Pada 2004 kerusi ini dimenangi oleh Chong Eng dari DAP dengan majoriti sebanyak 8,564 undi. Jika seorang calon parlimen boleh meraih majoriti sebanyak itu, kedudukan kerusi-kerusi DUN di bawah parlimen itu pastinya boleh dianggap selamat bagi sesebuah parti yang sama. Terdapat tiga buah kawasan di bawah P45 Bukit Mertajam, iaitu Berapit, Machang Bubuk dan Padang Lalang.

Lihat betapa tajam permainan politik masyarakat Cina. Sungguhpun calon parlimen MCA kalah, tetapi ketiga-tiga kerusi DUN di situ dibolot oleh BN! DUN Berapit dimenangi oleh Lau Chiek Tuan, BN dengan majoriti 3,966, Machang Bubuk juga ditawan oleh BN dengan majoriti 5,655. Padang Lalang juga dimenagi oleh calon BN. Perhatikan campuran majoriti yang dimenangi oleh kedua-dua calon BN itu yang melebihi 9,000 undi. Ganjil untuk parlimen Chong Eng dapat majoriti hampir 9,000 undi tetapi untuk DUN di kawasan sama BN dapat majoriti lebih dari 9,000 undi. Inilah satu permainan yang amat licik.

Permainan begini gagal diikut oleh orang Melayu. Mereka patuh kepada suatu parti sepanjang masa. Masyarakat Cina pilih BN untuk membentuk kerajaan negeri tetapi pada masa yang sama memilih DAP untuk meniup wisil apabila perlu. Mereka utamakan check and balance. Komuniti Melayu setia kepada satu parti. Barangkali Melayu yang sudah lama terpengaruh dengan feudalism mendapati begitu sukar untuk menderhaka kepada entiti yang diangkatnya menjadi ‘tuan’, iaitu UMNO. Kepercyaan bulat Melayu ini kepada satu parti menyebabkan kepercayaan itu mudah disalahgunakan. Mereka meletakkan telur dalam satu raga.

Keputusan pilihan raya Mac lepas meletakkan Melayu dalam dilema. Ia tersentak dari lamunan. Tiba-tiba Melayu hilang kuasa. Hilang kuasa disebabkan permainan licik politik orang Cina dan kemungkaran politik dilakukan oleh pemimpin Melayu sendiri. Perpaduan bulat kaum itu membolehkan mereka memegang tampuk kuasa. Jawatan-jawatan exco di negeri seperti Pulau Pinang. Perak dan Selangor bermajoriti bukan Melayu.

Perpecahan undi Melayu menyebabkan semua ini terjadi. Pada tulisan lepas ada penulis bayangkan saranan agar Melayu membuat pilihan untuk menyelamatkan keadaan dan meniru taktik komuniti bukan Melayu. Tetapi, siapa pilihan Melayu penulis serahkan kepada komuniti itu sendiri, terus kekal bersama UMNO atau pilih satu wadah baru, Pas?

Penulis menerima banyak maklum balas tentang saranan yang dibuat pada tulisan sebelum ini. Kebanyakan pembaca menyatakan mereka mahu supaya satu parti lain diberi pilihan bukan lagi UMNO. Mereka berkata mereka sudah bersikap adil kepada UMNO. Sudah lebih 50 tahun UMNO diberi ruang untuk memainkan peranan mewakili Melayu dan sampai masanya mandat itu ditarik balik

Hujah mereka ialah UMNO sudah menjadi rosak ‘beyond repair’. Ia diibaratkan sebagai sebatang pokok yang ‘rotten to the core’ yang hanya menunggu masa untuk tumbang. Dan akhir-akhir ini badai kian kerap bertiup seperti terlampau ghairah untuk menumbangkannya. Pengunduran anggota UMNO yang mempunyai pendaftaran nombor 0000001, Tun Dr Mahathir adalah bukti yang diberikan kepada penulis oleh pembaca bahawa keadaan dihadapi UMNO kian parah.

Kata mereka, UMNO yang ada hari ini pun bukanlah UMNO sejati yang dilahirkan di Istana Johor pada 11 Mei 1946. UMNO ‘tulen’ itu dimatikan oleh Mahathir pada 1998 ekoran krisis merebut jawatan parti. Sungguhpun memakai nama baru, UMNO (Baru), parti itu kekal dikenali umum sebagai UMNO dan mendapat kepercayaan orang ramai terutamanya Melayu untuk mewakili mereka selepas itu. Namun kemudiannya, seperti terkena ‘tulah’ parti itu mula diserang penyakit. Makin lama, makin tua, penyakit kian bertambah laksana baik kencing manis diserang pula darah tinggi. Belum pun sembuh darah tinggi, ia terkena gout pula.

Kuasa menerajui negara yang diperolehi melalui UMNO membawa kekayaan harta benda kepada para pemimpinnya. Maka berebut-rebutlah orang untuk menjadi pemimpin UMNO. Ini menggalakkan rasuah atau dalam bahasa UMNO, ia disebut politik wang. Seorang pembaca memberi komen kepada penulis bahawa kalau ingin menilai keupayaan UMNO untuk berjaya dipulihkan, lihatlah sahaja perjuangan UMNO menghapuskan politik wang. Kalau UMNO berjaya di situ, berjayalah UMNO memulihkan imejnya dan bolehlah kembali diberi kepercayaan memimpin Melayu.

Penulis diingatkan bahawa Mahathir semasa memimipin UMNO telah berkali-kali merayu kepada para perwakilan agar tidak terlibat dengan politik wang. Beliau menganggap orang yang sanggup menerima wang ini pada suatu hari akan sanggup menggadai negara demi wang. Rayuan demi rayuan dibuatnya. Dia gagal. Dia menangis dalam suatu perhimpunan agung UMNO merayu agar perbuatan hina itu dihentikan. Politik wang kekal berterusan. Dia mengadakan satu perhimpunan khas UMNO khusus membicarakan politik wang pada 2000 dan hasilnya amat mengecewakan juga. Politik wang sudah menjadi darah daging UMNO.

Setahun demi setahun pelbagai ikhtiar dilakukan parti agar politik wang dapat hapuskan. Sehinggakan Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Peraturan UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ‘Anda sebutlah tataetika apa sekali pun, ia tidak akan memberi sebarang makna jika ahli UMNO tidak berpegang kepada prinsip dan adab politik’. Pada pemilihan terakhir lalu, seorang Naib Presiden parti didapati bersalah terlibat dalam politik wang. Pada mesyuarat MT 27 Mac lalu, lagi peraturan baru dikeperkenalkan dan pastinya seperti dulu ia akan membawa apa-apa perubahan kerana politik wang sudah sebati.

Dalam aspek politik wang sahaja UMNO yang mantan presidennya menangis mahu ia dihentikan di depan ribuan perwakilan dan permerhati di Dewan PWTC pada 2000 serta ditonton oleh jutaan manusia di rumah melalui kaca TV siaran langsung tetapi tidak diendah para anggotanya, maka apakah ada jaminan UMNO mampu berubah dari persepsi yang ada padanya hari ini ? Semua penyakit sudah menyerang UMNO, gout, kencing manis, darah tinggi, dan jantung. Kalau keadaan dibiarkan, penyakit angin ahmar pula menyerang dan akan melumpuhkannya.

Keadaan yang ada pada UMNO hari ini boleh memudahkan Melayu membuat pilihan. Pilihan di depan mata amat jelas. Orang Melayu tidak akan menghampirinya. Namun, UMNO masih mempunyai masa untuk merawat dirinya dan kembali menjadi sebuah parti yang gah. Hambatannya, tugas itu amat berat memandangkan penyakit-penyakit kronik yang ada pada UMNO.

Sunday, May 25, 2008

Masih bergelar mawarkah tanpa duri?

Tersiar dalam Sinar harian, Ahad 25 Mei, 2008 muka N14

Oleh Aisar Yee Abdullah

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO diibaratkan oleh Tun Musa Hitam sebagai ‘duri dalam daging sudah terkeluar’. Dengan terkeluarnya ‘duri’ itu, UMNO sekarang mempunyai peluang untuk dikukuhkan. Sungguhpun Musa sedih dengan tindakan Mahathir, dia berharap anggota UMNO tenang menerimanya kerana tindakan itu mengandungi hikmah. Musa beranggapan bahawa ‘kita semua dalam UMNO telah kesesatan jalan.’ Beliau mahukan anggota parti itu menyambar peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata adalah tidak wajar bagi Musa menyifatkan tindakan Mahathir itu bagaikan duri dalam daging sudah terkeluar. Menganggap Mahathir sebagai duri dalam daging kepada UMNO bermakna menafikan sumbangan Mahathir yang besar kepada negara dan parti mengikut Shafie.

