Saturday, March 29, 2008

MT selamatkan air muka ADUN

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Sabtu 29 Mac, 2008 muka N10

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

MT patuh. MT akur dengan pilihan Majlis Penasihat pemangku Raja (MPPR). Idris dan 22 ADUN Terengganu turut beri sokongan kepada Ahmad Said. Ayat-ayat di atas terpampang pada muka pertama akhbar Sinar Harian terbitan semalam. Ayat ini berbeza sungguh dengan ayat-ayat yang tersiar di akhbar-akhbar sebelum ini. Ini bukan ayat kompromi. Ia ayat diplomatik.

Majlis Tertinggi UMNO mengambil keputusan seperti di atas menerusi satu mesyuarat semalam yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Abdullah Ahmad Badawi. Mengikut laporan, MT bersetuju bahawa pelantikan Ahmad adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Terengganu.

Itu semalam. Bagaimana pula dengan kenyataan yang dibuat sebelum ini? Kita tahu Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Mansur pernah mengancam akan memecat Ahmad jika beliau menerima pelantikan yang dibuat Istana. Kita juga ada membaca berkenaan komen-komen dari pelbagai peringkat tokoh politik dan pakar perundangan bahawa pelantikan Ahmad adalah bertentangan dengan Perlembagaan Terengganu.

Kita juga pernah terbaca kenyataan-kenyataan yang amat keras datangnya dari kumpulan ADUN BN Terengganu. Kita rujuk kembali petikan kata mereka dari akhbar-akhbar perdana sebelum ini tentang pelantikan Ahmad itu.

“There’s no change to this as the majority of them support Idris’ reappointment as MB. Therefore, any appointment other than his (Idris) is against the constitution and is not valid.” NST pada 24 Mac memetik Presiden UMNO sebagai berkata demikian.

“Ini bererti mereka (kumpulan ADUN 22 orang – Penulis) berpegang pada prinsip mengikut kepada tafsiran Perlembagaan yang mereka mempunyai suara teramai dalam Dewan Undangan Negeri dan mereka akan hanya menerima Datuk Idris Jusoh sebagai Menteri Besar, katanya (Najib, Berita Harian 24 Mac - Pen).

Mingguan Malaysia di hari sama memetik penegasan Rosol. Katanya, "mana-mana calon selain Idris, kami tidak akan terima. Malah ada di kalangan kami yang sanggup meletak jawatan jika beliau tidak dipilih. Oleh itu, bersedialah untuk menghadapi pilihan raya sekali lagi" (MM, Ahad 23 Mac).

Meneliti perkembangan yang terjadi di Kuala Terengganu sepanjang minggu lalu, kata tertanya-tanya apakah yang sebenarnya terjadi pada minggu ini sehinggakan berlakunya perubahan berbentuk satu pusingan u di kalangan para pemimpin UMNO dalam menangani isu Ahmad sebagai MB negeri kaya minyak ini? Dulu mereka habisan-habisan menentang Ahmad dan sekarang menerima pula dan menyatakan sokongan padu.

Isu pelantikan MB ini sebenarnya adalah isu yang sudah diperkatakan oleh rakyat Terengganu. Hanya mereka yang berada di luar Terengganu sahaja yang tidak tahu menahu atau tidak berapa tahu tentang pertelingkahan ini. Isu ini bukannya isu alas karpet. Ia bukan alunan riak kecil di bawah ombak. Ia dibicarakan secara terbuka. Malah, beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke 12 lalu, akhbar, Sinar Seharian, yang kononnya satu edisi khas, telah diedar secara percuma kepada pembaca di Terengganu.

Muka depan akhbar ini persis Sinar Harian, iaitu sebuah akhbar paling popular di Terengganu dan negeri-negeri lain di mana ia dipasarkan. Setelah meneliti kandungannya, rancana-rancana yang tersiar mampu memporak peranda karier politik Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu ketika itu. Kandungannya penuh dengan huruf-huruf menghina Idris. Penerbitannya dirancang.

Apa yang menarik perhatian Penulis ialah dugaan atau ramalan yang dibuat oleh akhbar tersebut yang tepat seratus persen. Ia benar terjadi sebagai dilaporkan. Ini menggambarkan bahawa krisis yang berlaku di antara Idris dan Istana memang dirancang akan terjadi selepas pilihan raya selesai.

Akhbar itu dengan tegas mengatakan: “…dan besar kemungkinan Baginda akan menolak cadangan Perdana Menteri untuk melantik Idris sebagai Menteri Besar Terengganu.”

Perenggan pertama cerita berjudul ‘Sultan murka Idris?’ memulakan: “Kedudukan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar dijangka akan tergugat selepas pilihan raya umum kedua belas pada 8hb Mac nanti. Beliau dijangka tidak akan dilantik sebagai Menteri Besar memandangkan beberapa sikap dan tindakan beliau selama ini yang tidak disukai oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu yang juga sebagai Yang DiPertuan Agong Malaysia sekarang ini. Malahan menurut sumber Istana yang dipercayai, Dato Seri Idris Jusoh bukan sahaja tidak sukai malah dia amat dimurkai oleh Tuanku Sultan Mizan sejak kebelakangan ini.

Akhbar menyebut pihak Istana sebagai sumber beritanya. Ia menyebut bahawa Idris kononnya bersifat angkuh dan sombong bila berurusan dengan Istana. Idris dikatakan gagal menggunakan bahasa yang digunakan bila bertuturan dengan Istana. Di antara dakwaan yang dibuat oleh akhbar itu ialah pihak Istana tidak berpuasa hati dengan tindakan Idris menggunakan logo Diraja semasa mengisytiharkan Kuala Terengganu sebagai bandaraya. Kesilapan protokol dalam memilih tokoh merasmikan Masjid Kristal dan Kompleks Taman Tamadun Islam juga disebut sebagai isu yang menimbulkan suasana tegang di antara Idris dan Istana.

Risalah khusus pilihan raya ‘Sinar Seharian’ ada memuatkan memorandum yang kononnya datang dari sekumpulan penyokong UMNO dari seluruh 8 bahagian di Kuala Terengganu. Perkara-perkara yang dikatakan membuakkan rasa tidak puas hati terhadap Idris ada disebut dalam memorandum ‘bersama’ itu.

Menarik bagi Penulis ialah ramalan yang dibuat berkaitan Istana akan menolak Idris itu yang betul-betul menjadi kenyataan. Justeru, Penulis beranggapan suasana ini telah lama dirancang dan Idris barangkali tidak menyedarinya atau kalau ia tahu tentang kewujudan itu, dia berasa yakin bahawa dengan bantuan Kuala Lumpur dia mampu merungkainya.

Nyata kemelut itu terlampau rumit untuk diatasi oleh Idris dan Abdullah Badawi. Berkali-kali mereka dan ADUN-ADUN lain betukar pandangan. Pertemuan Abdullah dengan Sultan Terengganu yang juga sekarang memegang jawatan Yang DiPertuan Agong juga buntu.

Hasilnya, kenyataan-kenyataan sebelum ini yang dibuat berkaitan Ahmad semuanya menikam diri sendiri. Dulu mereka bertekad akan menolak mana-mana calon selain Idris sebagai MB. Mereka juga mengancam akan mengambil tindakan displin terhadap Ahmad. Mereka berjanji akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad. Lebih keras lagi, mereka berkata akan meletak jawatan ADUN sebagai tanda membantah tindakan Ahmad membelakangi parti.

Penulis perhatikan jika Abdullah terus membuat pengumuman bahawa pihak Istana Terengganu enggan bertolak ansur dan tegas mahukan Ahmad dilantik sebagai MB, dan Abdullah terpaksa bersetuju dengannya, maka itu akan berupa satu ‘setback’ kepada Abdullah dan memberi kesan besar pula kepada ADUN-ADUN yang bersama Idris yang telah mengeluarkan bermacam-macam ulasan mengiringi penolakan ke atas Ahmad.

