Tuesday, April 1, 2008

Pemilihan UMNO: Orang ditentang jadi pengadil

Tersiar dalam Sinar Harian Selasa, 1 April, 2008 muka N11

Oleh: Aisar Yee Abdullah

Sistem kuota pencalonan untuk jawatan-jawatan penting dalam UMNO kembali diperkatakan. Sistem itu mula diperkenalkan melalui satu Mesyuarat Agung Khas UMNO pada Oktober 1988. Mengikut peraturan yang diluluskan pada perhimpunan tersebut seseorang yang hendak bertanding jawatan presiden parti hendaklah mendapat sebanyak 30 peratus pencalonan. Satu bahagian, satu pencalonan.

Sesiapa yang berminat bertanding jawatan timbalan presiden mesti berupaya disokong oleh 20 peratus pencalonan dan untuk jawatan naib presiden sekurang-kurangnya 10 peratus dari kesemua bahagian UMNO. Seseorang dikira layak bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi jika beliau dinamakan oleh sekurang-kurangnya dari 5 peratus bahagian. Bilangan bahagian UMNO sekarang di seluruh Semenanjung dan Sabah ialah lebih dari 190.

Sistem itu diperkenalkan selepas Mahathir, Presiden UMNO dicabar oleh Tengku Razaleigh pada tahun 1987 dan Mahathir menang dengan majoriti tipis sebanyak 43 undi. Semenjak itu peraturan demi peraturan diperkenalkan oleh Mahathir dan kekal sehingga sekarang. Penganalisis melihat peraturan itu dikenakan oleh pesaing (yang berkuasa atau incumbent) untuk mempastikan kemenangan kekal dan menghancurkan harapan contender. Ia diibaratkan, orang ditentang juga bertindak sebagai pengadil.

Penulis masih ingat peristiwa pemilihan UMNO tahun 1987 yang begitu sengit. Terdapat arahan diberikan kepada penyokong Razaleigh agar memboikot ucapan Presiden. Presiden biasanya menggunakan forum ini untuk mempengaruhi undian. Penyokong Razaleigh tidak mahu dipengaruhi pada saat-saat terakhir. Aturcara selepas ucapan presiden ialah berlangsungnya pengundian.

Memandangkan Razaleigh menguasai separuh perwakilan, pengosongan dewan semasa ucapan presiden pastinya akan memberi kesan kepada mood pengundi. Ketiadaan penyokong Razaleigh di dalam dewan pastinya akan mendedah ‘kekuatan’ atau ‘kelemahan’ penyokong presiden. Ini semestinya dielakkan. Maka, sehari sebelumnya, peraturan pemilihan dipinda. Semua orang dikehendaki berada dalam dewan sebelum presiden berucap. Pintu akan ditutup sebelum presiden berucap dan sesiapa yang tidak ada di dalamnya semasa itu tidak akan dibenarkan mengundi kerana pintu tidak akan dibuka sehingga selesai proses mengundi.

Kembali soal kuota, keputusan mengenakan kuota ini dianggap bersesuaian dengan masa itu. Mahathir mempunyai alasan tersendiri apabila dia mengemukakan syarat itu yang disahkan oleh anggota MTnya. Dia menghujah bahawa prosidur itu dikenakan bagi menghalang seseorang untuk bertanding hanya di atas alasan suka-suka sahaja. Calon itu mesti serius dan mendapat sokongan beberapa bahagian sekurangnya.

Beliau mengemuka satu episod pertandingan di mana Sulaiman Palestin (Allahyarham) bertindak bertanding menentang Hussein Onn (Tun, Allahyarham) untuk jawatan presiden sungguhpun beliau tidak memperolehi banyak pencalonan.

Persepsi bahawa pihak pesaing juga bertindak sebagai pengadil sekali lagi kelihatan apabila berlakunya pertandingan di antara Anwar Ibrahim yang mencabar Ghaffar Baba (Tun, Allahyarham) untuk jawatan timbalan presiden. Undang-undang permainan dipinda sekali lagi bagi memberi kelebihan kepada salah seorang pemain itu. Setiap pencalonan kali ini membawa undi bonus sebanyak sepuluh. Kaedah ini dihapuskan kemudiannya.

Cara sesebuah bahagian membuat pencalonan juga menarik dilihat. Ia kadangkala jauh dari apa yang kita bayangkan. Bayangan kita ialah seseorang bangun mencadangkan nama seseorang calon dan cadangan itu diberi sokongan. Pencadang lain pula bangun mengemukakan satu calon lain dan nama itu diterima untuk dijadikan pesaing kalau ia disokong. Bebarapa nama lain mungkin dicadang dan disokong. Undi secara nmengangkat tangan dan terbuka dibuat.

Kita berkhayal sebenarnya kerana UMNO lebih banyak menjalankan konsep demokrasi terpimpin. Jarang terjadi di mana anggota-anggota UMNO cawangan memilih perwakilan ke peringkat bahagian dan perwakilan ini mengundi undi memilih wakil mereka untuk menjadi perwakilan bahagian ke persidangan agung. Tidak terjadi juga wakil untuk mesyuarat bahagian ini mengemukakan calon untuk dinamakan memenuhi jawatan penting dalam MT.

Hakikatnya, gaya politik UMNO berlainan. Pusat kuasanya tidak datang dari bawah. Realitinya, bahagian-bahagian dengan mudah mempengaruhi cawangan. Para perwakilan cawangan kelihatan semacam tidak bermaya kecuali satu dua di antara beribu-ribu yang terkenal ‘gedebe’ yang sanggup menentang arus.

