Wednesday, June 11, 2008

Jangan takut berbelanja kalau perlu

Tersiar dalam Sinar Harian Rabu 11 Jun, 2008 muka N14


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Beberapa hari lepas, Dewan Pemuda Pas mencadangkan agar potongan dibuat terhadap elaun yang dinikmati oleh para anggota kabinet sebagai langkah mula ke arah berjimat dan menghentikan segala bentuk majlis yang dianggap mewah dan membazir. Beberapa pihak yang lain juga telah mencadangkan tindakan-tindakan lain diambil bagi membendung kesan dari kenaikan harga petroleum.

Pada awal kenaikan petroleum diumumkan, banyak pihak dari kalangan kerajaan menggesa rakyat agar ‘mengubah cara hidup’ bagi menyesuaikan dengan kesan yang akan dihadapi mereka. Tanpa perubahan gaya hidup, pasti mereka sukar melayari badai yang akan mendatang. Ada yang menyarankan agar pergi ke pejabat berkongsi kereta, atau menaiki kenderaan awam, berbasikal atau berjalan kaki. Ada yang menyarankan agar menanam sayuran dalam pasu di rumah.

Sebelum itu penulis ingin mendedah betapa ia disergah melalui e-mel dari seorang peniaga nasi lemak yang membantah tulisan terakhir tiga hari lepas di mana disebut bahawa ‘beras naik lima puluh sen sekilo, nasi tambah naik lima puluh sen sepinggan’ sebagai tidak adil baginya yang mencari rezeki melalui penjualan nasi lemak. Beliau mengaku menaikkan harga nasi lemaknya beberapa hari lalu ekoran kenaikan harga beras dan petroleum. Dia naikkan harga nasi lemak sebanyak 20 sen sebungkus.

Dia menghuraikan bahawa bukan beras sahaja yang naik. Santan naik seringgit sekilo, dari RM3.50 kepada RM4.50. Kertas licin pembungkus pun naik, plastik pun naik. Sekarang petrol untuk kereta buruknya pun naik. Dia bertanya bagaimana dia mahu tampung itu semua. Penulis tidak menjawab e-melnya. Kelmarin penulis terbaca kisah bagaimana harga teh ais bungkus di Kelantan pun boleh naik ekoran kenaikan harga minyak. Pada mulanya penulis terdorong menuduh para peniaga sebagai mengambil kesempatan dari kemelut harga petrol untuk menaikkan harga bermacam barang dagangan.

Selepas dibaca lanjut, penulis pun mula faham sebagaimana penulis tidak dapat menjawab keluhan peniaga nasi lemak itu. Peniaga kiub ais menaikkan harga ais kerana kadar tenaga elektrik di kilangnya naik 30 peratus dan kos penghantaran ais ke kedai-kedai juga naik akibat kenaikan petrol. Ia tidak berakhir di situ. Untuk membungkus teh ais itu, dia perlukan dua jenis plastik, satu yang putih agak tebal untuk diletakkan teh dan ais dan kemudiannya diletakkan dalam plastik bimbit nipis berwarna. Kedua-dua bahan itu diperbuat dari petroleum. Harga petroleum naik., harga plastik naik. Itu kaedahnya.

Maka, kenaikan harga petroleum bukan semudah mengurangkan kadar tol, memberi rebat kepada pemilik kereta. Ia melibatkan keseluruhan pengguna. Mereka yang duduk di hujung kampung yang tidak menggunakan kereta atau motorsikal sebagai kenderaannya juga turut terkesan. Harga ikan sardin yang dihantar ke kampungnya pun akan naik. Harga selipar jepun pun naik. Semuanya ada sedikit sebanyak tersengkut dengan petroleum. Dia boleh tanam sayur di tepi tangganya tetapi bagaimana keperluan lainnya.

Seruan demi seruan agar orang ramai mengubah cara hidup bukanlah sesuatu yang mudah untuk diikuti bagi sebahagian orang kerana kepada mereka tidak ada lagi yang dapat diubah. Segalanya di paras maximum. Membayar ansuran rumah atau sewa rumah, ansuran kereta atau motosikal, insuran nyawa, bil perubatan, petrol, perbelanjaan makanan, perbelanjaan pelajaran anak-anak seperti bas sekolah dan sebagainya pun sudah tidak tertanggung.

Ada pula yang kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat apa-apa. Namun, adalah hakikat bahawa ramai lagi di antara kita yang masih mewah, yang masih mampu berubah dan hendaklah mengambil kesempatan dari keadaan ini untuk berubah kerana kita belum tahu masa depan bagaimana keadaannya.

Dulu sewaktu harga petrol berada di paras USD20 satu tong untuk sekian lama dan terdapat ramalan ia akan mencecah kepada USD100 ramai orang tidak percaya dan mengatakan ramalan itu adalah sesuatu yang gila dan tidak masuk akal. Hari ini harganya bukan lagi telah pun mencecah USD100 tetapi lebih dari USD130 dan para pendita harga petrol berkata ia akan mencecah USD200 setong. Bagaimana kita menghadapinya? Kebuluran yang ceritanya kita dengar dan tonton belaku meluas di Afrika mungkin terjadi di depan mata kita kalau kita tidak berwaspada.

Pada Sabtu lepas penulis melalui ruangan ini menyeru kerajaan melakukan sesuatu untuk berjimat cermat. Kata penulis tidak guna seruan dibuat kepada rakyat kalau kerajaan sendiri tidak menunjukkan teladan. Mengelakkan pembaziran hendaklah bermula dari atas. Ada penulis sebut bagaimana MB Kelantan duduk di rumah papan yang tidak memerlukan perbelanjaan tinggi. Ning Baizura, seorang penyanyi mendedahkan bagaimana dia terserampak dengan KM Pulau Pinang menaiki kapal terbang kelas ekonomi sedangkan Ning dan suaminya sendiri menaiki kelas pertama. Seruan itu pun juga mungkin sia-sia kerana kediaman peribadi para MB dan KM BN lebih besar berbanding dengan kediaman rasmi yang disediakan kerajaan.