Mujurlah jalan keluar ditemui. Gunakan forum MT. Maka MT yang bersidang pada Khamis petang 27 Mac mengambil ketetapan akur dengan pelantikan Istana, iaitu Ahmad Said sebagai MB Terengganu yang baru menggantikan Idris. Idris pula menerima keputusan dibuat MT. Rosol Wahid dan 21 ADUN yang lain juga bersetuju menerima keputusan tersebut. Semua orang terpaksa menerima keputusan MT. Air muka semua yang terlibat terselamat.

Barangkali ada di antara ADUN itu yang benar-benar mahu mengotakan janji untuk meletak jawatan sebagai protes ke atas pelantikan Ahmad dan sebagai memenuhi ikrar yang mereka buat dulu sebagai tanda mereka berprinsip, tetapi apakan daya, mereka terikat dengan keputusan MT. Itulah politik.

Wednesday, March 26, 2008

BN gawat kerana ‘gempaq’ Anwar

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 26 Mac, 2008 muka N25

Oleh Aisar Yee Abdullah

KEPUTUSAN pilihan raya umum ke 12 yang meletakkan parti pemerintah, BN, kehilangan kerusi majoriti dua pertiga menyemarakkan isu lompat melompat parti diperkatakan. Sebelum pilihan raya ini tiada tokoh bercakap tentangnya kerana kedudukan BN tidak pernah tergugat. Menguasai lebih dari 190 kerusi dari kesemuanya 220 kerusi tidak menuntut BN untuk langsung memikirkan hal ini.

Dengan memenangi 140 kerusi berbanding dengan 82 yang diperolehi pembangkang, BN, peliknya merasakan dirinya sudah agak tergugat. Dalam hal biasa memenangi kerusi sebanyak itu yang hanya 8 kerusi sahaja kurang dari mendapat majoriti dua pertiga sudah cukup baik dan jarang tercapai oleh parti politik lain di seluruh dunia. Bagi BN ia sudah merimaskan.

Sebetulnya, kedudukan ini memang sudah kuat. Kerajaan PAS Kelantan sebelum pilihan raya terakhir ini hanya bermajoriti dua kerusi sahaja dan itu pun berkurangan menjadi satu kerusi berikutan kekalahan pada pilihan raya kecil. Kerajaan negeri itu boleh bertahan selama empat tahun sungguhpun ia dihantui oleh kebimbangan adanya ADUN yang akan melompat. Itu majoriti tunggal bukannya 58 seperti yang ada pada BN sekarang.

Tentulah menghairankan apabila BN dilihat sebagai berada dalam suasana cemas meskipun memiliki majoriti sebesar itu. Ia bimbang kalau-kalau ada MPnya yang melompat menyertai barisan pembangkang. Kalau seorang dua melompat pastinya tidak mengkhuatirkan sangat tetapi kalau sampai 30 orang, majoriti akan berpindah kepada pembangkang bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan membuatkan BN pula berada di pihak pembangkang.

Sebelum membicarakan tentang permasalahan Akta Anti Lompat ini, elok juga kalau kita melencong sedikit dan bertanya, apakah ada seramai 30 orang MP BN akan melompat serentak sehinggakan memaksa Setiausaha Agung UMNO dan BN membentuk satu team bagi menyiasat dan merisik kemungkinan itu. Barangkali rebut besar sedang melanda UMNO dan BN sehingga idea sebegitu pun terpaksa dilayan oleh BN. Benarkah BN berada dalam suasana terlampau gawat? Bencana demi bencana sedang melanda?

Penulis beranggapan suasana itu wujud kerana ancaman adanya orang akan melompat dicetuskan oleh Anwar Ibrahim, de fakto ketua barisan pembangkang. Nama Anwar mula menggerunkan BN. Laporan Bernama di Ipoh pada 21 Mac memetik beliau sekali lagi mengulangi dakwaan ramai MP BN telah menyatakan hasrat menyertai PKR tetapi beliau tidak mahu terburu-buru. Beliau mengaku telah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil BN di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung.

Anwar nampaknya tekad mahu meletakkan UMNO dalam dilemma besar apabila dia menyebut adanya MP BN dari Semenanjung turut bertemunya melahirkan hasrat untuk melompat ke partinya. Dengan menyebut demikian, gambaran yang hendak diberikan Anwar ialah keadaan BN amat parah. Orang akan mudah percaya dakwaan Anwar itu kerana mereka amat biasa mendengar tokoh politik dari Malaysia Timur melompat.

Penulis beranggapan kenyataan Anwar ini berupa hanyalah ‘tembak’ atau dalam bahasa utara disebut ‘saja gempaq’ sahaja yang bertujuan untuk menghuru-harakan parti dan kepimpimpinan BN dan meletakkan mereka dalam keadaan keresahan, sedangkan kebenaran belum pasti. Tembakan ini juga bertujuan meletakkan MP-MP terutamanya yang berada di Sabah dan Sarawak dalam kedaan serba salah, ragu-ragu dan memaksa mereka memikir untuk melayan idea melompat jika ramai kawan yang lain membuat keputusan melompat. Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan kerana di sanalah amalan melompat itu berleluasa. Tembakan Anwar ‘gempaq’ bermotif. UMNO dan BN menggelabah.

Anwar kelihatan seperti telah berjaya mencapai matlamatnya meletakkan pimpinan BN dalam kedaan resah dan rimas sehingga mereka terpaksa menghalusi keperluan mewujudkan satu Akta atau Rang Undang-Undang bagi menghalang ADUN atau MP dari melompat meninggalkan parti ke parti yang lain. Dalam keadaan lain, sepatutnya kalangan Anwarlah yang perlu bimbang kerana kemungkinan besar wujud bagi 8 orang MPnya beralih ke BN untuk membolehkan kerajaan BN kembali mendapatkan kuasa majoriti dua pertiga.

Malah di peringkat negeri, situasi yang dihadapi oleh kerajaan ‘Barisan Rakyat’ agak meruncing kerana majoriti mereka adalah amat kecil. Di negeri Perak, majoriti hanyalah tiga sahaja (pakatan BA mendapat 31 kerusi dan BN 28 kerusi) dan BN hanya memerlukan dua orang ADUN dari kalangan pendokong Anwar untuk melompat dan seterusnya menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan MB PAS itu. Sebaliknya, dari apa yang dilihat sekarang, persepsi ramai ialah Anwar amat yakin dengan kemantapan perkongsiannya. BN pula yang nampak gusar dengan kesetiaan ADUN atau MP parti itu.

Sabtu baru-baru ini akhbar melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim memberitahu bahawa beliau akan mencadangkan satu undang-undang untuk menghalang wakil rakyat dari melompat parti digubal secepat mungkin ekoran desas desus bebrapa orang MP BN akan bertindak melompat parti. Ia perlu digubal segera bagi menjaga kepentingan awam, integriti, dan moral serta tidak menyusahkan pentadbiran sesebuah negeri. Zaid terkenal sebagai seorang reformis dan cadangannya boleh dilihat sebagai tercetus kerana ingin melihat integriti wakil rakyat berada di tahap unggul dan bukannya kerana takutkan MP BN beralih parti.

Situasi yang dialami UMNO dan BN sekarang, yang dulunya sebuah parti dinosaur sekarang sebenarnya berpunca dari krisis keyakinan diri. Parti itu tidak berpengalaman kalah dalam pilihan raya. Ia menang besar tetapi ia tidak tahu. Ombak tsunami politik yang melanda tanah besar Semenanjung benar-benar menakutkannya. Ia membenarkan Anwar mampu buat gempaq dan dia terpengaruh dengan cetusan itu. Agak malang bagi UMNO sehinggakan tidak sedar ia masih kuat.

