Wednesday, June 4, 2008

Terhindarkah BN dari gelombang 'tsunami' Sabah

Tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 4 Jun, 2008 muka N15


Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Setakat ini BN masih selamat dari gelombang tsunami yang dikatakan akan berpunca dari Sabah yang akan mengheret ramai para anggota Dewan Rakyat BN ke parti lawan, Pakatan Rakyat. Tsunami itu dikatakan akan menyebabkan tumbangnya kerajaan yang sudah lama bertapak di Malaysia. Dakwaan demi dakwaan dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para pemimpin lain PKR tentang akan berlakunya peristiwa itu. Terakhir ialah kenyataan dibuat oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan bahawa di antara tiga hingga lima orang ADR Sabah akan memulakan langkah menyeberang parti pada penghujung bulan ini.

Itu, mengikut Jeffrey berupa kelompok pertama dan akan segera diikuti oleh kelompok-kelompok yang lain. Sasaran mereka ialah ADR yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan. Ramai orang percaya bahawa cakap-cakap begitu adalah satu lamunan besar beliau dan Anwar yang hanya bertujuan untuk menggugat kerajaan Datuk Seri Abdullah dengan harapan ia akhirnya menjadi kenyataan akibat asakan bertalu-talu yang melemahkan semangat para ADR BN.

Perang psikologi Anwar ini telah berjaya meletakkan BN dan UMNO terutamanya dalam keadaan tidak stabil. Perasaan ‘seige mentality’ dengan itu tercipta. Tumpuan tidak dapat diberikan kepada apa yang perlu dilaksanakan. Anwar berjaya melahirkan perasaan saling mencurigai dan berteka teki di antara sesama ADR BN. Abdullah bagaimanapun tidak mahu dilihat sebagai mudah menurut kehendak Sabah kecualilah beliau ingin dilihat sebagai seorang pemimpin yang lemah sebagaimana persepsi yang ada padanya sekarang.

Asakan dari Anwar ini menyebabkan para pemimpin BN dari Sabah berusaha mengambil kesempatan dari kegawatan yang dicetuskannya. Peluang keemasan ini digunakan sepenuhnya untuk menggodam Abdullah dan mendesak agar diberikan hadiah lumayan ekoran sumbangan mereka memperkasakan kerajaan BN di peringkat pusat. Mereka mahu imbuhan setimpal diberikan.

Ada yang meletak jawatan Timbalan Menteri kerana tidak berpuashati dilantik sebagai Timbalan Menteri sahaja. Ada yang mengugut akan berpindah rumah (keluar dari BN) kalau permintaan tidak diperkenankan. Pemimpin Sapp, di bawah pimpinan mantan Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee dikatakan sudah pun mempertimbangkan kedudukan partinya dalam BN. Parti itu kecewa kerana tidak diberikan kerusi Kota Kinabalu untuk ditandingi dalam PRU-12 lalu. Seorang ketua bahagian dari parti itu sedih kerana parti itu memilih kekal bersama BN di saat akhir ini. Beliau menuduh keputusan itu didorong oleh kepentingan diri para pemimpin. Beliau yakin keadaan di Sabah tidak akan berubah pada 50 tahun lagi.

Terdapat juga desas-desus bahawa presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan tidak bersependapat dalam banyak isu dengan timbalannya, Dr Maximus Ongkili, anggota kabinet pusat. Di antara isu itu ialah pembentukan suruhanjaya di raja.

BN sebenarnya mempunyai majoriti simple yang kukuh di DR. Ia tidak mudah digugat. Anwar memerlukan sekurang-kurangnya 30 ADR untuk melompat parti dan jika itu terjadi, kerajaan yang dibentuknya pun adalah amat rapuh. Untuk agak selesa sedikit beliau perlu mendapat sebanyak 40 ADR untuk bersama partinya. Angka ini sungguhpun sukar didapati tetapi tetap menggusarkan BN dan menjadikan Abdullah menggelabah.

