Wednesday, April 23, 2008

Royalti petroleum, jumlahnya besar kawalannya longgar

Tersiar dalam Sinar Harian pada 23 April, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Sebaik sahaja kerajaan Terengganu jatuh ke tangan Pas pada tahun 1999, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir mengubah peraturan. Dia tidak sanggup melihat wang yang agak banyak dikawal dan ditadbir oleh sebuah kerajaan yang di bawah penguasaan pembangkang. Royalti petroleum dari Petronas berjumlah 5 peratus dari jualan minyak yang disedut dari perairan Terengganu tidak lagi diberi kepada kerajaan negeri yang baru. Wang itu disalur ke satu dana dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan.

Pada hari pertama Pas memerintah Terengganu, Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang mengumumkan penghapusan bayaran tol Jambatan Sultan Mahmud dan pengecualian pembayaran cukai pintu rumah kediaman. Apa yang ada dalam benak MB ketika itu ialah beliau mengharapkan duit yang diterima dari Petronas sebagai bayaran royalti petroleum cukup untuk menampung perbelanjaan kerajaannya sungguhpun tol dan cukai taksiran dihapuskan. Pada bulan Februari 2000, beberapa bulan selepas memenangi pilihan raya ke-10, wang itu masih diterimanya. Jumlahnya agak lumayan, aitu RM400 juta untuk bayaran setengah tahun pertama.

Bagaimanapun, melalui satu pekeliling, Kerajaan Persekutuan pada bulan Oktober 2000 mengumumkan bahawa ia mengambil keputusan untuk membayar ‘wang ihsan’ kepada Terengganu melalui kaedah baru dikenali Program Pembiayaan Wang Ihsan yang tidak lagi disalurkan kepada kerajaan negeri. Ia akan diuruskan oleh sebuah Jawatankuasa Peringkat Pusat yang ditubuhkan khusus bagi merangka pelaksanaan program pembangunan di Terengganu.

Cara kerajaan Terengganu diberitahu tentang pemansukhan bayaran itu juga dianggap tidak wajar. Kerajaan Terengganu tidak diberitahu secara rasmi. Ia hanya tahu melalui salinan fotostet satu siaran akhbar Kementerian Kewangan bertarikh 5 September 2000. Ini mengejutkan MB Terengganu kerana tidak ada persetujuan dibuat di antara beliau dan Petronas berkaitan kaedah baru ini. Selepas itu peruntukan untuk Terengganu dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan itu mentadbirnya bagi pihak kerajaan negeri.

‘Kehilangan’ peluang mentadbir wang royalti ini mengikut budibicara yang diingini oleh kerajaan Pas Terengganu menyebabkan kerajaan itu menggelabah. Perancangan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan menjadi kucar-kacir kerana ia tidak dapat dilaksanakan akibat ketiadaan wang. Usaha-usaha Terengganu mendapatkan kerajaan pusat membayar wang ini seperti mana ia dibayar kepada kerajaan terdahului gagal. Kerajaan pusat tidak melayan permintaan Terengganu.

Kerajaan Terengganu bertindak menyaman Petronas ekoran tindakan Petronas menyalurkan wang itu kepada Kerajaan Pusat. Saman itu difailkan di Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2001. Anehnya, secara kebetulan, pada tarikh dan bulan sama tetapi tahun 2008, tarikh keramat itu menyebabkan bermulanya krisis kepimpian Terengganu yang menyaksikan pertukaran ketua eksekutif negeri. Idris mula dihantui masalah.

Hari ini, kerajaan Terengganu masih lagi di bawah kekuasaan BN tetapi ketua eksekutifnya bertukar. Idris tidak lagi dilantik menjadi MB Terangganu dan digantikan dengan Datuk Ahmad Said. Sungguhpun Idris dinamakan kembali untuk menjawat jawatan MB, pihak Istana berkeras tidak menerima beliau. Istana mahukan Ahmad Said dilantik sebagai MB. Kemahuan Istana akhirnya dipersetujui oleh Abdullah Badawi. Di antara alasan yang sering disebut ialah Istana tidak berpuashati dengan cara kerajaan pusat mengendalikan dana wang ihsan.

MB Terengganu yang baru, Ahmad said meminta Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan royalti minyak kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan rakyat. Dengan berbuat demikian ia akan membolehkan kerajaan negeri merancang sendiri projek yang sesuai dengan keperluan tempatan. Berikutan dengan kenaikan harga minyak di pasaran dunia sekarang, nilai wang royalti minyak itu dianggarkan memelebihi RM1.2 bilion setahun.

Ahmad Said mendakwa sejak Dana Khas itu bermulan semua projek yang diperkenalkan disalurkan terus melalui kementerian-kementerian terbabit untuk ditentukan dan dilaksanakan tanpa merujuk kepada kerajaan negeri. “Ini menyebabkan ada projek yang dilaksanakan gagal memberi impak yang diharapkan kerana tidak mengambil kira keperluan penduduk, ” kata Ahmad.