Perbuatan lompat melompat ini bukanlah amalan parti pembangkang. Bagi seseorang hendak diminta melompat, umpan hendaklah disediakan. Apakah umpan yang mampu disogokkan oleh mereka. Anwar boleh memujuk 30 MP BN menyertai pakatannya. Masalahnya, apakah yang hendak dijanjikan beliau? Jawatan menteri, timbalan menteri? Kalau itu yang dijanjikan, bagaimana pula dengan kedudukan 82 orang MP yang telah lama setia bersamanya? Ramai pula yang pernah ditahan kerana memperjuangkan Anwar. Dilupakan begitu mudah?

Hendak dibayar dengan wang? Murahkah harga seseorang MP itu? Setakat sejuta dua RM, pastinya tidak menarik. Kalau dibayar RM5juta seorang, pastinya 30 orang berjumlah RM150juta. Banyakkah duit Anwar? Orang tahu apabila Anwar bermasalah dengan Dr Mahathir, tuduhan rasuah yang dikenakan kepadanya bukanlah berbentuk ringgit dan sen tetapi lebih kepada moraliti dan afidavit Khalid Bank Negara yang mengatakan Anwar memiliki puluh-puluh juta ternyata palsu dan ini diakui Khalid melalui afidavitnya semasa penyiasatan kes video Lingam.

Pihak pembangkang bertubi-tubi diasak oleh jentera BN yang diketahui umum memiliki segalanya termasuk wang ringit, jawatan dan pengaruh. Banyak percubaan untuk membeli ADUN atau MPnya. Kalau bukan wang ringgit yang dijanjikan, BN boleh menjanjikan jawatan lunak di pelbagai rangkaian. Adakalannya, tujuan MP atau ADUN dipujuk menyertai BN tidak semestinya untuk menjatuhkan kerajaan pembangkang. Ia bermotif lain.

Semasa pilihan raya 1990, apabila BN kehilangan kesemua kerusi parlimen yang ditandinginya bagi di Kelantan, usaha-usaha dilakukan untuk memujuk ADUN Semangat 46 menyertai UMNO. Penyertaan mereka tidaklah untuk memperkuatkan kerajaan BN ketika itu tetapi hanyalah untuk melemahkan keyakinan anggota dan pimpinan dan seterusnya menghancurkan parti Semangat 46 sahaja.

Di peringkat negeri pun usaha dilakukan. Negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang seperti Kelantan dan Sabah berkeadaan amat ngeri dengan serangan BN yang bertubi-tubi berusaha memujuk wakil mereka berpaling padah. Pada penghujung 1980an, sewaktu PBS (masa itu dalam pembangkang) UMNO bekerja keras untuk menjatuhkan kerajaan pembangkang itu. Usaha itu akhirnya berjaya apabila Lajim Okin menyertai parti kerajaan pusat. Kerajaan PBS tumbang kerana tindakan YB itu.

Usaha kerajaan PBS mengekalkan kerajaannya dengan meluluskan Rang Undang Anti Lompat gagal kerana Rang Undang-Undang seperti itu diisytihar bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seperti juga di lakukan oleh kerajaan Sabah, kerajaan PAS Kelantan pernah meluluskan satu rang Undang-Undang Anti Melompat bagi menghindarkan ADUNnya dilobi kuat menyertai BN. Rang Undang-Undang itu di antara lainnya memperuntukkan bahawa jika di mana terdapatnya kes seorang ADUN itu bertukar parti selain dari parti di mana dia dipilih memenangi pilihan raya, keanggotaannya dalam Dewan gugur. Rang Undang-Undang itu juga menyebut keanggotaan seseorang dalam DUN juga gugur kalau dia dipecat dari parti.

Wujudnya Rang Undang-Undang sebegitu masih tidak menghalang BN dari terus menggasak untuk memujuk wakil-wakil rakyat pembangkang menyertainya. Dua orang ADUN Semangat 46 yang bersama PAS membentuk kerajaan negeri Kelantan bertindak meninggalkan parti dan menyertai UMNO. Penyertaan mereka ke dalam UMNO menyebabkan DUN Kelantan mengisytiharkan kedua-dua kawasan yang mereka wakili itu menjadi kosong dan pilihan raya kecil hendaklah diadakan.

Dua orang bekas wakil rakyat Semangat 46 membawa kes pengisytiharan kerusi kosong sebagai tidak sah dan mahkamah akhirnya membuat keputusan menyebelahi wakil rakyat yang baru menyertai UMNO itu. Dalam kes Nordin Salleh Lwn PAS, Mahkamah Rayuan menolak permohonan PAS di atas alasan ia tidak menepati kehendak Perlembagaan. Artikel 10 (1) (C) menganggap peruntukan yang diluluskan oleh Kelantan melanggar peruntukkan Perlembagaan Persekuan yang menjamin hak seseorang menyertai mana-mana pertubuhan pilihannya.

Memandangkan kali ini, bukan kerajaan pimpinan pembangakang yang mahu mengambil inisiastifnya, pembentangan Rang-Undang boleh dibentangkan oleh Zaid dan Penulis yakin kerana semangat Akta ini baik dan amat perlu bagi menghormati pilihan pengundi yang memilih parti bukannya calon, penggubval undang-undang dari parti yang tidak bersama BN akan turut menyokongnya. Penulis dapati DAP sudah pun menyokongnya dan Nik Aziz juga telah menyatakan persetujuannya dengan cadangan Zaid ini.

Semoga Rang Undang-Undang dibentang bukan berdasarkan untuk menghindar ADUN atau MP BN dari menyertai barisan parti pimpinan Anwar tetapi demi menjadi maruah penggubal undang-undang itu sendiri dan mengekal prinsip demokrasi sebenar. Sesuatu yang pada mulanya dicetuskan hanyalah bertujuan untuk membuat ‘gempaq’ menghasilkan sesuatu yang baik bagi para pemilih. Dan Zaid boleh melakukannya.

Monday, March 24, 2008

Kerajaan PAS-Bebas Tamatkan Krisis Terengganu

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Isnin 24 Mac, 2008 muka N15

Oleh Aisar Yee Abdullah

AHMAD Said boleh dikenakan tindakan disiplin. Itu adalah tajuk akhbar Mingguan Malaysia semalam memetik kata-kata Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Mansur. Pegawai Tinggi parti UMNO itu memberi amaran bahawa ADUN Kijal, boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh parti UMNO jika menerima jawatan tersebut.

Persoalan 'jika' sudah tidak timbul lagi kerana Ahmad Said telah pun menerima watikah perlantikan dari Istana Terengganu dan hanya menunggu saat untuk melakukan upacara mengangkat sumpah.

Tengku Adnan menghujjah bahawa pelantikan Ahmad yang dipilih istana itu jelas mengingkari arahan Presiden UMNO, Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar. Bagi Tengku Adnan, prosedur pelantikan Ahmad berbeza dengan yang yang terjadi di Perlis. Padanya, mantan Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim tidak mendapat sokongan majoriti ADUN sedangkan pelantikan Ahmad mendapat bantahan semua anggota Dewan dari partinya, BN. Ahmad langsung tidak mendapat pengiktirafan kawan-kawannya.

Hanya tiga orang ADUN menyokong untuk Shahidan dilantik sebagai MB Perlis dan sepuluh orang menyokong Mohd Isa Sabu. Itulah sanggahan beliau. Oleh itu jika Ahmad berdegil mempertahankan pendiriannya menerima jawatan ini tindakan tatatertib akan dikenakan terhadapnya. Sebagai anggota parti, ADUN Kijal itu perlu tahu apakah akibat yang bakal diterimanya jika melanggar keputusan presiden.

