Sunday, August 3, 2008

Permatang Pauh jua jadi pilihan

Tersiar dalam Sinar Harian Ahad 3 Ogos, 2008, muka N14



OLEH DR AISAR YEE ABDULLAH

Keyakinan bahawa beliau akan ditangkap dalam masa terdekat ini telah mendorong Anwar untuk segera mengumumkan keputusannya untuk bertanding. Isterinya, Datuk Seri Wan Azizah. Anggota Parlimen, Permatang Pauh pada pagi Khamis lalu yelah menyerahkan surat perletakan jawatan untuk mengakhiri tugasnya mewakili rakyat kawasan itu. Beliau berhasrat untuk menyerahkan tugas kepada suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika dizinkan pengundi.

Pilihan Anwar kepada Permatang Pauh mengejutkan ramai juga kerana beliau tidak pernah sepanjang masa terdekat ini membayang untuk bertanding dalam kawasan itu. Selepas dia dituduh meliwat menganggap bahawa tuduhan itu dibuat bagi menggagalkan cita-citanya. Ketika itulah baru orang ramai tahu bahawa Anwar akan bertanding. Dulu mereka diberitahu bahawa beliau tidak perlu bertindak gopoh bertanding.

Dia bekerja keras merentasi dan meredah Malaysia untuk memberi penerangan tentang partinya, keutuhan gagasan Pakatan Rakyat dan tentang apa yang dia namakan sebagai konspirasi politik mengahlangnya dari memupayakan dirinya menjadi pemimpin negara ini sebelum 16 September ini.

Tuduhan meliwat yang dikenakan kepadanya telah menyebabkan beliau lebih giat berkempen dan di dalam kempennya dia sering mengingatkan bahawa dia akan segera mengumumkan satu kawasan yang akan ditandinginya. Suatu ketika dia membayangkan kawasan pilihannya sebagai Bandar Tun Razak. Ramai orang yakin dengan kenyataan tersebut memandangkan AP sekarang bagi kawasan itu, Tan Sri Khalid juga memegang jawatan MB Selangor dan sudah tentu ingin memberi tumpuan kepada tugasnya di Shah Alam.

Anwar kemudian membayangkan akan bertanding di Bandar Baru Kulim. Kemungkinan suatu pilihan raya kecil diadakan di sana cerah kerana AP kawasan itu, Zulkifli Nordin dari PKR dikatakan berkemungkinan terpaksa meletakkan jawatan jika mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong akibat kelalaian Zulkifli tidak mengemukakan penyata perbebelanjaan yang ditanggungnya semasa bertanding dalam pilhan raya kecil sebelum itu.

Orang yakin dengan pengumuman Anwar untuk bertanding di situ. Kalau kawasan itu diisytihar kosong dan Zulkifli pula telah pun menyatakan kesediaan untuk memberi laluan kepada bosnya bertanding, tidaklah perlu lagi PKR mengambil risiko meminta mana-mana APnya yang lain meletakkan jawatan bagi memberi ruang kepada Anwar. Tindakan itu munasabah. Banyak pihak sudah buat persediaan menghadapi pilihan raya kecil di Kulim.

Rupa-rupa selama ini melalui pengumuman-pengumuman yang dbuatnya, Anwar hanya berusaha untuk mengaburi mata musuh. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk bertanding di Kulim mahupun Bandar Tun Razak. Persidangan mahkamah di Kulim, sungguhpun akan bermula segera, proses rayuan mungkin akan akan mengambil masa lagi. Mengikut peraturan sekarang, keputusan mahkamah sudah boleh dirayu dan tidak seperti sebelum ini yang sememangnya muktamad.

Penulis berpendapat Anwar sudah lama membuat ketetapan kawasan untuk ditandinginya. Beliau memilih Permatang Pauh semenjak 15 April lagi, iaitu pada hari dia dikira layak untuk bertanding kembali selepas melepasi tempoh edah yang dikenakan mahkamah akibat hukuman yang dikenakan kepadanya pada tahun 1998 dulu.

Melalui tulisan yang penulis buat pada 18 April, 2008 yang tersiar dalam ruangan sama akhbar ini, penulis ada menyebut sebagaimana diperturunkan kembali di bawah:

Selain kawasan itu, Permatang Pauh adalah dijangka menjadi tumpuan utama Anwar. Kalau Anwar memilih untuk bertanding di sini banyak ‘masalah’ dapat diselesaikan serentak. Kalau dia menang, hanya dia dan Nurul Izzah sahaja yang akan menduki Dewan kerana ketiadaan Wan Azizah di sana boleh mengelakkan dari tuduhan PKR sebagai parti anak beranak, bapa, isteri dan anak semuanya jadi MP. Sementara itu Wan Azizah sendiri mengisytiharkan bahawa dia sanggup mengosongkan kerusinya bagi membolehkan suaminya bertanding. Para pengundi awal-awal sedar akan hasrat beliau dan mereka masih memilih beliau.

Majoriti kemenangan Wan Azizah melebihi 13,000 tentunya akan memudahkan tugas Anwar untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh berbanding kerusi-kerusi lain yang dihubungkan dengan Anwar mengambil alih.”

Dalam satu siri kempennya di Pulau Pinang, Wan Azizah sewaktu berucap di sebuah sekolah Cina pada pertengahan Februari mengumumkan bahawa dia akan meletakkan jawatan selepas pilihan raya nanti dan menyerahkan kerusi itu untuk ditandingi suaminya pula. Pengundi Permatang Pauh sudah pun diberitahu akan kemungkinan ini dan Azizah pada Khamis lalu telah menunaikan janjinya. Tidak timbul tuduhan Wan Azizah mempermainkan pengundi.

Pemilihan Anwar ke atas Permatang Pauh adalah tepat. Kalau dia memilih Bandar Tun Razak, satu tuduhan besar akan dilemparkan kepada beliau. Beliau akan dituduh mengamalkan kronism. Satu sikap yang dia nyatakan berperang habisan. Asri Haji Muda pernah memegang jawatan Menteri dan masih menjadi anggota DUN dan ada masa pula menjadi MB Kelantan di samping menjadi MP Pasir Puteh. Itu bukan masalah besar. Khalid boleh menjadi seperti Asri.

