Sunday, May 4, 2008

Janji pilihan raya tertunai pada minggu pertama lagi

Tersiar dalam Sinar Harian 4 Mei, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang ditunggu ramai. Sebaik sahaja negara mengetahui keputusan pilihan raya untuk kerusi parlimen, persidangannya memang ditungu orang. Tumpuan mata dan telinga dihala kepada tarikh 30 April, 2008, hari pertama dewan bersidang. Ada atau tidak ada siaran langsung persidangan bukanlah sesuatu yang dinantikan mereka. Ketika itu belum pun ada ura-ura untuk RTM menyiarkan secara langsung prosiding persidangan. Nama-nama mereka yang menjadi ADR kali ini menjajikan suasana hangar bangar. Kalau ada Mat Sabu, lagi kelam kelibut.

Anggota DR kali ini adalah nama-nama yang menjadi sebutan di kalangan rakyat Malaysia . Kebisingan mereka memang sudah diketahui. Kehadiran mereka di DR akan menggamatkan dewan. Hanya RTM barangkali lupa bahawa manusia-manusia yang menduduki kerusi DR kali ini memangnya akan menjadikan DR riuh rendah dan tidak terkawal. Bukan kerana terdapatnya siaran langsung prosiding menyebabkan DR kecoh. ADR yang ada itu adalah jenis manusia yang suka buat kecoh. Kebanyakan mereka adalah ahli politikus jalanan!

Persidangan DR sebelum ini, iaitu sebelum pilihan raya baru-baru lalu, kalau RTM ada siarang langsung pun pastinya kurang menarik kerana dewan itu dimonopoli oleh anggota-anggota dari BN sahaja. Dari 222 anggotanya, kurang dari sepuluh peratus adalah terdiri dari parti pembangkang. Pas hanya menang 6 kerusi dan hanya Salahuddin Ayub yang agak lantang. Parti Keadilan Rakyat menang hanya satu kerusi tunggal yang dimenangi oleh Datin Seri Wan Azizah. Dari pembacaan, kita tahu bahawa kekecohan banyak kali dicetuskan oleh Lim Kit Siang, Kulasegaran, Po Kuan, Tan Seng Giaw, Fong Kui Lun, Theresa Kok, Po Kuan, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun ADR Bukit Bintang. Mereka pun sudah cukup buat gamat kecil.

Ketika itu, hanya dengan ADR seramai 20 orang pun kadang kala persidangan jadi hingar bingar juga termasuklah pertikaman lidah di antara anggota-anggota DAP dan ‘backbencher’ BN termasuklah satu insiden yang lebih terkenal dengan nama insiden ‘bocor’ serta penggantungan Karpal Singh dari menghadiri mesyuarat selama beberapa bulan.

Nah, apalagi sekarang dengan kekalnya tokoh-tokoh DAP dari sesi dulu dan bertambahnya kekeuatan mereka dari segi bilangan 12 kepada 28 orang! Lim Guan Eng kali ini masuk menerusi kawasan Bagan, masuk juga menjadi ADR dari PAP tokok-tokoh seperti Dr Ramasamy, Ngeh Koo Ham (calon MB DAP di Perak) dan beberapa yang lain. Kekuatan Jeff Ooi blogger terkenal berhujjah sedang dinanti. Begitu juga ramai ingin melihat pakar ekonomi DAP, Tony Pua berhujjah dengan menteri-menteri kerajaaan dan para backbenchers lain.

Kekuatan PAS yang dulunya seramai 6 orang sahaja kini menjadi hampir 4 kali ganda dan bilangan itu menjadi lebih bermakna dengan kemenangan tokoh-tokoh pidato yang siang malam kerjanya berceramah ke hulu ke hilir, ke utara ke barat, ke selatan ke timur menegur kerajaan dan sekarang mereka mendapat mikrofon di dewan yang menggubal undang-undang negara. Tentunya mereka tidak akan melepaskan peluang mengur keras apa yang mereka yakin tidak betul.