Semalam, pada jam 8.28 pagi, bertempat di Istana Terengganu, Kuala Terengganu, Ahmad Said menerima watikah pengisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar. Tarikh upacara mengangkat sumpah belum ditentukan lagi dan ini diduga akan dilakukan kemudian kelak apabila Ahmad berjaya mendapatkan ADUN-ADUN untuk bersamanya membentuk kerajaan.

Perkembangan pada sebelah petang menyatakan keanggotaan Ahmad dalam UMNO akan dipecat sebaik sahaja mengangkat sumpah jawatan tersebut. Surat peringatan berhubung pemecatan itu telah dikeluarkan oleh UMNO Terengganu dan diserahkan kepada Ahmad selepas diminta berbuat demikian oleh Presiden parti, Abdullah Ahmad Badawi serta Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, malam sebelumnya.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Rosol Wahid berkata, tindakan pemecatan akan dilaksanakan oleh Badan Disiplin UMNO.

Pengumuman semalam yang dibuat oleh Rosul Wahid bahawa Ahmad dipecat kerana mengingkari arahan agar tidak menghadiri majlis penyerahan watikah pengisytiharan setyakat ini masih belum berkuatkuasa. Lembaga Dispiplin akan hanya bersidang selepas itu.

Maka pengamatan Penulis berdasarkan Ahmad masih lagi menganggotai UMNO sehinggalah pemecatannya disahihkan kemudian dan ini membolehkan Ahmad berusaha untuk membentuk sebuah kerajaan pimpinannya. Shaidan sendiri dipercayai cuba memecat Mohd Isa Sabu tetapi tidak meneruskannya setelah beliau sedar tindakan itu sia-sia.

Penulis akan cuba menghalusi kenyataan Setiausaha Agung UMNO yang baru ini. Kenyataan ini pada hemat Penulis tidak sehaluan dengan reaksi yang patut diberikan mengenai kejadian-kejadian sebelum ini. Kejadian yang berlaku di Perlis contohnya melihat parti UMNO membiarkan kebanyakan ADUN di sana mengingkari perintah presiden parti yang mahukan Shahidan dilantik sebagai MB. Setiausaha Agung UMNO ketika itu, bertindak mendiamkan diri seolah-olah membenarkan arahan Presiden parti dicabul. Tiada tindakan atau ugutan untuk mengambil tindakan tatatertib dibuat oleh beliau terhadap ADUN yang ingkar.

Tentunya, Shahidan berhak bertanya, sebagai anggota UMNO dan BN, bolehkah ADUN-ADUNnya tidak akur kepada keputusan presiden parti. Bukankah menyayangi parti, negara dan bangsa melebihi kepentingan peribadi tanpa mengira etnik kita. Barangkali kerana Setiausaga Agung UMNO ketika itu dan Shahidan Kassim bertelagak, prinsip itu boleh diketepikan.

Penulis juga melihat tindakan Setiuasaha Agung UMNO yang baru ini juga tidak selaras dengan komen yang dibuat pemimpin-pemimpin lain parti BN terutamanya UMNO beberapa hari sebelum ini yang menuduh pemimpin pembangkang macam-macam termasuklah 'biadap' apabila mereka (pembangkang) menyatakan musykil dengan titah Pemangku Raja Perak yang mahu menggunakan kuasanya memilih MB. Pemangku Raja Perak enggan menerima permintaan DAP untuk anggota partinya dilantik sebagi MB sungguhpun parti itu berupa parti yang menjadi majoriti dalam Dewan Negeri.

Pada suatu ketika, pemimpin-pemimpin UMNO menyokong pendirian bahawa Raja atau Sultan berkuasa melantik sesiapa yang dia percaya boleh menjalankan tugas Menteri Besar dengan baik, pada masa yang lain sura-suara dari parti yang sama mempertikaikan kuasa itu apabila kepentingan mereka pula yang terlibat.

Pokoknya, kita tidak tahu apakah seperti juga Raja Perlis yang tahu bahawa baginda terpaksa menolak surat watikahyang diberikan kepada Shahidan Kassim dengan alasan mantan MB itu pasti akan gagal mendapatkan sokongan majoroiti ADUN. Pendirian baginda nyata tepat apabila hanya tiga orang ADUN menyokong Shahidan mengekalkan jawaranan Menteri besar Perlis. Mungkin baginda Sultan Terenganu juga yakin bahawa akhirnya ADUN-ADUN akan beralih menyokong Ahmad jika Ahmad diberi peluang.

Tentunya Penulis akan ditanya, tidakkah apa yang berlaku di Perlis itu berbeza sama sekali dengan kejadian di Terengganu. Penulis bersetuju bahawa kalau dilihat di permukaan, itulah kenyataan. Penulis amat bersetuju kalau ia dilihat dari sudut itu. Tetapi sudut lain jadi tumpuan Penulis.

Namun, mengamati politik bukanlah hanya berdasarkan fakta yang ada semata-mata. Politik adalah seni segala kemungkinan. Tidakkah mungkin ada di antara 22 orang yang menyatakan sokongan kepada Idris untuk terus menjadi Menteri Besar itu akan mengubah pendirian mereka? Biasanya taat setia kepada seseorang pemimimpin itu adalah sesuatu yang mat rapuh. Orang politik mudah tergoda. Pernah dikata orang politik rosak kerana tiga 'ta', iaitu takhta, wanita dan harta. Apakah ini akan menggoncang iman orang politik. Benarkah?

Penulis melihat tindakan istana adalah amat strategik.Langkah pertama ialah memberi watikah pengistiharan dulu. Lepas itu biarkan Menteri Besar itu mengemukan barisan Exconya. Melantik Menteri Besar dulu adalah perkara biasa. Kita lihat Perak dan Selangor melantik Menteri Besar mereka dulu. Seminggu kemudian barulah anggota exco pula dilantik. Banyak rundingan hendak dilakukan. Di Perak dan Selangor, DAP, PAS dan PKR berunding berkali-kali sebelum barisan exco dimuktamadkan.

Di Terengganu pun begitulah nampaknya. Hari ini seorang pun tidak dapat lantik sebagai anggota exco. Ahmad Said tidak ada penyokong langsung berupa ADUN. Esok lusa bahagaimana? Kalau ADUN dikurung, berapa lama ia mampu dibuat begitu?

Apakah tidak ada orang akan terpesona dengan takhta dan harta sungguhpun dalam konteks masyarakat agak konservatif Terengganu, 'wanita' tidak dijadikan umpan. Dua 'ta' ini dijangka boleh menghancurkan keimanan beberapa orang dari kalangan ADU itu. Jawatan-jawatan exco dan speaker akan dijadikan umpan. Para ADUN tersebut tentulah boleh mengagak kalau Idris adalah Menteri Besarnya, tentu orang ini dan itu akan menjadi exco dan yang lain tidak. Sasaran Ahmad pastinya orang yang tidak akan dilantik oleh Idris.

Terdapat sebanyak 10 jawatan exco dan satu jawatan speaker yang membawa maksud kesemuanya sebelas jawatan. Perpaduan di kalangan penyokong Idris akan terlerai apabila sebelas orang ditarik melalui umpan dua 'ta' ini. Jika ini berjaya dilakukan kumpulan penyokong Idris akan hanya tinggal sebelas orang sahaja. Ia bukan lagi majoriti. Kekuatan dua kelompok ini sama dan istana didapati lebih yakin kepada kekuatan dan kemampuan kelompok Ahmad.

Dalam keadaan begitu, kumpulan Ahmad sudah tentu berjaya membentuk sebuah kerajaan, hanya kekuatannya sahaja belum dapat dipastikan. Urusan biasa sudah dapat berjalan. l

Kelangsungan kerajaan ini akan hanya teruji apabila Dewan bersidang dan Bil atau Rang Undang-Undangl hendak dibahaskan dan diluluskan. Di sini pendirian para penyokong Idris penting. Jika kelompok ini mengambil keputusan untuk menolak Rang Undang-Undang ini dan jika tindakan ini disokong pula oleh ADUN PAS seramai 8 orang itu, kelulusan Bill akan tertolak dan boleh menyebabkan satu undi tidak percaya kepada kerajaan boleh diluluskan. Peranan ADUN PAS akan menjadi paling penting.