Memilih Permatang Pauh juga pilihan tepat kerana kawasan itu mudah menjamin kemenangan. Apakah Anwar perlu menjawab tuduhan bahawa dia memilih kawasan selamat dan bukannya kawasan lain seperti Bandar Tun Razak dan Kulim Bandar Baharu? Strategi ini pastinya akan menjadi amalan sesiapa sahaja. Hishamuddin Hussein Onn sendiri tentu tidak akan memilih untuk bertanding di Kelantan, di Kedah atau di Wilayah Persekutuan. Tentulah Johor pilihan beliau. Kalau Permatang Pauh boleh menyelesaikan masalah mendapatkan kemenangan mudah, dan sekali gus menolak tuduhan mengamalkan dasar kronism maka kenapa piliha kawasan lain?

Apa yang menjadi persoalan ialah kenapa Wan Azizah memilih Khamis 31 Julai untuk mengumumkan perletakan jawatannya sebagai AP. Kenapa bukan hari-hari lain? Sekurang-kurangnya dua faktor dapat penulis gariskan yang mendorong pasangan suami isteri seorang bertindak sebagai Penasihat parti, Anwar meminta Presiden parti, Wan Azizah meletakkan jawatan.

Pertamanya, penemuan laporan perubatan yang dikeluarkan oleh Pusrawi yang tidak melibatkan Anwar dengan tuduhan liwat. Laporan itu menyebut bahawa tiada apa-apa dapat dikesan dari permeriksaan ke atas dubur Saiful yang menunjukkan beliau telah diliwat. Sungguhpun terdapat usaha untuk mempertikaikan laporan itu tidak muktamad kerana pemeriksaan dibuat bukanlah oleh doktor pakar dan pemeriksaan bukan pula berkaitan tuduhan liwat, orang dari khemah Anwar mudah memperrtikai hujah itu.

Mereka bertanya dan pasti ini akan dieksploit seluas-luasnya untuk terus menerus membangkitkan teori konspirasi politik bahawa kalaulah mangsa pergi untuk pemeriksaan sakit perut dan susah buang air besar, kenapa pula mangsa diperiksa duburnya. Tentu pelik, mereka pasti mendakwa, kalau sakit perut, dubur pula yang diperiksa. Lagi pula, doktor yang memeriksa itu sungguhpun bukan pakar, pengalamannya berkhidmat sebagai doktor selama 15 tahun pasti membolehkan membuat penelitian dan mengesan dubur yang tercalar atau luka atau menanah sungguhpun pemeriksaan proktokopi oleh seorang pakar adalah lebih tepat.

Berdasarkan adanya laporan itu yang akan digunakan untuk mempertikaikan laporan perubatan lain yang mungkin menunjukkan sebaliknya, Anwar yakin akan mudah mempengaruhi pengundi Permatang Pauh untuk berpihak kepadanya dan menolak calon BN.

Beliau pastinya sedar akan satu poll pendapat yang terkini yang dilakukan ole Merdeka Centre ke atas rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang mendapati hanya 11 peratus dari mereka percaya Anwar melakukan perbuatan liwat dan satu angka yang signifikan iaitu sebanyak 66 peratus yang percaya tuduhan itu sengaja dirangka bagi menjejaskan karier politik beliau. Pasti ini akan digunakan sepenuhnya oleh beliau. Peluang ini akan digunakan untuk membalun musuhnya.

Faktor kedua ialah kerana adanya desas-desas yang mengatakan Anwar akan ditangkap, dihadapkan ke mahkamah untuk menjawab tuduhan dan berkemungkinan ditahan tanpa diberi jaminan akan digunakan oleh Anwar sepenuhnya untuk menggambarkan ‘kezaliman’ kerajaan BN. Simpati dari para pengundi akan diraih dan Anwar berharap sebahagian besar pengundi Permatang Pauh, tempat lahir beliau akan berada di sebelahnya.

Jika beliau ditahan semasa kempen pilihan raya berlangsung, semasa mengundi, pastinya usaha Anwar untuk memberikan gambaran amat negatif terhadap kerajaan dan BN akan berjaya. Anwar berharap untuk menggunakan ini secukup-cukupnya dan kerajaan serta BN terpaksa berhempas pulas membersih imej dan persepsi ini. Anwar terlampau yakin dia akan ditangkap lalu terus tanpa lengah mengumumkan akan bertanding dalam suatu pilihan raya kecil dan dengan berbuat demikian ingin meletakkan kerajaan dan parti BN dalam keadaan amat serba salah dan tertekan.

Wednesday, July 30, 2008

Mercedes: Semua pihak bertindak kelam kabut

Rencana ini tersiar dalam Sinar harian, Rabu 30hb. Julai, 2008 muka N14


Mercedes: Semua pihak bertindak kelam kabut

Oleh DR AISAR YEE ABDULLAH

Terengganu mendapat limpahan liputan berita sepanjang minggu lalu dan minggu ini. Dua berita menarik, satu fasal pernjimatan yang bersesuaian dengan iklim ekonomi negara dan satu lagi yang bersifat menentang arus, membazir. Satu berhak diberi pujian dan satu semestinya dikeji habis-habisan.

Baginda Sultan Terengganu mengambil keputusan tidak membuat apa-apa anugerah sempena hari keputeraannya tahun ini pada minggu lepas. Sambutannya juga diadakan secara sederhana. Negara menghadapi kemelut ekonomi dan rakyat menderita akibat kenaikan harga barangan konsumer. Dengan melakukan demikian, baginda memberi isyarat kepada sesiapa yang berkenaan untuk mengikuti jejak langkah baginda melakukan penjimatan wang rakyat.

Baginda tidak mahu membazirkan wang cukai rakyat. Kalau kita masih ingat, Sultan Mizan banyak melakukan perubahan semenjak mula ditabalkan sebagai Agong. Baginda contohnya, telah memerintah agar semua majlis keraian ditamatkan awal supaya ia tidak mengganggu tugas pejabat keesokannya. Baginda juga telah menunjukkan erti ‘nasihat dan persetujuan’ sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Erti frasa itu telah baginda perlihatkan kepada Perdana Menteri apabila baginda bertindak tidak menerima nasihat PM untuk melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar.

Namun, tindakan Sultan Mizan menyelamatkan berjuta-juta wang negeri dari dibelanjakan untuk menyambut hari keputeraan baginda berbeza dengan tindakan MB baginda, Datuk Ahmad Said. Beliau sebaliknya, bertindak membelanjakan sebanyak RM3.4 juta untuk membeli kereta Mercedes Benz untuk kegunaan para exco beliau dan pegawai kanan kerajaan Terengganu. Mengikut prosedur kerajaan, pembelian itu tidak menepati syarat kelayakan.

