Sunday, June 1, 2008

Bolehkah Abdullah ditentang?

Tersiar dalam Sinar Harian Ahad 1 Jun, 2008 muka N15

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah.

UMNO akan mengadakan pemilihan parti di peringkat pusat pada Disember, manakala pemilihan cawangan bermula lebih awal iaitu dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini. Mesyuarat peringkat bahagian pula ialah dari 9 Oktober hingga 9 November.

Pertandingan merebut jawatan dalam UMNO sering kali dikaitkan dengan perpecahan yang hampir pasti akan menimpa UMNO. Dulu-dulu pertandingan dalam UMNO menjadi sesuatu yang dikatakan akan membawa malapetaka kepada parti itu.

Mereka yang berminat untuk bertanding jawatan nombor satu dan dua dalam parti sering kali diingatkan dengan kepastian berlakunya keadaan tersebut. Namun kali ini, mahu tidak mahu, ia tidak dapat dielakkan. Jika dulu pertandingan merebut jawatan dikaitkan dengan perpecahan parti, kali ini lain pula keadaannya.

Pertandingan kali ini dikatakan perlu demi menyelamatkan parti. Dulu orang akan menganggap seseorang yang berkeras ingin bertanding untuk merebut jawatan nombor satu dalam parti sebagai petualang, kali ini ada pula orang yang menganggapnya sebagai hulubalang yang ingin mneyelamatkan parti dari menuju kehancuran. Pertandingan dikatakan perlu demi memperkuatkan parti. Ini adalah sesuatu yang ironis.


Ada orang beranggapan kalaulah parti tidak memilih seseorang sebagai presiden baru, UMNO akan hancur menjelang tahun 2013. Sekurang-kurangnya, mantan naib presiden UMNO, Tan Sri Sanusi Junid adalah orang yang berpendirian begitu. Persoalan sama ada parti akan hancur atau tidak sudah tidak timbul lagi kali ini.

Hujah yang menganggap pertandingan akan membuahkan kehancuran kepada UMNO tidak lagi terpakai hari ini. Dulu Sanusi Junid di antara orang yang kuat berhujah sesiapa yang mahu merebut jawatan penting bererti dia ingin membawa parti ke lembah kehancuran.

Maka, pertandingan yang untuk sekian lama dulu hanya wujud di atas kertas dalam perlembagaan UMNO untuk jawatan nombor satu dan dua kali ini nampaknya akan menyaksi berlakunya pertandingan. Dulu, pernah seorang tokoh UMNO di dalam ucapannya secara sinis berkata, Malaysia selalu melaungkan kata-kata hikmat, Malaysia boleh, tetapi UMNO pula berpegang kepada kata keramat, pertandingan tidak boleh. Komen tokoh itu menimbulkan gelak ketawa di kalangan hadirin.

Perpecahan yang berlaku dalam UMNO kira-kira 20 tahun lebih dulu sehingga menyebabkan UMNO diisytihar haram dan penubuhan parti baru, UMNO (Baru) serta Semangat 46 sering disebut sebagi polong yang menakut-nakutkan anggotanya supaya tidak lagi bercakap tentang pertandingan merebut jawatan penting. Selama itulah anggota parti hanya memilih calon-calon untuk mengisi jawatan yang lebih rendah.

Sebenarnya, sebelum perpecahan 1987 pun bukanlah pertandingan untuk dua jawatan terpenting di dalam parti diberi pilihan kepada para perwakilan membuat pilihan. Amalan yang dipraktikkan oleh UMNO ialah jika berlaku kekosongan jawatan Presiden, Timbalan Presiden akan mengambil alih. Timbalan Presiden itu apabila terpaksa mengisi jawatan Presiden akibat berlaku kekosongan, akan memilih mana-mana Naib Presiden sebagai timbalannya.

