Pemimpin kecil goyahkan Pakatan Rakyat
Tersiar dalam Sinar Harian, Ahad 22 Jun, 2008 muka N14
Oleh Dr Aisar Yee Abdullah
Sepanjang minggu ini sekurang-kurangnya tiga peristiwa yang dicetuskan oleh pemimpin pelapis yang boleh menggugat keutuhan perpaduan Pakatan Rakyat. Perpaduan pakatan ini sentiasa menjadi bahan kajian mikroskop kerana ia diasaskan oleh sesuatu yang rapuh. Dua komponen dilihat ramai sebagai tidak boleh disusun bersebelahan tanpa kehadiran unsur ketiga iaitu PKR yang bertindak bebagai simennya. Sehingga 8 Mac lalu, Pas dan DAP banyak dilihat bercakaran berbanding berbaik-baik.
Ini memang dijangkakan kerana perpaduan barisan alternatif ini pada awalnya ini semata-mata dibentuk untuk kepentingan sementara, iaitu tidak ingin memberikan kemenangan besar kepada BN dalam PRU. Kemenangan besar yang tidak disangka-sangka membuka mata mereka bahawa sebenarnya satu pakatan yang kekal boleh dibentuk ditawarkan kepada pengundi. Tidak semena-mena mereka diberikan peluang mentadbir
Peluang ini hendaklah direbut baik oleh PR. Rakyat sedar bahawa gabungan parti pembangkang ini mempunyai ideologi parti yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Namun, memandangkan mereka begitu 'meluat' dengan BN, mereka terpaksa ‘mencuba’ gabungan ini untuk kali ini. Tidak seperti BN yang merupakan sebuah organisasi politik yang berdaftar sah, Pakatan Rakyat hanya terbentuk selepas PRU dan ia suatu gabungan longgar yang diasaskan kepada ‘memudahkan’ sahaja.
Apa pun bentuknya, menilai prestasi 100 hari pertama kerajaan-kerajaan negeri, laporan-laporan akhbar menunjukkan ia berkeadaan positif. Beberapa perubahan yang popular telah dialkukan okeh kelima-kelima kerajaan negeri tersebut dan mendapat sanjungan rakyat.
Senjata paling berkesan untuk merobohkan keserasian PR ialah mewujudkan perasaan permusuhan di kalangan para pendokonganya.
Dengan berbuat demikian, BN berharap sokongan Melayu terhadap kerajaan PR akan terhakis di atas alasan Pas hanya mampu menjadi kuda tunggangan DAP dan telah menjual kepentingan orang Melayu hanya kerana inginkan kerusi Exco. MB Pas di Perak dituduh sebagai tidak berkuasa dan kuasa sebenarnya terletak di tangan para Exco DAP. Kalangan penyokong Cina diseru supaya tidak lagi memberikan sokongan kepada Pas kerana Pas hendak melaksanakan undang-undang Islam di negeri-negeri yang dikuasai PR. DAP pula dituduh sanggup menjadi alat kepada Pas juga kerana sudah lama inginkan kuasa dan sekarang sanggup melakukan apa sahaja kerana kuasa itu berada di dalam tangan.
Di dalam situasi begini, para pemimpin PR yang kanan telah dilihat telah berjaya mengawal emosi untuk memperlihatkan bahawa pakatan yang terbentuk itu boleh dijadikan sesuatu yang kekal seperti mana BN juga. Mereka faham bahawa peluang yang diberikan rakyat hendaklah direbut dengan baik.Ucapan-ucapan yang berbentuk untuk memainkan perasaan galeri dengan menguap-uap perasaan perkauman dan keagamaan banyak dikurangkan. Namun, sekali sekala terdapat juga dilihat ucapan itu terkeluar dari mulut mereka yang hyper-sensitif seperti Karpal Singah dan Chen Man Hin yang bertindak balas dari ucapan kalangan muda Pas.
Masalah besar dalam organisasi politik ialah para pemimpin muda yang menjadi pelapis yang ingin menonjolkan kepimpinan mereka. Salah satu cara mudah untuk menjadi juara kelompok masing-masing ialah memperlihatkan diri sebagai jaguh dengan ucapan-ucapan atau perlakuan yang menzahirkan perkauman atau keagamaan. Dr. Mahathir Mohamed menjadi popular pada akhir dekad 60an dengan fikirannya yang tebal dengan perkauman Melayu. Lim Kit Siang popular di kalangan orang Cina dengan ‘Malaysian Malaysia’nya.
Melakukan sesuatu dan membuat ucapan berapi membakar semangat perkauman atau keagamaan sentiasa dijadikan alat untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi dalam politik atau untuk meraih sokongan galeri kepada pemimpin tersebut. Ketua Pemuda UMNO menghunus keris bagi menunjukkan kepada orang Melayu bahawa secara simboliknya dia sanggup bermatian demi mereka. Keris itu akhirnya memakan diri dan dikatakan di antara faktor yang membawa kekalahan BN.
