Sunday, April 20, 2008

Wibawa media jadi tanda tanya

Rencana ini tersiar dlm SH pada Ahad 20 April, 2008 muka N10

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

AKHIRNYA orang penting di Kementerian Penerangan, menterinya sendiri, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengeluarkan pendapat yang ternyata berbeza dengan apa yang sering disuarakan oleh menteri di kementerian yang sama sebelum ini. Shabery menganggap media tradisional seperti televisyen dan akhbar-akhbar tidak lagi memiliki kredibiliti yang suatu ketika dulu mendapat kepercayaan kalangan pembaca dan penonton.

“Orang ramai tidak lagi mempercayai apa sahaja yang mereka baca di akhbar atau tonton di televisyen yang diketahui dikawal atau dimiliki oleh kerajaan atau parti politik yang mirip kepada pemerintah. Sebelum ini apa yang ditulis di akhbar dipercayai bulat-bulat oleh pembaca. Sekarang mereka ragu. Mereka ingin tahu siapa pemilik akhbar itu, siapa editornya dan pelbagai persoalan lain lagi sebelum mereka mempercayai sebarang berita.” Kata Shabery sebagaimana tersiar dalam NST 16 April.

Shabery berharap semua organisasi milik pemerintah berusaha meningkatkan kredibiliti pada rencana-rencana dalam akhbar atau laporan televisyen sebagai usaha untuk menawan kembali keyakinan orang ramai yang kian terhakis dalam beberapa tahun terakhir ini.

Menteri Penerangan sebelum Shabery ialah Zainuddin Maidin yang lebih dikenali sebagai Zam. Beliau adalah bekas wartawan kanan. Beliaulah sepatutnya orang yang memperjuangkan sikap seperti yang ada pada Shabery sekarang. Sebaliknya, dia mengambil tindakan sebaliknya. Sungguhpun pengawalan akhbar terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri, Zam dilihat yang berperanan mengekang akhbar. Dia tidak bertolak ansur dan tidak memberi ruang kebebasan kepada akhbar.

Berdasarkan kemahuan Zam menuntut akhbar-akhbar dan stesen-stesen TV menyiarkan cerita-cerita yang menyenangkan kerajaan dan memburuk-burukkan parti pembangkang menyebabkan imej media massa itu tercemar dan rendah. Berita-berita yang tersiar tidak dibaca orang atau pun hanya dijadikan bahan untuk menimbulkan lagi rasa marah. Akibatnya, setiap kali akhbar dibelek atau televisyen ditonton, perasaan benci kepada kerajaan menimbun. Orang meluat dan hasilnya, kebencian dihalakan kepada parti kerajaan sendiri, BN. Propaganda Zam berbentuk ‘overkill’.

Dasar yang diamalkan Zam menyebabkan pembaca tidak lagi melihat akhbar dan televisyen sebagai sumber berita utama kerana tidak ada berita yang menarik hati mereka tersiar. Mereka beralih kepada laman blog, laman web dan dari SMS. Maka, sebagaimana diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah, “Kita kalah dalam perang Internet, perang siber. Ia adalah satu perhitungan yang salah. Kita melakukan kesilapan besar. Kita ingat akhbar, media cetak, televisyen sepatutnya penting...”

Pengakuan ikhlas Abdullah itulah yang mendorong Shabery untuk mengubah persepsi besar pembaca dan penonton televisyen masa kini. Sungguhpun pilihan raya umum telah pun tamat dan keputusannya telah diketahui, masih banyak akhbar dan stesen televisyen yang menyiarkan berita-berita dan laporan yang berat sebelah yang bertujuan untuk mengubah pendirian rakyat kembali menentang golongan yang dulunya disebut sebagi pembangkang tetapi sekarang bertindak sebagai kerajaan untuk lima buah negeri dan pembangkang untuk negeri selebihnya dan Dewan Rakyat. 8

Peranan yang dimainkan oleh akhbar dan stesen televisyen hari ini hendaklah disesuaikan dengan iklim baru politik Malaysia yang mahukan ketelusan dan keadilan sejagat. Tuntutan seperti ini berlaku di seluruh dunia. Apa yang dilakukan oleh Suharto tidak boleh diteruskan oleh pemerintah Indonesia selepas beliau, Abdul Rahman Wahid mesti akur, Megawati mesti akur. Tuntutan ke arah pembaharuan sangat tinggi. Mereka menuntut keterbukaan, keadilan dan ketelusan. Tuntutan jenis sama berlaku di negara-negara Eropah Timur, Russia, Jepun, Taiwan dan negara-negara Afrika. Dunia sudah tidak ada sempadan.

Berlatar belakang keadaan itu, kita menghadapi pilihan raya baru-baru ini. Rakyat yang sudah banyak mendapat maklumat tentunya mahukan proses mendapat maklumat selanjutnya dibuka, dibuka, dan dibuka dengan tanpa kongkongan lagi. Sikap untuk mengongkong adalah sia-sia sekarang kerana sumber maklumat terapung di depan mata. Tekan kunci tetikus, terbentanglah apa yang mahu dicari. Maka, itulah sebabnya, media tradisional kadangkala dianggap sudah tidak relevant, dan BN, di bawah kelolaan Zam yang mengamalkan dasar tidak ‘friendly’ terhadap media massa terkena ledakan tsunami dalam pilihan raya lalu.