Proses itu akan berulangan dari semasa ke semasa. Jawatan paling penting dalam UMNO yang boleh diintai ialah jawatan Naib Presiden. Pemegang jawatan ini ada kemungkinan untuk menjadi Presiden kemudian hari secara lantikan bukan pemilihan. Salah seorang dari mereka akan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila wujud kekosongan nanti ekoran Timbalan Presiden mendapat kenaikan pangkat sebagai Perdana Menteri sekali gus Presiden parti.

Sebab itulah perebutan untuk jawatan Naib Presiden amat sengit. Tiga orang dipilih untuk mengisi jawatan ini yang dibuat melalui pertandingan langsung. Menang tempat tertinggi dalam pertanding untuk jawatan itu bukan penentu kepada hiraki parti. Penjawat Paib Presiden yang mendapat undian paling rendah masih berkemungkinan untuk menawan hati orang nombor satu untuk dipilih sebagai timbalannya. Selepas itu perjalanan kerjaya politiknya licin dan mudah kecualilah jika dia berkhidmat di bawah Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir dikatakan mengalami masalah bekerja dengan timbalannya.

Amalan perwakilan patuh kepada pemilihan yang dibuat oleh Presiden merupakan satu tradisi dalam UMNO. Mereka tidak membantah lagi. Mereka tidak mahu menggunakan hak mereka untuk diberi kebebasan memilih orang nombor dua yang pada suatu hari nanti akan menjadi orang nombor satu parti dan negara. Tunku Abdul Rahman melantik Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri. Secara automatik Tun Abdul Razak akan dipilih oleh para perwakilan untuk menjadi jadi Timbalan Presiden. Beliau tidak akan ditentang.

Bila Tun Abdul Razak Razak jadi Perdana Menteri berikutan pengunduran diri Tunku Abdul Rahman, dia melantik birasnya, Tun Hussain Onn sebagai Timbalan Perdana Menteri sungguhpun terdapat dua orang lain yang boleh dipilihnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tindakannya tidak dibantah sungguhpun Hussain baru sahaja menyertai UMNO kembali. Para perwakilan mengesahkan jawatan Hussain sebagai Timbalan Presiden. Tun Abdul Razak bertindak lebih jauh lagi dari itu, dia bertindak mempengaruhi pemilihan tiga jawatan Naib Presiden. Kehendak beliau dipatuhi perwakilan.

Bila Tun Abdul Razak Razak meninggal dunia, Tun Hussain Onn mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Terdapat tiga orang Naib Presiden UMNO ketika itu, Razaleigh, Musa dan Mahathir yang boleh dipilihnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pemilihan seseorang sebagai Timbalan Perdana Menteri amat penting kerana orang yang memegang jawatan itu sudah pasti akan dilantik oleh parti sebagai Timbalan Presiden. Seperti biasa, anggota parti bersikap memberi pengesahan kepada lantikan Presiden. Anggota parti, melalui perwakilan dipilih, enggan menggunakan kuasa mereka untuk memilih seseorang mengikut citarasa mereka. Mereka ikut cita rasa Presiden.

Hussain Onn memilih Tun Mahathir selaku timbalannya membantu mentadbir negara. Mahathir secara automatiklah pastinya akan dipilih sebagai Timbalan Presiden sesuai dengan tradisi amalan UMNO.

Itulah kaedah pemilihan dalam UMNO. Jawatan Timbalan Presiden disahkan selepas seseorang itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anggota UMNO tidak menamakan seseorang lain untuk menjadi Timbalan Presiden kecuali seseorang yang telah pun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Hak anggota memilih Timbalan Presiden melalui cita rasa mereka sendiri tidak ada. Mereka hanya mengesahkan seseorang untuk menjadi Timbalan Presiden mengikut cita rasa presiden. Amalan itu dilihat berterusan selanjutnya di mana Mahathir memilih timbalan-timbalannya seperti Musa, Ghaffar Baba dan Anwar Ibrahim.