Menurut Ahmad, apabila kementerian yang memilih projek untuk dilaksanakan menggunakan wang ihsan itu, ia dibuat berasaskan kepentingan kementerian terbabit semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu. “Ini yang menjadi masalah. Ada projek yang kita rancang, kita akui, tetapi ada projek yang kita tidak rancang. Tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat seperti buat jalan dalam hutan RM50 juta hingga RM60 juta”. Kesalnya.

“Kadang kala ada projek yang dilakukan oleh kementerian yang kerajaan negeri tidak tahu. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah, tanah ditarik balik dan sebagainya. Ini berlaku sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ihsan,” ujarnya.

Ahmad meluahkan kekesalan kerana kebanyakan projek pihak lain yang menentukan. Kosnya tinggi dan tidak memberi keutamaan kepada rakyat. Dia mendakwa dia sendiri tidak tahu akan jumlah Dana yang patut diterima oleh kerajaan negeri. Semasa dia jadi Exco pun dia tidak tahu berapa sebenarnya royalti yang patut kerajaan negeri terima. Dakwaan beliau ini adalah satu kenyataan yang berat. Sewaktu Pas memerintah dulu ia pernah menerima RM400 untuk enam bulan pertama dan ketika itu harga minyak ialah US35 dollar setong sedangkan sekarang harganya lebih dari US110 dollar setong.

Keluhan Ahmad Said itu dan dakwaannya bahawa perbelanjaan wang Dana itu tidak meberi keutamaan kepada kebajikan rakyat Terengganu dipandang berat. Dengan Dana yang sebesar itu Terengganu sepatutnya sudah melepasi dari cengkaman kepapaan. Sebaliknya, Terengganu sekarang berada di kedudukan nombor dua sebagai negeri termiskin selepas Sabah. Semasa Pas memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004 kedudukan kadar kemiskinan di Terengganu berada di tahap nombor empat tetapi menurun kepada dua sekarang.

Berdasarkan angka dari Jabatan Pernagkaan Malaysia, kadar kemiskinan di Terengganu ialah 17.3 peratus pada 1999 dan berjaya diturunkan kepada 14 peratus pada 2001 dan turun lagi kepada 10.2 peratus pada 2003. Selepas pemerintahan Terengganu diambil alih oleh BN, perangkaan menunjukkan kadar kemiskinan di Terengganu berada pada 15.4 peratus pada tahun 2006. Nampkanya, Dana dari hasil petroleum ini gagal memainkan peranan berkesan untuk mengurangkan kemiskinan di Terengganu.

Persoalan yang timbul ialah berapakah jumlah bayaran royalti yang diterima Terengganu, adakah peratusannya berkurangan dan bukannya lagi lagi lima? Kalau ia masih kekal lima peratus, bagaimanakah wang itu dibelanjakan sehinggakan ia tidak berjaya mengeluarkan rakyat Terengganu dari belenggu kemiskinan. Kalaulah, dakwaan Ahmad benar bahawa ada jalan di hutan pun menelan belanja berpuluh-puluh juta, adakah ini menunjukkan berlakunya penyelewengan?

Sebuah kerajaan persekutuan yang telus yang dihasilkan melalui pilihan rya umum ke 12, hendaklah berusaha memberi penjelasan kepada rakyat apakah yang mereka lakukan dengan wang Petronas milik rakyat Terengganu itu. Suatu penjelasan dari mereka yang mengendalikan Dana ini diperlukan. Jumlah yang terlibat bukanlah kecil. Semenjak ia ditarik dari kendalian kerajaan Pas pada 2000 hingga sekarang, kalau diandaikan hanya RM1 bilion sahaja setahun, jumlahnya sudah menjangkau lebih dari RM8 bilion untuk tempoh 8 tahun. Ke mana perginya dan bagaimana ia dibelanja?

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2005, sejajar dengan arahan, Perbendaharaan sepatutnya menubuhkan Jawatankuasa Khas diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbaendaharaan untuk mentadbir Dana. Jawatankuasa itu sepatutnya dianggotai oleh wakil Jabatan Perdana Menteri, (termasuk Unit Perancang Ekonomi), Perbendaharaan dan Kementarian Kewangan. Tetapi Ketua Audit Negara melaporkan (2005) bahawa Jawatankuasa ini tidak pernah dibentuk.

Sebaliknya, satu Jawatankuasa Peringkat Pusat yang nampaknya kurang taring dibentuk. Jawatankuasa yang termasuk wakil-wakil dari kementerian-kementarian dan agensi pelaksanaan bermesyuarat dua kali setahun dan meluluskan peruntukan-peruntukan. Tidak diketahui siapa menduduki Jawatankuasa ini. PM sepatutnya mendedahkan komposisi jawatankuasa ini. Laporan audit juga menyebut bahawa Jawatankuasa ini pun tidak menentukan projek-projek, ia ditentukan oleh seorang yang berkedudukan tinggi di Kementerian Kewangan. Hanya dia yang berkuasa. Siapa?

Permintaan Ahmad ini pastinya tidak akan dipenuhi kerana ia akan menimbulkan masalah kemudian hari. Apa akan jadi kalaulah diandaikan pada pilihan raya akan datang Pas kembali berjaya menawan Terengganu, konsep Wang Ihsan mahu diperkenalkan kembali?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home