Mahathir memang seorang tokoh kontroversial dalam politik negara kita. Dia dikagumi tetapi pada masa yang sama tidak disenangi kerana tindak tanduknya menampakkan memiliki ciri diktatorial. Dia digelar diktator yang baik. Dia dikagumi terutamanya di dunia ketiga yang menganggap dia sebagai hero mereka. Selama 22 tahun dia memandu Malaysia menjadi sebuah negara yang moden. Para pemimpin UMNO pada masa itu menyifatkan dia sebagai satu anugerah kepada rakyat Malaysia. Dia dikatakan seorang maverick. Dia berjaya membawa Malaysia terkeluar dari kekangan kemelesetan ekonomi melalui teorinya sendiri. Untuk itu dia dikagumi dunia.

Pertelingkahan beliau dengan Datuk Seri Abdullah Badawi bertambah kusut selepas pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini. Kemuncaknya, beliau mengumumkan berundur dari menjadi anggota parti. Penarikan diri beliau telah membuahkan pelbagai komen yang rata-rata menyatakan terkejut dengan tindakan diambil Mahathir. Namun, komen yang diberikan oleh Musa berupa yang terpedas. Pastinya komen seperti itu akan mengundang jawapan balas dari Mahathir. Penulis perturunkan sepenuhnya komen Mahathir untuk memberikan gambaran lebih tepat perasaan Mahathir tehadap komen Musa.

“Saya telah ikuti laporan berkenaan keputusan saya keluar dari UMNO yang disiarkan RTM 1, 8 malam, 19 hb Mei. Komen oleh dua pemimpin UMNO amat menggelikan hati saya.

“Tun Musa Hitam dakwa saya adalah ‘duri dalam daging yang sekarang sudah dikeluarkan.’

Tun, apakah Tun lupa Tun jadi duri dalam daging UMNO tahun 1986 - 87 dahulu? Semasa Tun jadi Timbalan Perdana Menteri [dilantik oleh saya]. Tun telah letak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kerana hendak saya berhenti daripada jadi Perdana Menteri dan diganti oleh Tun. Atas rayuan ahli Majlis Tertinggi, Tun kembali sebagai Timbalan Presiden UMNO. Rupa-rupanya Tun masih punyai niat untuk jatuhkan saya.

‘‘Oleh itu Tun menghasut Tengku Razaleigh yang menjadi musuh ketat Tun supaya lawan saya. Demikianlah bencinya Tun kepada saya sehingga sanggup terima musuh ketat Tun bertanding Presiden, dan Tun jadi Timbalannya; Tun sebelum itu rayu supaya saya sokong Tun untuk rebut jawatan Timbalan Presiden dalam pertandingan lawan Tengku Razaleigh.

‘‘Akhirnya pecahlah UMNO dan muncullah parti serpihan Semangat 46. Tetapi dengan bijaknya Tun tidak menyertainya. Tun selamat dan dilantik oleh saya sebagai perutusan bertaraf Menteri ke Bangsa-Bangsa Bersatu. Tengku Razaleigh terkeluar daripada UMNO Baru dan menjadi mangsa perancangan Tun. Syabas Tun. Saya tak tahu sekarang Tun ahli UMNO atau tidak.

‘‘Satu lagi pemimpin UMNO ialah Shahrir Samad yang lupa bagaimana dia keluar UMNO, jadi calon bebas dan lawan dengan UMNO, dalam pilihan raya Kecil dengan simbol kunci.

‘‘Siapakah kamu yang nak kritik tindakan saya? Jika tidak kerana kakak Tun Musa sebagai Ketua Wanita Johor Bahru datang pagi-pagi ke rumah saya untuk merayu supaya Dato dibenar kembali ke pangkuan UMNO, Dato akan jadi duri dalam daging UMNO lebih lama.
Walaupun Dato maki hamun saya semasa pilihan raya kecil saya bersetuju Dato masuk balik UMNO.

Saya ucap tahniah kerana Dato dapat sekali lagi jadi Menteri.
Jagalah harga barang baik-baik. Tak usahlah komen tentang diri saya.

Tepuk dulang paku serpih.
Katakan orang awak yang lebih.”

Dari komen Mahathir ini kita dapati beliau sebaliknya menyebut Musa dan Shahrir sendiri sebagai duri dalam daging. Dia mengimbas balik peristiwa 1986 dan 1987 di mana Musa telah meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri tetapi tidak meletak jawatan sebagai timbalan presiden UMNO di atas alasan jawatan TPM adalah lantikan Mahathir tetapi timbalan presiden dipilih oleh perwakilan UMNO.

Musa dikatakan tidak senang dengan tindakan Mahathir yang masih lagi mengekalkan Tengku Razaleigh sebagai menteri sungguhpun Razaleigh sudah tewas kepadanya dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden UMNO dengan bantuan Mahathir.

Tentunya, Mahathir mempunyai percaturan sendiri mengekalkan Razaleigh dalam kabinetnya. Beliau mahukan Razaleigh dijadikan benteng bagi kepentingan politiknya kerana dia tahu suatu hari nanti mungkin Musa akan menentangnya dan mencabarnya untuk jawatan presiden. Ketika itu, Mahathir akan mengugut Musa untuk menyokong Razaleigh kalau Musa bertindak ‘nakal’ mahu menentang beliau. Beliau mahu Musa sentiasa taat kepadanya.

Musa menganggap kehadiran Razaleigh mengganggu ketenteraman jawatannya. Razaleigh memang mempunyai pengaruh yang kuat dalam UMNO dan Razaleigh sentaisa akan jadi ancaman kepadanya. Kalangan UMNO Johor menyokong kuat Musa dan tindakan-tindakan yang dibuat oleh penyokong-penyokong Musa telah merenggangkan hubungannya dengan Mahathir.

Kalangan penyokong Musa merangka plot menjatuhkan Mahathir. Keanggotaan Majlis Tertinggi UMNO pada ketika itu majoritinya berupa para penyokong Musa. Percubaan dibuat melalui mesyuarat MT untuk memaksa Mahathir meletak jawatan melalui satu usul undi tidak percaya. Pada perkiraan para penyokong Musa rancangan itu pasti berjaya kerana dijangka akan mendapat sokongan besar para anggota MT malam itu.

Mesyuarat panjang malam tersebut berakhir dengan keputusan di luar jangkaan puak Musa. Bukan Mahathir yang berjaya dipaksa meletak jawatan tetapi Musa sendiri yang terpaksa meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Usaha memujuk Musa dibuat sehingga di depan Kaabah tetapi masih gagal. Namun Musa bertindak mengekalkan jawatan timbalan presiden UMNO. Dia masih lagi merancang.

Musa masih lagi mengharapkan dengan kedudukannya sebagai timbalan presiden UMNO dia ada ruang untuk memujuk anggota parti menjatuhkan Mahathir. Tetapi, Mahathir lebih pantas pergerakannya. Dia langsung tidak memberikan apa-apa tugas kepada Musa selaku timbalan presiden. Timbalan presiden tanpa tugas, tanpa kuasa, tidak membawa apa-apa erti.

Satu lagi usaha dibuat oleh Musa untuk menjatuhkan Mahathir. Kali ini melalui gembleng tenaga bersama Razaleigh. Musa bertanding timbalan presiden dan Razaleigh diberi tugas menentang Mahathir. Razaleigh tewas dengan hanya 43 undi.

Razaleigh terus menentang Mahathir melalui parti Semangat 46 sementara Musa terkontang-kanting keadaannya sehinggalah usaha-usaha dibuat bagi membolehkan para pemimpin Melayu Johor kembali menyertai UMNO. Perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Melayu Johor diadakan yang mendesak mereka menyertai balik UMNO hanya sekadar ingin menjaga maruah Mahathir dan tokoh-tokoh politik UMNO sahaja. Ada orang mulanya enggan diterima oleh Mahathir menganggota partio barunya, UMNO Baru. Seperti kata Mahathir usaha sebenarnya dirintis oleh kakak Musa iaitu, Puan Hajjah Fatimah Hitam.