Gaya politik UMNO ini tersendiri. Ia mungkin satu-satunya model dalam dunia. Politiknya dikuasai oleh ketua bahagian dan ketua perhubungan negeri. Ketua perhubungan negeri berupakan lantikan Presiden. Contohnya, presiden melantik Muhammad sebagai menteri besar atau menteri dan sekaligus Muhammad akan bertindak menjadi ketua perhubungan UMNO negeri. Sekonyong-konyong tokoh itu menjadi bertenaga. Dulu dia seorang ketua sebuah bahagian biasa di sebuah negeri.

Tenaganya membuak. Sebagai ketua perhubungan negeri, beliau pasti akan mendapat sekurang-kurang pencalonan dari negerinya sendiri. Keghairahannya bertambah dan mungkin kini mengimpikan jawatan Naib Presiden dan bukannya anggota MT biasa. Kalau seseorang bernama Khir masih lagi jadi MB atau kertua perhubungan negeri, dialah pula yang mendapat banyak pencalonan. Dia juga berminat barangkali untuk jawatan NP.

Maka kita tertanya, siapakah yang menentukan kedudukan masa depan politik seseorang. Di mana duduknya seseorang kalau dia sekarang hanya seorang exco biasa dalam kabinet sesebuah negeri? Bagaimana pula kalau dia seorang ADUN biasa? Bagaimana nasibnya selepas dilantik jadi MB?

Seorang Ketua Perhubungan mempunyai pengaruh yang besar ke atas bahagian-bahagian dan bahagian-bahagian pula dikatakan patuh kepada MB merangkap ketua perhubungan ini. Pastinya ketua-ketua bahagian, yang kebanyakannya memegang jawatan Exco kerajaan negeri, akan giat berkempen untuk MB/KM mereka yang bertanding jawatan MT atau lebih tinggi.

Maka, pengundian pada peringkat bahagian ini amat penting dan MB amat mengambil tahu tentangnya. Memandangkan ia penting, cara pengundi juga penting agar pencalonan itu pergi kepada orang yang telah ditentukan. Siapa menjadi anggota perwakilan bahagian amat penting.

Perhatikan amalan ini. Ia bukanlah sebuah kejadian pelik. Ia pernah terjadi dan lazim terjadi dan akan terus terjadi. Inilah caranya: Ketua UMNO Bahagian dalam mesyuarat bahagiannya memberikan ucapan terima kasih kepada para perwakilan kerana memberikannya mandat membuat pencalonan untuk jawatan-jawatan penting dalam parti. Belum pun beliau membaca nama-nama yang dipilih beliau meminta para perwakilan berdiri sebagai tanda bersetuju dengan pemilihannya. Bersetuju dahulu sebelum mendengar nama orang yang dicalonkan. ‘Setuju!’, kedengaran suara dari bawah, keras dan lantang.

Ketua sebuah bahagian lain di negeri lain, katakan di Sabah bertindak membaca nama-nama mereka yang dipilih dan kemudiannya meminta perwakilan berdiri tanda bersetuju. Tidak pula dinafikan ada bahagian yang mengundi secara rahsia dan ada bahagian yang mengambil keputusan tidak membuat pencalonan. Setiap bahagian ada cara memilih perwakilan dan membuat pencalonan tersendiri. Itulah yang terjadi.

Terdapat banyak cara mengundi dalam UMNO tetapi cara yang diamalkan yang mula-mula disebut di atas tadi adalah yang paling digemari oleh ketua-ketua bahagian. Hampir tidak ada langsung para perwakilan yang tidak turut bangun apabila diminta berbuat demikian sebagai tanda menyokong. Luluslah usul tersebut. Ia masih demokratik kerana bawahan akur dengannya. Namun pemilihan cara rahsia itulah yang terbaik tetapi jarang diamalkan.

Begitulah caranya satu pencalonan diraih melalui satu mesyuarat bahagian UMNO dan seseorang calon dikehendaki mendapatkan 58 pencalonan jika dia berhasrat bertanding jawatan presiden. Bolehkah dan berjayakah dia setelah menyedari bahawa punca kuasa bermula dari atas dan bukannya dari akar umbi, kecualilah jika punca kuasa dari atas itu mengambil sikap membiarkan proses demokrasi berjalan melalui kaedah tulen tanpa gangguan darinya atau dia sudah tidak mampu mengawal tindak tanduk perhubungan negeri kerana dia sendiri sudah jadi lemah.

Keputusan pilihan raya umum baru-baru ini yang melihat UMNO kecundang banyak kerusi yang dimenangi telah membawa beberapa fikiran baru kepada UMNO. Usaha-uasaha dilakukan untuk mengubah persepsi umum terhadap parti itu dan memberikan satu jenama baru yang seterusnya membawa UMNO ke satu kedudukan ke tempat asal di persada hati orang Melayu.

Di antara uasaha itu ialah tindakan untuk membawa nafas baru kepada parti itu melalui kepimpanan alternatif yang berjanji akan lebih berkesan. Melalui kaedah pemilihan yang ada sekarang, usaha itu sukar dijayakan kecualilah tekad membawa perubahan kepada UMNO itu besar dan kuat.

Kalau dulu barisan tinggi pimpinan UMNO bertindak memandang sepi dan menentang keras terhadap sebarang ura-ura menentang pucuk pimpinan, kali ini nampaknya ada di antara mereka sudah berpendirian lain dan telah menyatakan persetujuan bahawa sistem kuota yang ada pada UMNO hari ini sudah tidak relevan lagi. Mereka tidak lagi mahu menjadi ‘referee’ dan pada masa yang sama turut terlibat sebagai pemain. Mereka mahu padang permainan sama rata. Mereka mahu sistem kuota dihapuskan. Mereka sudah mula berani menyatakan itu. Dan bilangan mereka kian ramai. Mereka tidak mahu UMNO jadi bahan ejekan lagi dengan sistem pengundian yang pelik-pelik.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home