Sunday, April 13, 2008

Kabinet berasaskan keperluan bukan kuota.

Tersiar dalam SH, Ahad 13 April, 2008 muka N12


Oleh Aisar Yee Abdullah

Selepas bilangan MP BN berkurangan lebih dari 50 orang di Dewan Rakyat kali ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengharapkan kabinetnya tidaklah seramai sebelum itu dan beliau menghapuskan jawatan Setiausaha Parlimen. Kabinet yang diharapkan darinya ialah sebuah yang kredibel dan berkesan untuk memenuhi tuntutan reformasi yang diluahkan oleh rakyat.

Kira-kira sepuluh hari selepas pilihan raya selesai, Abdullah telah bejaya membentuk satu barisan kabinet yang terdiri dari muka baru dan lama. Dua orang tokoh korporat diambil menyertainya. Sebahagian besar anggota kabinet beliau sebelum ini dianggap salah satu penyebab BN kalah kerana mereka berupa warisan zaman Tun Mahathir. Mereka dianggap korup oleh pengundi.

Kekalahan BN di beberapa negeri di Semenanjung menyebab proses pembentukan kabinet sukar. Ini terjadi kerana kaedah politik di Malaysia ini berasaskan negeri dan organisasi politik. Setiap parti politik ada kuotanya untuk jawatan menteri. Parti MCA sudah sekian lama selesa dengan peruntukan sebanyak 4 kementerian, iaitu Kesihatan, Pengangkutan, Kerajaan Tempatan dan Sumber Manusia. Pada 2004, MCA menang 31 kerusi parlimen dan kali ini hanya menang 15 kerusi sahaja. Menang besar atau kalah teruk, peruntukan MCA kekal sama.

Melihat keanggotaan kabinet baru Abdullah jelas kelihatan hasratnya untuk meremajakannya dengan pengisian muka-muka baru dan lantikan tokoh-tokoh korporat. Harapannya terbantut dengan adanya asakan dari beberapa komponen parti terutamanya dari Sabah dan Sarawak yang mahukan mereka diberi layanan lebih. Impiannya diganggu.

Sabah dan Sarawak diketahui menyumbang kerusi yang banyak ke arah kejayaan BN mengekalkan permerintahanya. Lebih dari satu pertiga kerusi parlimen BN datang dari hanya dua negeri itu sahaja. Kemungkinan beberapa (malahan ada mendakwa puluhan) MP dari dua negeri tersebut melompat menyertai Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantuinya. Peranan Anwar dalam membawa UMNO ke Sabah dan rekod karenah tokoh politik di Sabah terutamanya yang suka ‘tukar baju’ amat membimbangkan beliau.

Menyedari dilema yang dihadapi oeh Abdullah, kita perhatikan bahawa kesempatan dari keadaan ini telah digunakan seluas-luasnya oleh parti politik komponen BN di sana. Ada orang yang dilantik sebagai timbalan menteri bertindak meletakkan jawatan atas alasan sudah lama jadi timbalan menteri, dua dari mereka dari Sabah dan seorang dari Pahang. Menuntut jadi menteri penuh? Gawat.

Pemimpin UMNO Sabah menuntut lebih banyak tempat dalam kabinet diberikan kepada mereka sebagai mencermin kekuatan mereka dalam BN. Dari seramai 25 orang calon parlimen BN di Sabah hanya seorang sahaja tewas. Menteri Perpaduan, Kesenian dan Warisan, Shafie Afdal pastinya berhak bertanya kenapa hanya beliau seorang sahaja menteri UMNO dari sana. Beliau mendakwa akar umbi di sana keciwa. Beliau mengibaratkan bila seseorang melabur besar, pastinya ganjaran yang diharapkan adalah lumayan. Semasa mengumumkan barisan kabinetnya pada 18 Mac lalu Abdullah memberi Sabah tiga jawatan menteri dan 4 jawatan timbalan menteri. Sebelum ini bilangan menteri dari Sabah ialah 3 dan timbalan menteri empat.

Selain pemimpin UMNO, beberapa parti lain di Sabah dari kalangan BN juga menyuarakan permintaan agar mereka diberi layanan setimpal dengan sumbangan parti mereka. Presiden parti Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok juga mahukan jumlah wakil dalam kabinet Persekutuan diseimbangkan. Mengikut Dompok, kedua-dua negeri di Malaysia Timur yang memenangi 54 dari 140 kerusi parlimen hanya diperuntukkan lima jawatan menteri , iaitu tiga untuk Sabah dan dua untuk Sarawak sementara Johor yang menyumbang hanya 25 kerusi diberi 7 jawatan menteri.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Maximus Ongkili berkata keanggotaan kabinet Persekutuan hendaklah mencerminkan sumbangan Sabah ke arah kemenangan BN. Beliau tidak sahaja menuntuk tambahan kerusi kabinet untuk Sabah malah juga dalam pentadbiran kerajaan dan pelantikan diplomat. Selain itu beliau mahu isu pendatang haram, peruntukan pembangunan dan program penghapusan kemiskinan dipertingkatkan di negerinya.