Perang psikologi Anwar ini telah berjaya meletakkan BN dan UMNO terutamanya dalam keadaan tidak stabil. Perasaan ‘seige mentality dengan itu diwujudkan. Tumpuan tidak dapat diberikan kepada apa yang perlu dilaksanakan. Anwar berjaya melahirkan perasaan saling mencurigai dan berteka teki di antara sesama ADR BN. Abdullah bagaimanapun tidak boleh dilihat sebagai mudah menurut tekanan Sabah kecualilah beliau ingin dilihat sebagai seorang pemimpin yang lemah sebagaimana persepsi yang ada padanya sekarang.

Masalah yang dihadapi oleh Sabah pula bukanlah sesuatu yang kecil. Ia masalah besar dan berpanjangan. Persoalan paling kerap disuarakan oleh para pemimpin Sabah ialah bukannya terdapat lebih kurang 150,000 pendatang haram di Sabah . Mereka kesal kerana terdapatnya kira-kira di antara sejuta hingga dua juta orang asing dari Filipina , Indonesia dan Pakistan yang diberikan kad pengenalan. Mereka ingin tahu setakat mana pengelibatan para mantan pemimpin tempatan dan nasional dalam ‘skandal’ itu. Isu kritikal bagi mereka ialah bagaimana orang ini boleh mendapat kad pengenalan dan kemudiannya mengundi dalam PRU.

Semua bukti mengikut para pemimpin politik Sabah sudah memadai dan mendesak agar sebuah suruhanjaya di raja dibentuk untuk menyiasat. Ramai orang Sabah tidak berpuashati kerana pihak berkuasa cuba mengelak dari isu ini dan hanya bercakap tentang kehadiran pendatang haram dan mendakwa usaha menghantar mereka pulang digagalkan oleh Manila. Kota Kinabalu bagi mereka tidak banyak beza dengan Cota Bato sebuah bandar di selatan Filipina.

Di samping itu terdapat aduan bahawa Sabah dan Sarawak diabaikan oleh kerajaan pusat dalam pembangunan sosio-ekonomi. Hari ini Sabah menduduki tahap negeri paling mundur di Malaysia dan Sarawak mengekori dekat di kedudukan kesebelas. Peliknya, negeri-negeri ini sangat kaya dengan gas dan petroleum. Tanggapan orang di sana bahawa kontrak sosial sewaktu pembentukan Malaysia dimetrai telah diketepikan. Sabah memiliki taraf kemiskinan sebanyak 23% berbanding Kuala Lumpur sebanyak 1.5%. Di daerah Nabawan, taraf kemiskinan berada di tahap 70%.

Jolokan dari Anwar yang digunakan sepenuhnya oleh para pemimpin Sabah menyebabkan Abdullah terpaksa mencari formula menenangkan para pemimpin Sabah ini. Permintaan asal agar satu suruhanjya diraja dibentuk bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan yang berleluasa masih tidak dilayannya. Kerajaan pusat hanya bersetuju untuk menubuhkan jawatan kuasa kabinet berkaitan pendatang haram yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib. Jawatankuasa akan turut disertai beberapa pemimpin tempatan akan mencari penyelesaian berhubung masalah pemegang IMM13, satu dokumen seakan-akan pasport dikeluarkan kepada pelarian Filipina.

Kerajaan pusat juga telah bersetuju untuk menghapuskan Jabatan Pembangunan Persekutuan. Berita baik yang ditunggu Sabah ini diumumkan oleh Abdullah pada Sabtu lepas. Ekoran dari pembubaran ini, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah akan menguruskan sendiri dan melaksanakan projek-projek kerajaan pusat. Abdullah juga mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM1 bilion untuk pembangunan Sabah dan akan diuruskan oleh kerajaan Sabah sendiri.