Tengku Razaleigh cuba menentang seseorang yang telah pun dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri (Presiden UMNO) tetapi percubaan itu gagal. Musa pun pernah menentang Ghaffar Baba tetapi juga gagal. Percubaan itu dibuat sebagai satu usaha untuk membuat come back dalam pucuk pimpinan negara.

Kekecualian berlaku apabila Anwar Ibrahim menentang Ghaffar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden sungguhpun Ghaffar merupakan 'incumbent'. Ghaffar kalah sebelum bertanding pun. Kekalahan Ghaffar itu berlaku akibat satu permainan strategi politik yang amat licik.

Satu peraturan dibuat di mana satu pencalonan untuk jawatan timbalan presiden yang dibuat oleh mana-mana bahagian secara automatik membawa undi subsidi sebanyak sepuluh.

Memandangkan Anwar telah berjaya memperolehi pencalonan yang banyak dari bahagian-bahagian, pertandingan sebenar sudah tidak bermakna lagi kerana undi subsidi sudah melebihi bilangan para perwakilan. Kalau semua perwakilan mengundi Ghaffar pun beliau pasti akan kalah.

Apabila Anwar tidak lagi dapat bekerjasama dengan Mahathir, Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Maka dialah juga yang berjaya memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO. Abdullah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan sekali gus juga mewarisi jawatan Presiden hingga ke hari ini dan dia akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan hujujng tahun ini.

Jawatan Abdullah kali ini nampaknya akan ditentang. UMNOa bagaikan sudah tidak takut kepada pelesit 1987. Pelesit atau polong pertandingan membawa perpecahan tidak digunakan lagi. Razaleigh secara terbuka menyatakan hasratnya untuk merebut jawatan itu darinya. Dia berbuat demikian kerana ingin menyelamatkan parti dari terus menerus menuju kehancuran.

Parti itu mula ditolak rakyat selepas 50 tahun mengabdi diri kepada Melayu dan negara. Ramai akur dengan hasrat itu. Suara-suara menyatakan parti akan pecah jika ada pertandingan sudah tidak kedengaran lagi. Kali ini suasana amat berbeza.

Ramai bersetuju bahawa tindakan tegas mesti diambil untuk mengelak UMNO dari menjadi parti seperti Liga Muslim pakistan dan LDP. LDP dikatakan sinonim dengan dengan pembangunan Jepun sehingga berjaya meletakkan Jepun ke satu tahap yang membanggakan di pentas dunia. Namun ia masih ditolak rakyat selepas berkuasa begitu lama.

Parti Golkar yang dianggota lebih dari 150 juta anggota juga kecundang akhirnya ditelan usia. Nampaknya, sudah begitu ramai pemimpin UMNO yang berani menggambarkan dengan keadaan sebenar UMNO hari ini. Penzahiran ini dibuat di atas keinsafan bahawa ia perlu didedahkan agar sesuatu tindakan remedial dibuat bagi mengembalikan UMNO ke persadanya, sesuai dengan semangat ia ditubuhkan dan agar sentiasa segar relevan kepada masyarakat Melayu.

Usaha mewujudkan pertandingan sihat dalam UMNO adalah sia-sia jika peraturan yang mengekang demokrasi masih diteruskan. Kehendak seseorang calon mendapat pencalonan sebanyak 30 peratus adalah tidak demokratik dan mesti dipinda.

Peratutran itu tidak membolehkan calon bertanding sungguhpun kerana kalau seorang calon mampu mendapat 71 peratus pencalonan, maka pencalonan seorang lagi itu dianggap tidak layak. Keinginan anggota untuk melihat pertandingan diadakan telah dinafikan. Peraturan ini tidak mengambil kira beberapa peraturan lain yang pelik-pelik seperti tidak boleh berkempen dan sebagainya. Mana ada pemilihan kalau tidak boleh berkempen? Itulah peliknya UMNO!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home