Itu secebis kisah lama yang merakam kembali persengkataan mereka. Adakah dendam dan perbalahan lama inilah yang mendorong Musa menyifatkan Mahathir sebagai duri dalam daging? Bunga mawar harum baunya tetapi penuh dengan duri. Masih bergelar mawarkah bunga itu kalau ia sudah tidak berduri?

Wednesday, May 21, 2008

Mengapa Mukhriz tidak ikut jejak bapa

Tersiar dalam SH muka N14 pada Rabu 21 Mei

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Perbezaan pendapat di antara mantan Presiden UMNO, Tun Mahathir dengan orang yang dipilih olehnya menggantikan tempat beliau sebagai presiden UMNO sekali gus menjadi Perdana Menteri Malaysia begitu ketara dan sudah tidak terubat lagi. Tun Mahathir membuat satu keputusan yang amat mengejutkan. Dia bertindak keluar parti. Mengejutkan kerana langsung tiada desas desus yang menunjukkan beliau akan mengambil sikap begitu beberapa hari sebelum itu dan parti yang ditinggalkannya itu ialah parti yang beliau sendiri asaskan pada 1998.

Akhbar Sinar Harian semalam, 20 Mei membawa tajuk besar berbunyi ‘Ikut saya keluar.’ Tajuk itu dihurai lanjut di muka depan akhbar tersebut dengan kata: ‘Tun Dr Mahathir yang tinggalkan UMNO kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri dan presiden parti, mengajak semua lapisan ahli mengikuti beliau’.

Penulis ingin melihat perkembangan dari sudut ini. Penulis mahu tahu kesan yang akan berlaku hasil dari ajakan mantan presiden parti itu yang mahukan ramai mengikutinya. Beliau mahukan mereka keluar dari UMNO tetapi tidak menyertai parti lain sebaliknya memasuki balik parti itu sebaik sahaja bukan Abdullah yang memimpinnya lagi. Beliau mencadangkan ketua-ketua UMNO cawangan dan bahagian bertindak mengikutnya sebagai tanda tekanan ke atas Abdullah agar segera berundur sebagai presiden parti.

Kenapa penulis ingin melihat sejauh mana gesaan Mahathir ini diikuti oleh orang lain? Ingin penulis huraikan bahawa sudah sekian lama penulis perhatikan bahawa ciri budaya UMNO ialah patuh kepada pemimpin yang sedia ada dan mereka yang tidak lagi memegang kuasa tidak diberi layanan setimpal dengan sumbangan dan peranan mereka sebelum ini oleh pemimpin sekarang tanpa mengira sejauh mana akrabnya mantan pemimpin itu dengan pemimpin masa kini. Sudah banyak contoh.

Dr Mahathir sering kali membangkitkan bahawa dia tidak diberi layanan sewajarnya oleh kalangan UMNO sendiri. Dia menuduh dia dihalang dari menemui orang UMNO atau orang UMNO dihalang dari menemui beliau. Majlis-majlis keraian yang beliau adakan di kediamannya tidak lagi dikunjungi oleh para pemimpin berkenaan. Para menteri yang dilantiknya dulu pun tidak mengunjunginya lagi.

Pernah dilaporkan bahawa pada suatu ketika dahulu, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Padang Besar menasihatkan anggota mereka tidak menghadiri ceramah Tun Mahathir yang dijadualkan berlangsung di Beseri, Perlis. Ketua bahagian UMNO di situ, Datuk Zahidi Zainul Abidin berusaha memberi pentas kepada Tun Mahathir. Zahidi akhirnya bertindak menarik balik jemputan yang dibuat kepada Tun dan menjemput Abdullah sebaliknya.

Selain tidak dibenarkan menghadiri ceramah-ceramah Tun Mahathir, layanan akhbar ke atas Tun juga dianggapnya hampir sama dengan layanan yang diberikan kepada pihak pembangkang. Tun selalu mengeluh tentang hal ini. Katanya akhbar di zaman Abdullah tidak bebas seperti pada zamannya. Itu dakwaan beliau.

Pada 24 Jun 2006 Tun telah mengadakan satu dialog di dewan Century Paradise Taman Melawati. Tiada laporan tentang dialog ini tersiar di akhbar di Malaysia . Prosiding dialog ini dirakamkan dan vcd rakaman ini diberikan percuma kepada orang ramai. Dipercayai ribuan keping vcd dicetak dan diedarkan secara percuma oleh pelbagai golongan berkepentingan. Di dalam vcd tersebut Mahathir mengkritik Abdullah pedas.

Mahathir dikenali sebagai seorang yang sering bercakap sinis. Katanya, semasa berucap dalam majlis itu, anggota kabinet beliau terdiri dari orang yang tidak berkelayakan dan tidak berkualiti kerana hampir semua keputusan yang dibuat oleh kabinetnya, dirombak oleh Abdullah sungguhpun anggota kabinet beliau dan Abdullah hampir terdiri dari orang sama.

Dari kritikan beliau di atas yang dibuat secara seloroh dan sinikal itu, menunjukkan bahawa keputusan yang beliau buat itu bersama anggota kabinetnya dengan mudah dipinda oleh Abdullah. Beliau merujuk kepada pembinaan jambatan yang dikenali sebagai jambatan bengkok Johor-Singapura, isu Proton dan penjualan Agusta. Beliau nyata tersinggung kerana kumpulan orang yang mengubah keputusan beliau adalah orang yang sama hanya bezanya bertuankan orang lain sahaja.

Kita lihat pula bagaimana permintaan Tun Mahathir untuk dilantik sebagai salah seorang anggota perwakilan UMNO bahagian Kubang Pasu ke mesyuarat agung tahunan UMNO 2006. Menjadi perwakilan UMNO pada tahun di mana tidak ada pertandingan bukanlah sesuatu yang diharapkan dan ingin direbutkan sangat oleh para anggota parti. Kalau tidak ada pertandingan, tidak adalah peluang untuk mengharapkan sesuatu saguhati dari calon yang bertanding merebut jawatan penting dalam parti seperti MT dan jawatan yang lebih tinggi dari itu.

Maka permintaan itu sepatutnya mudah ditunaikan apa lagi kalau ia datang dari seorang bekas presiden parti sendiri. Apa sangat yang hendak ditakutkan kerana selantang mana Tun Mahathir bercakap, dia pasti tidak akan dapat bercakap dalam perhimpunan agung itu kerana yang hanya boleh bercakap ialah perwakilan dari negeri dan Tun Mahathir bukannya dipilih untuk mewakili negerinya berucap. Dalam sistem dipraktikkam UMNO, bukan semua orang boleh bangun untuk minta berucap, hanya perwkilan negeri dibenarkan. Ia ditentukan oleh parti awal-awal lagi. Anehnya, segala usaha dilakukan bagi menghalang Tun memenangi salah satu dari tujuh kerusi wakil bahagian.

Tindakan itu seperti memperlihatkan begitu banyak menteri, menteri besar yang dilantik sendiri oleh Tun tidak lagi mengenali beliau dan telah melupakan sumbangan Tun terhadap parti dan negara sepanjang dia menjadi PM selama 22 tahun. Ada di antara anggota jawatankuasa bahagian beliau yang bertindak menghalang usahanya sungguhpun orang inilah yang membongkok mencium tangan beliau beberapa ketika dulu. Beliau ditendang terajang oleh ‘tomoi kedah’ dalam mesyuarat bahagian pada 9 September 2006 dan tewas terpilih sebagai anggota perwakilan UMNO Kubang Pasu.

Itulah layanan yang diberikan kepada seseorang yang tidak lagi mampu memberi jawatan dan kedudukan kepada lain. Tun Dr Mahathir bukan lagi berjawatan Perdana Menteri yang boleh dengan sekelip mata menjadi seseorang itu kaya. Maka haruskah dia dilayan dengan baik lagi?

Menyedari layanan yang diberikan kepada TunDr Mahathir selepas tidak lagi bergelar PM, penulis mula ragu akan kejayaan gesaan beliau yang mahukan banyak pihak lain mengikuti jejak langkah beliau. Akhbar-akhbar semalam sudah banyak menyiarkan berita tentang kekesalan para pemimpin UMNO lain terhadap tindakan Tun Dr Mahathir keluar parti tetapi hampir tidak ada langsung yang menyuarakan sokongan terhadap tindakan beliau.