Kemungkinan senario yang terjadi juga perlu mengambil kira akan tindakan UMNO terhadap mereka yang enggan patuh akan arahannya. Kalau UMNO mengambil keputusan untuk memecat kesemua mereka yang tidak patuh kepada arahan Presiden, maka barisan exco itu akan dengan sendirinya menjadi ADUN bebas.

Suasana begini pastinya akan menguntungkan PAS kerana dengan 8 orang ADUN, parti itu boleh membentuk satu kerajaan campuran bersama ADUN bebas tadi. Apa yang terjadi di Perak akan berulang. Sungguhpun mempunyai hanya seramai 6 orang ADUN tetapi, keadaan telah meletakkan PAS berjaya meletakkan orangnya menjadi Menteri Besar di sana . Di Terengganu barangkali, jawatan Menteri besar akan kekal berada di tangan Ahmad memandangkan dia mengawal 11 orang ADUN (10 orang penyandang Exco) dan satu jawatan speaker.

Dalam keadaan begitu, satu kerjasama PAS-Bebas membentuk sebuah kerajaan di Terengganu akan menyelesaikan kemelut yang terjadi bagi menghindarkan satu lagi pilihan raya diadakan di Terengganu dalam masa yang singkat ini.

Kalau UMNO tidak mengambil apa-apa tindakan dan membiarkan seperti apa yang telah disaksikan berlaku di Perlis, tanggapan atau persepsi ialah pucuk pimpinan UMNO akan dilihat sebagai lemah dan akan membuka ruang kepada banyak lagi pihak untuk memandang sepi akan arahan parti dan amaran yang dikeluarkan oleh Tengku Adnan semalam akan hanya jadi bahan cemuhan sahaja. Ini akan meletak UMNO dan BN dalam kacau bilau.

Friday, March 21, 2008

Siapa pengantara perpaduan Melayu

Tersiar dalam Sinar harian, Jumaat 21 Mac, 2008 muka N15


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah


Melalui satu temu bual bersama BERNAMA baru-baru ini, seorang tokoh veteran UMNO dari Melaka, Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata genarasi baru Melayu yang mengundi pembangkang terutamanya DAP pada pilihan raya umum baru-baru ini tidak mempunyai semangat kebangsaan, fikiran mereka bercelaru dan hanya terikut-ikut mahukan perubahan.

Bagi tokoh ini, jika mereka mempunyai semangat kebangsaan, golongan ini tentu mengundi BN kerana tulang belakang BN ialah UMNO, yang memperjuangkan nasib UMNO. Pejuang kemerdekaan itu berkata, mereka tidak tahu betapa susahnya orang Melayu dahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah Inggeris tetapi mereka yang hidup senang lenang pada hari ini.

Untuk sekian lama, undi Melayu banyak diberikan kepada UMNO. Sebahagian dari undi Melayu bagaimanapun ada juga diberikan kepada PAS sehingga membolehkan PAS membentuk kerajaan di Kelantan bermula tahun 1959 hingga 1968 dan pada tahun 1990 hingga sekarang. Selebihnya, undi Melayu hanyalah untuk UMNO dan BN. UMNO dulu, kini dan selamanya. Melayu begitu setia kepada UMNO dan BN sungguhpun undi bukan Melayu berselang seli diberikan kepada BN dan DAP.

Penulis tidak ingin berbicara secara detail kenapa kali ini undi Melayu berpindah kepada PAS. Kalaupun ia pada suatu ketika lain tidak berpindah, kemungkinan ia berpindah itu ada kerana di samping BN, PAS sememangnya adalah alternatif kepada UMNO. Kenapa undi Melayu sudah boleh terbang kepada DAP pastinya lebih menarik dibicarakan kerana sebelum ini pantang Melayu mendengar nama DAP. Mendengar saja pun sudah jijik dan jelek. Apalagi mengundi. Ia sama juga seperti jeleknya orang Cina mendengar nama PAS.

Kali ini riuh satu negara membicarakan perihal orang Melayu mengundi DAP sehinggakan jatuh kerajaan BN yang berpaksikan Melayu. Lalu mereka yang mengundi DAP itu dituduh sebagai petualang yang berfikiran celaru yang kerana ikut perasaan sanggup melihat jatuhnya kerajaan ‘Melayu’.

Jatuhnya kerajaan-kerajaan negeri Kedah, Perak, Selangor dan pemantapan kuasa PAS di Kelantan dikatakan dikaitkan dengan perubahan sikap undi Melayu. Bahkan, tertegaknya kerajaan berpaksikan DAP di Pulau Pinang menggantikan kerajaan BN berpaksikan parti Gerakan sedikit sebanyak kerana adanya bantuan undi Melayu. Sehubungan itu, adanya juga undi Cina dan India yang menyokong calon-calon PAS juga disebut sebagai faktor kejatuhan kerajaan-kerajaan negeri yang sebelumnya ini dikuasai BN.

Kalau kita amati keputusan-keputusan pilihan raya sebelum ini, kita boleh nampak bahawa perubahan sikap orang Melayu ini adalah lebih ketara pada pilihan raya 1999 dulu. Apa yang berlaku pada tahun ini sebenarnya tidaklah sehebat tindakan besar-besaran pengundi Melayu ‘meninggalkan’ BN pada tahun 1999 itu.

Itu akan dibuktikan kemudian, di waktu lain dan di ruangan lain, kalau kesempatan.

Bezanya, oleh kerana perubahan itu tidak memberi kesan kepada jatuhnya beberapa kerajaan negeri, ia tidak diperkatakan. Mengkaji fakta-fakta keputusan pilihanraya umum 1999 membuktikan bahawa orang Melayu sebenarnya telah bersikap meninggalkan BN pada masa itu. Mereka meninggalkan BN secara berbondong-bondong. Ada negeri di mana BN diberi pukulan maut iaitu tidak diberi kemenangan satu kerusi pun.

Pada pilihan raya tahun 1999, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan, rakyat Kelantan telah menolak BN bulat-bulat. Dari kesemua 39 kerusi yang dipertandingkan, BN kalah kesemuanya. Ada kubur tida bernisan. Hanya Tengku Razaleigh Hamzah yang mewakili BN sahaja menang kerusi parlimen Gua Musang dan itu pun dengan undi majoriti yang kecil.

Bagi negeri Terengganu pula, PAS berjaya menawan negeri tersebut. PAS menang besar, iaitu 28 kerusi berbanding hanya 4 dimenangi oleh BN untuk DUN. Seperti juga Kelantan, BN Terengganu hanya menang satu kerusi tunggal untuk Parlimen.

Kedua-dua negeri tersebut merupakan negeri yang didiami lebih 95 peratus penduduk Melayu. Kemenangan bulat PAS di negeri-negeri tersebut membawa erti bahawa orang Melayu Kelantan dan Terengganu hampir secara total menolak BN. Dengan ini mereka tidak melayakkan BN (dalam kontek Kelantan dan Terengganu, UMNO) mewakili mereka untuk berbicara tentang kedudukan mereka sebagai orang Melayu. Di setiap negeri tersebut, hanya terdapat seorang wakil bukan Melayu dalam DUN. DUN Kelantan malah, wakil kaum Cina adalah seorang Islam.