Pembelian kereta mewah ini pada saat para pemimpin menggesa rakyat untuk ‘ubah gaya hidup’ bagi menyesuaikan dengan kerumitan tentunya bercanggah. Sebagai usaha menghalalkan tindakan membeli kereta mewah, imej kereta nasional pula terpaksa diperlekehkan. Pastinya ramai orang melihat gelagat ini memalukan.

Sekecoh mana kita timbulkan, pembelian sudah dibuat. Wang rakyat telah dibelanjakan. Rasional membeli kereta itu juga telah diberikan. Reaksi-reaksi telah diketahui. Arahan-arahan baru telah dikeluarkan berkaitan isu pembelian itu. Kita seterusnya ingin melihat apakah kewajaran yang diberikan oleh Ahmad Said itu tepat atau dia telah bertindak kerana diberikan fakta yang salah.

Penulis melihat isu ini sebagai satu tindakan Ahmad yang diasaskan kepada fakta yang salah. Kereta-kereta itu dikenakan kos pembaikian yang terlampau tinggi ke tahap tidak masuk akal. Kos pembaikian melebihi kos belian. Melihat insiden dan perkembangan yang timbul selepas isu itu diketengahkan nyata bahawa kos pembaikian menjadi tinggi kerana adanya unsur penipuan dan rasuah. Para pemilik bengkel mengaku mereka mengenakan kos ‘mark up’ sebanyak 25 persen di atas alasan kerajaan lambat membuat bayaran.

Penulis yakin, berdasarkan penjelasan diberikan oleh kerajaan Terengganu bahawa bayaran dilakukan dalam masa dua minggu setelah invois diterima berupa tempoh bayaran yang munasabah. Tiada kelewatan berlaku. Maka, pada hemat penulis, kos mark up itu sebenarnya adalah kos untuk wang saku orang-orang tertentu. Ia berbentuk wang rasuah. Kos juga menjadi tinggi apabila ada barang yang tidak perlu ditukar, tetap ditukarkan juga agar pendapatan kepada bengkel bertambah dan bayaran ‘komisyen’ juga meningkat.

Barang bukan tulen juga dikenakan menyebab ia tidak tahan lama dan akhirnya memerlukan pembaikian lanjut. Sekali lagi kos tinggi dikenakan dan barang palsu masih digantikan. Maka, sebahagian besar dari kos pembaikian sebenarnya masuk ke kantung orang tertentu dan rakyat Terengganu yang membayarnya. Sedihnya, Proton dikutuk dan imej kereta nasional itu terjejas teruk dan pembelian kereta luar negara diwajarkan. Proton dijadikan kambing hitam.

Masyarakat diberitahu bahawa kerajaan Terengganu tidak layak menggunakan kereta Mercedes. Kelayakan ini ditetapkan oleh kerajaan pusat. Siapa sebenarnya yang berhak menentukan sama ada sesebuah kerajaan negeri layak membeli ini dan itu? Adakah ini ada terputus dalam mana-mana instrument kerajaan dan adakah sesebuah kerajaan negeri itu tertakluk untuk patuh kepadanya? Adakah ini peraturan BN atau peraturan kerajaan pusat? Adakah peraturan ini juga terpakai untuk kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan rakyat?

Apa pun, kita akui bahawa melalui sesuatu tatacara, persetujuan telah dicapai pada suatu masa dahulu bahawa kerajaan negeri hendaklah patuh kepada kehendak kerajaan pusat dalam pembelian kenderaan untuk kegunaan mereka. Perbuatan kerajaan Terengganu bertentangan dengan persetujuan dan peraturan. Sewajarnyalah kerajaan bertindak ke atas salahlaku kerajaan negeri tadi.

Pada Jumaat kelmarin, PM mengeluarkan kenyataan ringkas berkaitan fiasko Proton-Mercedes ini. “Saya ingin menyatakan di sini bahawa satu keputusan penting telah dibuat oleh kabinet bahawa kerajaan negeri tidak boleh menggunakan kereta tersebut untuk kegunaan para exco negeri. Ini telah diputuskan.” katanya. Beliau berkata lagi, memandangkan kereta sudah pun dibeli, dan menjualnya kembali akan menyebabkan kerugian, kesemua kereta itu hendaklah digunakan untuk kegunaan tetamu-tetamu negeri atau pembesar.

Penulis tidak mahu membahaskan tindakan beberapa exco negeri mengingkari perintah dari PM itu. Akhbar-akhbar ada melaporkan tentang kejadian mengikari arahan itu berlaku. Biarlah. Memang pun menggunakan Mercedes lebih seronok dan bergaya dari menaiki Proton sungguhpun ia bertaraf dan diberi nama Perdana. Penulis hanya mahu membincang tentang keputusan yang dibuat oleh kabinet tadi sahaja. Penulis beranggapan isu kereta Mercedes ini bukanlah isu yang patut mendapat tempat dalam agenda mensyuarat kabinet. Banyak lagi persoalan besar yang masih tergendala semenjak 8 Mac yang belum kabinet perhalusi.

Namun keputusan telah dibuat. Ia tidak boleh dijual kerana didakwa akan menyebabkan kerugian. Bab ini penulis tidak faham siapa yang dimaksudkan akan menanggung kerugian? Kerajaan negerikah akan menanggung kerugian, dan bagaimana? Kita diberitahu bahawa kerajaan negeri membeli kereta Mercedes E-200 Kompressor dengan harga RM245,000 sebuah. Pembelian kerajaan negeri dikecualikan dari cukai. Pihak kastam tidak mendapat satu sen pun cukai dari pembelian kereta sebanyak 14 buah itu yang kesemuanya berjumalah RM3.4juat itu.

Penulis diberitahu harga kereta itu untuk orang awam termasuk cukai ialah sebanyak RM350,000 seunit. Pada perhitungan penulis, kalaulah kereta itu dijual dengan harga RM300,000 termasuk cukai, ia menarik minat ramai pembeli kerana ia masih murah dan baru sangat digunakan serta nombor pletnya pun cantik. Nombor plet itu sendiri dengan mudah mencapai nilai lebih dari RM10 ribu. Kalau dijual dengan harga RM300 ribu itu, pihak kastam boleh mendapat cukai sebanyak RM55 ribu bagi setiap unit dan kerajaan negeri tidak kerugian sesen pun.