Jabatan yang dihapuskan itu mula diwujudkan oleh kerajaan pusat pada Januari 1991 selepas Sabah jatuh ke tangan pembangkang, PBS. Mekanisme sama diadakan di Kelantan apabila PAS memerintah Kelantan. Peruntukan pembangunan disalurkan kepada Jabatan itu bukannya kepada kerajaan negeri. Tindakan Abdullah menghapuskan Jabatan ini Sabah telah mencetuskan permintaan sama dari Kelantan. Sinar Harian Isnin 2 Jun, Edisi Kelantan memetik Takiyuddin sebagai berkata:

“Perdana Menteri bertindak bijak dengan memansuhkan JPP Sabah dan langkah itu dianggap cukup baik serta demokratik. Saya yakin lambat laun JPP Kelantan turut dihapuskan.” Bolehkah Abdullah bertindak demokratik dan menggunakan rasional yang sama untuk Sabah di Kelantan?

Bagaimana penerimaan ke atas gula-gula sumbangan Abdullah ini? Ada yang kata tidak mencapai tahap yang dijangka mereka. Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup berpendapat ia hanya sebagai untuk mengaburi mata sahaja. Jawatankuasa kabinet mengikut beliau tidak memiliki kuasa perundangan. Jika saksi berbohong, jawatankuasa tidak berupaya bertindak. Beliau tidak faham kenapa susah sangat kerajaan hendak tubuh jawatankuasa di raja. Dia bertanya bukankah itu jawatankuasa yang sama yang diumumkan pada 2000 dipengerusi oleh TPM (ketika itu Abdullah penjawatnya) dan diumum sekali lagi pada 2006? Apa yang mereka mahu ialah suruhanjaya yang mempunyai kuasa seperti yang menyiasat kes pita Lingam tempoh hari.

Bagaimana pula tawaran Abdullah ini dibandingkan dengan umpan yang dibuat oleh Anwar? Anwar berjanji akan memberikan Sabah peratusan royalti yang lebih tinggi dari apa yang dinikmati sekarang. Kadar yang dibayar Petronas hari ini ialah 5% sedangkan Anwar sanggup membayar sebanyak 20% jika PR berkuasa di peringkat pusat selepas ADR melompat parti. Mengikut kiraan Jeffrey, Sabah akan kerugian kira-kira RM15 juta sehari jika bayaran royalti kekal seperti sedia kala. Berdasarkan pengeluaran petroleum Sabah yang dianggarkan berjumlah 400,000 tong sehari dan harga sekitar US100 setong, kerugian yang dialami Sabah berjumlah RM4.5bilion setahun dakwa Jeffrey.

Persoalan lain pula ialah mampukah pusat mengotakan janjinya. Janji untuk mengadakan jawatankuasa kabinet telah pertama kali dibuat pada 2000 tetapi masih belum terlaksana sehingga kini. Kali ini sudah masuk kali ketiga berjanji. Janji hendak memberikan peruntukan RM1 bilion juga dipertikaikan kerana jika wang sebanyak itu diberikan, maka pastinya akan berlaku pemotongan belanja di tempat-tempat lain, di negeri lain yang akhirnya membuah perasaan tidak puashati di sana pula. Bajet sekarang pun berupa defisit dan defisit berterusan akan membuat negara ‘insolvent’.

Lagipun, mengikut Jeffrey, sungguhpun Abdullah menjanjikan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion, ia masih kecil berbanding apa yang akan dinikmati jika kerajaan pusat beralih kuasa. Anwar tidak sahaja menjanjikan tambahan royalti, malah terdengar juga khabar bahawa beliau dikatakan akan melantik TPM dari seseorang berasal dari sana. Tawaran yang dibuat Anwar ini mungkin boleh melelehkan air liur ADR dari Sabah dan Sarawak. Persoalan dinanti ramai ialah apakah tsunami Sabah ini boleh menenggelamkan pantai tanah besar Semenanjung?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home