Di Kedah, komposisi penduduknya tidaklah se’homogenous’ Kelantan dan Terengganu. Bilangan penduduk bukan Melayu agak ramai tetapi majoriti besar penduduknya tetap Melayu. Pada pilihan raya tahun 1999 tersebut, PAS berjaya menawan 8 daripada 15 kawasan parlimen dan 13 kerusi DUN. Hampir semua kawasan yang PAS menang itu berupa di mana pengundi Melayu melebihi 80 peratus dari seluruh pengundi setiap kawasan.

Di negeri ini juga dapat dilihat sebilangan besar pengundi Melayu bersatu di bawah panji PAS. Begitu juga keadaannya di Selangor di mana PAS memenangi beberapa kerusi DUN. Kawasan-kawasan yang PAS menang ialah di antaranya kawasan berpenduduk Melayu yang agak padat.

Dikatakan pada ketika itu, di mana ada padi seperti Parit Buntar, Parit, Kelantan, Kedah dan Terengganu, di situ PAS menang dan Melayu dikaitkan dengan penanaman padi. Bila PAS menang, ertinya BN (biasanya diwakili UMNO) akan kalah. Memenangkan PAS tentunya menolak BN (UMNO).

Ketika itu tidak pula timbul cakap-cakap orang Melayu menolak UMNO. Tidak juga timbul cakap-cakap mahukan orang Melayu segera bersatu bagi mengelakkan masa depan politik mereka tercabar. Malah tidak timbul persoalan orang Melayu diminta bersatu di bawah panji PAS memandangkan ketika itu orang Melayu menolak BN. Seharusnya, mereka yang lantang bercakap tentang pentingnya perpaduan Melayu hendaklah berseru agar Melayu bersatu di bawah PAS ketika itu.

Lantas, timbul persoalan adakah perpaduan Melayu itu bererti bersatu di bawah UMNO semata-mata atau apa? Apakah hak UMNO untuk mendakwa bahawa hanya partinya berhak mewakili Melayu? Atau boleh atau tidak diberi alternatif mereka bersatu di bawah PAS?

Sekarang kita lihat terdapat dua imej bertentangan diberikan kepada dua parti Melayu ini. UMNO diberi persepsi sebagai sebuah parti yang tidak memandang serius terhadap amalan rasuah, salah-gunakuasa, kronisma dan nepotisma. Malah bukan semua orang UMNO dapat menikmati perjuangan UMNO akhir-akhir ini. Nikmat itu hanyalah untuk segelintir kelompok bergelar pemimpin. Ramai pemimpinnya dipercayai memiliki akhlak dan moral yang rendah pula.

Agak malang lagi apabila kemasukan muda-mudi Melayu menyertai UMNO mula dibahaskan. Ramai tidak percaya anak-anak muda masuk UMNO di atas niat perjuangan agama, bangsa dan tanahair. Mereka dikatakan memburu duit dan projek. Baru setahun menjadi Ketua Pemuda Cawangan, kereta besar dan baju berjenama mahal sudah terbentang di depan mata.

Bagi membuktikan perjuangan mereka ikhlas, mereka akan bercakap bergegar semasa mesyuarat. Kalau perlu keris dihunus. Perasaan orang bukan Melayu tidak diambil kira. Terpenting bagi mereka, gelora orang muda Melayu perlu dibakar dan undi prewakilan mesti diraih. Bagi pejuang pseudo ini, paparan imej hendaklah jelas, ‘demi Melayu aku rela mati!’ Akhirnya, undi bukan Melayu yang hilang dan sanggup pula bukan Melayu yang tersinggung ini memilih PAS!

Pada suatu pihak yang lain, PAS dilihat sebagai parti yang ‘cool’ dan sudah dewasa. Ia menyesuaikan diri mengikut tuntutan masa dan keadaan. Ia mendakwa untuk semua kaum. Pemimpin-pemimpinnya hidup dalam sederhana dan selama memerintah lebih dari 18 tahun di Kelantan, pihak Badan Pencegah Rasuah (rata-rata imej yang ada pada pengundi ialah BPR berada di bawah telunjuk BN) gagal mencari sebarang salahlaku perbuatan yang boleh disabitkan dengan rasuah. Sebagai ejen BN, BPR diyakini akan berusaha keras membongkar kesalahan pemimpin Pas walau sekecil manapun.

Dari dua imej ini, melalui PRU 12, seperti juga pada PRU 10 pada tahun 1999, pengundi memilih untuk bersatu di bawah PAS. Menganggap sesiapa yang memilih untuk berbuat demikian sebagai petualang bangsa tentulah tidak tepat. Jasa UMNO kepada Melayu sebelum ini tetap dikenang tetapi UMNO tidak boleh selama-lamanya menuntut kesetiaan orang Melayu kalau ia sendiri sudah tidak setia dengan perjuangan UMNO.

UMNO yang telah diletak di bawah mikroskop pada PRU 12 lalu oleh pengundi Melayu sendirilah yang meletakkan ketuanan Melayu di dalam krisis. Mereka didapati tamak dan berebut-rebut mendapatkan kuasa. Mereka berbalah sesama sendiri. Tanpa segan silu mereka ‘berperang sesama sendiri seolah merebut habuan perang’ di depan mata bakal pengundi mereka. Ia memualkan pengundi baik Melayu atau bukan Melayu.

Bekerja untuk parti semasa berkempen tidak akan dilakukan kalau tidak dibayar. Tuduh menuduh kedengaran bahawa ‘duit tidak turun ke bawah’ dan tersangkut dalam kocek orang atasan. Berbeza dengan sikap pekerja parti lawan yang melakukannya gratis atas nama perjuangan.

Hari ini, sebagai terhasil dari PRU ke-12 baru-baru ini, di peringkat parlimen, wakil-wakil Melayu pembangkang berjumlah 43 orang, iaitu 23 dari PAS dan 20 dari PKR. Seramai 11 orang lagi wakil PKR adalah bukan Melayu. Pada PRU tahun 2004 terdapat 107 wakil UMNO di parlimen dan sekarang tinggal hanya 78 dan selepas ditolak wakil UMNO dari Sabah, tinggal berapa ya dan Tan Sri, siapa bersalah sebenarnya?

Saturday, March 15, 2008

Persepsi berubah mengikut tuntutan masa

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Sabtu, 15 Mac, 2008 muka N25


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

INI sebuah kisah benar. Penulis mendengar sendiri dari mulut orang terlibat. Kisah isteri dia menangis terisak-isak pada sebuah pagi Sabtu. Dia minta penulis berjanji tidak akan bertanyakan ini kepada isterinya. Penulis bersetuju. Kisah ini terjadi pada 8 Mac lepas.

Hari itu adalah hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum 12. Beliau bersama isterinya pergi mengundi. Selepas mengundi mereka pulang. Sampai di rumah mereka tidak bercakap banyak. Memang semenjak akhir-akhir ini mereka tidak bercakap banyak tentang politik demi menjaga ketenteraman rumah. Si isteri dan suami berlainan parti. Apa pun rumah tangga mereka amat rukun. Setahun tiga empat kali pergi ke seberang laut bercuti bersama. Mereka ada apartment di London .

Si suami kehairanan kerana sejak pulang dari mengundi isteri tidak bercakap langsung. Selepas dua tiga jam mendiamkan diri, akhirnya kesunyian pecah. Ia dipecahkan oleh satu tangisan terisak-isak yang keras. Si suami panik. Tidak tahu apa salahnya dan apa yang harus dibuat.

Selepas sekian lama dipujuk untuk diberitahu sebab dia menangis, isteri berkata: ‘‘Hari ini saya undi DAP, saya tiada pilihan! Sudah sepuluh kali mengundi tak pernah-pernah undi DAP’’. Benar mereka berdua adalah penyokong kuat BN cuma si suami sahaja berpindah arah semenjak beberapa tahun lepas. Selama itu si isteri tetap kekal dengan pendiriannya bersama BN, parti pilihan emak ayah dia.