Menghalusi berita-berita yang tersiar di akhbar-akhbar semalam bagi mencari sejauh mana seruan Tun Dr Mahathir ini diikuti, kita hanya terjumpa satu berita tentang 300 orang anggota UMNO cawangan Merbok yang mengumumkan akan bertindak keluar parti selaras dengan seruan mantan presiden itu. Beberapa orang ketua cawangan dari bahagian Kubang Pasu pula mengumumkan akan memboikot pilihan parti akan datang, tetapi tidak keluar parti. Datuk Seri Sanusi Junid pula mengumumkan beliau telah lama meninggalkan parti. Mantan anggota MT, Tan Sri Khalid Abdullah berjanji akan meninggalkan parti. Setakat itu sahaja yang lain tiada kedengaran lagi.

Malah perkembangan terbaharu menunjukkan Mukhriz juga tidak ingin menurut jejak langkah bapanya. Sungguhpun dia merestui tindakan bapanya, dia bertekad untuk berjuang dari dalam. Dia ingin lakukan seperti apa yang dibuat oleh Tengku Razaleigh. Razaleigh mengumumkan dia akan kekal bersama UMNO bagi membolehkannya bertanding merebut jawatan yang disandang Abdullah.

Menarik dilihat akan kengganan Mukhriz mengikut jejak langkah bapanya. Kalau dia sendiri enggan, mengapa pula orang lain perlu patuh. Apakah Mukhriz akan mempertahankan kerajaan pimpinan Abdullah jikaia digugat oleh parti pembangkang melalui usul undi tidak percaya ?

Dengan mempertahankan kerajaan tentunya Mukhriz akan dilihat menempelak pendirian bapanya yang tidak putus-putus mengecam kerajaan.

Sunday, May 18, 2008

Banglo kamar kecil sebelah jamban

Disiarkan dalam SH Ahad, 18/5 muka N14

Oleh Aisar Yee Abdullah

Kenyataan dibuat oleh Datuk Anifah Aman (BN- Kimanis) di Parlimen baru-baru ini bahawa “tidak salah untuk berpindah ke rumah lebih kecil jika sudah tidak kedapatan lagi ruang di rumah besar” mencetus keadaan bimbang di kalangan anggota kerajaan BN. Persoalan mula ditanya lebih kerap adakah ini bermulanya tanda-tanda kepada satu realiti bahawa kerajaan BN akan tumbang melalui satu lompatan besar-besaran ADR dari Malaysia Timur ke parti PR dalam masa terdekat ini atau pada masa lain nanti?

Perasaan bimbang itu bertukar menjadi menggelabah apabila timbul desas desus bahawa pada Rabu (beberapa hari lepas) akan berlaku peristiwa lompat ke PR oleh ADR BN. Namun, peristiwa itu tidak terjadi. Setiap pergerakan wakil rakyat Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat menjadi perhatian. Langkah mereka diperhati tajam. Ramai ADR BN dari Semenanjung berasa gusar takut-takut mereka ini secara tiba-tiba berkumpul di suatu sudut sambil dikelilingi oleh para wartawan yang merakam peristiwa bersejarah di mana lompatan beramai-ramai ke pihak pembangkang diumumkan.

Penulis pada awal-lawal lagi mengambil sikap bahawa Datuk Seri Anwar tidak akan berjaya mempengaruhi wakil-wakil rakyat BN untuk meninggalkan parti yang memerintah itu bagi menyertai partinya. Penulis telah pun menulis tentang ini pada suatu ketika dulu. Namun, isu ini sering sangat dimainkan oleh Anwar sehinggakan ia berjaya membuatkan ramai orang tertanya-tanya, betulkah ini akan berlaku.

Tindakan Anwar memainkan isu ini bagaimanapun telah berjaya menyemarakkan perasaan wakil-wakil rakyat Sabah dan mengambil kesempatan untuk menyuarakan ketiadakpuasan hati mereka terhadap layanan yang diberikan oleh kerajaan pusat terhadap negeri itu. Malah, kedaaan itu membolehkan mereka mengambil sikap untuk mengancam kerajaan pusat supaya melakukan sesuatu demi Sabah kalau tidak ‘tidak mustahil mereka akan meninggalkan banglo yang tersergam besar tetapi tidak memberi ruang yang sepatutnya kepada penghuni dari Sabah’. Mereka hanya diperuntukkan sebuah kamar kecil di tepi jamban. Itulah ibarat yang nmereka berikan.

Anifah memberi amaran bahawa jika dan apabila ADR Malaysia Timur melompat parti, kerajaan tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Anifah adalah di antara orang yang menyebut tentang ketidakpuasan hati tentang cara BN mengendalikan isu-isu di kedua-dua negeri di Malaysia Timur. Dia memberitahu bahawa kemungkinan dia melompat parti itu sentiasa ada. Dia mendakwa akan berbuat demikian demi rakyat apabila perlu nanti.

Paling keras ialah ultimatum diberikan oleh presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Yong Teck Lee. Beliau mahukan masalah di Sabah diselesaikan pada Ogos ini. Selepas itu, mengikut beliau tidak ada jaminan bahawa anggota partinya akan kekal dalam BN. Pimpinan BN katanya tidak boleh menolak kemungkinan anggotanya meninggalkan BN pada masa akan datang. Beliau mengaku mengambil kesempatan dari kecelaruan yang dihadapi BN sekarang untuk mengemukakan desakan. Semua ADR dari Sabah digesa oleh Yong menyokong Anifah.

“Inilah masa yang amat sesuai untuk BN melakukan sesuatu bagi Sabah kerana jika kita tidak melakukannya, Sabah akan kembali kekal berperanan sebagai penyendal sahaja selepas Ogos ini sebab Sepetember bulan puasa, Oktober hari raya dan Disember perhimpunan agung UMNO,’ kata Yong.

“Jika tiada perubahan, ledakan akan berlaku pada Januari di mana pembangkang akan terlibat,” katanya memberi amaran keras. Dia menghujjah bahawa Anwar tidak perlu memujuknya kerana Anwar telah pun menjanjikan sesuatu yang menarik semasa kempen pilihan raya umum lepas. Anwar berjanji untuk memberikan Sabah royalti petroleum sebanyak 20 peratus.

Datuk Joseph Pairin Kitingan mengibaratkan situasi di Sabah seperti sorang doktor yang tidak merawat pesakitnya yang mengadu sakit di sana sini. “Anda terus berasa sakit, lemah-lemah dan sedih. Kesakitan sering diadukan di Dewan dan pesakit sentiasa mengadu kepada doktor dia mahukan rawatan,” hurai beliau. Wakil-wakil rakyat Sabah katanya hanya bertindak demi negara semata-mata.

Setakat hari ini, Datuk Seri Panglima Abdul Ghaffur Salleh (BN-Kalabakan) menafikan sebarang pengetahuan tentang para MP ‘menukar kapal’ dan kalau ada dia bukanlah seorang darinya. “Tetapi jika saya tidak berpuas hati, saya akan bentuk parti saya sendiri…Hanya saya ingin tegaskan kami tidak mahu jadi rakyat kelas kedua,” tegas beliau.

Ultimatum yang diberikan oleh Yong dianggap oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) sebagai ikhlas kerana dia hanya menyuarakan pandangan orang Sabah dan Sarawak . Abdul Rahman berkata pilihan raya telah memberikan rakyat peluang untuk mengubah model negara dan dia menyokong system dua parti bagi negara ini.

Kenyaataan anggota-anggota DR dari Sabah kebelakangan ini membayangkan seolah-olah ugutan penghijrahan itu bukanlah spekulasi atau omong kosong Anwar. Sekali imbas ia sebagai sesuatu yang nyata akan berlaku. Mereka memperlihatkan isyarat bahawa mereka serius dalam mendapatkan tuntutan mereka dipenuhi. Kenyataan Abdul Ghaffur untuk membentuk sebuah parti baru, mendapatkan seramai mungkin ADR Sabah menganggotainya dan kemudian berunding dengan Anwar untuk menganggotai Pakatan Rakyat boleh diberi perhatian serius.