Akhir-akhir ini terdapat di kalangan pemuda Pas membangkitkan dua isu panas yang sudah tentu menimbulkan reaksi keras dari sekutunya DAP. Bertempat di Kota Bharu, Naib Ketua Pemuda Pas, Azman Syapawi mengumumkan Pemuda Pas Pusat kini dalam proses sedang merangka agenda untuk melaksanakan sistem pentadbiran Islam yang merangkumi undang-undang syariah di lima buah negeri yang ditadbir oleh PR.
Pengumuman itu telah menimbulkan reaksi negatif dari kalangan bukan Islam. Pelbagai reaksi dikesan telah diberikan termasuklah ingatan kepada orang bukan Islam bahawa Pas adalah sebuah parti dominan dalam PR pengundi bukan Islam telah tertipu. Komen-komen yang dibaca mengingatkan Pas bahawa manifestonya pada PRU 12 baru-baru ini tidak pernah menyebut bahawa Pas akan melaksanakan undang-undang Islam sebaliknya, membentuk sebuah negara berkebajikan.
Sehari selepas itu timbul pula satu kontroversi baru di mana Dewan PAS Selangor dilaporkan berkata mereka akan mengadakan perhimpunan membantah konsert Ratu Rodk Ella dan Ratu Dangdut Mas Idayu. Bantahan PAS itu telah menyebabkan Sultan Selangor murka. Baginda menganggap isu yang dibangkaitkan itu remeh dan dibesar-besarkan. Pandangan Dewan Pemuda Pas Selangor ini juga mendapat bantahahn keras terutamanya di kalangan bloggers berbahasa Ingeris dan akhbar-akhbar Cina. Pas diingatkan bahawa semasa PRU lepas, moto Pas adalah ‘Pas untuk semua’.
Pendirian Pas ini dikatakan tidak selaras dengan moto tersebut. Ramai bersetuju gelagat banyak penyanyi tempatan tidak sesuai untuk masyarakat Islam. Dr Mohd Asri Mufti Perlis pernah menasihatkan agar tidak membenarkan seorang penyanyi tertentu terlibat dalam konsert di Perlis. Saranan Mufti Perlis itu barangkali sesuai untuk masyarakat Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu yang agak 'homogeousg' dan bukannya Selangor yang pelbagai kaum. Ella dan Mas Idayu bukan milik orang Melayu sahaja. Mereka juga minat kepada nyanyian ini.
MB Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz pernah memberitahu bahawa dia mengharamkan judi di Kelantan kerana semua agama mengharamkan judi tetapi apa yang agama lain benarkan, kalau Islam tidak benarkan, dia masih memberi ruang kepada orang bukan Islam mendapatkannya. Barangkali, Dewan Pemuda Pas boleh mendesak kedua-dua arrtis tersebut mengawal lagi aksi mereka agar boleh diterima luas, orang Melayu dan bukan Melayu. Lagipun sebagai orang Islam, artis tersebut diharapkan sentiasa bersopan.
Tindakan ketiga yang boleh menyebabkan persepsi orang ramai bahawa PR boleh hancur dalam masa yang dekat ialah yang dilakukan oleh seorang ADUN dari Johor. ADUN Bentayan, Gwee Tong Hiang telah diperintah keluar dari DUN Johor kerana gagal berpakaian rasmi. Dia tidak bersongkok pula. Sultan Johor dijadualkan hadir untuk upacara pembukaan rasmi. Perbuatan itu dianggap tidak menghormati ketua negeri.
Isu songkok ini menjadi hangat suatu ketika dulu dan merupakan satu aspek yang menyebabkan ketegangan kaum sebelum Operasi Lalang 1987. Orang Melayu terasa tersinggung terhadap sesiapa yang enggan memakai songkok untuk majlis rasmi sedangkan meraka sanggup memakai pakaian barat yang juga asing bagi kebudayaan nenen moyang mereka. Perbuatan orang muda dari DAP ini telah mencedera hati Melayu dan menjadi helah bagi BN untuk menunjukkan bahawa DAP tidak mengiktiraf taboo yang tidak logik dan gagal memperlihatkan persefahaman di antara pelbagai ciri budaya
Berdasarkan tindak-tanduk tokoh ‘Young Turks’ dalam Pas tadi kelihatan seolah-olah Pas yakin bahawa ia memenangi PRU lalu berdasarkan sokongan orang Islam semata-mata. Ia dikatakan telah lupa bagaimana ia kalah teruk di Terengganu dan kawasan-kawasan bermajoriti Melayu. Pas banyak menang di kawasan pinggir bandar. PAS tidak boleh lupa bahawa ia menang kerana banyak bukan Melayu menyokongnya berdasarkan manifesto ‘Pas untuk Semua’ dan kredential pimpinan Nik Aziz di Kelantan yang adil kepada bukan Melayu. DAP pun mesti ingat bahawa ia tidak boleh bermimpi membentuk kerajaan di Perak, dan Selangor tanpa sokongan orang Melayu. Silap langkah, padah.

1 Comments:
Bukan mudah menjadi pemimpin...!tambahan dalam situasi zaman sekarang yang sebaran maklumat berlaku sepantas kilat. Silap sikit saja memberi kesan yang besar. Yang pentingnya kita hanya perlu takut pada Allah, bukan pada makhluk.
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home