Itu adalah sebuah petikan dari peristiwa benar. Ia mengisahkan satu dilema seorang Melayu untuk mengundi satu parti lain selain BN. Barangkali, dia tidak akan menangis kalau yang diundinya itu parti PAS sungguhpun parti itu bukan pilihan dia atau ibu bapa dia. Mengundi DAP baginya pada ketika itu adalah mengkhianati Melayu.

Itulah persepsi yang banyak dipegang oleh sebilangan Melayu. Sebaik sahaja keputusan pilihan raya diketahui, kelompok-kelompok Melayu mula membicarakan tentang terhakisnya kuasa Melayu. Mereka mula menyesal di atas sikap orang Melayu yang dituduhnya ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar.’ Bagi mereka, Melayu di luar BN, berkeadaan menang sorak kampung tergadai. Melayu yang banyak menerima faedah dari Dasar Ekonomi Baru sanggup memberikan undi kepada pembangkang. PAS dituduh sanggup menggadai kuasa Melayu apabila bekerjasama dengan DAP.

Memandangkan DAP diberi persepsi demikian, maka eloklah ia dianalisis melalui fakta. Tidak dinafikan bahawa persepsi negatif terhadap DAP berpunca dari sikapnya pada masa awal penubuhannya yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh DAP Singapura pimpinan Lee Kuan Yew.

Masa berubah dan tuntutan perjuangan pun turut berubah. Dr Mahathir sendiri pun pada suatu masa dulu dianggap sebagai ultra Melayu dan ditolak oleh pengundi bukan Melayu. Beliau kalah dalam pilihan raya umum tahun 1969. Ketika itu, pengundi bukan Melayu Kota Star lebih rela memilih PAS berbanding calon Perikatan iaitu beliau. Tahun-tahun berikutnya, Mahathir berubah sehinggakan orang bukan Melayu tidak sanggup melihat dia jatuh dan kalah dalam pilihan raya.

Apakah DAP juga turut berubah. Kita bandingkan senarai calon DAP dalam PRU 12 lalu berbanding Gerakan dan MCA. Terdapat sebanyak 13 kerusi parlimen dan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang. BN meletakkan seramai 5 calon Melayu di sana, iaitu di kawasan Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Nibong Tebal, dan Balik Pulau. Gabungan BA meletakkan juga seramai 5 calon Melayu iaitu di semua kawasan tersebut kecuali Nibong Tebal tetapi menggantikannya dengan Bayan Baru.

Pecahan calon kaum India pula, DAP seramai dua orang iaitu di P46 Batu Kawan, P. Ramasamy dan P51, Bukit Gelugor, Karpal Singh. BN, baik Gerakan mahu pun MIC langsung tidak meletakkan calon berketurunan India untuk kerusi parlimen di Pulau Pinang . Semua calon BN selain dari UMNO, adalah berketurunan Cina. Di sinin DAP tidak bersifat keCinaan.

Bagi DUN pula, dari 40 buah DUN, MCA dan Gerakan meletakkan 23 calon Cina sementara DAP dan PKR hanya meletakkan seramai 20 orang calon. Terdapat seramai dua orang calon India dari parti BN (MIC). DAP meletakkan 4 orang calon DUN India sementara PKR meletakkan seorang, menjadikan kesemuanya berjumlah 5 orang.

Terdapat seramai 15 orang calon DUN berketurunan Melayu diletakkan oleh UMNO sementara gabungan PAS dan PKR terdapat juga 15 orang.

Jelaslah di sini bahawa calon berketurunan Melayu tidak dikesampingkan oleh gabungan ini di Pulau Pinang. Gabungan ini dilihat memberi banyak ruang kepada kaum India . Kalangan Cina dalam DAP lebih banyak berkorban untuk kaum India . Parti Gerakan pula terserlah lebih bersifat perkauman.

Bagaimana kedudukannya di Perak? Fakta dari senarai calon bertanding PRU 12 di Perak memperlihatkan suatu yang amat menarik. Bagi kerusi parlimen, BN meletak sermai 11 orang calon Melayu. Kawasan-kawasan itu adalah Lenggong, Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Padang Rengas, Tambun, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Bagan Datoh. Barisan Rakyat pula berjaya meletak seramai 14 orang calon Melayu kerana mereka juga bertanding di kawasan lain seperti Gerik, Lumut dan Tanjung Malim. BN meletakkan calon bukan Melayu di ketiga-tiga tempat itu. DAP turut mendokong meramaikan MP Melayu di Perak.

Jika calon Melayu dari kalangan BA terbukti lebih ramai berbanding BN di peringkat parlimen, di peringkat DUN bilangan calon Melayu hanyalah berkurangan seorang sahaja berbanding calon diletakkan mewakili BN. Bilangan calon Melayu BN adalah 34 orang sementara PAS dan PKR 33 orang. Bilangan calon India mewakili BN seramai 4 orang sedangkan mewakili BA seramai 8 orang. DAP, pimpinan kaum Cina sekali lagi tidak mmengutamakan kaum Cina.

Suatu yang amat menarik terjadi di dalam pilihan raya ini ialah bertambahnya bilangan calon Melayu yang menang. Jika UMNO diandaikan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan, bilangan calon Melayu yang menang dalam pilihan raya ini tidak akan melebihi 34 orang. Namun dengan kemenangan seramai 27 orang calon UMNO, 6 orang calon PAS dan 3 orang calon Melayu PKR, bilangan wakil rakyat Melayu menjadi 36 orang.

Keadaan yang sama dapat dikesan terjadi di Selangor. UMNO meletakkan seramai 10 orang calon parlimen. Empat darinya menang. BA pula meletakkan 12 calon Melayu dan 8 darinya menang. Sekali lagi kita lihat bahawa perkongsian BA telah berjaya melahirkan lebih ramai MP Melayu, iaitu 4 dari BN dan 8 dari BA. DAP sendiri hanyalah meletakkan 4 orang calon bertanding, iaitu di kawasan Serdang, Puchong, PJ Utara dan Kelang. Dua orang darinya adalah calon India.

Maka kita lihat, dari 22 kawasan parlimen di Selangor, hanya 2 orang calon Cina DAP bertanding sedangkan parti kompnen BN bukan Melayu bertanding sebanyak 12 kerusi. Sekali lagi terbukti DAP tidak mementingkan Cina.

DUN Selangor mengandungi 56 kerusi. UMNO bertanding sebanyak 35 kerusi dan menang 18 darinya. Calon Cina BN bertanding sebanyak 18 kerusi dan menang hanya 2. MIC kalah semua kerusi yang ditandinginya. DAP pula hanya bertanding sebanyak 15 kerusi tetapi memenangi 13. Calon India DAP kalah di kawasan Kuala Kubu Baharu dan Sungai Pelek.

Calon-calon Melayu dari PKR dan PAS yang memenangi DUN Selangor semuanya berjumlah 18 orang, iaitu 8 PAS dan 10 PKR. Calon-calon PKR lain yang menang ialah 2 orang India dan 3 orang Cina. Pakatan BA di Selangor, seperti juga di Perak telah menambahkan bilangan ADUN Melayu. Paling maksimum ADUN Melayu dapat dihasilkan di bawah konsep BN ialah 34 sahaja, kerana BN meletakkan seramai itu calon Melayu.

Sayangnya, sungguhpun bilangan ADUN Melayu bertambah ramai di dalam DUN Selangor dan Perak kali ini, ia terkelompok tiga, iaitu UMNO (BN), PAS dan PKR. Kelompok BN gagal memiliki majoriti dalam DUN negeri-negeri tersebut kerana hanya 2 calon MCA menang. Gerakan dan MIC kalah semuanya.

Dari kalangan kelompok BA pula, bilangan calon Melayu tidak berupa majoriti kerana keadaan pengundi Melayu dalam PRU 12 yang berkeadaan ragu di mana setengah memilih PAS atau PKR dan sebahagian yang lain memilih BN.