Pergeseran mula tercetus di antara ADR BN dari Sabah dengan rakan-rakan mereka dari Semenanjung sehingga menyebabkan Abdul Ghaffur memberi amaran agar keikhlasan anggota dari Sabah terhadap BN tidak dipersoalkan. Beliau membidas Datuk Mohamed Abdul Aziz (BN-Sri Gading) yang dianggapnya masih berfikiran penjajah dan tidak terbuka. Aziz sebelum itu menasihatkan wakil dari Sabah supaya jangan bersikap bongkak dan berbangga dengan kemenangan mereka dalam pilihan raya umum lepas.

Situasi yang dicetuskan oleh para ADR Sabah ini telah meletakkan BN dalam keadaan cemas. Ia seboleh-bolehnya mahu yakin bahawa tidak akan berlaku lompatan parti pada masa segera ini atau pada hari Malaysia nanti, iaitu 15 September sebagaimana ‘deadline’ diumumkan Anwar atau pada mana-mana masa akan datang. Bagaimana ia boleh kekal berkeyakinan begitu jika setiap hari ada sahaja kenyataan-kenyataan berbaur ugutan datangnya dari Sabah dan persoalan yang dicetuskan bukan pula mudah diselesaikan dan ancaman dibuat dari kalangan Anwar.

Sabah mahu keanggotaan kabinet dirombak semula dan ia diberi peranan lebih besar. Sabah irihati kerana ada negeri diberi sehingga tujuh jawatan menteri penting sedangkan sumbangan negeri itu dalam membentuk kerajaan BN pusat adalah setara. Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan kerajaan BN dan Abdul Ghaffur beranggapan jawatan timbalan menteri diberikan kepadanya dan Anifah adalah satu penghinaan kepada mereka.

Isu pendatang yang hampir menenggelamkan bilangan penduduk asal menjadi isu yang hangat dibangkitkan terutamanya oleh parti-parti komponen BN seperti PBS, PRS, UPKO, LDP dan PBRS. Abdul Ghaffur sendiri membangkitkan isu pemberian dokumen IMM 13 dan IMM 12 kepada rakyat Filipina. Tindakan tersebut menyebabkan negeri Sabah dibanjiri pendatang tanpa izin yang membawa pelbagai krisis sosial dan mengancam keselamatan Sabah . Isu ini sebenarnya menjadi duri dalam daging dalam hubungan kerajaan negeri Sabah dan pusat.

Bagaimana situasi di Sabah ini berakhir sedang diteliti ramai. Tun Mahathir, mantan PM percaya kemungkinan kerajaan pusat BN tumbang boleh menjadi kenyataan kerana ADR Sabah dan Sarawak mampu bertukar parti. Tengku Razaleigh pun yakin begitu. Koh Tsu Khoon mengharapkan krisis ini ditangani baik. Ramai yang lain sungguhpun berkata perubahan kerajaan di peringkat pusat tidak akan berlaku tetapi pada masa sama hati mereka bergelumang bimbang.

Abdul Ghaffur merumuskan bahawa mereka tidak akan lompat parti tetapi mungkin menubuhkan sebuah parti baru dan ‘kita boleh join sini atau join sana”. Apa pun bagi penulis, lebih baik menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat pada 8 Mac lalu dan menunggu satu tarikh lain pula mungkin 2013 untuk membolehkan peti undi menentukan nasib selanjutnya. Jangan biarkan sikap berkepentingan diri wakil rakyat mengorbankan keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui peti undi itu. Buat masa ini, patuhilah keputusan rakyat.

Wednesday, May 14, 2008

Persepsi negatif lambat dibetulkan jadi kebenaran mutlak

Tersiar dalam Sinar Harian 14 Mei, 2008 page N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat skandal terjadi pada kehakiman negara telah selesai dalam siasatannya. Laporan Pita Lingam sebagaimana ia dikenali umum telah pun diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong seminggu lalu. Suruhanjaya itu dibentuk hasil dari tuntutan rakyat yang marah kerana yakin kebebasan kehakiman negara telah tercalar akibat gangguan-gangguan dari beberapa individu tertentu. Pada awalnya terdapat tarik tali di antara pentadbiran Barisan Nasional dengan rakyat berkenaan keperluan Suruhanjaya seperti itu ditubuhkan tetapi kehendak rakyat akhirnya yang menang.

Kemarahan rakyat mula dibangkitkan melalui tindakan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada 19 Septermber tahun lepas mendedahkan melalui tayangan video yang memaparkan perbualan yang berkaitan rundingan-rundingan mengenai kenaikan pangkat dan perlantikan di antara seseorang dengan seorang peguam kanan, V. K. Lingam. Sebagaimana yang dirumuskan oleh Suruhanjaya, orang yang bercakap dengan Lingam itu ialah Fairuz, mantan Ketua Hakim Negara yang baru bersara.

Desakan demi desakan dibuat oleh badan-badan yang relevan tertutamanya berkaitan kehakiman seperti Majlis Peguam dan kenamaan lain menyebabkan seminggu selepas itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa satu jawatankuasa inkuiri bebas dibentuk bagi menyiasat kesahihan video yang dikatakan dirakam pada 2001. Jawatankuasa itu selesai bersidang dan menyediakan laporannya pada 6 November 2007 dan dikaji oleh kabinet tetapi isinya tidak pernah didedahkan ke pengetahuan umum.

Saranan yang dibuat oleh jawatankuasa itu iaitu membentuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja akhirnya dilaksanakan kerana adanya tekanan tinggi dari pelbagai pihak di dalam negeri yang amat terkejut dengan kandungan pita itu yang seperti mengesahkan desas desus yang berkeliaran selama ini di kalangan para pengamal undang-undang bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kehakiman negara ketika itu dan sebelumnya.

Pada 12 Disember 2007, Abdullah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja. Suruhanjaya selesai menjalankan tugasnya pada 15 Februari selepas mendengar persaksian 12 orang dan meneliti lebih dari 100 bahan bukti serta 15 kenyataan bersumpah. Di antara saksi kenamaan yang dipanggil termasuklah mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur, taikun Tan Sri Vincent Tan dan dua orang mantan Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Eusoff Chin dan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor telah menyerahkan laporan setebal dua jilid kepada Tuanku Mizan, Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara pada pagi Jumaat lalu. Mengikut Haidar, Yang Di-Pertuan Agong menyuarakan kegembiraan baginda kerana siasatan telah selesai. Empat orang anggota lain Suruhanjaya ialah mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, mantan Hakim Mahkamah Rayuan dan mantan Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mahadev Shankar, mantan Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Professor Emiritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi tatkala ditanya pandangannya tentang laporan itu sejurus selepas Suruhanjaya menyerahkan laporan kepada Yang Di-Pertuan Agong berkata dia masih belum membacanya kerana laporan itu mungkin diserahkan kepada Jabatannya semasa beliau menghadiri mesyuarat mingguan kabinet minggu lalu. Ditanya lanjut sama ada laporan itu akan dibentangkan kepada tatapan umum, beliau berkata beliau akan membuat keputusan apabila selesai membacanya.

Sungguhpun kandungan laporan itu belum diumumkan kepada orang ramai, laporan akhbar menunjukkan bahawa Suruhanjaya telah merumuskan bahawa mantan Ketua Hakim Negara berupa orang yang didapati sedang bercakap dengan peguam terkenal Datuk V. K. Lingam di telefon.

Di dalam beritanya, akhbar The Star mendakwa sumber-sumber berkata panel penyiasat terdiri dari lima orang juga mendapati bahawa klip video itu adalah sahih dan perbualan itu berkitan sesuatu yang mantap. Suruhanjaya itu juga merumuskan bahawa seorang peguam, iaitu Loh Mui Fah merupakan orang yang bercakap dengan Lingam selepas perbualan telefonnya dengan Fairuz tamat.

Laporan itu juga menyebutkan Suruhanjaya mendapati bukti cukup yang memperlihatkan salahlaku orang-orang tertentu yang disebut di dalam klip video. Bukti juga didapati cukup bagi membolehkan pihak berkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang dituduh terlibat kerana melanggar Akta Hasutan, Kanun Kesiksaan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Profesion Peguam dan perundangan-perundangan yang lain. Akhbar itu juga menyebut bahawa Suruhanjaya mencadangkan dibentuk Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan melakukan reformasi-reformasi lain.