Pihak kastam pasti boleh terima jumlah cukai sebanyak itu kerana kalau tidak ia tidak dapat satu sen pun kalau kereta itu masih berada dalam milik kerajaan negeri. Bagi penulis, kerajaan negeri tidak rugi dan kerajaan pusat dapat duit cukai. Pembeli juga beruntung kerana kereta berharga RM350 ribu dicampur nombor plet menarik boleh dibeli dengan harga RM300 ribu sahaja. Laporan akhbar Star semalam (Selasa) menunjukkan ada exco masih belum terima klereta pun. Ini bererti kereti itu belum terpakai dan belum diserahkan. Lagi menarik. Pembeli menang, kerajaan negeri menang dan kerajaan pusat menang dalam bentuk pungutan cukai.

Keputusan lain yang dibuat oleh kabinet juga dianggap tidak bijak. Mengarahkan kereta itu disimpan oleh kerajaan negeri dan digunakan semata-mata untuk tetamu kerajaan negeri akan membebankan kerajaan tersebut. Ia bukan sahaja satu tindakan membazir bahkan akan menyebabkan pembaziran lain pula terlibat sama. Kereta sama ada diguna atau tidak, terpaksa di’maintain’ dari semasa ke semasa. Ia tidak boleh dibiarkan dalam garaj dan dikeluarkan apabila ada tetamu yang memerlukannya. Kos tambahan tetap ada.

Penulis tidak dapat menganggar berapa ramai tetamu harian kerajaan negeri Terengganu. Kalau ia ramai dan sehingga memerlukan berbelas-belas buah kereta Mercedes, mengapa hanya Terengganu sahaja yang ada tetamu seramai itu? Negeri-negeri lain, tetamunya menaiki kereta apa? Berapa unit kereta untuk tetamu yang kerajaan negeri lain ada? Bilangan tetamu negeri adalah satu aspek darinya. Aspek lain yang perlu diperjelaskan ialah apakah criteria orang yang layak digelar tetamu negeri itu. Apakah DO sebuah daerah di Melaka contohnya, kalau berurusan rasmi dengan kerajaan Terengganu layak menggunakan Mercedes itu? Penulis perhati, biasanya, kalau ada pembesar dari Puterajaya yang datang ke sesebuah negeri, keretanya yang sampai dulu dan pembesar itu menaiki pesawat.

Hasilnya, penulis tidak nampak rasional kerajaan dan kabinet yang memutuskan bahawa kereta itu tidak boleh dijual kerana akan menanggung kerugian. Penulis juga tidak nampak alasan menyimpan kereta itu untuk kegunaan para tetamu negeri. Kita tidak tahu apakah kriteria digunakan bagi melayakkan seseorang itu bergelar tetamu negeri. Mengambil kira bilangan kereta untuk tetamu di negeri-negeri lain tidaklah sebanyak yang ada di Terengganu, dikhuatiri bilangan Mercedes E200 Kompressor yang ada di Terengganu itu layak mendapat tempat dalam buku Guiness Book of Records sebagai kereta paling lama berada di dalam garaj dan paling kurang kerap digunakan di dunia.

Sikap kerajaan negeri Terengganu membeli kereta mewah itu dikira tidak tepat dengan masa di mana orang ramai sedang berduka, dan tidak mengikut peraturan kerajaan pusat. Sikap kerajaan pusat menangani fiasko ini pula amat pelik, tidak bijak dan mengundang masalah lain yang akan berbangkit pada masa akan datang. Barangkali, dalam keadaan kelam kabut yang dihadapi para pemimpin kita hari ini, tindakan diambil berkaitan isu kereta mewah ini pun nampaknya pun kelam kabut juga.

Friday, July 25, 2008

Nilai sumpah sekadar di bibir

Rencana ini tersiar dalam Sinar harian Jumaat 25 Julai, 2008 muka N14

Oleh DR AISAR YEE ABDULLAH

Berat jari untuk menekan key-board tujuan membicarakan isu-isu berkaitan Anwar. Desakan bertalu-tahu dari teman dan pembaca menyebabkan penulis menyerah kalah. Banyak permintaan untuk penulis membuat analisis fasal kes liwat yang dituduh ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dulu penulis kata, meluat menyebutnya. Meluat kerana kalau betul-betul Anwar melakukannya, nyata beliau tidak belajar dari tuduhan yang dikenakan kepadanya sepuluh tahun dulu dan penulis meluat kalau tuduhan ini palsu, bagaimana orang yang menuduh dan sesiapa yang di belakangnya, bertindak seperti menganggap rakyat negara ini bodoh.

Namun, sudah hampir sebulan selepas tuduhan itu mula timbul pada 28 Jun lepas, isu ini masih diperdebatkan. Ia masih belum berkesudahan, iaitu orang yang dituduh belum dibawa ke mahkamah atau tuduhan tidak pula digugur. Masa yang lama ini memberi ruang untuk orang memperkatakan seluas-luasnya. Bila isu luas dibincang, lebih banyak pula persoalan timbul. Mahu tidak mahu, penulis terpaksa melayan permintaan teman-teman dan pembaca.

Ramai bertanya, selesaikan sahaja isu ini dengan bersumpah gaya Islami. Kenapa perlu panjang-panjang lagi, selesaikan segera. Biarlah kedua-dua orang yang terlibat bersumpah. Kebenaran akan muncul dan kemusnahan akan tertimpa orang yang berbohong. Pihak yang benar tentunya tidak akan takut untuk melakukan sumpah itu, saran mereka.

Pengetahuan penulis tentang hukum bersumpah dan jenis bersumpah ini sangatlah cetek. Keadaan itu tidak pula menjadi lebih baik kerana kemudiannya menjadi terkeliru akibat beberapa pandangan berbeza yang diberikan oleh mereka yang lebih arif tentang hukum agama.

Mufti Perlis, SS Dr Mohd Asri Zainul Abdin meminta kedua orang yang terlibat melakukan ‘mubahalah’ atau bersumpah di khalayak sambil menyebut laknat Allah ke atas diri kalau berbohong. Selepas bersumpah, kedua-dua yang terlibat dikehendaki tidak lagi membangkitkannya serta menunggu tindak balas dari Allah yang berupa laknat ke atas orang yang berbohong.

Pandangan Dr Mohd Asri tidak disetujui oleh seorang Mufti lain yang lebih kanan, Datuk Seri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Bagi Harussani, Anwar tidak diperlukan untuk bersumpah menggunakan al-Quran atau pun cara mubahalah untuk membuktikan dia tidak bersalah kerana beban membuktikannya itu terletak kepada orang yang menuduh, iaitu Saiful.