Bukan Sabah sahaja yang membuat tuntutan untuk mendapat lebih jawatan menteri. BN Sarawak menang kesemua kerusi yang ditandinginya kecuali satu. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mempunyai 14 MP berharap seorang menteri Melayu dilantik dari partinya. Sekarang tidak ada seorang pun menteri dilantik dari parti itu walhal pernah pada suatu ketika dua orang menteri menganggotai kabinet persekutuan pada sesuatu masa, iaitu Tan Sri Sulaiman Daud dan Abang Abu Bakar. Sarawak menyumbang sebanyak 30 kerusi untuk menunggak kekuatan BN pusat.

Sekarang PBB hanya diberikan satu jawatan kabinet sedangkan MCA yang hanya mempunyai satu kerusi parlimen lebih dari PBB ada empat jawatan menteri. Parti Sarawak United People yang hanya ada enam orang MP mendapat bilangan menteri yang sama dengan PBB.

Orang Dayak sudah pun meyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Dr James Masing berkata orang Dayak telah memenangkan kesemua 14 kerusi parlimen yang didominasi oleh suku itu untuk BN. Dia mendakwa telah berbincang dengan Abdullah dan PM telah berjanji untuk memberi pertimbangan kepada permintaan suku kaum ini untuk melihat lebih ramai Dayak menyertai kabinet dan kerajaan.

Laporan-laporan akhbar akhir-akhir ini telah menunjukkan bahawa PM telah pun bertemu dengan pemimpin BN di Malaysia Timur dan telah bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dari mereka. Di antara persetujuan yang dilaporkan ialah bahawa permintaan untuk mendapatkan jawatan tambahan kabinet dianggap mempunyai ‘merit’.

Jikalau kita melihat keanggotaan kabinet diasaskan kepada sumbangan kerusi yang diberikan oleh setiap anggota komponen BN dan sumbangan jumlah kerusi parlimen oleh setiap negeri, maka tentulah keanggotaan kabinet akan berubah jauh dari apa yang ada sekarang. Berapa orang menteri Perlis patut ada kerana negerinya hanya ada tiga kerusi? Berdasarkan itu orang Perlis tidak layak jadi menteri. Kelantan hanya memenangkan dua orang MP BN kenapa ada dua orang menteri dan kenapa yang seorang lagi itu sungguhpun menang tidak dilantik? Kenapa Johor sampai 7 orang menteri. Apakah komposisisi harus berdasarkan itu?

Cakap-cakap tentang komposisi yang tidak adil yang diasaskan kepada kuota parti, kuota kaum, kuota negeri sepatutnya tidak diberi layanan serius. Kalaulah PM melayani karenah ini dan memperbesarkan lagi keanggotaan kabinetnya pasti ini akan memberi masalah pentadbiran. Kabinet Abdullah tidak boleh jadi lebih besar lagi semata-mata untuk menampung permintaan dari kumpulan-kumpulan tersebut tadi. Pembentukan kabinet hendaklah didasarkan kepada keperluan negara dan bukannya keperluan individu atau parti atau wilayah.

Mencipta satu kementerian tidak semudah mencipta satu menteri. Mesti ada tugas tan tanggunggungjawabnya yang harus digaris. Mesti ada jentera pentadbirannya yang bermula dari jawatan Ketua Setia Usaha Kementerian hinggalah jawatan paling rendah. Apabila PM menggabungkan Kementeraian Dalam Negeri dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di bawah satu kementerian baru-baru ini, sampai hari ini pun ia masih belum dilaksanakan. Banyak karenah burokrasi yang hendak dibereskan.

Kainet Malaysia tidak memerlukan ramai anggotanya. Singapura mempunyai kabinet seramai 19 orang sahaja. Negara kita bukan seperti India yang mempunyai penduduk satu billion orang yang mempunyai Menteri kerterapi, Menteri Perlombongan, Menteri Keluli, Menteri Tekstail dan sebagainya. Ia sesuai dengan keperluan negara itu. Filipina ada 22 orang menteri sahaja dan dengan tambahan dua orang lagi iaitu Presiden Arroyo Gloria Macapagal dan timbalan beliau Noli L. De castro. Anggota kabinet Great Britain juga seramai 22 orang menteri termasuk Gordon Brown, sebagai Perdana Menterinya.

Keanggotaan kabinet kita sudah ramai sekarang, iaitu lebih dari 30 orang orang. Sepatutnya orang yang terbaik sahaja dilantik tanpa mengira ia orang Melayu, Cina, India, Murut, Kadazan atau apa sahaja. Ia juga sepatutnya tidak mengambil kira dari parti mana dan dari negeri mana asalkan dia mampu menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat. Keadilan yang diimpikan bukanlah untuk melayan karenah orang politik setiap negeri tetapi keadilan kepada rakyat Malaysia seluruhnya yang mahukan sebuah kerajaan yang boleh ‘deliver’ apa yang terkandung dalam manifesto BN hari itu. Kabinet hanya boleh dirombak berdasarkan untuk menjamin keadilan kepada rakyat dan bukan atas faktor desakan parti atau negeri.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home