Sekarang apa yang diketahui umum ialah apa yang disiarkan oleh akhbar berkenaan melalui punca sumbernya. Ia bukanlah berupa suatu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab membentuk Suruhanjaya itu atau ia datang dari ketua Suruhanjaya, iaitu Haidar.

Sungguhpun ramai berpuashati bahawa laporan telah selesai dibuat tetapi mereka tetap sugul kerana ia belum didedahkan kepada umum. Orang ramai berhak mengetahui kandungan laporan itu kerana Suruhanjaya dibentuk di atas desakan mereka. Mereka ingin tahu apakah tindakan yang diambil selepas Suruhanjaya mengesahkan persepsi yang mereka tanggap selama ini bahawa kehakiman memang tercalar dan tidak bebas.

Adalah demi kepentingan kerajaan BN sendiri yang telah mengisytiharkan ia ingin dilihat telus dan berwibawa untuk mendedahkan kandungan laporan Suruhanjaya ini. Rakyat ingin tahu, apakah yang drumuskan, apakah cadangan-cadangan yang dibuat dan betulkah rumusan yang dibuatnya itu. Kemahuan rakyat ini tidak boleh dinafikan di bawah mana-mana alasan sekali pun.

Maka adalah di luar amalan mana-mana kerajaan yang maju bagi menyorokkan laporan ini dari pengetahuan umum kerana tuntutan ketelusan, integriti, akauntibiliti dan sepertinya menghendaki ia didedahkan. Malah di kebanyakan negara maju jua, laporan seperti itu diumumkan kepada awam serentak dengan penyerahan kepada pihak berkuasa. Perdana Menteri hendaklah mendedahkannya kepada umum tanpa mengira dia sudah membacanya atau belum. Perdana Menteri tidak boleh menggunakan kuasa veto untuk tidak mendedahkan kepada umum kandungannya apalagi dia sudah membuat perakuan bahawa dia sekarang mendengar tuntutan rakyat sebagaimana dibuat melalui pilihan raya 8 Mac lepas.

Adalah lebih cemerlang dan gemilang lagi buat Perdana Menteri jika beliau memilih untuk membentangkan laporan Suruhanjaya itu di parlimen yang sedang bersidang sekarang bagi membolehkan ia dibincang dan dibahas oleh wakil-wakil rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai parti dan kawasan. Di situlah rakyat melalui wakil-wakil mereka boleh menyatakan pandangan dan menyuarakan saranan demi kebaikan negara tercinta mereka.

Sikap membisu kerajaan dalam mendedahkan laporan ini hanya akan menyebabkan timbulnya beberapa tuduhan negatif lain yang hanya akan merosakan kewibawaan kerajaan lagi kerana ramai orang yang dinamakan dalam perbualan Lingam ini terdiri dari tokoh-tokoh politik UMNO seperti mantan Perdana Menteri, mantan Menteri, orang yang dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan sebagainya. Persepsi-persepsi begini hendaklah diperbetulkan segera kerana jika gagal diperbetulkan, orang tidak menganggapnya persepsi lagi tetapi sebagai kebenaran mutlak. Jika laporan Suruhanjaya Diraja berkaitan Pita Lingam ini tidak didedahkan kepada awam segera, ia akan membawa banyak keburukan berbanding kebaikan kepada kerajaan.

Lantas, sesuai dengan keiginan baru pimpinan BN sekarang kepada sesuatu yang telus dan berwibawa, kandungan laporan Suruhanjaya berkaitan klip video itu hendaklah didedah sekarang kerana terdapatnya tokoh-tokoh yang dinamakan dalam perbualan itu masih berkhidmat dengan kerajaan dan memegang jawatan penting pula dalam parti. Bersihkan nama mereka dari sebarang persepsi negatif sekarang.

Sunday, May 11, 2008

Keruntuhan permuafakatan Melayu siapa petualangnya

Tersiar dalam Sinar Harian muka 14 pada Ahad 11 Mei, 2008

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Minggu lepas berlangsunglah Kongres Permuafakatan Melayu yang menghimpunkan kira-kira 2,000 wakil tidak kurang dari 180 PBK atau penuhnya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu bermesyuarat selama dua hari dua malam di Johor Bahru. Mengikut penganjurnya, kongres ini diadakan berikutan adanya potensi keadaan Melayu akan tergugat kerana desakan dari mereka yang ingin persamaan atau ingin lebih dari itu.

Menghuraikan bahawa sungguhpun keadaan orang Melayu bukanlah begitu teruk sehingga mendorong kongres ini diadakan kemungkinan keadaan menjadi demikian itu wujud kerana situasi politik sudah terbalik. Ini jelas apabila di sesetengah negeri dahulu orang Melayu yang berkuasa seluruhnya manakala komuniti Cina dan India menjadi pelengkap dalam perkongsian kuasa. Hari ini orang Cina lebih berkuasa manakala orang Melayu hanya menjadi pelengkap pula.

Senario ini dikaitkan dengan keadaan berlaku di negeri Perak di mana sungguhpun seorang Melayu menjadi Menteri Besar tetapi barisan exconya dikuasai oleh orang bukan Melayu dan Speakernya pula seorang India yang mencipta sejarah sebagai orang pertama dari kaum itu dipilih menjawat kedudukan itu di Malaysia . MB Perak dikatakan tidak mempunyai kuasa eksekutif yang kuat dalam barisan exco. Keadaan yang sama berlaku di Selangor. Tidak pernah terjadi di mana seorang exco kanan dilantik dari kalangan bukan Melayu. kuasa Melayu dikatakan mula terhakis.

Penganjur kongres memberi contoh bagaimana kerajaan Selangor tidak mempedulikan masalah orang Melayu. Dalam kes ladang babi misalnya, dia tidak tahu bagaimana orang Melayu boleh mengendalikan ladang seluas 400 ekar di tengah perkampungan Melayu. Kongres ini diharap menjadi pendesak untuk membangkitnya bagi menghalang situasi berkenaan berulang di kampung lain. Penganjur mengharapkan seluruh tenaga dan kuasa Melayu digabung bagi menghalangnya. Kerajaan akan diancam jika melakukan sesuatu yang menjejaskan kepentingan Melayu.

Jelas dari kenyataan yang dikeluarkan berkaitan kongres ini bahawa ia diadakan berikutan kekalahan parti BN dalam pilihan raya umum baru-baru ini. Kegagalan BN membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor di samping Kelantan yang sememangnya ia gagal merampas selepas berhempas pulas hampir dua puluh tahun menyebabkan timbulnya idea bahawa sesuatu dilakukan untuk mengekalkan kekuasaan Melayu di negeri-negeri berkenaan. Tepat, bilangan anggota exco Melayu di Pulau Pinang , Perak dan Selangor berkurangan. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan dari apa saja perspektif.

Banyak pihak menyalahkan generasi muda Melayu yang tidak mempedulikan ketuanan Melayu. Anak-anak muda ini dengan jayanya terpengaruh dengan kepentingan parti-parti politik pembangkang. Di samping itu, mereka ini dilahirkan dalam suasana global dan terdedah dengan nilai-nilai yang melangkaui warna kulit, kaum atau agama. Mereka ini mempunyai persepsi bahawa pemimpin yang ada ketika itu (tentunya BN) banyak melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Memandangkan kebanyakan pemimpin ketika itu dibolot oleh orang Melayu, perasaan anak muda bukan Melayu terhadap pemimpin Melayu tentunya boleh digambarkan sebagai lebih meluat lagi.

Peristiwa 13 Mei berlaku 39 tahun yang lepas. Generasi muda tidak tahu langsung tentang peristiwa itu selain hanya tarikhnya yang sering disebut-sebut oleh para pemimpin sebagai ingatan. Peristiwa itu tidak membawa apa-apa erti bagi mereka. Mereka tidak takut kepada hantu yang tidak lagi wujud. Dasar ekonomi baru juga tidak banyak memberi kesan kepada mereka. Ada atau tidak ada, mereka tidak peduli.

Generasi Melayu ini tidak banyak mendapat manfaat dari DEB. Mereka memasuki pusat pengajian tinggi bukan lagi berasaskan kuota seperti mana yang dinikmati oleh ibu bapa mereka. Dasar pengenaan kuota itu sudah lama dihapuskan. Mereka masuk bersandarkan meritokrasi dan kekuatan mereka sendiri. Ada pelajar Melayu yang berjaya mendapat agregat 10A tetapi gagal diberi tempat di pusat pengajian tinggi. Mereka belajar bukan lagi ditaja oleh biasiswa kerajaan atau badan berkanun seperti MARA. Mereka terpaksa berhutang melalui PTPTN atau MARA dan mesti dilangsaikan selepas itu dan itu pun dikenakan bunga sebanyak tiga peratus. Mereka menganggap mereka tidak termakan budi.