Amalan bersumpah di khalayak ini bukanlah sesuatu yang akan pertama kali terjadi di kalangan kita. Ia adalah kejadian harian. Ada yang disiar langsung oleh stesen televisyen. Di mana-mana orang bersumpah. Ada yang menggunakan al-Quran dan ada yang menggunakan kitab suci agama lain. Kita perhatikan sewaktu menerima perlantikan penting, ada upacara meletakkan tangan ke atas al-Quran, atau memegang al-Quran sambil membuat ikrar sumpah seperti akan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan menjaga kepentingan masyarakat dan negara. Sehari selepas mengangkat sumpah bersaksikan al-Quran, berguni-guni duit bukan miliknya dikebas.

Upacara mengangkat sumpah sebagai mana yang kita kenali sekarang, tidak kita beri tekanan keagamaan sungguhpun kitab suci itulah yang kita pegang semasa kita membuat akuan. Disiplin sumpah kita ketepikan. Ia sekadar suatu istiadat warna-warni yang menghalalkan kita memegang jawatan dan sebagai pengesahan kepada jawatan yang disandang. Menjadi menteri perlu mengangkat sumpah, menjadi wakil rakyat mereka bersumpah, menjadi hakim pun disertai majlis angkat sumpah. Peliknya, ramai tidak setia dengan sumpah sungguhpun bersaksikan al-Quran.

Kita bersumpah dengan nama Allah, dengan bersaksikan al-Quran tetapi kita sedikitpun tidak berasa gentar untuk melakukan kemungkaran melanggar sumpah. Kita melakukan rasuah, penyelewengan ke atas amanah yang diberikan kepada kita. Kita tidak berasa apa-apa. Biasa sahaja.

Berdasarkan kejadian yang berlaku sebelum ini, melakukan sumpah menggunakan a-Quran didapati tidak menyelesaikan masalah. Bila kedua-dua pihak sanggup bersumpah tentang sesuatu isu, pastinya salah satu di antara mereka membuat sumpah palsu. Mana mungkin kedua-dua pihak yang melakukan sumpah itu bercakap benar. Seorang darinya pasti berbohong.

Maka, memadaikah bersumpah untuk menyelesaikan masalah. Kita imbas kembali kepada satu kejadian yang melibatkan sumpah di masjid menggunakan al-Quran yang membabitkan dua orang tokoh politik negara kira-kira 40 tahun lepas. Dua tokoh yang terlibat ialah Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin utama parti Perikatan dan Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung Pas.

Pertarungan sengit merebut pengaruh dan pengundi di antara Parti Perikatan (BN belum wujud) dan Pas terjadi pada tahun 1969. Pada masa itu UMNO diasak kuat dan ramai para cendekiawan Melayu memihak kepada Pas kerana tidak berpuashati dengan dasar pelajaran kebangsaan yang jalankan oleh Perikatan. Dr Mahathir yang pada masa itu dikenali sebagai ultra-Malay (Melayu pelampau) kalah di tangan Pas dan kemudiannya dipecat dari UMNO kerana menentang dasar-dasarTunku yang banyak menyebabkan Perikatan kalah di tangan Pas, Parti Progresif Rakyat dan DAP.

Dalam suatu majlis, Tunku telah menuduh Pas menerima bantuan dari negara luar membiayai perjuangan parti itu. Tuduhan Tunku ini dinafi keras oleh Mohd Asri. Tunku terus menerus membuat tuduhan itu di dalam usaha menghalang pengundi berpihak kepada Pas. Penafian Pas diturut pula oleh tuduhan balas dari parti itu bahawa Perikatanlah yang sebenarnya menerima wang sumbangan dari luar.

Mohd Asri mencabar Tunku untuk bersumpah. Cabaran Mohd Asri disahut Tunku. Pada hari dan masa yang ditetapkan, Tunku telah melafazkan sumpah bersaksikan al-Quran di Masjid Zahir Alor Star dan Mohd Asri melakukan sama di Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Sampai hari ini kita tidak tahu pihak mana yang termakan sumpah dan pihak mana yang terkena bala. Kalau ada bala yang tertimpa sesorang, pihak yang satu lagi itu menganggapnya sebagai suatu kejadian biasa yang boleh menimpa sesiapa sahaja. Kalau seseorang menjadi lumpuh, ia akan dirasionalkan sebagai kesan biasa serangan angin ahmar. Ia tidak ada kena mengena dengan balasan dari Allah.

Baru-baru ini seorang pemimpin besar negara telah melafazkan sumpah di depan ramai penyokong partinya menafikan bila terlibat dengan apa yang dituduh dilakukan oleh beliau melalui satu surat perakuan sumpah (SD). Namun, masih ramai orang yang menyimpan persepsi bahawa beliau berbohong. Lebih malang , beliau diberi tuduhan tambahan, dituduh pula sanggup permainkan agama.

Di dalam dunia yang penuh dengan penipuan, penyamaran, penindasan, kezaliman, rasuah malah pembunuhan semata-mata kerana inginkan kuasa, maka apakah sangat untuk melakukan satu sumpah palsu? Bolehkah kita bersandar kepada satu upacara bersumpah untuk menyelesaikan kebuntuan? Kalaulah mereka sanggup melakukan jenayah sebegitu rupa, tentunya, bersumpah dengan nama Allah sekalipun, adalah satu perbuatan enteng. Ia tidak membawa apa-apa kesan kepada nurani mereka.

Maka berkesankah sumpah yang dibuat dan akan selesaikah masalah yang dihadapi oleh sesiapa yang dikenakan tuduhan sungguhpun menggunakan al-Quran jika ada pihak yang tidak amanah? Banyak pihak itu sanggup menerima akibat di akhirat kelak tetapi tidak sanggup mennggung malu di dunia. Bagi mereka, soal akhirat, belakang kira.

Lagipun, kalaulah kes yang melibatkan Anwar dan Saiful ini hendak diselesaikan melalui majlis bersumpah, akan gugurkah tuduhan selepas itu? Bagaimana pula dengan ratusan atau ribuan tuduhan lain yang dikenakan ke atas orang lain, seperti membunuh, menyamun, merogol, atau rasuah bolehkah ia diselesaikan melalui sumpah?

Mengapakah hanya kes yang melibatkan Anwar dan Saiful ini sahaja perlu diselesai melalui bersumpah. Bagaimana dengan kes curi basikal? Bagaimana pula jika ada tuduhan dibuat ke atas anda bahawa anda telah melakukan ‘liwat’ adakah anda akan mengheret orang yang menuduh itu ke masjid untuk bersumpah, atau meminta dia memberikan bukti serta anda menuntut saman malu? Di mana nanti peranan mahkamah kelak akan diletakkan?