Pastinya, peluang untuk menegur kerajaan secara langsung lantas ke telinga menteri akan digunakan sepenuhnya oleh Mahfuz Omar, Nasharuddin Mat Isa, Mohd Hatta Ramli, Abdul Hadi Awang, Mujahid Yusof Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Abdul Samad, Dr Siti Mariah dan beberapa yang lain. Dulu sebahagian dari mereka ini sanggup dihujani oleh air semburan dari pasukan keselamatan kerana berdemonstrasi tanpa permit bagi menyampaikan mesej mereka kepada yang berkuasa, kini mereka berada di dalam dewan. Tentunya, mereka tidak akan sabar-sabar merampas mikrofon lagi.

Ada sebahagian dari mereka pernah menjadi ADR sebelum ini tetapi populariti Pak Lah 2004 telah membawa mereka terkeluar dari rumah bergelar parlimen itu. Ketika itu, Nasharuddin kalah, Mat Sabu kalah, Haji Hadi kalah, Mahfuz kalah dan ramai lagi yang kalah. Kali ini mereka menang kembali bersama berberapa rakan seperjuangan yang lain seperti Khalid Samad, Dr Mariah, Dr Mohd Hatta, Dr Lo’ Lo’. Apakah kita tidak menjangka dewan akan menjadi kecoh?

Kalau sebelum ini kehadiran parti pimpinan Wan Azizah, Parti Keadilan Rakyat tidak memberi apa-apa impak kepada kekesanan Dewan, kali ini ia amat berbeza sama sekali. Dulu Wan Azizah menjadi wakil tunggal PKR dalam dewan. Pilihan raya terakhir ini telah memberi kekuatan luar biasa kepada parti itu. Seramai 31 orang ADR telah terpilih dari parti itu dan ini lambat laun membawa suatu situasi yang menggegarkan dewan. Apa akan terjadi sekiraunya Anwar sendiri masuk dewan?

Siapa tidak kenal Tian Chua seorang bujang yang gambarnya tersiar di kebanyakan akhbar seluruh dunia sewaktu beliau duduk bersimpuh ‘menunggu ajal’ digelek kereta polis. Beliau yang basah kuyup ketika itu kerana terkena semburan air kimia enggan berganjak dan rela dirempuh oleh kereta perisai polis. Beliau berupa aktivis reformasi membela Anwar Ibrahim. Beliau sering menjadi orang kena tahan oleh polis kerana terlibat dalam perhimpunan tanpa permit yang pada suatu ketika dahulu menjadi trend.

Kali ini Tian Chua menjadi YB. Dia mewakili kawasan Batu, Kuala Lumpur. Ramai lagi tokoh-tokoh yang mampu menggegarkan dewan nanti yang mewakili PKR. Mohamed Azmin Ali, Zulkifli Nordin, Fauziah Salleh, Sivarasa Rasiah, Wee Chee Keong, dan N Gubalakrishnan adalah di antara 31 orang ADR dari parti PKR. Semua mereka ini berupa tokoh yang sangat aktif mengkritik kerajaan dari luar dan sekarang apabila sudah berada di dalam dewan pastinya akan memainkan peranan yang sama. Kita tunggu dan lihat. Barangkali buat ketika ini, Nurul Izzah, anak sulung Wan Azizah dan Anwar sendiri sudah bersedia untuk menjadi sebagai singa.

Kemunculan tokoh-tokoh baru yang berkemampuan seperti Jeff Ooi, Tony Pua, Dr Michael Jayakumar yang mengalahkan Samy Vellu, Gobind Deo anak Karpal Singh, Dr Zulkefly Ahmad, Zulkifli Nordin, Dr Lee Boon Cheng, Sivarasa, Dr Hatta, Dr Lo’ Lo yang akan bersama dengan tokoh veteran seperti Salahuddin, Mahfuz, Ibrahim Ali, Azamuddin hanya akan menjadikan dewan tidak akan sentiasa tenang. Semua tokoh itu apabila ‘naik minyak’ perkataan-perkatan adalah seperti api terkeluar dari mulut mereka.