Satu kerajaan berteraskan seperti sebelum ini tidak dapat diwujud. Di Perak BN (UMNO) menang 27 kerusi dan MCA 1 menjadikan 28. Ia kekurangan 2 kerusi untuk membentuk kerajaan. Bekerjasama dengan DAP adalah satu yang mustahil. Bekerjasama dengan PAS mungkin, tetapi ini akan membawa erti bahawa kerajaan yang dibentuk adalah sebuah kerajaan Melayu. Persefahaman ini akan meletakkan UMNO dan PAS amat jelek di mata pengundi bukan Melayu dan pasti akan membawa kesan buruk.

DUN Selangor yang memiliki 56 kerusi memerlukan sesebuah parti memenangi 29 buah kerusi untuk membentuk sebuah kerajaan majoriti mudah. UMNO dan MCA memenangi hanya 20 dan memerlukan lagi 9 kerusi. Kalau ia berjaya memujuk PAS menyertainya (sama ada melalui pakatan atau ADUNnya memasuki UMNO) serta seorang ADUN lain, kesan sama dapat dilihat. Satu lagi kerajaan Melayu akan terbentuk. Pastinya, BN pun tidak mahu dilihat sebagai menikam kaum yang lain dari belakang.

Ertinya, keputusan yang dihasilkan baru-baru ini tidak memberi ruang untuk satu formula lain kecuali kerajaan yang terdiri dari pakatan DAP, PKR dan PAS. Membentuk satu kerajaan yang BN terlibat di dalamnya adalah sesuatu yang mustahil. Dalam pakatan itu pula orang Melayu nampaknya rugi kerana sungguhpun memiliki bilangan ADUN yang lebih ramai berbanding komposisi dewan sebelum ini, ia tidak dilihat begitu dalam perprspektif parti bertanding. Sebilangan besar dari mereka adalah pembangkang (UMNO). Bakinya, terdiri dari PAS dan PKR. Berbanding dengan DAP yang memenangi hampir kesemua kerusi yang mereka tanding, kelompok DAPlah yang berupa majoriti.

Maka, jawatan Ketua Menteri dan MB bagi Pulau Pinang adalah milik DAP. Itu hakikat demokrasi. Kehendak perlembagaan negeri lain pula.

Di sini ramai orang mempunyai pandangan bahawa Melayu berkeadaan menang sorak kampung tergadai di negeri-negeri tersebut. Pandangan itu ada benar dan ada salah. Salah kerana Melayu lebih ramai yang menang. Salah kerana PAS dan PKR juga boleh menyelamatkan keadaan kalau ramai lagi dari kalangan mereka dipilih. Benar kerana sebagai satu entiti, parti DAP adalah parti majoriti dalam kelompok BA.

Apabila isteri kawan penulis menangis selepas membuang undi, nyata beliau berada dalam dilemma yang besar. Dia sayangkan BN tetapi beliau mempunyai persepsi bahawa BN tidak lagi sensitif kepada keluhan-keluhannya. Begitu banyak tuduhan dibuat terhadap BN yang dia yakin benar tetapi BN mengambil sikap membisu. Ia laksana membiarkan api dalam sekam. Beliau ada mendengar kisah BN membina istana negara semahal I billion dan Yang setiap Yang Dipertuan Agong tidak memintanya kerana baginda hanya memerintah selama 5 tahun sahaja dan tiada tender terbuka dibuat. Belum pun istana siap, Agong pastinya akan sudah tamat tempoh di atas takhta.

Isteri kawan penulis juga membaca dari laman web tentang adanya pembayaran komisyen berjumlah RM530 juta, untuk pembelian kapal selam dan pesawat F29, atau bail-out melibatkan wang lebih 4 bilion untuk pelabuhan di Kelang. Ini semua melibatkan jumlah yang besar. Dia amat yakin dengan dakwaan-dakwaan itu. Dia tidak yakin pula dengan BPR. Dia juga tidak yakin dengan badan kehakiman. Banyak lagi cerita penyalhagunaan yang dia dengar.

Isteri kawan penulis tinggal di kota . Taksirannya terhadap prestasi BN berlainan. Kenaikan harga barang tidak memberi banyak kesan kepadanya. Duitnya banyak. Namun dia tahu kalaulah pembaziran-pembaziran yang dia yakini berlaku itu dapat dielakkan, harga minyak barangkali boleh dikurangkan sedikit. Itu pandangannya.

Pada masa yang sama, BN, terutamanya UMNO lalai kerana sumbangannya masa lalu kepada Melayu adalah besar. Ia sudah tidak sensitif kepada tuntutan semasa. Ia memikirkan Melayu pasti tidak akan meminggirkannya. Melayu tidak ada pilihan. Apabila orang Melayu melihat UMNO semakin bongkak, UMNO seolah-olah tidak melihat persepsi itu atau sengaja enggan mengakuinya. Ia terlalu yakin bahawa orang Melayu yang amat simple ini akan terus menerus tidak akan mengkhianatinya. Ia lupa bahawa ramai Melayu mula yakin UMNO telah mengkhianati mereka.

Kajilah keputusan pilihan raya di Selangor. Kita ambil DUN Bukit Antarabangsa. Kawasan ini sebuah kawasan majoriti Melayu. Pengundi terdiri dari manusia kelas tinggi dan menengah. Ramai Dato dan Tan Sri tinggal di sini. Ramai pegawai tingi kerajaan baik yang dah bersara atau masih berkhidmat tinggal di situ dan jadi pengundi di situ. Mereka tentulah tidak emosional sewaktu membuang undi, Mereka waras. Mereka juga menolak calon BN, Haslinda Mohd Zerain.

Jelasnya Melayu terperangkap kerana berpegang kepada persepsi UMNO gagal menjaga amanah. Ramai pemimpin UMNO dilihat sebagai tidak bermoral. Ada perasuah ada MP yang dituduh terlibat dengan skandal seks. Kisah terbuka penceraian wanita UMNO mengesahkan persepsi. Dia ingin tahu apa sudah jadi dengan kes rasuah berprofail tinggi yang heboh diperkata dulu.

Kegagalan UMNO membersihkan imej mereka membuatkan Melayu mengambil sikap meninggalkan kesetiaan kepada UMNO. Mereka sudah sanggup menumpang kasih kasih kepada DAP. Ini suatu yang tidak terfikir bagi sesetengah orang yang mengikuti perkembangan parti melalui media massa di bawah kawalan UMNO. Ramai Melayu sudah nekad untuk menegur UMNO cara ini.

Bagi sesetangah yang lain, mereka sudah melihat bahawa DAP sudah tidak lagi berupa sesuatu yang berbahaya kepada orang Melayu. Mereka melihat tidak ada banyak beza di antara DAP dengan Gerakan. Malah dalam PRU 12 lalu, Gerakan tidak meletakkan seorang pun calon bukan Cina. Semua calonnya Cina. DAP meletak 40 orang calon India berbanding hanya 29 oleh MIC. DAP tidak meletakkan ramai calon Melayu kerana ia sudah ada persefahaman dengan PKR dan PAS. Tugas meletakkan calon Melayu terletak pada PAS dan PKR. Itu pun DAP masih meletak calon Melayu. Lihat kawasan parlimen Raub.

Seperti kekalahan besar calon-calon UMNO pada tahun 1999, UMNO boleh kembali bangkit. UMNO telah membuktikan kemampuannya. Pada 2004 UMNO dan BN memperolehi kemenangan amat cemerlang dengan membolot hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan. UMNO dan BN mampu kalau ia mahu mendengar keluhan rakyat. UMNO dan BN Ia akan mula dinilai melalui pembentukan kabinet minggu depan. Tersangkutkah lagi orang yang dilihat sebagai perasuah kekal? Kita tunggu.