Kira-kira 50 ribu graduan dilahirkan oleh universiti tempatan setiap tahun. Sebahagian besar dari mereka ini datangnya dari kampung dan mendapati sukar pula memperolehi pekerjaan berikutan beberapa hambatan seperti kegagalan menguasai bahasa Inggeris. Mereka tidak mampu bersaing dengan bukan Melayu. Kelayakan universiti mereka hanya membolehkan mereka bekerja sebagai pembantu di pasar raya besar sahaja dan ramai juga yang mengangggur. Apakah erti DEB dan ketuanan Melayu kepada mereka?

Dalam keadaan lain, generasi muda Melayu yang lain pula semacam rusa masuk kampung. Berada di dalam negara sendiri tetapi tidak mampu berkomunikasi kerana bahasa perantaraan bukan bahasa yang dituturkan oleh ibunya. Mulutnya terlopong ternganga apabila mendengar para pemimpinnya berbicara dalam bahasa Inggeris. Anak-anak kampung tidak mampu melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi kerana tidak dapat mencapai markah yang tinggi dalam matapelajaran bahasa Inggeris dan Sains. Dia tahu jawapannya tetapi tidak mampu untuk melahirkan dengan berkesan.

Generasi muda Melayu ini pada masa yang sama melihat, mendengar dan menonton gelagat-gelagat yang ditunjukkan oleh para pemimpin BN, UMNO terutamanya. Sepenggal menjadi YB, setahun dua menjadi pemimpin Pemuda sudah mampu mempamerkan kekayaan tanpa rasa segan. Istana-istana didirikan di pinggir hutan, kereta-kereta mewah melimpah di dalam pagar , jam tangan berharga ratusan ribu melilit lengan. Para wanitanya pun tidak kurang hebatnya, gelang, anting dan loket berlian sebesar ibu jari bergantungan di dada dan telinga. Gelagat mereka diperhatikan penuh benci.

Generasi muda Melayu juga melihat betapa kampung-kampung Melayu membangun. Namun mereka tidak dapat bersama menikmati hasil pembangunan itu. Tanah-tanah milik bapa mereka diambil alih demi tuntutan pembangunan. Syarat pemilikan tanah dengan mudah bertukar kepada bukan Melayu melalui kelulusan pihak berkuasa. Apakah benar pemimpin mereka bercakap tentang ketuanan Melayu jika pemilikan tanah Melayu bertukar tangan kepada bukan Melayu dengan mudahnya. Siapakah yang tidak menjaga kepentingan Melayu mereka berhujjah?

Gelagat para pemimpin Melayu yang setelah lima puluh tahun berkuasa tanpa boleh digugat oleh kumpulan lain yang menjadi begitu angkuh dengan kekuasaan dan kekayaan mereka menyebabkan generasi muda Melayu berasa jauh hati. Meraka tidak menikmati apa yang didakwa ingin dipertahankan, iaitu ketuanan Melayu oleh pemimpin ketika itu. Ketuanan Melayu bagi mereka ialah ketuanan para pemimpin UMNO sahaja. Mereka akui bahawa ibu bapa mereka menikmati hasil dari perjuangan UMNO tetapi tidak mereka.

Pada masa yang sama, generasi baru orang bukan Melayu melihat para pemimpin mereka sama ada bersekongkol dengan pemimpin Melayu meraih dan membahagi kekayaan negara atau menjadi pelengkap yang tidak berkesan sahaja kepada UMNO. Mereka sebulat menolak pemimpin semacam itu. Hasilnya, semua calon bukan Melayu di Pulau Pinang dari BN kalah dan hanya seorang sahaja di Perak dan dua orang di Selangor dari kaum bukan Melayu yang menang. Mereka bulat menolak pemimpin kaum mereka.

Dengan berbuat demikian, kedudukan politik mereka menjadi kuat. Perpaduan Melayu pula berbelah bahagi. Sebahagian besar memilih UMNO dan ramai juga memilih PAS dan PKR. Mereka tidak bersatu. Situasi ini menyebabkan UMNO gagal membentuk kerajaan kerana semua rakannya dalam BN mengalami kekalahan dan parti Melayu/Islam yang lain di kalangan pembangkang jika tidak dapat membentuk kekuasaan Melayu yang mantap. Ia umpama pepatah Melayu, yang dikendung berciciran, yang dikejar tidak dapat.

Situasi ini hanya boleh berubah jika parti UMNO yang dulunya tulang belakang kerajaan menukar corak dan imejnya. Ia hendaklah mengikis imej yang ada padanya iaitu parti untuk korporat dan ramai tokohnya berani tergelumang dengan skandal dan rasuah secara terang-terangan kerana yakin dengan kekebakalan mereka. Mereka lakukan itu tanpa segan silu. Perjuangan UMNO hendaklah kembali meliputi keseluruhan komuniti Melayu bukannya segelintir mereka yang berkuasa.

Pilihan satu lagi yang ada pada Melayu ialah melupakan UMNO sepenuhnya dan melantik satu parti lain mewakili mereka. Dengan berbuat demikian mereka boleh menjadi kuat. Bayangkan kalau PAS memenangi semua 27 kerusi milik UMNO di Perak dan semua 18 kerusi milik UMNO di Selangor tentunya, kuasa eksekutif MB Perak dan MB Selangor akan kuat. Kalau bukan Melayu sudah sanggup menolak parti mewakili mereka dalam BN, sanggupkah Melayu berbuat sama?

Akhirnya, ramai juga ingin bertanya kepada para pemimpin NGO Melayu yang bersidang di Johor Bahru baru-baru ini di manakah mereka berada semasa para pemimpin Melayu memusnahkan imej UMNO atau apakah mereka turut sama bersekongkol memfaraidkan harta rampasan perang? Orang bertanya kerana suara-suara permuafakatan sebegini hanya timbul apabila UMNO berada dalam kesusahan seperti sekarang dan pada 1999 dulu. Tidakkah pemimpin NGO Melayu ini terfikir bahawa kemelut dihadapi Melayu hari ini adalah berupa harga atau denda yang perlu dibayar oleh umat Melayu hasil karenah pemimpin Melayu yang memusnahkan kepercayaan rakyat? Siapa petualangnya?

Wednesday, May 7, 2008

Kebebasan akhbar ukuran sihatnya demokrasi negara

Tersiar dalam Sinar Harian Rabu 7 Mei, 2008 muka N13

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Berikut adalah gambaran situasi kebebasan akhbar di Malaysia sebelum 8 Mac. Seorang mantan wartawan kanan, Datuk Zainuddin Maidin bergelar menteri sepatutnya menggunakan kedudukannya untuk meneroka laluan dan melebarkan ruang untuk akhbar menjadi lebih bebas. Namun, dia melakukan yang sebaliknya. Kementerian Dalam Negeri yang seharusnya mengendalikan kawalan ke atas akhbar di Malaysia, tetapi Zainuddin (Zam), dari Kementerian Penerangan yang mewakili kerajaan di dalam memberi gambaran idea bagaimana had kebebasan akhbar di Malaysia perlu berada.

Zam tahun lepas menerima gelaran Tokoh Wartawan sempena sumbangannya kepada kewartawanan Malaysia oleh Institut Akhbar Malaysia . Bagaimana Institut itu memberi anugerah dan bagaimana Zam sendiri, iaitu seorang yang terkenal sebagai tidak memberi ruang kepada kebebasan akhbar sanggup pula menerima anugerah itu cukup menggambarkan sesuatu yang tidak kena dengan persurat khabaran dalam negara ini.

Tahap kebebasan akhbar pada zaman Zam meletakkan Malaysia pada kategori tidak bebas dan berada pada kedudukan 141 dari 195 negara dalam laporan Survey Global Media, iaitu satu kedudukan yang memalukan Malaysia di mata antarabangsa. Taiwan berada pada kedudukan 32, Jepun 35, Hong Kong 67 dan Korea juga berkongsi kedudukan dengan Hong Kong. Negara Finland berada di tampuk paling atas sementara rakan kita dalam Asean , Myanmar pada kedudukan 194, kedua tercorot.