Wednesday, July 23, 2008

Giliran Anwar pula kepanasan

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 23 Julai, 2008 muka N14


Oleh DR AISAR YEE ABDULLAH

Habuannya besar. Pas akan ditawarkan jawatan Menteri Besar di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan. Jawatan exco akan diberikan kepada ADUN Pas di Terengganu, Pahang, Perlis dan Johor. Pas akan ditawarkan bertanding semua kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum ke-12 lalu di samping semua kerusi yang dimenangi oleh PKR dan DAP.

Lima jawatan menteri penuh juga ditawarkan kepada para pemimpin Pas. Beberapa orang pula akan dilantik sebagai senator. Kesemua kerusi di atas dikatakan ditawarkan jika Pas menerima tawaran UMNO untuk berpakat dengannya dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Tawaran itu belum sahih. Ia sekadar cakap-cakap awam. Memang tawaran itu jika benar akan memecah liur sesetengah pemimpin dalam Pas. Ini adalah jalan pintas tumpang memerintah. Pastinya, kalau kekal bersama PR, belum tentu Pas dapat merasa jawatan-jawatan seperti tadi.

Bagi kebanyakan orang, jawatanlah yang menjadi pendorong memikat mana-mana pihak untuk setuju bertemu. Pas, yang sekarang sudahpun menikmati sedikit sebanyak kuasa, akan sanggup bertemu dan berbincang dengan UMNO yang juga memegang dan memiliki banyak kuasa di peringkat pusat dan negeri bagi memperkukuhkan kuasa. Tidak mustahil bagi Pas untuk bertemu dan berbincang.

Pendedahan Perdana Menteri bahawa Pas dan UMNO telah tiga kali bertemu bagaimanapun memeranjatkan ramai sungguhpun desas-desas mengenai cadangan pertemuan banyak kedengaran dan kuat dimainkan oleh akhbar-akhbar. Berita tentang pertemuan itu menjadi tajuk utama semua akhbar termasuklah akhbar bukan Melayu. Saya sempat melihat muka depan akhbar China Press bertarikh 21 Julai di mana terpampang gambar Abdullah dan Hadi Awang dengan angka 3 yang besar yang menggambarkan sudah tiga kali bertemu.

Melalui pendedahan PM bererti persemukaan Pas-UMNO bukanlah suatu dakyah. Ia adalah sesuatu yang benar-benar telah terjadi. Bukan sekali, malah sudah tiga kali bertemu selepas 8 Mac. Pas pula tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan PM yang juga selaku Presiden UMNO bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan kaum Melayu.

Abdullah menyebut pertemuan berlangsung sebanyak tiga kali yang melibatkan pimpinan peringkat tinggi parti masing-masing. Kenyataan Pas hanya menyebut tiga nama yang dua di antaranya bukanlah peringkat tinggi yang sengaja disusun demikian untuk tidak memberikan mereka mandat untuk membuat keputusan. Mengikut Abdul Khalid Samad sebagaimana dilaporkan media, Pas berperanan sebagai pendengar sahaja. Pas banyak berkata, ‘ya’, ‘ya’ tanpa sebarang komitment.

Melalui satu kenyataannya pada 20 Julai kelmarin, Hadi mendedahkan bahawa Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Dato’ Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad telah untuk pertama kalinya bertemu PM. Pertemuan kedua melibatkan Nasharudin dan PM berlaku di bangunan Parlimen. Di dalam kedua-dua pertemuan disebut Hadi, beliau tidak hadir.

Sebagai orang Islam, kita pastilah bersyukur dan mengalukan sebarang langkah diambil bagi menyatupadukan umat. Usaha itu akan menjamin keagungan Islam dan sekaligus ketuanan Melayu. Persoalan besar, apakah ia akan menjadi kenyataan seperti mana yang kita impikan. Kita berharap pertemuan ini tidak sekali-kali diasaskan kepada suatu niat lain, iaitu permainan politik. Kita akan terkilan jika pertemuan ini mempunyai niat terselindung.

Umat Islam pasti kehampaan kalaulah kepentingan parti politik dijadikan agenda dan kepentingan umat dan kaum diperalatkan. Kita benar berharap alasan untuk persemukaan ini dibuat kerana timbulnya keinsafan bahawa kekuasaan Islam akan terlebur kerana perpecahan ketara di kalangan umat Islam di negara ini.

Datuk Nik Aziz, Murshyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan sangsi akan niat sebenar UMNO ingin bersemuka kerana parti itu kelihatan berpecah dan berada di dalam keretakan akibat perasaan tidak puas hati akar umbi terhadap pimpinan Abdullah. Parti yang memerintah pusat itu juga dikatakan bertambah tidak popular selepas pilihan raya kerana masyarakat bawahan terkesan menanggung beban inflasi yang tinggi ekoran kenaikan harga petroleum.

.

Kebimbangan Nik Aziz ini berasas. Pas dijemput menyertai BN pada 1969 ketika parti UMNO berkeadaan sama, lemah. Pada 1978 tatkala UMNO kembali pulih, Pas ditendang keluar. Tempoh itu berupa suatu yang pahit bagi Pas. Pas menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1969 selepas peristiwa 13 Mei yang juga menyaksikan perpecahan Melayu yang amat parah. Pada pilihan raya tahun itu, Selangor dan Perak hampir jatuh ke tangan Parti Progresif Rakyat pimpinan D.R. Seenevasagam dan DAP. Pulau Pinang pula telah jatuh ke tangan Gerakan, Akhirnya, PPP dan Gerakan membentuk Barisan Nasional bersama Perikatan yang juga diserta Pas. Melalui BN, PPP dan Gerakan akhirnya menjadi kian lemah.

Perpaduan itu tidak kekal seperti mana niat asal kerana ia diasaskan kepada keperluan politik semasa sahaja. Lama-kelamaan mereka bercakaran. Ini boleh diduga kerana tentunya para pemimpin komponen tidak boleh berpeluk tubuh apabila melihat kerusi yang dipertanding dibolot oleh parti komponen lain. Contohnya, bolehkah pemimpin UMNO Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak hanya menjadi penonton dan pemimpin kelas dua kepada Pas di negeri-negeri itu? Sudah tentu teringin juga orang UMNO suatu hari nanti menjadi MB di negeri berkenaan.

