Reaksi positif selepas pilihan raya umum ke-12
Tersiar dalam Sinar Harian 25 April, 2008 muka N14
Oleh Dr Aisar Yee Abdullah
BN berupa singkatan kepada Barisan Nasional. Namun, semasa kempen pilihan raya ke-12 baru-baru ini, akronim itu diberi imej baru. Ia membawa maksud Barang Naik. Malah ia dijadikan bahan sindirin apabila skopnya diperluaskan kepada frasa Barang Naik, Bila Naik, Baru Naik, Berapa Naik, Banyak Naik. Frasa ini menawan hati pengundi kerana ramai yakin bahawa sejak kenaikan harga petroleum 30 sen seliter dibuat sebelumnya, kesan kepada rakyat begitu besar. Sebelum ini kenaikan harga petroleum tidak pernah mencecah sehingga 30 sen seliter.
Tidak syak lagi ramai terpengaruh dengan bahan kempen menentang kenaikan harga petroleum dan pada masa sama dihidangkan pula dengan janji harga bahan bakar itu akan dikurangkan oleh pihak lawan. Faktor ini berupa satu alasan besar kenapa BN kalah pada pilihan raya itu. Rakyat bimbang kalau mandat BN disambung, harga petroleum itu akan mengalami kenaikan. Rakyat sedar bahawa harga petroleum kian meningkat di pasaran antarabangsa tetapi mahukan kerajaan terus memberikan subsidi.
Rakyat yakin bahawa kerajaan BN akan bertindak untuk terus mengurangkan subsidi petroleum bagi membolehkannya menggunakan penijimatan wang subsidi itu untuk tujuan pembangunan. Pihak pembangkang pula menghujah bahawa penjimatan sepatutnya bukan ditarik dari wang susbsidi tetapi melalui menghapuskan pembaziran dan korupsi dalam bentuk komisyen yang dituduh mereka melibatkan berbilion ringgit. Banyak contoh penyelewengan diberikan oleh pembangkang semasa kempen.
Terdapat pelbagai isu lain dibangkitkan oleh pembangkang selain barang naik. Kerap dibangkitkan ialah isu rasuah dan penyelewengan di peringkat negeri dan persekutuan. Kecuali Kelantan yang diperintah PAS, kesemua negeri lain diperintah BN. Rakyat yakin BN berusaha keras membukti kerajaan Kelantan rasuah tetapi gagal.
Perdana Menteri, Abdullah Badawi mengaku bahawa keputusan pilihan raya lepas adalah mesej yang kuat daripada rakyat bahawa beliau tidak bergerak cukup pantas dalam melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan. Beliau menerima mesej tersebut dan mengaku bahawa rakyat bimbang tentang kenaikan harga yang seolah tidak terkawal.
Pengakuan Abdullah bahawa beliau faham akan mesej yang disampaikan adalah berupa satu kemenangan kepada rakyat. Semasa berucap pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 sebulan lepas, beliau berjanji bahawa harga petroleum, gas cecair dan kadar elektrik semasa akan dikekalkan dan berharap kebimbangan rakyat turut hilang. Pada aspek ini, nampaknya, mesej rakyat yang dibuat semasa pilihan raya membawa positif.
Semasa Persidangan itu juga Abdullah berjanji akan mengkaji semula pelaksanaan rancangan-rancangan ekonomi bagi mempastikan manfaatnya dirasai golongan yang benar-benar memerlukannya. Ketidakpuasan hati yang dibangkitkan oleh pelbagai etnik di negera ini semasa pilihan raya juga mendapat perhatian Abdullah. Beliau berjanji akan mempastikan keadilan untuk semua. Janji beliau ini dilihat berupa respons terutamanya berhubung apa yang dibangkitkan oleh kaum
Beberapa pengumuman lain oleh menteri-menteri kabinet juga mencerminkan respons mereka kepada tuntutan rakyat. Mereka seolah-olah tidak lagi mahu dilihat sebagai lambat bertindak seperti berlaku sebelumnya. Banyak perkara yang tidak dijangka oleh pengundi, dicadang dilakukan oleh anggota kabinet baru ini. Pengundi tidak menjangka satu gratuiti akan dibayar kepada para hakim yang dipecat dicadangkan dibuat oleh kerajaan. Pengundi tidak menjangka kerajaan akan mengkaji balik aspek-aspek dari Akta Kolej dan Kolej Universiti.
Para pengundi juga menyambut baik pembentukan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang berupa satu usaha maju dan memperlihatkan bahawa kerajaan sedar keperluan meletakkan reputasi kehakiman di tempat yang tinggi. PM akan mendapat manfaat melalui pandangan-pandangan dari pakar dalam menentukan tokoh-tokoh untuk dilantik sebagai hakim. Dengan itu PM bolehlah mengemukakan cadangannya untuk pertimbangan dan pengesahan Agong. Kehakiman akan kembali mendapat keyakinan dan penghormatan rakyat. Keyakinan awam bahawa kehakiman kita tidak bebas juga berupa faktor BN kalah dalam PRU lalu.