Keesokannya, Ahad, penulis terbaca dua tulisan menarik, satu ditulis oleh Wong Chun Wai dalam The Star yang menyeru kepada ‘be prudent with taxpayers’ money’. Kerajaan hendaklah teliti dalam membelanjakan wang hasil dari kutipan cukai dari rakyat. Satu tulisan lain ialah yang dibuat oleh Dr Mohd Asri, Mufti Perlis. Tulisan yang tersiar dalam Mingguan Malaysia 9 Jun amat keras dan sebahagiannya diperturunkan kembali di bawah:

“Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.”

Isnin kelmarin, PM Abdullah Badawi mengumumkan tindakan-tindakan yang diharap mengurangkan pembaziran. Elaun keraian para menteri dipotong 10%, menteri tidak dibenarkan melancong ke luar negara kecuali negara Asean, pengurangan hotel untuk sebarang majlis kerajaan, pembekuan pewujudan jawatan baru kecuali kritikal dikurangkan, pembelian aset termasuk kereta, perabot komputer ditangguhkan dan sebagainya.

Langkah-langkah yang diambil kerajaan itu dihitung akan menjimatkan perbelanjaan sekitar RM2bilion. Penjimatan itu adalah tinggi. Namun apakah ialah sesuatu tindakan yang bijak memandangkan tindakan-tindakan itu sendiri akan membawa implikasi yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Kita tentunya masih ingat sewaktu kita dilanda inflasi pada pertengahan kedua 1990an tindakan sama mula-mula diperkenalkan. Apa sudah jadi. Ekonomi kita hampir lumpuh. Pengusaha hotel banyak membuang pekerja kerana bilangan penginap hotel berkurangan, majlis-majlis keramaian tidak kerap diadakan pada hujung minggu dan seminar kerajaan tidak diadakan di hotel.

Pembekuan pengambilan pekerja baru juga pastinya mendorong kepada bertambahnya pengangguran yang sememangnya sudah tinggi hari ini sedangkan bilangan institut pengajian tinggi bertambah.Apakah universiti-universiti diwujudkan untuk melengah bilangan pekerja dari berada di pasaran? Sesebuah universiti sekarang mempunyai bilangan siswa-siswi puluhan ribu dan terdapat universiti di hampir setiap negeri di negara ini dan ada negeri yang mempunyai berpuluh-puluh universiti. Di dalam sebuah ekonomi yang lembab, kehadiran mereka akan membuahkan krisis sosial.

Semasa pentadbiran Dr Maharthir, beliau menggunakan pendekatan bertentangan arus. Beliau tidak mengekang perbelanjaan. Beliau mewujudkan perbelanjaan bagi mendorong ekonomi berkembang. Tindakannya itu berbeza dari aspek ‘convention’ dan dianggap oleh Soros sebagai gila tetapi tindakan itulah yang membawa kepada terkeluarnya Malaysia dari belenggu kemelaratan inflasi dunia lebih awal dari negara-negara lain termasuk negara maju.

Penulis yakin, pembaziran sebenar bukan terletak kepada elaun keraian yang dinikmati oleh menteri. Dengan menikmati elaun keraiaan sebanyak RM18,865 sebulan yang dinikmati oleh PM sekarang, penjimatan sebanyak 10% itu hanyalah berjumlah RM1,886 sahaja. PM tidak membazir selama ini dari aspek itu. Ramai orang yang terpaksa dirainya sebulan. Jumlah itu tidak memadai. Menteri biasa hanya mendapat RM12,320 dan penjimatan sebanyak RM1,200 sahaja seorang. Bukannya ada ramai menteri. Malah amaun yang tidak mencukupi itulah yang mungkin mendorong beberapa menteri terpaksa mencari ‘duit luar’.

Pembaziran yang sebenarnya berlaku dan yang seperti bersaudara kepada syaitan seperti mana kata Dr Asri ialah pembaziran yang dibuat dalam bentuk rasuah dan kosnya ditanggung rakyat. Ada projek yang berharga RM3 juta tetapi ditawarkan dengan harga RM5 juta dengan RM2 juta itu pergi kepada orang politik. Dan ribuan projek seperti ini terdapat. Jambatan berharga RM100juta boleh dinaikkan kepada RM135juta dan bezanya pergi kepada orang-orang tertentu. Bukan sedikit jumlah yang disonglap!

Ribuan projek diberikan tanpa melalui tender terbuka dan seperti yang didedahkan oleh MB Terengganu baru-baru ini, terdapat satu jalan di dalam hutan berharga RM50 juta dan dia sendiri sebagai exco negeri tidak tahu menahu tentangnya. Banyak perolehan dibuat kerajaan dibeli dengan harga yang mahal. Satu pemutar skrew pun berharga ratusan ringgit. Membaiki kebocoran bangunan parlimen pun berharga hampir seratus juta. Tiris berbelanja berlaku di mana-mana.

Tindakan mengelakkan pembaziran hendaklah melibatkan semua peringkat projek termasuk kecilan, mega dan super mega dan bukannya pemotongan elaun menteri dan kakitangan kanan kerajaan serta menghentikan bentuk majlis mewah sebagaimana disarankan oleh Dewan Pemuda Pas itu. Penjimatannya tidak seberapa berbanding dengan pembaziran yang bersaudarakan syaitan seperti kata Dr Mohd Asri, Mufti Perlis. Bukan RM2 bilion boleh diselamatkan tetapi RM puluhan bilion.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home