Akhirnya, pecah juga kerajaan pakatan UMNO-Pas di Kelantan. Kerajaan Kelantan menjadi tidak stabil, darurat diisytiharkan lalu memaksa kerajaan pusat mengambil alih pentadbirannya melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran). Pas akhirnya dipecat dari BN. Itulah agaknya, Nik Aziz berkeras sangat tidak mahu kekecewaan berulang. Barangkali, banyak pemimpin Pas dewasa ini yang tidak tahu pun akan sejarah itu.

Peristiwa Pas ditendang keluar dari BN itu berlaku pada tahun 1978, iaitu kira-kira 30 tahun lampau. Para pemimpin Pas yang berumur 50 tahun hari ini, masih belum boleh mengundi pada tahun itu. Itulah sebabnya mereka lupa akan peristiwa pahit seperti mana yang dialami Nik Aziz. Nik Aziz mengingatkan bahawa UMNO sekarang sedang hendak lemas dan memang perjuangan Pas untuk melemaskan UMNO, jadi mengapa hendak menarik UMNO agar tidak terus lemas.

Percubaan-percubaan kuat pemimpin UMNO bercakap tentang semuka dengan Pas dilihat bermotif untuk menimbulkan perasaan curiga di antara Pas dan rakan sekutunya dalam PR iaitu PKR terutamanya. Tindakan ini adalah sebagai memulangkan paku buah keras UMNO kepada tindakan Anwar yang cuba untuk tidak menstabilkan BN melalui cakap-cakap MP mereka akan melompat parti. Dengan berbuat demikian, UMNO mahu melihat perpaduan Pas-PKR pula tidak stabil dan Anwar pula kepanasan.

Saingan kepada UMNO dan BN akan mula dilenyapkan jika perpaduan Pas-PKR-DAP dapat dipatahkan. UMNO akan menang mudah di dalam pilihan raya akan datang. Maka banyak pendapat mengatakan bukanlah sangat UMNO ingin berpakat dengan Pas tetapi hanya ingin melihat kehancuran PR. Pas berpakat dengan UMNO bukan matlamatnya, matlamatnya, pakatan Pas dengan PKR mesti dileburkan. Sistem dua parti yang mula menampakkan potensi boleh dihanyutkan. Laluan BN seterusnya akan mudah.

Projek PR kelihatan lebih ‘viable’ selepas debat petroleum baru-baru ini. Lebih ramai rakyat dikatakan bertambah yakin dengan kemampuan PR mengendalikan pentadbiran negara. Sementara itu, kejayaan tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak dan Selangor, tiga negeri termaju di Malaysia ditadbir dan diurus dengan sempurna dikatakan akan membuka mata rakyat keseluruhannya. Maka, keutuhan kerajaan-kerajaan negeri itu hendaklah dihancurkan segera melalui PAS diajak meninggalkan PR. Kerajaan Selangor dan Perak akan kehilangan majoriti kalau Pas bertindak keluar darinya. Sebab itu Pas dikatakan dijanji dengan habuan yang amat besar.

Memandangkan usaha ke arah perpaduan ini baik, eloklah ia diteruskan dan dilakukan secara terbuka dan sebagai permulaan, kerajaan pusat diminta segera membangunkan negeri-negeri di bawah kelolaan Pas sebagai bukti ia ingin meningkatkan kesejahteraan ekonomi umat Islam. Itu membuktikan bahawa kepentingan umat diutamakan dan bukannya politik. Nik Aziz kesal pembinaan sebuah pasar yang hanya berharga RM8 juta di Pasir Mas dibatalkan kerana desakan politik. Bangunkah negeri-negeri yang ramai didiami orang Islam tanpa mengira apa fahaman politik mereka. Nawaitu, adalah segala-galanya.

Dari segi strategi politik Islam, Pas dan UMNO tidak dikehendaki bersatu. Keduanya hendaklah bergerak seiring. Kedua-duanya tidak boleh dibiarkan lemah. Salah satu darinya tidak juga boleh dibiarkan lumpuh atau lemas. Kedua-duanya hendaklah berkeadaan kuat dan hendaklah sering ingat mengingatkan.

*Untuk pembaca yang ketinggalan mana-mana artikel sebelum ini boleh lawati laman web penulis draisaryee.blogspot.com

Friday, July 18, 2008

Debat: Shabery menang besar

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Jumaat 18 Julai, 2008 muka N14


Oleh DR AISAR YEE ABDULLAH

Berdasarkan maklumat diberi oleh pihak penganjur, Laman web Agendadaily, seramai 4.4 juta orang dianggar menonton debat di antara Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan de fakto ketua, Parti Keadilan Rakyat, PKR yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesten TV tanahair.

Angka itu tidak termasuk mereka yang menonton melalui skrin Internet seluruh dunia melalui beberapa laman web yang turut sama terlibat dalam siaran langsung. Debat itu menarik dan ramai orang terpukau. Rakyat dari pelbagai keturunan juga mengikuti debat ini jika ulasan-ulasan yang diberikan dalam laman-laman web dijadikan pedoman. Isu yang diketengahkan itu sememangnya satu isu yang sangat menyentuh rakyat semua lapisan masyarakat. Isu kenaikan harga pertroleum dan bagaimana dua pihak yang bertentangan menanganinya.

Seperti biasa, kemampuan pendebat akan dinilai oleh penonton. Kita pasti telah membaca reaksi yang diberikan oleh mereka. Sebagaimana penulis membuat rumusan dalam satu artikel sebelum ini, rumusan kita akan didorong oleh emosi kita terhadap parti yang kita sokong.

Kebanyakan orang yang berpihak kepada BN akan memberi ‘rating’ yang tinggi terhadap prestasi yang diberikan Shabery. Sama ada ‘rating’ yang diberikan itu wajar adalah cerita lain.

Kita perhalusi reaksi yang diberikan oleh para pemimpin BN. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar menyatakan kandungan debat yang diberikan oleh Anwar adalah terlalu mudah dan tidak meyakinkan. Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata debat membuktikan Anwar memberi janji palsu daripada segi menurunkan harga petroleum. Beliau menambah, Anwar hanya temberang.

Nada sama diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz. Malah, apabila ditanya sanggupkah beliau berdebat dengan Anwar, beliau segera menjawab melalui pertanyaan, Dia tidak takut kerana pernah berdebat dengan Lim Kit Siang dan Karpal Singh dan maka itu, siapa Anwar! Sebetulnya, Nazri merupakan orang yang layak kerana dia berkedudukan sebagai menteri yang sangat kanan. Semoga satu debat dapat diadakan menemukan Nazri dan tokoh lain dalam Pakatan atau dengan Anwar sendiri kerana Nazri sanggup berdepan dengan beliau.