Zam mahukan rakyat Malaysia hanya baca apa yang dihidangkan oleh akhbar harian tanpa soal. Bila menonton television pun begitu. Telan bulat-bulat apa yang dihidangkan. Zam sentiasa memberi arahan dan teguran kepada para editor. Akhbar pada zaman itu tidak mampu membina minda pembaca agar kritikal. Pembaca dikehendaki berfikir setakat apa di dalam lingkaran kongkongan mereka sahaja.

Pendirian diambil Zam dikatakan merupakan salah satu sebab besar BN kalah pada pilihan raya umum lalu. Ahmad Shabery Cheek, orang yang menggantikan Zam sebagai Menteri Penerangan, sewaktu diwawancara oleh Mingguan Malaysia 4 Mei lalu berkata: ”…ada orang UMNO berkata (RTM) jangan siarkan berita pembangkang. Kalau itu dilakukan akhirnya orang tidak akan tengok RTM, apa faedah kita dapat? Contohnya, dahulu kita black out berita Kelantan, kalau disiarkan pun hanya berita negatif tetapi BN tidak juga menang di Kelantan.”

Banyak kisah tentang betapa tidak bebasnya akhbar di Malaysia sebelum 8 Mac mula didedah kepada paparan awam sekarang. Satu diskusi dan pameran diadakan pada hujung minggu lepas anjuran Centre of Independent Journalism sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang jatuhnya pada 3 Mei, beberapa hari lepas. Hadirin mendengar kisah diceritakan oleh editor politik dan perunding The Sun, Zainun Ahmad yang memberitahu dia menerima arahan demi arahan dari kerajaan. “Kami menerima arahan semasa pilihan raya bahawa jika pembangkang menyebut sesuatu yang baik, jangan lapor dan jika mereka menyebut sesuatu berbau kontroversi, siarkan,” katanya.

Zainun juga mendedahkan kesulitan yang dihadapi oleh akhbar semasa melaporkan perhimpunan raksasa oleh Bersih, sebuah NGO yang menggesa pilihan raya bersih dan adil tahun lepas. “Semasa perarakan berlangsung, kami diminta oleh Kementerian untuk menghadkan berita kepada 10 perenggan dan hanya menggunakan sekeping gambar. Apabila, mereka (para editor) menggunakan garis panduan yang sama untuk melaporkan tentang perhimpunan Hindraf, pihak kementerian menegur kerana tidak menggunakan peristiwa itu meluas untuk menimbulkan kemarahan pembaca.”

“Kamu tidak boleh memarahi kami kerana tidak mempunyai etika kerana yang sebenarnya arahan itulah yang tidak beretika,” beliau mempertahankan tindakan para editor.

Sebahagian besar para pembaca akhbar tidak hanya menganggap para editor sebagai tidak beretika. Tanggapan mereka lebih buruk dari itu. Mereka menuduh para editor ini tidak lagi memiliki harga diri dan integriti profession. Mereka dikatakan melacurkan diri untuk menjadi instrumen kepada mesin propaganda parti pemerintah. Mereka memakai pangkat Ketua Editor atau Editor Kumpulan tetapi fungsi mereka tidak lebih dari menjadi ketua budak-budak suruhan kerajaan. Mereka dikatakan hanya patuh kepada arahan ketua politik mereka.

Para wartawan yang berada di padang membuat liputan ke atas aktiviti-aktiviti parti pembangkang tahu kedudukan mereka pada mata para pemimpin parti itu. Wartawan-wartawan ini kebanyakannya dicemuh kerana berita yang tersiar nanti didapati berbeza dengan apa yang dikatakan oleh tokoh tadi. Mereka hanya berkuasa menghantar berita tetapi sedar akan beritanya akan disunting mengikut cita rasa orang atas.

Sebuah akhabar yang bebas dan adil akan memudahkan tugas wartawan. Profesion mereka tidak akan dihina lagi. NUJ, atau penuhnya National Union of Journalists Malaysia juga menggesa kerajaan untuk memansukhkan Akta Rahsia Rasmi (ARR) dan menggantikannya dengan Akta Maklumat. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan itu sempena Hari Kebebasan Akhbar , ia berkata penggubalan Akta itu adalah selaras dengan inisiatif kerajaan mewujudkan kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab.

“Objektif-objektif ini, iaitu mendapatkan sebuah kerajaan yang telus, pentadbiran baik, dan berintegriti tidak akan menjadi kenyataan jika kemudahan mendapat maklumat sukar diperolehi bagi memudahkan membuat liputan berbentuk penyiasatan. ARR berupa penghalang utama media mendapatkan maklumat Kerajaan” kata presidennya Norila Muhd Daud.

Norila juga beranggapan bahawa kredibilti dan kesungguhan kerajaan hanya boleh dibuktikan jika kemudahan diberi kepada media dan orang awam mandapatkan maklumat. Dia selanjutnya menyeru pemilik-pemilik media untuk memberi laluan kepada para wartawan menjalankan tugas mereka secara profesional tanpa pilih kasih atau takut. Beliau mendakwa, beberapa organisasi media utama tidak membenarkan penyiaran beberapa isu menarik kerana adanya arahan dari orang atasan.

Para editor akhbar sekarang mula mendesak agar langkah-langkah diambil untuk Akta Mesin Percetakan dan Penerbitan (1984) dimansukhkan dengan alasan ia hendaklah seiring dengan kemajuan negara. Datuk Wong Chun Wai, Ketua Editor Kumpulan the Star berkata pemansukhan pembaharuan tahunan permit penerbitan patutlah jadi langkah pertama ke arah pemansukhan Akta. “Keperluannya boleh dipersoalkan kerana permit tidak dikehendaki jika seseorang ingin berblog atau membuka laman web. Kita hendaklah maju bersama masa. Sudah cukup banyak undang-undang untuk mengawasi media,” kata beliau.

Datuk A. Kadir Jasin, Ketua Editor Berita Publishing berkata masanya sudah sesuai untuk mengkaji balik Akta Mesin Cetak dan Penerbitan selepas mengambil kira bahawa kehakiman juga mengalami reformasi sekarang. Adalah penting bagi pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan kebebasan akhbar bagi mempastikan reformasi yang diumumkannya baru-baru ini ke atas kehakiman dan anti-rasuah bermakna dan berjaya. Tanpa akhbar yang adil dan bebas, tidak ada tindakan reformasi akan berjaya sama ada bagi mengembalikan keyakinan awam, keadilan, ketelusan, atau apa-apa bagi melawan korupsi.

Datuk Azman Ujang dari Bernama memberitahu bahawa rakyat telah menyatakan kehendak mereka melalui pilihan raya lalu, iaitu mereka mahukan sebuah media yang bebas dan adil. Pastinya ada media yang masih memilih untuk kekal berpihak di atas alasan mereka tersendiri tetapi mereka berdepan dengan risiko yang boleh mereka duga. Mereka bersedia dengan risiko itu dan itu pilihan mereka.

Akhirnya, Shabery memberi rumusan praktikal terhadap situasi akhbar hari ini: “Dulu semasa kecil saya berhujah dengan ayah saya berhubung sesuatu isu. Apabila tanya, ayah saya akan jawab surat khabar yang ‘cakap’. Pada waktu itu apa sahaja yang ditulis surat khabar orang percaya. Tetapi sekarang orang akan bertanya…

“Kalau sesuatu akhbar itu, orang banyak persoal dan menganggap ia berat sebelah dan sebagainya lama-kelamaan soal tidak keyakinan itu terkumpul. Ini akan mneyebabkan kredibiliti akhbar tersebut akan dipersoal dan orang tidak akan mempercayainya lagi.” Rumus Shabery tepat. (MM, 4 Mei, 2008).

Orang akan percaya kepada akhbar atau tidak banyak bergantung kepada sejauh mana ia dibenarkan oleh Akta untuk bebas dan juga ia selanjutnya memperlihatkan betapa sihatnya demokrasi negara. Langkah memansukhkan Akta-akta tadi adalah selaras dengan reformasi-reformasi yang kerajaan lakukan sekarang seperti kehakiman dan anti rasuah. Ia mempastikan reformasi itu mencapai objektif.