Maka, apa yang berlaku pada pagi Rabu lepas pada hari pertama dewan bersidang adalah sesuatu yang amat diduga akan terjadi setelah mengambil kira komposisi anggotanya di mana bilangan backbenchers kerajaan kurang bilangannya berbanding anggota pembangkang. Ia belum sampai kepada tahap bertumbuk seperti yang kita sering dipaparkan dari dewan rakyat Negara Taiwan dan Korea. Di tempat kita, ia hanya perang mulut di antara dua puak yang selama 50 tahun bermusuhan dan hanya kali ini sahaja bertemu buku dengan ruas.

Kekecohan itu memaksa Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek untuk menimbang kembali keputusannya untuk membenarkan siaran langsung selama 30 minit sehari selama persidangan dewan. Dia menganggap ADR salah menggunakan kemudahan yang diberikan. Dia banyak menyalakan pihak pembangkang yang ingin didakwanya ingin menunjuk-nunjuk lagak dan aksi kepadapara penyokong mereka. Mereka ingin menunjuk sifat juara. Pendapat itu disokong oleh Menteri Luar, Rais Yatim. Perdana Menteri, Abdullah Badawi berkata beliau bersetuju jika Shabery mengambil keputusan untuk menghentikan siaran langsung itu selanjutnya.

Cadangan Shabery itu tidak dipersetujui oleh kebanyakan rakyat dan ADR termasuk para menteri sendiri. Sharir Samad berkata slot siaran patut diteruskan. S. Subramaniam ADR Segamat berkata kejadian pagi Rabu itu hanya disalah guna oleh segelintri wakil rakyat yang berkepentingan sahaja. Beliau mahu ia diteruskan. MB Kelantan, Nik Aziz juga mengambil sikap meminta kerajaan meneruskan slot tersebut. Pendapat-pendapat seperti ini banyak diluahkan dalam forum-forum akhbar dan Internet.

Sekali imbas nyata setengah-setengah perkataan yang dihamburkan oleh ADR bukanlah bersifat parlimen. Ia tidak wajar dituturkan oleh para ADR apalagi oleh mereka yang dianggap veteran, Tetapi, ia masih tidak menjadi alasan kuat untuk menghentikan slot. Biarlah orang ramai menonton perlakuan-perlakuan atau kata-kata biadap (jika ada dan berlaku lagi) diluahkan bagi membolehkan para pengundi menilai ADR manakah yang mirip menjadi ‘big foot’ atau ‘big monkey’ yang hanya hadir untuk mencari publisiti murahan dan bukannya untuk menjadi agen perubhan.

Shabery dengan ini diseru untuk memberi peluang kepada rakyat untuk menilai prestasi wakil-wakil mereka dengan mata kepala mereka sendiri. Rakyat dengan itu bolehlah melihat siapakah yang menjalankan tugas, siapa berbohong, siapa pelawak bodoh, siapa badut sarki dan siapa kaki ponteng. Sebenarnya, di kalangan para penyokong pembangkang, video-video rakaman prosiding dewan ini pada masa lalu sudah banyak dirakam dan dijual di pasar-pasar malam dan di tempat-tempat ceramah PKR, PAS dan DAP. VCD yang disunting ini banyak menunjukkan sikap atau senario ‘hero’ ADR mereka dan memperlihatkan sikap tidak professional wakil kerajaan. Sekarang mudah bagi mereka merakam aksi perdebatan dari galeri pelawat menerusi kamera telefon bimbit.

Tanpa siaran langsung RTM, versi rakaman yang diedit pembangkang akan terus menguasai youtube dan pasar-pasar malam kerana kehadiran ADR pembangkang yang ramai dalam dewan kali ini akan menggalakkan rakaman haram dan sekali lagi kerajaan BN terperangkap dengan dasar tutup pintu mereka. Kerajaan akan terdedah lagi kepada tuduhan bahawa ia tidak berani menyiarkannya kerana ia takut kebenaran terdedah sedangkan itu bukan hakikatnya. Lebih malang lagi edisi yang terjual itu adalah edisi yang telah teredit. Sila kunjungi pasar malam atau tempat ceramah pembangkang untuk melihat betapa meluasnya amalan ini.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home