Shabery lebih meyakinkan. Itu adalah pendapat yang diberikan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed, MP Pulai dari BN. Rakan beliau, K. Devamany, MP Cameron Highlands berkata debat malam itu adalah saksama dan persembahan Shabery lebih baik. “Anwar menggunakan debat itu sebagai satu pentas mendapatkan simpati orang ramai berkaitan pertandingan politik akan datang dan dia sendiri tidak tahu tentang masa depan politiknya.” Kata wakil rakyat itu.

Itu adalah beberapa contoh pendapat yang diberikan tentang prestasi Shabery. Lain pula pendapat orang bertentangan pihak. MP DAP dari Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata Anwar memiliki kelebihan pada malam itu. Lim Kit Siang juga berpendapat sama dan menambah bahawa hujah Anwar amat meyakinkan. Namun, dia menganggap Shabery tidaklah mengecewakan sangat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan berpendapat hujah Anwar amat meyakinkan terutamanya dari segi ekonomi. Bagi Dr Dzulkefly Ahmad, MP Pas, Ahmad Shabery banyak mengemukakan soal sejarah dan perkara yang sudah berlaku sebelum ini bagi mempertahankan hujahnya. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melihat Anwar sebagai cukup bersedia dengan pelbagai fakta berkaitan isu ekonomi manakala Shabery lebih mempolitikkan isu berkenaan.

Begitulah orang politik sentiasa melihat sekeping duit syiling dari sudut dia berada. Pendirian mereka hendaklah dilihat dengan diskaun tertentu. Ramai orang mampu menilai sendiri prestasi para pendebat malam itu. Turut dinilai ialah prestasi moderator’ yang dilihat telah menjalankan tugas secara sangat adil. Cuma dapat dikesan perasaan kesal sebilangan penonton dengan sikap yang ditonjolkan oleh rakan Shabery yang diberi tanggungjawab membuat soalan kepada Anwar dan Shabery sendiri yang dikira telah tidak membantu menteri itu.

Malah seorang graduan dari universiti di mana terjejas jika ukuran lulusan itu diasaskan kepada tanggapan NC berkaitan terkeliru dengan fakta bahawa harga petroleum juga berkaitan dengan harga gas yang dikenakan kepada pengeluar tenaga persendirian (IPP).

Apa pun penulis terpesona mengikuti perdebatan malam itu. Sehinggalah pada saat-saat akhir, penulis berasama sebilangan besar rakyat teratanya-tanya jadikah perdebatan ditunggu ramai itu. Apakah akan ada satu pembatalan pada saat akhir. Kemungkian berlakunya pembatalan pada saat akhir itu ada kerana sekurang-kurangnya terdapat satu hambatan besar yang dihadapi oleh salah seorang yang dijadualkan berdebat. Surat waran tangkap sudah pun dikeluarkan pada petang itu untuk menahan Anwar.

Kekhuatiran ini tidak boleh ditolak kerana suatu ketika dulu pun terjadual satu debat agung diatur di antara Pas dan UMNO. Semua pihak telah bersetuju dengan tajuk, dengan kaedah debat, dengan moderator, dengan tempat dan barisan para pendebatnya. Anwar adalah salah seorang di antara orang dinamakan oleh UMNO sebagai pendebat untuk mewakili partinya. Akhbar-akhbar dan TV pada masa itu telah pun menyiarkan bentuk kerusi dan pentas yang disediakan. Akhirnya, majlis debat dibatalkan atas arahan Majlis Raja-Raja Melayu di atas alasan untuk menjaga keharmonian perpaduan Melayu dan Islam.

Hanya bila debat bemula, kekhuatiran hilang. Penulis ikuti dengan amat. Setiap hujah diperhati. Penulis bersetuju dengan rumusan majoriti. Shabery menang besar.

Penulis beri kemenangan kepada Shabery bukan kerana hujahnya. Hujahnya semua orang boleh dengar dan buat keputusan sendiri. Penulis bukan sahaja kagum dengan kesanggupannya berdepan dengan Anwar. Ramai lagi menteri kanan yang lebih layak tetapi takut menawarkan diri. Penulis kagum kerana semenjak dia menjadi Menteri penerangan sudah banyak perubahan dilakukannya. Sekarang kita boleh menonton gelagat para pemimpin kita di parlimen melaui kaca TV. Kita tahu siapa dengan mudah menyebut perkataan ‘barua’ dan siapa yang boleh memberi isyarat lucah untuk bukan sahaja kita tonton tetapi anak-anak sekolah.

Dulu semuanya itu, semua perbahasan termasuk yang cerdik dan tidak cerdik, semuanya tidak disiarkan. Hanya propaganda kerajaan sahaja diberi tempat. Kita diberitahu oleh menteri-menteri penerangan sebelum ini bahawa kita belum mencapai tahap matang, kita belum cerdik. Rakyat kita dikatakan tidak mampu menilai dan mengawal perasaan. Kita diugutkan dengan kemungkinan berlakunya ledakan api perkauman. Kita dilaksanakan sebagai budak sekolah yang tidak boleh berfikir.

Hanya Shabery sahaja dengan dasar terbuka yang diamalkan di kementeriannya dan sikap terbuka dengan sokongan padu Menteri Dalam Negeri, Hamid Albar yang memberikan kebebasan akhbar untuk bersuara. Sekarang di bawah Hamid Albar, bukan sahaja akhbar-akhbar harian menjadi lebih bebas, akhbar-akhbar milik parti pembangkang juga mendapat ruang. Permit akhbar Harakah diberikan untuk diterbitkan dua kali seminggu berbanding hanya dua minggu sekali sebelum ini . PKR juga diizinkan menerbitkan risalahnya. Pendaftaran parti sosialis juga diluluskan.

Shabery meneruskan perjuangan mendapatkan kebebasan dan keadilan bersuara semenjak dia menjadi ‘student leader’ di Universiti Malaya, dulu, dan semasa berada di dalam Parti Semangat 46. Perjuangan itu terus dilaksanakan olehnya sebaik sahaja diberi tanggungjawab menjadi Menteri Penyiaran. Shabery memulakan satu tradisi baik dan itu amat disanjungi. Penulis berbangga mempunyai menteri seperti Shabery. Hanya beliau yang dapat melakukan itu yang gagal dibuat oleh Mohamed Rahmat, Kadir Sheikh Fadzil dan Zainuddin Maidin. Penulis angkat kopiah kepada beliau dan mengisyitiharkan beliau sebagai pemenang besar.