Rakyat kagum dengan sikap kerajaan yang sanggup membayar gratuti kepada enam orang bekas hakim yang tercela semasa krisis kehakiman 1998. Sungguhpun kerajaan tidak menganggapnya sebagai bayaran menggantikan permintaan maaf, tetapi persepsi orang ramai bahawa ia sebagai tanda bersalah masakan pembayaran dibuat kalau ia tidak begitu. Apa pun, ia berupa satu pengiktirafan bahawa para hakim itu pada suatu ketika dianiayai dan tibalah masa untuk dibela. Lagipun, ‘sorry is the hardest word to say’ kata orang.
Suatu tindakan terpuji lain ialah pengumuman terbaharu bahawa Badan Pencegah Rasuah akan distruktur kembali bagi membolehkannya mendapat kebebasan dan lebih kuasa gigitan. Reformasi pencegahan rasuah ini termasuklah menjadikan BPR satu Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia dan membentuk Jawatankuasa Parlimen berkaitan rasuah serta perlindungan lebih terjamin kepada ‘peniup wisel’. Melalui tindakan ini diharapkan ketelusan, kekesanan dan akauntabiliti suruhanjaya itu ditingkatkan. Perhatian harus dikaitkan bahawa Suruhanya Pilihan Raya sungguhpun bertaraf Suruhanjaya, ia masih tidak dianggap memiliki kebebasan. Terpulang kepada kerajaan mengikis persepsi serong ini tidak berulang kepada BPR ‘baru’ ini.
Sebelum pilihan raya 2004 lagi terdapat berbelas-belas kes rasuah berprofail tinggi yang semuanya tidak bergerak atau sudah dibersihkan oleh Badan Pencegah Rasuah. Pengisytiharan ia sudah dikira ‘bersih’ meragukan orang ramai. Kerajaan baru BN sepatutnya menggesa BPR bertindak lebih agresif sekarang tanpa menunggu diberi wajah baru. Masih ramai orang yang berkedudukan sekarang tetapi dilihat sebagai korup oleh rakyat berleluasa dan berkuasa.
Adalah diharapkan bahawa kerajaan segera menggubal Akta dan dibentang di parlimen bagi menghalang wakil rakyat melompat parti. Perbuatan ini adalah tercela dan berupa tidak adil kepada pengundi yang memilih mereka. Adalah hakikat bahawa rakyat
Sementara itu Khalid Norden, Menteri Pengajian Tinggi pula membawa satu lagi berita gembira. Akta Universiti dan Kolej Universiti akan dipinda untuk memberi kekebasan yang lebih kepada mahasiswa dan tokoh akademik. Penurunan penarafan univerisiti-universiti di Malaysia berbanding universiti-universiti lain di dunia sebahagiannya berpunca dari pelaksanaan akta ini. Harap-harap kali ini ia benar dipinda tidak seperti sebelumnya yang hanya tinggal janji sahaja.
Paling terpuji sungguhpun tidak penulis senaraikan di bahagian teratas rencana ini ialah pendirian yang diambil oleh Menteri Dalam Negeri berkaitan kebebasan akhbar. Kebebasan akhbar adalah prasyarat kepada sebuah kerajaan yang telus. Pengumuman menteri sebagaimana diberitahu melalui satu wawancara dengan akhbar Star minggu lepas bahawa dia mahukan pegawai-pegawai di kementeriannya mengkaji balik Akta Mesin Cetak dan Penerbitan agar kerajaan boleh maju bersama masa. Malah dia sedang meneliti kemungkinan menghapuskan keperluan penerbitan mendapatkan lesen tahunan. 16
Langkah itu amat terpuji kerana akhbar menainkan peranan yang penting di dalam menyalurkan pandangan-pandangan untuk kesejahteraan negara. Di negara-negara di mana kebebasan akhbar dikongkong, rasuah menjadi-jadi dan tidak dapat dibendung. Apa pun,
Di peringkat negeri pula, berita-berita yang tersiar ketika ini banyak tertumpu kepada negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Banyak langkah-kangkah popular yang bersifat mengelak dari pembaziran telah diambil. Kereta-kereta lama masih dipakai oleh barisan exco negeri-negeri. Rumah mewah untuk barisan exco tidak akan diduduki mereka, akan dijual. Kontrek-kontrek yang ditandandatangani pentadbiran lama yang dianggap tidak adil dikaji balik. Pemberian tender dibuat secara terbuka dan telus.
Namun, pembaharuan-pembaharuan lain masih banyak belum tertunai dan masih menjadi tuntutan rakyat. Melihat tempo perubahan yang dilakukan dalam seminggu dua ini, adalah boleh diyakinkan lebih banyak pembaharuan dan faedah akan diumumkan segera dan ini pasti akan menggembirakan rakyat. Mungkin tindakan rakyat memberi ingatan keras kepada kerajaan melalui pilihan raya lalu mebuahkan hasil. Dalam pilihan raya yang akan datang, mungkin sudah tidak banyak lagi yang ingin dituntut oleh rakyat.

0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home