Hasrat dan pandangan Shabery amat penulis kagumi. Kalau benar ini dapat dilaksana, media massa tradisional seperti akhbar dan televisyen akan kembali segera mendapat kepercayaan orang ramai. Ramai orang lebih selesa membaca ‘print media’ atau menonton televisyen berbanding melayari Internet. Membaca akhbar mudah dan selesa. Melayari Internet kadangkala mengakibatkan ‘stress’ dan ‘tension’ kerana acap kali kita dihantui oleh keadaan ‘hang’. Tetapi, bagi ramai orang, keadaan itu rela ditempuhi kerana membaca akhbar atau menonton televisyen ‘menyakitkan mata dan dada’.

Sebaik sahaja selesai pilihan raya, proses pembentukan kerajaan bermula. Banyak negeri menghadapi masalah membentuk kerajaan di atas pelbagai alasan. Ada yang berselisih berebut jawatan exco sesama anggota komponen, ada yang berebut jawatan Menteri Besar seperti terjadi di Perak. Ada pula yang orang dipilih oleh parti untuk menjadi MB tetapi ditolak oleh istana. Macam-macam ada.

Namun jika kita mengkaji liputan-liputan yang dibuat oleh akhbar-akhbar dan televisyen kita lihat masih lagi terbawa-bawa dengan sikap seperti pra-pilihan raya. Berita-berita yang diutamakan ialah berita-berita berkaitan masalah dihadapi oleh Pakatan Rakyat membentuk kerajaan. Soal DAP bertelagah untuk mendapat jawatan MB itu dibesar-besarkan dan tuduhan-tuduhan dibuat bahawa tindakan DAP membantah pilihan istana digambar sebagai biadap. Apabila kejadian yang sama terjadi di mana semua ADUN BN membantah lantikan istana di negeri lain, tidak pula terdengar gambaran dan sifat sama dikenakan kepada pemimpin BN yang juga bertindak sama iaitu, ‘menderhaka’. Akhbar dan TV membisu. Pembaca menilai dan mencemoh.

Apabila krisis di Perak berpanjangan, ia juga diserang hebat oleh akhbar arus perdana dan stesen televisyen yang langsung menghukum bahawa ‘pakatan’ itu tidak bermaya, akan retak dan menganggap pengundi telah membuat pilihan yang salah. Tindak tanduk akhbar-akhbar ketika itu ialah untuk membuat para pengundi berkeadaan menyesal kerana salah pertimbangan semasa mengundi. Misi memenangkan BN masih dikekalkan seolah-olah pilihan raya belum tamat.

Komposisi anggota exco di negeri-negeri seperti Perak, Pulau Pinang dan Selangor juga diberi liputan meluas oleh media tradisional seperti akhbar dan televisyen. Ia disentuh dari aspek kurangnya wakil dari kaum Melayu yang diberi peranan memegang jawatan itu. Sekali lagi teguran itu untuk meletakkan Melayu yang mengundi PR sebagai orang yang bersalah menyebabkan keadaan itu berlaku. Rasional keadaan dan penjelasan dari para pemimpin PR tidak diberi ruang. Sikap pengamal media dilihat masih tidak berubah dan masih mempertaruhkan kredibiliti mereka.

Satu contoh yang amat ketara ialah apabila berlaku isu babi di Selangor ditimbulkan. Cara akhbar arus perdana dan stesyen televisyen menangani isu itu amat menari perhatian. Ia akhirnya menjadi bahan cemuhan orang ramai yang menyebabkan keredibiliti akhbar dan televisyen dipersoalkan amat. Penyiaran berita dilihat sebagai satu cara untuk menyebabkan kebencian orang Melayu terhadap sikap Pas dan PKR yang tergesa-gesa mengesahkan kelulusan ladang babi itu. Berita berkaitan najis babi yang mencemari kampung orang Islam disiarkan seperti sebelum ini tidak seekor babi pun ada di Selangor. PAS dan PKR digambarkan sebagai cepat menjual maruah Melayu dan Islam hanya kerana kepentingan kuasa.

Isu ladang babi ini merupakan satu yang amat memalukan akhbar arus perdana dan stesen televisyen apabila fakta menunjukkan bahawa kerajaan yang terdahululah yang meluluskannya dan ada beberapa orang tokoh BN terutamanya UMNO dan tokoh tempatan yang menjelajah dunia meninjau ladang-ladang babi dan kemudiannya bersetuju untuk mengamalkan sistem sama di Selangor. Terdapat gambarar-gambar di Internet yang menunjukkan tokoh-tokoh tertentu yang memperlihatkan tanda isyarat bahawa sistem yang diamalkan itu bagus. Orang tertawa dengan eksploitasi berita ini oleh media-media tadi. Makan diri.

Tindak tanduk akhbar-akhbar tradisional dan televisyen memperlihatkan semacam pilihan raya masih berlangsung, belum tamat dan orang ramai sedang dipengaruhi untuk membuat pertimbangan mengundi. Kalaulah krebiliti akhbar dan media massa dapat dipulihkan seperti hasrat Shabery di atas tadi dapat dilaksanakan pemerintahan akan lebih telus dan adil dan ini pastinya akan berupa satu keadaan menang-menang kepada para pembaca, penonton, akhbar-akhbar tradisi dan televisyen, dan akhir sekali kepada kerajaan juga, baik BN mahupun PR.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home